Membawa taglineThe Make Up For Work, nampaknya permulaan tahun 2023 memberi nafas baharu buat SLAE Cosmetics dalam usaha meluaskan lagi jenama tersebut di pasaran.
Datin Dr Nik Sarina Hashim
Menurut Pengasasnya, Datin Dr Nik Sarina Hashim bagi tahun 2023, SLAE Cosmetics bergerak dengan lebih jauh lagi dengan pelbagai program meliputi bina diri dan keyakinan bersama-sama wanita-wanita berkerjaya samada secara persendirian, di sektor korporat mahupun sektor kerajaan.
“SLAE Cosmetics juga bekerjasama dengan syarikat afiliatnya iaitu Bworks yang memberi latihan kepada pekerja-pekerja di sektor korporat dalam pelbagai bidang, dimana SLAE Cosmetics akan turut memberi tenaga kerjanya bagi latihan bina keyakinan melalui kecantikan,” ujar Datin Dr Nik Sarina kepada NONA baru-baru ini.
Penerima NONA BEST PROFESSIONAL BEAUTY AWARD di NONA SUPERWOMAN AWARD 2022 ini menzahirkan rasa syukur kerana pengiktirafan yang diberikan oleh majalah NONA telah memberi pendedahan baharu buat jenama SLAE Cosmetics di pasaran kosmetik tempatan mahupun antarabangsa.
“Alhamdulillah, Nona Superwoman Award telah memberi exposure kepada SLAE Cosmetics dengan lebih meluas lagi. Sebagai jenama baharu, SLAE Cosmetics amat berterima kasih kepada pihak NONA kerana percayakan misi dan visi serta perkembangan jenama ini yang membawa kepada penganugerahan award tersebut kepada pengasas dan jenamanya.”
Ads
SLAE Cosmetics berada di landasan kukuh untuk melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa selepas berjaya meletakkan jenama SLAE Cosmetics dalam segmen pasaran wanita berkerjaya sejak dua tahun penubuhannya.
Selain memberi tumpuan pada pasaran tempatan pihaknya merancang untuk menembusi pasaran Kemboja serta ke negara berpotensi lain seperti di United Kingdom dan Amerika Syarikat untuk pengguna Muslim.
SLAE Cosmetics menawarkan rangkaian penuh mekap seperti pembayang mata, gincu dan bedak asas yang menampilkan rasa ringan kepada pemakainya, sesuai dengan ciri wanita bekerja yang serba pantas dan tidak mahu meluangkan terlalu banyak masa di meja mekap.
Ads
Beliau berkata, rangkaian kosmetik keluarannya diformulasikan menggunakan bahan semula jadi tanpa paraben, pewangi, minyak mineral dan alkohol malah turut menerima sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
SLAE Cosmetics juga sudah berada di pasaran Brunei berikutan mendapat permintaan memberangsangkan daripada pelanggan dan produk SLAE Cosmetics kini dipasarkan di lima cawangan kosmetik Paloma di negara itu.
Menyentuh perancangan untuk meneroka bidang-bidang baharu sebagai cabang dalam perniagaan, menurut Datin Dr Nik Sarina buat masa ini pihaknya belum mempunyai sebarang perancangan ke arah tersebut memandangkan jenama SLAE Cosmetics masih baru dan memerlukan banyak perhatian untuk berkembang ke tahap yang diingini.
Ads
Sebelum menutup sesi temubual, Datin Dr Nik Sarina sempat menitipkan pesanan untuk wanita yang baharu berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Menurut wanita yang pernah bertugas sebagai peguam ini, setiap perniagaan yang baharu hendak diceburi memerlukan kajian yang mendalam tentang produk dan sasaran pasaran terhadap produk yang bakal dikeluarkan.
“Cekalkan hati dan sentiasa bertanya kepada diri sendiri mengapa orang hendak membeli produk anda. Pemasaran yang baik adalah kunci kepada jenama anda dan ini tidak akan berlaku dalam masa yang singkat.
Membina sebuah jenama memerlukan masa, tenaga dan ilmu. Oleh itu banyak membaca dan belajar serta mengambil kira pergerakan teknik-teknik permasaran yang terkini yang mana ianya sentiasa bertukar arus,’ ujarnya seraya menutup perbualan bersama NONA.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Pada mulanya memang susah hendak menguasai bahasa Jepun kerana asyik terfikir ‘terpaksa’ belajar disebabkan ingin melanjutkan pelajaran ke sana (Jepun) tetapi akhirnya ia menjadi seronok kerana kita mula faham, fasih dan mampu berkomunikasi dengan baik dalam bahasa mereka ketika berada di sana.” Itulah reaksi Aunee Azrina Zulkifli, 28, ketika ditanya mengenai pengalamannya mempelajari bahasa ketiga iaitu bahasa Jepun.
Mengakui tidak rugi sekiranya boleh berkomunikasi selain daripada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, Aunee Azrina memberitahu ia memberi satu kelebihan kepada diri sendiri pada masa hadapan.
“Malaysia sememangnya merupakan sebuah negara yang unik kerana selain terdiri daripada pelbagai bangsa, rakyatnya juga boleh bertutur lebih daripada satu bahasa selain bahasa ibunda, bahasa Melayu. Pastinya penguasaan bahasa ketiga memberi kelebihan, tambahan hari ini dengan pelbagai syarikat luar negara membuka perniagaan di sini ia memberi peluang pekerjaan dengan gaji yang lumayan.
“Begitupun, pemilihan bahasa perlulah betul kerana tidak semua bahasa sesuai dan akan digunakan dalam komunikasi harian,” ujar anak kelahiran Ipoh, Perak ini lagi.
Bagaimanapun jelas Aunee Azrina, pemilihan bahasa ketiga perlulah dibuat dengan betul agar ia tidak merugikan dan membuang masa.
Juga boleh berkomunikasi dalam bahasa Korea dan Mandarin, Aunee Azrina yang kini bekerja dengan salah sebuah syarikat luar negara di ibu kota berkata, dia bertuah kerana pekerjaannya hari ini memerlukannya berkomunikasi dalam bahasa Jepun.
Ditugaskan di Bahagian Teknologi Maklumat (it), Aunee Azrina yang melanjutkan pelajaran di negara matahari terbit selama empat tahun memberitahu, untuk mendalami bahasa ketiga, selain minat, keyakinan diri juga penting.
Ini kerana katanya, jika kedua-dua kriteria tersebut tiada, kita akan mengalami masalah ketika sesi pembelajaran berlangsung.
“Sebenarnya dalam kehidupan harian, apa yang dilakukan adalah kerana minat dan tanpanya segala-galanya tidak akan berjalan dengan lancar.
“Begitu juga apabila hendak mempelajari bahasa ketiga, dengan minat dan keyakinan diri, menjadikan kita lebih fokus dan mudah memahami.
“Pembelajaran bahasa ketiga akan menjadi lebih seronok sekiranya kita mempraktikkan atau menggunakan bahasa tersebut setiap hari dalam komunikasi harian dan sekiranya tidak, apa yang dipelajari akan ‘membazir’ dan sia-sia kerana tanpa latihan kita akan lupa,” katanya dengan lebih lanjut.
Lebih 10 tawaran pengajian dan biasiswa diterima oleh pelajar cemerlang 11A, Muhammad Syahril Saidi setakat ini.
Menurut Muhammad Syahril yang kini berusia 18 tahun, tawaran itu antaranya daripada Petronas, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan kerajaan negeri.
“Beberapa universiti awam termasuk Universiti Malaya juga ada menawarkan saya untuk menyambung pengajian di tempat mereka.
“Tak sangka terlalu banyak tetapi alhamdulillah dan saya belum lagi membuat apa-apa keputusan untuk memilih yang mana,” kata Muhammad Syahril ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kandis.
Pelajar Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Darul Iman, Beris Lalang ini baharu kematian ibu tersayang, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, akibat angin ahmar pada Sabtu lalu, dua hari selepas menerima khabar gembira keputusan SPM.
“Sebelum ini saya berhasrat menyambung pengajian di Maahad Yaakubiah Kampung Nipah, Bachok bagi mendapatkan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan berada lebih dekat untuk menjaga ibu yang sakit.
“Apa-apa pun saya akan berbincang dengan keluarga dan guru selepas ini bagi memilih tawaran yang bersesuaian,” ujarnya.
Dalam pada itu, anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, kejayaan yang diraih berkat pengorbanan arwah ibu, adik-beradik dan ibu bapa saudaranya yang tidak henti-henti mendorongnya supaya menuntut ilmu.
“Mereka yang sepatutnya diraikan. Saya amat berterima kasih kerana merekalah yang membantu menguruskan ibu sepenuhnya ketika saya bersekolah.
“Saya tidak mampu untuk menghadapi semua ini seorang diri dan amat menghargainya,” ujarnya.
Kisah Muhammad Syahril tular selepas meraih kejayaan cemerlang namun tidak dapat ke sekolah untuk mengambil keputusan kerana menjaga ibunya.
Bahkan bakti Muhammad Syahril terhadap syurganya itu terus menarik perhatian umum apabila dia sendiri mengimamkan solat jenazah Allahyarham ibunya.
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sedang hangat dengan drama Cik Ayu Mee Sanggul di kaca televisyen, wajah cantik wanita ini sekali lagi menjadi bualan. Muncul dengan imej berkebaya dan dipadankan dengan sanggul sendeng menyerlahkan kejelitaan Amelia Thripura Henderson.
Bergandingan dengan pelakon Aqasha dan Datuk Rosyam Nor, wanita yang memulakan karier sebagai talent iklan sejak usia 10 bulan ini kelihatan semakin bijak menjiwai watak yang dibawanya.
Khabarnya demi menjayakan watak anak kelahiran Ampang, Selangor ini sebagai Cik Ayu, pelakon yang fasih berbahasa Melayu ini berpeluang menggayakan 40 pasang kebaya. Memang cantik-cantik kebaya yang digayakan oleh wanita yang berusia 26 tahun ini.
Di sebalik dunia lakonan wanita kacukan Sri Lanka-Scotland ini turut aktif mencurah bakti sebagai sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Baru-baru ini pelakon yang mencipta nama menerusi drama Pengantin 100 Hari ini telah berkongsi di laman media sosialnya tentang aktiviti sukarelawan di PPV Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Untung lah siapa yang mendaftar di PPV UKM, dapat jumpa wanita cantik ini.
Wajah Amelia Handerson kelihatan begitu berseri-seri dan cuba mencungkil rahsia cergasnya. “Saya tak mempunyai apa-apa rahsia untuk kekal cergas tetapi saya suka menari. Hampir kebanyakan masa dihabiskan dengan menari.
Tarian membuat saya kekal cergas dan bertenaga. Jika mempunyai masa yang terluang saya akan berenang dan menaiki tangga berbanding mengambil lif.
Saya seperti kanak-kanak yang lain dahulu dihantar oleh ibu bapa untuk belajar ballet. Saya mula menari ballet sejak usia tiga tahun dan mula serius dalam tarian apabila usia menjangkau 13 tahun.
Ketika mula serius menari saya memberanikan diri menyertai The Dancer Society Classical Solo Ballet Competition. Tidak sangka menjadi juara dan saya ditawarkan biasiswa ke Australia.
Dua minggu menimba pengalaman di sana benar-benar menyuntik semangat sementelah saya baru berusia 13 tahun ketika itu,” ujar Amelia yang pernah berlakon di dalam filem tempatan antaranya Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad.
Menurut wanita yang meminati rekaan fesyen dari Rizman Ruzaini, Alia Bastamam, Nurita Harith dan Adila Long ini tarian sukar untuk dipelajari. “Memang sejak kecil saya suka menari dan keluarga tidak pernah memaksa untuk terjun dalam dunia tarian ini.
Sebenarnya tarian sangat sukar untuk dipelajari. Jika menari tanpa minat yang mendalam pasti sukar untuk mengapai tahap tertinggi dalam bidang ini. Peperiksaan untuk lulus dalam tarian juga sukar. Tidak ada istilah belajar untuk lulus dalam tarian ini. Kini saya boleh menguasai tarian ballet, latin, ballroom, tap dan jazz dengan baik.
Tarian banyak mempengaruhi kehidupan seharian saya. Ballet adalah sukan yang sangat mementingkan disiplin. Disiplin yang tinggi ketika mempelajari tarian terutama ballet mengajar saya menjaga masa dan disiplin diri. Malah, ballet menjadikan postur tubuh saya kelihatan lebih cantik.
Selain itu tarian ballet membantu saya kekal aktif dan cergas. Walaupun tarian ini nampak lembut dan berirama namun, kita perlu cekal dan bertenaga untuk melakukannya. Saya akan sentiasa menari sampai bila-bila,” bicara Amelia yang pernah mementaskan persembahan teater muzikal The King and I dan Peter Pan di Istana Budaya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!