
Orang yang menjaga solat dan mempelajari agama sudah pasti mendapat pelindungan Allah SWT. Pendedahan Amira Othman mengenai solat yang tular di media sosial baru-baru ini meraih perhatian warga maya.
Dia yang terkenal dengan peribadi baik dan patuh berpenampilan sopan serta menutup aurat, tidak hairanlah Amira jarang dilanda kontroversi sepanjang pembabitannya dalam industri seni tanah air.
Menerusi temu bual dalam Ruang Cerita di Zayan bersama FBI dan Nana, penyanyi bersuara lunak ini kelihatan sebak tatkala bercerita tentang solat.
Amira Othman Sebak Cerita Tentang Solat

Ujarnya, “Saya ini memang tak baiklah. Saya penuh dengan dosa. Saya adalah seorang pendosa tapi saya berpegang kepada saya kena sembahyang. Saya kalau cerita pasal ni saya sedih. Sedih, saya memang yakin yang sembahyang ni adalah tiang agama.
Jahatlah macam mana pun kena sembahyang. Jadi saya rasa alhamdulillah sembahyang ni memang benda saya terapkan dari sekolah lagi. Tidaklah saya cakap saya ni bagus, saya sembahyang kerana memang kita kena solatlah. Benda paling basic kita kena buat.
Tapi solat ni banyak menyelamatkan sayalah saya rasa dan alhamdulillah mak ayah banyak pantau saya sebenarnya. Memang pantau saya walau jauh. Kata mereka benda-benda tak berapa sesuai, tak payah upload, jangan pakai macam ni, jangan cakap macam ni.”

Tambah pemilik nama Nadia Amira Othman ini lagi, “Saya sedih tadi tu sebab saya rasa kita adalah manusia biasa yang sentiasa buat salah. Saya percaya perjalanan orang tu lain-lain. Kalau saya duduk berkumpul dengan kawan-kawan, saya cakap sembahyanglah. Walaupun liat, solat.”
Amira Othman Dilantik Duta Jakel Raya Ini
Nama Amira Othman kian melonjak naik selepas dia dilantik sebagai salah seorang duta jenama pakaian terkenal, Jakel sempena Hari Raya tahun ini.

Meniti usia 32 tahun, wanita kelahiran Johor ini merupakan seorang penyanyi, pengacara dan pelakon. Dia mula membabitkan diri sebagai penyanyi sejak menyertai Akademi Fantasia musim ke-10 pada tahun 2013 dan memenangi tempat ketiga.
Amira Othman pernah membintangi drama popular Abang Bomba I Love You dan turut mempunyai enam adik-beradik. Dia ialah kakak kepada dua penyanyi muda iaitu Irfan Haris dan Haikal Iskandar.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Manis Berhijab, Penampilan Khas NASHA AZIZ Di Pentas Fesyen Muslimah Curi Tumpuan

Siapa pun tak dapat menafikan kejelitaan yang dimiliki oleh supermodel dan dramatis terkenal, Nasha Aziz. Setiap kali muncul di pentas fesyen pasti akan menjadi tumpuan lensa.

Baru-baru ini ketika memperagakan busana Muslimah di pertunjukan fesyen jenama Muslimah tempatan, Munawwareen di sebuah hotel terkemuka, Nasha tampil anggun berhijab sambil menggayakan rekaan jubah khas rona hijau zamrud bertatahkan jemeki.
Selebriti popular yang kini berusia 51 tahun itu terpilih untuk membuat penampilan khas sempena pelancaran koleksi terbaharu jenama tersebut bertemakan ‘Sempurnakan Hijrah Cinta’.
“Saya bersyukur dengan rezeki yang ALLAH SWT bagi dan berterima kepada pihak Munawwareen terutamanya Datin Hajah Aliza kerana memberi kepercayaan kepada saya.
“Saya hanya melakukan tugas dengan sehabis baik apabila diberikan tanggungjawab. Apa sahaja rezeki yang datang, saya terima.
“Bagi saya, dalam apa sahaja yang kita lakukan, buatlah sepenuh hati. Hargailah setiap momen, kreativiti, keindahan dan usaha masing-masing.
“Saya percaya rezeki tidak pernah salah alamat. Walaupun dijemput dalam masa satu minggu, saya bersyukur dapat bersama pasukan yang hebat ini,” ujar bintang filem Talbis Iblis ini.
Pada acara yang dihadiri 300 tetamu itu, kira-kira 21 rekaan dengan jumlah 36 busana diperagakan. Ia merangkumi segmen Hawa 1 (koleksi telekung), Hawa 2 (koleksi jubah dan abaya), Rijal (jubah dan kurta lelaki) dan Hawa 3 (koleksi jubah dan dres eksklusif).
Kesemua rekaan bakal dilancarkan bermula Oktober 2022 sehingga Mac 2023 secara berperingkat.
Rekaan patuh Syariah, jenama ini direka dengan potongan Ionggar serta pemilihan fabrik yang tidak menampakkan bentuk badan.
“Munawwareen mahu dikenali dengan identiti fesyen Islamik yang berusaha mengikuti landasan Syariah. Sekarang kita dapat lihat lebih ramai wanita bijak berfesyen meskipun menutup aurat dengan sempuma,” kongsi Pengasas dan Pengarah Urusan Munawwareen Holdings Sdn Bhd, Datin Aliza Abu Bakar.
Munawwareen turut melancarkan lagu rasminya berjudul Munawwareen mewakili jenamanya ciptaan Hafiz Hamidun. Ia dinyanyikan oleh Ernie Zakri.

Turut menyerikan acara ialah persembahan daripada Tomok dan Syamel, selain kehadiran beberapa selebriti popular tanah air antaranya Hawa Rizwana dan Rozita Che Wan.
Kredit Foto: Instagram Munawwareen
Sumber: Sinarplus
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Selepas THAKSIN & YINGLUCK SHINAWATRA, Kini Giliran Anak Thaksin, PAETONGTARN Ceburi Bidang Politik

Anak bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra iaitu Paetongtarn Shinawatra muncul sebagai calon dalam pilihan raya akan datang, mempertaruhkan bahawa nostalgia boleh memenangi berjuta-juta undi dari golongan kelas pekerja.

Paetongtarn, 36, sedang berkempen bersungguh-sungguh di kubu luar bandar yang kaya dengan undian dari kumpulan besar politik Pheu Thai keluarga Shinawatra, dengan harapan dapat menghidupkan semula semangat yang membawa bapa Thaksin dan ibu saudaranya, Yingluck berkuasa.

Paetongtarn menjanjikan Pheu Thai akan menyelesaikan urusan yang belum selesai dalam tempoh memegang jawatan sejak 2001, yang kesemuanya telah dipendekkan oleh keputusan mahkamah dan rampasan kuasa tentera yang dikatakan didalangi oleh pertubuhan konservatif Thailand.

“Kami berjaya memperbaiki segala-galanya pada tahun pertama tetapi kemudian empat tahun kemudian kami digulingkan oleh rampasan kuasa, jadi ada perkara yang belum kami capai,” kata Paetongtarn kepada Reuters dalam wawancara rasmi pertamanya dengan media asing menjelang pilihan raya, dijangka dalam bulan Mei.

“Jadi kami pergi ke setiap peringkat untuk memberitahu orang ramai bagaimana dasar kami boleh mengubah kehidupan mereka. Dan hanya melalui politik yang stabil boleh hidup orang ramai berubah dengan cara yang mampan,” katanya.

Thaksin dan Yingluck telah digulingkan oleh tentera masing-masing pada 2006 dan 2014, walaupun mengawasi pertumbuhan ekonomi yang besar. Kedua-duanya tinggal dalam buangan untuk mengelakkan sabitan penjara yang dikatakan sekutu mereka direka untuk menghalang kebangkitan politik mereka.
Mandat telah diserahkan kepada Paetongtarn, anak bongsu Thaksin, yang menggunakan manifesto sama dalam menawarkan kenaikan gaji minimum, subsidi utiliti dan infrastruktur kereta api berkelajuan tinggi yang telah lama dijanjikan untuk menguruskan banjir dan kemarau.
Slogan Pheu Thai ialah “Think Big, Act Smart”, menyasarkan pembaharuan berperingkat oleh kerajaan Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha yang disokong tentera sejak beliau merampas kuasa pada 2014.
“Gambaran itu mestilah besar dan kita mesti dapat menangani masalah berpanjangan yang berlarutan. Ini mesti ditangani sepenuhnya,” kata Paetongtarn.

Walaupun belum dinamakan sebagai calon perdana menteri Pheu Thai, Paetongtarn berada jauh di hadapan dalam tinjauan pendapat untuk perdana menteri, dengan dua kali sokongan berbanding Prayuth.
Paetongtarn menguruskan cawangan hotel syarikat hartanah keluarganya juga sudah memulakan kempen pilihan raya dengan menjelaskan Thailand tentunya akan bertambah baik di bawah pemerintahannya, dan beliau akan mengikuti corak kepimpinan bapanya yang sentiasa membantu rakyat. Paetongtarn Shinawatra memiliki setengah juta pengikut di Instagram, menjalani gaya hidup glamor dan menggambarkan dirinya sebagai ‘puteri bongsu’ Thaksin.

Untuk rekod, Thaksin, 72 tahun, digulingkan dalam satu rampasan kuasa pada 2006 dan sejak itu tinggal dalam buangan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), untuk mengelak tuduhan rasuah.
Walaupun kini sedang sarat hamil lapan bulan, ia bukanlah halangan ibu kepada seorang cahayamata ini untuk bergerak aktif dalam politik.

“Tetapi saya ok,” katanya. “Ini adalah kehamilan kedua saya. Saya sedar keadaan diri saya.” Di sebalik populariti pilihan raya mereka, Shinawatra dibenci di Thailand.

Mereka telah lama dituduh oleh penentang kronisme dengan dakwaan mengayakan rakan perniagaan dan membeli orang miskin dengan dasar populis yang membazir. Shinawatra menafikan tuduhan itu.
Pilihan raya Thailand bakal menjadi satu lagi perlawanan dendam antara golongan elit yang berperang dalam ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu. Paetongtarn berkata beliau tetap bimbang tentang impak perebutan kuasa negara yang sukar dikawal membabitkan keluarganya, termasuk rampasan kuasa, yang katanya menjadikan Thailand “mundur”.

“Ia juga membuatkan dunia melihat negara kita dalam sudut berbeza. Mereka tidak mahu berdagang dengan kami. Ia mengurangkan peluang untuk semua orang,” katanya.
“Negara kita telah ‘dibekukan’ sekian lama. Jadi rampasan kuasa tidak sepatutnya berlaku lagi. Negara mesti maju dan rakyat berhak mendapat rezeki yang lebih baik.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berkat Jaga Hubungan Dengan Allah, Ibu Bapa – Waktu Gawat Pun Pengasas IDW Design & Build Murah Rezeki, Sedekah No. 1!

Pertama kali menjenguk ke bangunan pejabat dua tingkat milik IDW Design & Build Sdn Bhd di Shah Alam, timbul satu perasaan mengujakan. Berselindung di sebalik perumahan elit, pejabat moden IDr Lokman Hakim Ahmad Subki dan IDr Rabiatul Adawiyah Rasol ini memukau pandangan tetamu yang bertandang.
Rasa bangga dan kagum bersatu, pencapaian luar biasa pasangan anak muda Melayu itu benar-benar mengangkat prestij dunia rekaan hiasan dalaman ke peringkat tertinggi!
Damai petang diselang-seli rasa dingin penyaman udara menemani bicara saya bersama Pengasas dan Pengarah Urusan IDW, Lokman Hakim. Orangnya mesra dan menyenangkan, begitulah keperibadian beliau sepanjang sesi fotografi berlangsung.
Berusia 36 tahun, lelaki asal Kuala Lumpur itu tampak cukup profesional memimpin barisan pengurusan, sementara isteri, Rabiatul Adawiyah pula sangat mahir dalam menguruskan operasi syarikat.

“Semuanya bermula ketika kami berusia 21 tahun. Kami berdua menubuhkan syarikat pembinaan dan reka bentuk dalaman IDW Design & Build Sdn Bhd pada tahun 2007, setepatnya selepas menamatkan pengajian dalam Diploma Reka Bentuk Dalaman di UiTM Shah Alam.” Lokman Hakim
Lebih dari sekadar teman hidup, Lokman dan Rabiatul juga merupakan rakan kongsi yang sama-sama memerah idea dan keringat membangunkan IDW.
“Alhamdulillah dengan izin Allah, kami mampu berkembang pesat sewaktu pandemik. Bangunan kedai ini dibeli pada April 2020 dan kami mula berpindah pada tahun 2021.
Daripada berbelas-belas orang pekerja, sekarang dah meningkat jadi 60 orang. Asbab pandemik, revenue meningkat dan syarikat membesar tiga kali ganda.
Namun mengendalikan bisnes pada waktu itu memang mencabar. Mujurlah kami dah buat persiapan mental menghadapi kemelesetan sejak tahun 2018-2019, cuma saja kita tak tahu apa bentuknya. Tiba-tiba, wabak COVID-19 menular.” Rabiatul

Tambah pasangan ini lagi, bayangkan setiap hari mereka adakan mesyuarat Zoom semasa PKP berkuat kuasa.
“Kami berbincang sesama team, pendek kata waktu ni semua orang ikhtiar buat sales.
Masing-masing akan hubungi klien dan berinteraksi dengan prospek pelanggan yang bertanya soalan di media sosial. Kami juga aktif di Instagram dan banyak adakan sesi Live dengan selebriti.
Masa itu juga kami terbitkan sebuah buku kompilasi – IDW Design Collections – yang mengumpul lebih 200 rekaan dalaman dan dekorasi untuk inspirasi pembaca.
Banyak karya IDW dari projek terdahulu yang boleh dimuat turun, sekaligus memudahkan mereka yang ingin menghias rumah untuk berurusan dengan kontraktor.” Lokman Hakim
Tonton video temu bual eksklusif Majalah Nona bersama penerima anugerah Nona Best Interior Designer ini…
FOKUS
Tambah Lokman, beliau banyak membuat forensik terhadap kejayaan syarikat-syarikat gergasi yang berjaya melalui saat sukar recession.
Segala fokus dan tenaga ditumpukan ke arah cara untuk memajukan lagi perniagaan serta tidak panik dengan ujian yang diturunkan-Nya.
“Dalam keadaan gawat, kes COVID-19 meningkat dan seluruh ekonomi lumpuh, rutin harian kami boleh dikatakan sangat padat. Setiap hari kami bangun jam 4 pagi, baca Yassin dan buat sesi ‘morning booster’ dengan mentor.
Kami senaraikan rancangan 5, 10 dan 15 tahun akan datang supaya tetap fokus dan tidak tergugat dengan krisis kesihatan yang meruncing waktu tu.
Saya sentiasa pegang satu pesanan. Sebagai orang Islam, jagalah hubungan kita dengan tiga perkara, iaitu dengan Allah SWT, ibu bapa dan orang sekeliling.

Lagi ‘kuat kabel’ kita dengan mereka, lagi banyak rezeki Allah bagi dalam bentuk yang tak disangka-sangka.
Saya juga banyak belajar supaya memaafkan. Jangan menghukum walaupun teraniaya. Sebenarnya lagi cepat kita maafkan orang, lagi cepat Allah akan tolong kita.” Lokman Hakim
Sebagai anak bongsu, Lokman diasuh dari kecil supaya banyak bersabar, mengamalkan slow talk dan sentiasa berurusan secara bijak dalam pelbagai perkara.
Sifat dan tingkah laku lelaki hebat ini diakui sendiri oleh Rabiatul yang sedari sejak awal lagi menjadi pendengar setia.


“Sebenarnya ada banyak ciri-ciri kepimpinan dalam diri Lokman. Tapi sebagai isteri, saya yakin rahsia kejayaan kami terletak pada diri dia sendiri yang sangat taat pada ibu bapa.
Keberkatan dan keuntungan daripada sifat taat itu terlihat apabila banyak rancangan kami menjadi. Selain itu, dia juga seorang yang sangat persistent. Apa yang dia nak, dia akan dapatkan.
Sebagai pasangan, Lokman adalah seorang bapa dan suami yang sangat penyayang. Bagi saya, dia di pejabat adalah ketua, di luar sebagai kawan dan di rumah sebagai suami.”
Ceritanya lagi, perkhidmatan IDW tidak terhad sekadar mereka hias kediaman semata-mata, tapi meliputi projek resort, pejabat dan institusi pengajian.
Saya dan Lokman sentiasa menanam collaborative mindset. Kami sama-sama buang ego ketika bekerja. Dalam mesyuarat, kami adalah rakan sepasukan yang profesional dan jika berlaku masalah, kami adakan brainstorming untuk memikirkan jalan penyelesaian. Bukan sebaliknya. Cara berkomunikasi tu sangat penting bagi mencapai tujuan utama.”
Tak terbawa-bawa urusan kerja ke rumah? Tanya penulis... “Bukan di rumah je, ke mana-mana pun tetap terbawa-bawa!” seloroh Rabiatul dan Lokman yang sama-sama meminati dunia rekaan.

BERI MANFAAT
Meninjau dekorasi kamar pejabat Lokman dan Rabiatul, setiap satunya mencetus sensasi nyaman yang berbeza.
Suasana yang out of the ordinary, berbau harum dan terhias indah bagai membias personaliti kreatif mereka. Gantungan lukisan, lampu gantung dan permaidani abstrak memancing pandangan dengan penuh keasyikan.
Kala diamati, jiwa Pengarah Urusan IDW ini nyata mewah dengan seni. Sambung Lokman, “Asalnya sejak kecil lagi saya teringin nak jadi juruterbang. Tapi atas faktor kewangan dan latar belakang keluarga saya yang susah, minat itu terkubur saja.
Pernah juga saya ditawarkan jawatan sebagai tentera udara, tapi ibu pula tak izinkan.
Jadi saya beralih ke bidang interior design. Minat terhadap seni dekorasi mula menebal sejak saya mengambil Diploma, bertemu isteri, menubuhkan syarikat, berumah tangga, beranak-pinak dan kini kami berdua masih melanjutkan pengajian.
Dah 20 tahun, tapi minat terhadap seni halus ini tak pernah padam,” cerita Lokman yang sedang bertungkus-lumus menghabiskan pengajian PhD in Built Environment dan pernah bergelar pensyarah.
Banyak pencapaian hebat IDW Design & Build sepanjang 14 tahun ditubuhkan. Namun seperti peribahasa, yang bulat tidak datang bergolek, begitu jugalah banyaknya usaha serta ujian yang ditempuhi untuk mencapai kejayaan hari ini.

Pengalaman jatuh bangun syarikat mendewasakan mereka berdua, namun akhirnya dengan bantuan mentor yang tepat, perniagaan mereka kembali ‘memecut’ di atas landasan.
Bercakap tentang tokoh perniagaan yang disegani, Lokman bingkas memetik dua nama insan yang cukup dikaguminya. “Sudah tentu Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary dan Datuk Wira Dr Azizan Osman. Kedua-dua insan ini adalah pemimpin yang mementingkan dunia-akhirat serta banyak melakukan amal kebajikan.
Saya suka mengambil teladan dan inspirasi daripada buku-buku bibliografi mereka berdua. Sambil membaca sambil belajar cara berniaga. Teringat satu kisah tentang bagaimana Tan Sri Syed Mokhtar sangat dihormati di kampungnya.
Bayangkan kalau beliau balik kampung, kepulangan itu dianggap macam ‘lailatulqadar’ dek kerana sifat pemurah yang dimiliki! Atap yang bocor dibaiki, lantai yang roboh diganti. Begitulah sifat usahawan Melayu berjaya yang cukup saya kagumi.”

Terkadang, suatu amalan kebaikan perlu disembunyikan dari pengetahuan orang. Ibarat datang, beri dan pulang. Tak perlu kamera atau pujian berjela.
Terkesima penulis mendengar sifat dermawan yang dimiliki Lokman, sungguh pada usia semuda ini, beliau tekun menyemai ladang pahala di akhirat sana!
“Sebenarnya saya amat jarang berkongsi hal ini. Urusan sedekah bukan untuk dizahirkan, apa lagi dijadikan modal marketing. Namun sebagai tanda IDW memberi semula kepada masyarakat, kami kerap juga menyalurkan bantuan kepada masjid-masjid dan surau di serata negeri.
Tapi saya paling suka membiaya pengajian anak-anak yang memerlukan, supaya ilmu itu berpanjangan sampai ke generasi akan datang.”
IMPIAN
Tekad untuk menjadikan IDW Design & Build sebagai satu-satunya syarikat bumiputera di Malaysia yang menjadi pilihan pelanggan, Lokman dan Rabiatul gigih membuktikan keupayaan mereka setiap kali menguruskan projek.
“Tak dinafikan wujudnya stigma negatif dari dulu lagi. Sewaktu kami mula-mula bisnes, ramai yang memperlekehkan kerja orang Melayu yang dikatakan tak setanding bangsa lain.
Inilah yang kami cuba ubah dalam industri, dapatkan semula kepercayaan bahawa hasil kerja Bumiputera juga sebenarnya sangat bagus dan berkualiti tinggi.”
Jadi klien kena sediakan bajet kayangan? Usik penulis disambut senyuman Rabiatul. “Tak juga. Sebenarnya IDW dipecahkan kepada dua – craftmanship level atau yang disebut BESPOKE, dan satu lagi DREAMHOME iaitu sentuhan pereka hiasan dalaman untuk semua jenis rumah.
Kami gunakan prinsip syarikat penapis air Coway iaitu mampu milik untuk semua orang. Semua mampu upah IDW untuk mengindahkan kediaman masing-masing.” Rabiatul Adawiyah

Menjadikan hobi melancong sebagai cara mengeratkan hubungan, pasangan merpati dua sejoli yang berumah tangga sejak 2012 ini kerap menghabiskan masa setiap hujung minggu untuk berjalan ke merata tempat. Terbaharu, mereka mengambil peluang terbang ke Dubai untuk meninjau kepesatan dunia rekaan dan dekorasi di Timur Tengah.
“Ya, sebagai designer kami berdua mesti selalu mengambil tahu perkembangan seni dunia. Inspirasi dari tempat-tempat yang dilawati menjadi karya terindah di IDW.
Kesempatan ini juga dapat membuka fikiran kami sambil berehat seketika dari kesibukan kerja.” Lokman Hakim
Sebagai penerima Nona Best Interior Designer Award dan Nona Best Men’s Innovative Interior Designer Award dalam acara Nona Superhero Award, pengiktirafan yang diberikan kepada Lokman Hakim dilihat amat tepat pada masanya.

Seorang lelaki berwawasan tinggi dan berada di kemuncak kerjaya, figura bapa kepada tiga cahaya mata ini amat sesuai mewakili generasi lelaki Alpha yang bijak, cekal, berjiwa pemimpin dan pandai mengimbangi kehidupan secara holistik.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Norezz Idris
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


