Ah, kesesakan lalu lintas! Setiap hari, itulah keluhan warga kota yang sering terperangkap dalam situasi ini. Terpaksa membazirkan masa di dalam kenderaan sememangnya amat meletihkan.
Tiba di destinasi, ramai yang sudah tidak sanggup untuk bersenam sebaliknya lebih rela berehat untuk menenangkan fikiran. Nah jika masa menjadi halangan, mengapa tidak gunakan masa memandu itu dengan sebaik mungkin?
Faktor kesempitan masa sering menjadi alasan untuk tidak bersenam. Katanya, tidak ada waktu yang ideal untuk ke gimnasium, berjoging dan bersukan.
Sekadar mengisi masa sampingan, ayuh ikuti trik senaman kreatif di bawah bagi mencipta pergerakan sihat di dalam kenderaan. Namun sematkan di minda bahawa senaman sambil memandu perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi memastikan keselamatan anda dan orang lain.
Selain pemandu, ia juga sesuai untuk penumpang atau pengguna perkhidmatan kenderaan awam seperti bas, komuter atau teksi.
Side Twist
Senaman ini boleh dipraktikkan di tempat duduk. Ia memfokuskan kepada otot teras (core) dan boleh membantu untuk memejalkan abdomen.
- Mulakan dengan posisi duduk tegak dengan bahagian abdomen ditegangkan. Muka memandang tepat ke depan.
- Dengan perlahan, putarkan bahagian atas badan ke sisi kiri, kemudian ulangi ke sisi kanan. Lakukan gerakan ini sambil memastikan muka tetap memandang ke depan.
- Ulangi gerakan yang sama untuk beberapa kali. Senaman side twist tidak memberikan kesan six-pack yang sempurna tetapi ia dapat membantu untuk membentuk dan memejalkan bahagian teras otot anda.
Calf Raises
Senaman ini sesuai dilakukan sewaktu kenderaan sedang berhenti atau semasa menunggu di lampu isyarat. Ia boleh menguatkan otot kaki semasa duduk.
- Mulakan dengan posisi duduk bersandar. Pastikan kedudukan kedua belah kaki separas bahu anda.
- Angkat kaki kanan dengan perlahan sambil ‘menegangkan’ otot di bahagian betis. Kemudian turunkan kaki dan selang-seli dengan betis kiri.
- Lakukan mengikut kesesuaian dan secara berperingkat. Ia juga boleh dilakukan secara isometrik (statik) dengan mengangkat betis dan tahan selama 30 saat.
Grip Squeeze
Senaman ini tidak memerlukan banyak pergerakan fizikal. Anda hanya perlu mendapatkan hand grip iaitu sejenis alat senaman yang berguna untuk menguatkan bahagian lengan.
- Dapatkan alatan hand grip dari kedai sukan. Pilih yang paling selesa untuk diri anda.
- Genggam kuat hand grip dengan tangan kanan sebanyak 10 kali, kemudian tukar dengan tangan kiri. Pastikan anda melakukan jumlah ulangan yang sama untuk setiap tangan.
- Senaman ini amat mudah dilakukan di dalam kereta. Ia juga dapat membantu mengurangkan tekanan akibat keadaan jalan raya yang sesak.
Berbasikal Atau Berjalan Ke Pejabat
Buat yang tinggal berhampiran dengan tempat kerja, mungkin boleh mempertimbangkan pilihan untuk berjalan kaki atau berbasikal sahaja. Perjalanan sejauh lima batu mengambil masa sekitar 30 minit dengan basikal, menyamai senaman aerobik selama sejam.
Berjalan kaki juga merupakan idea yang baik namun kebanyakan orang tinggal agak jauh dari pejabat. Bagi anda yang tidak berpeluang berbasikal atau berjalan kaki, anda boleh melakukan brisk walk sewaktu rehat makan tengah hari untuk menyingkirkan kalori. Norzalina Mohd Alias