Simbol wang tidak boleh membeli kebahagiaan. Perbalahan mengenai wang ringgit, pernah meruntuhkan banyak perkahwinan. Hakikatnya pasangan yang bertengkar kerana isu ini adalah dua kali lebih ramai berbanding bertengkar kerana seks. Malah, tinjauan yang dilakukan banyak menunjukkan betapa pengaruh wang dalam perhubungan banyak mendatangkan situasi dalam sesebuah perkahwinan. Tidak dinafikan wang bukan sekadar menguji kesabaran, malah kesetiaan dan mencerminkan sikap pasangan anda yang sebenar. Tahukan anda 6 perkara berkaitan wang yang boleh menganggu gugat kebahagiaan?

IKLAN
  1. MILIK AKU, KAU, KITA

Kadangkala apabila masing-masing bekerja, banyak pasangan sanggup berkompromi dan sepakat untuk memisahkan bayaran bil yang ditanggung. Apabila bil-bil penting sudah dibayar, mereka boleh membelanjakan baki gaji yang tinggal untuk diri sendiri. Ini mungkin kedengaran seperti rancangan yang adil, tapi lama-kelamaan, pembelian yang tidak penting atau dianggap membazir oleh pasangan anda boleh menimbulkan rasa geram.

SARANAN: Komunikasi adalah kunci untuk mengatasi cabaran kewangan anda. Tidak salah dengan idea untuk mengasingkan bil, asalkan baki wang yang tinggal digunakan bersama. Pastikan apa sahaja yang dibeli, dibincangkan terlebih dulu. Hatta jika membeli sebiji kerongsang pun, minta ‘izin’ pasangan walaupun ia wang anda.

  1. HUTANG

Bermula dari bangku kolej ke pinjaman kereta dan kad kredit, anda sebenarnya telah melangkah ke alam perkahwinan dengan beban hutang-piutang di bahu. Jika salah satu pasangan memikul lebih banyak beban hutang, dan seorang lagi bebas hutang, pasti timbul perbalahan mengenai agihan pendapatan dan perbelanjaan lain.

SARANAN: Sebelum isu ini menjadi barah, bagaimana jika anda berdua membuat perjanjian? Senaraikan segala hutang-piutang dan berapa komitmen yang perlu dibayar. Pakar mencadangkan perjanjian ‘prenuptial’, suatu kontrak (terma & syarat) yang menggariskan tanggungjawab setiap pasangan dan hak ke atas harta benda sepanjang tempoh perkahwinan.

Suami Isteri Perlu Elak 6 Isu Wang Ini Agar Hubungan Terus Subur

  1. PERSONALITI

Faktor personaliti memainkan peranan besar apabila pasangan berbincang tentang wang. Walaupun anda suami isteri bebas hutang, tetapi perbezaan usia akan mewujudkan jurang, siapa yang sering menyimpan dan siapa yang sering berbelanja. Kebiasaannya pasangan yang lebih berusia akan berfikiran jauh dan berjimat-cermat berbanding pasangan muda yang baru berkahwin.

SARANAN: Sebaiknya, kenal pasti dahulu perwatakan pasangan dan berterus-terang juga tentang personaliti anda. Anda mungkin seorang yang shopaholic atau suka menggunakan kad kredit. Sekurang-kurangnya pasangan dapat meneka apa yang bakal berlaku dalam perkahwinan anda kelak.

IKLAN
  1. KUASA MEMBELI

Akan wujud rasa mengidam, seterusnya hasrat untuk membeli sesuatu tapi dihalang oleh pasangan yang bekerja. Ini berlaku apabila ada suami atau isteri yang tidak bekerja dan duduk di rumah. Biasanya siapa yang keluar bekerja akan terdorong untuk menguasai corak perbelanjaan keluarga sehingga mengetepikan keperluan pasangan yang tidak bekerja, tanpa disedarinya.

SARANAN: Jika anda yang menjadi punca pendapatan keluarga, jadilah seorang yang sensitif apabila membuat keputusan berkaitan wang. Jika anda yang tidak bekerja dan hanya mengharapkan wang daripada pasangan, bersedialah menghadapi tekanan dan stres wang dengan bijak. Ketahuilah bahawa masing-masing sedang mencuba yang terbaik untuk kebahagiaan keluarga anda.

  1. ANAK

Memiliki zuriat sememangnya impian setiap pasangan berkahwin. Namun kos sara hidup dan lain-lain perbelanjaan untuk seorang anak kian meningkat. Makanan, pakaian, perlindungan, nurseri, kelas kemahiran, permainan serta banyak lagi belanja lain yang menuntut pengorbanan ibu bapa. Akhirnya, pertengkaran lazim berlaku apabila ada yang tidak cukup di sana sini.

IKLAN

SARANAN: Berusaha untuk meningkatkan sumber kewangan tanpa meningkatkan perbelanjaan. Didik anak anda tentang wang semasa mereka masih kecil. Ini dapat mengurangkan beban wang yang lebih tinggi apabila mereka membesar. Asuh mereka untuk menabung, jaga barang permainan dengan baik dan cara berbelanja dengan tepat.

  1. KELUARGA BESAR

Ibu mertua mahu membesarkan rumah. Ayah mertua pula mahu sumbangan bayaran muka untuk pembelian kereta baharu. Adik-adik pula minta bantuan sebagai penjamin. Abang ipar baru saja kehilangan kerja dan minta bantuan anda membantu mereka. Nah, sedikit sebanyak bebanan bantuan kewangan seperti ini boleh menjejaskan kerukunan rumah tangga. Biasanya apabila sebelah pihak sahaja asyik memberi tanpa pengetahuan pasangan masing-masing, salah faham pasti akan berlaku. Anda pasti tidak mahu bertelingkah dengan pasangan anda semata-mata kerana anda menghulurkan bantuan untuk keluarga bukan?

SARANAN: Tinggal sebumbung dengan pasangan yang sentiasa marah, kecewa atau jauh hati kerana tindak-tanduk keluarga besar anda memang amat menyakitkan. Pastikan anda berdua telah bersetuju terlebih dahulu jika berlaku hal sebegini. Tetapkan had, berapa jumlah wang yang mampu diberi jika berlaku hal-hal kecemasan. Jangan sesekali melanggar perjanjian ini.ROSMAHIDAYUABUSAMAH

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI