“Jika Hendak Berjaya, Selalu Ingat Asal Usul & Jangan Besar Kepala,” DATIN DR LEEZ

“Jika Hendak Berjaya, Selalu Ingat Asal Usul & Jangan Besar Kepala,” DATIN DR LEEZ

Aura usahawan ternyata terzahir pada gerak bahasa tubuh yang ditunjukkan oleh Datin Dr Hasnorliza Abu Hassan tatkala memperkenalkan dirinya ketika penulis diundang ke kediamannya untuk sesi fotografi baru-baru ini. Mana tidaknya, pengasas ADLA (Penasihat, Pembangunan, Pembelajaran dan Pencapaian) Group Sdn Bhd sebenarnya seorang wanita yang sangat serba boleh.

Siapa sangka, beliau bukan sahaja bergelar usahawan, malah memegang peranan sebagai pengarang, penceramah serta mentor  dalam membimbing ramai usahawan untuk berjaya dalam bidang yang diceburi. Malah, ilmu usahawan sememangnya sentiasa dekat di hatinya. Malah, beliau sentiasa bersemangat tatkala diminta berbicara mengenai perkongsian ilmu.

Tambah Datin Dr. Hasnorliza Abu Hassan atau lebih mesra di sapa sebagai Dr Leez, antara pendorong utama kejayaannya hari ini adalah melalui pesanan bapa tersayang,Allahyarham Tan Sri Abu Hassan Omar yang sentiasa menjadi azimat untuk dirinya berjaya dalam apa jua yang diceburi.

“Jika hendak berjaya, selalu ingat asal usul dan jangan besar kepala. Tuhan memberi kenikmatan berserta ujian, jadi selalu bersyukur dan berkongsi dengan orang lain serta jangan lupa pada Sang Pencipta,” ia merupakan pesanan yang tidak pernah saya tinggalkan dari dulu hingga kini. Setiap pesanan beliau memberi inspirasi untuk saya melangkah lebih jauh bukan sahaja dalam kerjaya, malah sapa aplikasi ia dalam kehidupan berkeluarga,” ujar Dr Leez yang ramah.

Anak kedua daripada lima beradik ini merupakan puteri kepada bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abu Hassan Omar dan Puan Seri Wan Noor Daud. Mempunyai keperibadian yang kaya dengan sikap terbuka dalam berkongsi ilmu, wanita  ini mahu berkongsi ilmu bagi meningkatkan keyakinan diri bukan sahaja melalui pendekatan keseimbangan kehidupan, malah ia merangkumi apa sahaja yang diminati.

Di atas inisiatif tersebut, Datin Leez menubuhkan ADLA pada 2016. ADLA merupakan satu-satunya institusi latihan di negara ini yang berkaitan dengan keseimbangan pekerjaan dan kehidupan.

“ADLA Group Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan latihan pengkhususan prinsip perniagaan seperti pengurusan modal insan, perkhidmatan pelanggan, operasi perniagaan, pengurusan am perniagaan dan perkembangan usahawan di mana usahawan dibentuk dengan didikan dan pengalaman khusus sesuai dengan keperluan bidang perniagaan pilihan mereka,” ujar Datin Leez yang mewujudkan ADLA dikukuhkan dengan lima prinsip utama iaitu keimanan, keluarga, kewangan dan bisnes, serta komuniti dan teman-teman.

Melihat penampilan Datin Leez yang bijak bergaya tatkala menghadiri majlis rasmi mahupun ke pejabat, penulis sempat melihat koleksi pakaian yang dimilikinya tersusun kemas di dalam ruangan khas di kediamannya yang terletak di pinggir ibukota.

Menurut Datin Leez, dia sememangnya gemar berfesyen serta menggayakannya mengikut situasi dan majlis yang bakal dihadirinya. Tambahnya lagi, kerjaya sebagai pengasas ADLA serta Naib Presiden 1 PENIAGAWATI memberi ruang untuk dirinya bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat.

“Dalam berfesyen, saya gemarkan rekaan yang klasik dan everlasting. Sebagai contoh, jaket adalah salah satu must have di dalam koleksi pakaian wanita kerana ia mudah untuk disuai padankan untuk acara rasmi mahupun santai.  Selain itu, saya gemar menggayakan pakaian baju kebangsaan seperti baju kurung untuk menghadiri mesyuarat ataupun majlis-majlis penting. Saya mengutamakan keselesaan dalam bergaya kerana ia lebih penting untuk menambahkan keyakinan diri.

Memegang jawatan sebagai Naib Presiden 1 PENIAGAWATI membolehkan saya membantu pereka fesyen terkemuka mahupun pereka fesyen yang baharu berjinak-jinak dalam bidang yang mempunyai potensi ini mengembangkan bakat ke peringkat antarabangsa. Malah baru-baru ini, PENIAGAWATI membawa pereka fesyen dan usahawan Malaysia ke New York untuk misi Malaysia Fashion and Business Mission New York 2018 bersempena New York Fashion Week. Ia merupakan pendedahan terbaik untuk Malaysia memasarkan jenama fesyen di mata dunia,” ujar Datin Leez lagi.

Memiliki lebih 20 tahun pengalaman dalam perkembangan pembangunan dan keusahawanan, Dr. Leez sendiri merupakan contoh usahawan berjaya dan memiliki cabang perniagaan lain, seperti dobi dan fesyen. Walau komitmen sebagai seorang isteri dan ibu kepada keluarganya menjadi fokus utama hidup Yang Berbahagia Datin Dr. Hasnorliza Abu Hassan atau dengan nama komersialnya, Datin Dr Leez Hassan, itu tidak menghalang beliau berusaha menempah kejayaan di dalam bidang keusahawanan, ternyata minatnya dari zaman persekolahan lagi.

 

 

Sebati Dengan Dunia Kebajikan, TENGKU ZATASHAH Turun Padang Bersihkan Pantai & Agih Bantuan Makanan!

Sebati Dengan Dunia Kebajikan, TENGKU ZATASHAH Turun Padang Bersihkan Pantai & Agih Bantuan Makanan!

Selepas menjayakan Kempen Kebaikan Nasional yang mengetengahkan isu buli di kalangan pelajar sekolah, Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi mencetuskan inspirasi kepada masyarakat khususnya rakyat Selangor apabila kembali aktif melakukan pelbagai aktiviti kebajikan. Terbaru, Puteri Diraja Selangor berjiwa prihatin ini terlibat menjayakan projek Zero Food Wastage dengan kerjasama AEON dan kempen Selangor Beaches Cleanup pada September lalu sempena International Coastal Cleanup.

Menyalurkan bantuan makanan ‘AEON Community Food Share’ di Cheras pada 12 September lepas, YAM Tengku Zatashah meluahkan rasa gembira kerana akhirnya impian beliau untuk membantu golongan memerlukan mendapat makanan disambut baik pelbagai pihak. “Usaha menghubungi Aeon Malaysia tidak lama dulu untuk menyertai Zero Food Wastage akhirnya mendapat persetujuan dari Jepun.

Buat kali pertama di pasar raya Aeon seluruh dunia, Aeon Malaysia telah melancarkan Aeon Community Food Share dengan menyalurkan lebihan stok makanan kepada Kechara Soup Kitchen bagi mengagihkannya kepada golongan memerlukan.

Dengan komitmen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, ia menjadi pilot project yang dilancarkan buat julung kalinya di Selangor. Saya sangat gembira apabila kementerian dan kerajaan turut berhasrat membawa projek Zero Food Wastage ke serata dunia! Sebagai rakyat Selangor dan Malaysia, saya sangat bersyukur kerana impian selama tiga tahun ini akhirnya menjadi kenyataan dan mendapat sokongan ramai.”

Melalui projek itu seramai 25 keluarga miskin di pangsapuri PPR di Selangor menerima bantuan berkenaan yang melibatkan pengagihan 150 kilogram stok roti segar, barangan keperluan dapur, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Usai menjayakan Zero Food Wastage, YAM Tengku Zatashah menyertai kempen Selangor Beaches Cleanup di Pantai Morib pada 22 September yang lalu. Menariknya, kempen ini bukan sahaja mendapat kerjasama dari Exco Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Selangor dan Reef Check Malaysia.. bahkan ia turut diadakan di tiga pantai di Selangor iaitu Pantai Morib, Pantai Remis dan Pantai Bagan Lalang yang menghimpunkan seramai 1, 300 sukarelawan.

Antara yang dijumpai ketika sesi pembersihan tersebut termasuk sampah-sarap berupa plastik, styrofoam, botol kaca, plastik pembungkus makanan dan putung rokok. Sedih dengan tahap kesedaran masyarakat tentang kebersihan pantai, YAM Tengku Zatashah menegaskan, “Masyarakat perlu didedahkan dengan lebih banyak pendidikan, penguatkuasaan dan denda sekiranya didapati bersalah membuang sampah. Jangan mengharapkan pihak berkuasa tempatan semata-mata untuk membersihkan sampah anda. Sudah tiba masanya untuk jadi lebih bertanggungjawab.”

Apa yang pasti, usaha murni ini wajar dijadikan ikutan. Memang terinspirasi dengan semangat dan kecintaan YAM Tengku Zatashah.. bukan sahaja terhadap alam sekitar tetapi juga kebajikan masyarakat yang kurang bernasib baik.

 

Kredit foto: Instagram Tengku Zatashah

 

 

 

 

Mula Berniaga Dari Zaman Sekolah, ERRA FAZIRA Dedah Pernah Jual & Buat Keropok Sendiri!

Mula Berniaga Dari Zaman Sekolah, ERRA FAZIRA Dedah Pernah Jual & Buat Keropok Sendiri!

Wah, tak sangka rupa-rupanya Erra Fazira sudah mula meminati bidang perniagaan sejak di bangku sekolah lagi. Tatkala ditanya kerjaya impian Erra sekiranya bukan bergelar artis, ibu kepada Engku Aleesya ini memberitahu dia mungkin menjadi seorang ahli perniagaan.

“Saya rasa saya akan menjadi seorang businesswoman. Sebab saya suka berniaga. Dari saya kecil lagi saya dah berniaga. Kecil-kecil dulu saya pergi sekolah.. saya berniaga keropok. Sayalah yang menggoreng, cabut sendiri ubi kayu dan segala-galanya saya buat sendiri.”

Ternyata, impian tersebut bukan omong kosong sebab aktres jelita ini berjaya membuktikan dia mampu memiliki empayar niaga sendiri melalui penghasilan jenama tudungnya, Rara by Erra Fazira dan Rara Cookies. Khabarnya, perniagaan tudung Erra ini juga telah bermula secara kecil-kecilan sebelum dia mengenakan hijab lagi.

Disifatkan sebagai seorang wanita yang berdikari, Erra yang kini berstatus ibu tunggal enggan melihat perkara itu sesuatu yang menyukarkan. Sebaliknya, melontarkan kata-kata semangat ini buat semua wanita yang melalui nasib sama seperti dirinya.

“Jangan menghempas diri.. kita kena bangun. Kita tak ada orang lain untuk kita nak bersandar. Jadi, semua sandaran tu hanya kepada kita. Maka bangunlah. Kita ketepikan tanggapan orang lain terhadap kita. Tapi kadang-kadang yang paling sakit itu adalah tanggapan daripada keluarga atau saudara-mara sendiri.

Tapi tak apa, itu semua cliche. Kita buktikan bahawa ibu tunggal boleh membesarkan anak, boleh hidup dengan baik.. boleh didik anak dengan baik. Yang penting, kita balance dunia akhirat,” terang Erra ketika menjadi penghias muka depan Nona Edisi Oktober 2018.

 

“Jadi Perempuan Kena ‘High Class’ Sabarnya”- DATIN SERI NUR SHAHIDA Mahu Terbaik Untuk Tersayang!

“Jadi Perempuan Kena ‘High Class’ Sabarnya”- DATIN SERI NUR SHAHIDA Mahu Terbaik Untuk Tersayang!

Tak kisah lah apa jua tohmahan yang dilemparkan netizen terhadap dirinya, keluarga mahupun suaminya sendiri, Datin Seri Nur Shahida dilihat begitu tenang menerima semuanya dengan hati positif hanya kerana mahu yang terbaik untuk orang tersayang.

“Jadi perempuan ni kena ‘high class‘ sabarnya. Kena kuat hadapai apa jua yang mendatang”, jelas Datin Seri Shahida di laman instagram miliknya.

Menurut beliau juga, ia normal untuk seorang wanita mengharapkan sesuatu yang indah hadir dalam kehidupan walaupun realitinya tak seindah mimpi.

“Biasalah kita kaum hawa ni mesti harap yang indah-indah terjadi dalam hidup kita. Paling tidak. Pun kita pernah berangan nak macam ni, nak macam tu. Normal lah tu”, jelas isteri kepada usahawan terkenal Dato’ Seri Aliff Syukri.

“Tambahan lagi, naluri seorang perempuan ni lembut dan cepat tersentuh. Dia hanya ingin yang terbaik untuk orang yang dia sayang.

Kalau boleh semua yang dilakukannya adalah sehabis baik dan menyenangkan hati orang sekeliling. Kebahagiaannya adalah apabila dapat membuat semua orang yang dia sayang gembira, tersenyum dan terus kuat dalam menghadapi kehidupan. Kesedihan baginya ialah apbila orang yang dia sayang menangis, down, stres atau sakit”, tambahnya lagi.

Setuju sangat dengan pendapat daripada Datin Seri Shahida ni. Jadi perempuan kena ‘mahal’ dan pandai menjaga harga diri. Lagipun, menjadi tugas seorang wanita untuk menjadi isteri dan ibu terbaik untuk keluarga. Untung Dato’ Seri Aliff Syukri dapat isteri yang bukan sahaja cantik dan baik budi pekerti, bahkan mempunyai kesabaran tinggi sehingga sanggup melayan apa jua kerenahnya asalkan bahagia.

sumber gambar: Instagram @shahidadherbs

Sejak Umur 15 Tahun Dah Tak Makan Nasi, PUAN SRI SHARIFFA SABRINA Dedah Petua Sihat & Ramping!

Sejak Umur 15 Tahun Dah Tak Makan Nasi, PUAN SRI SHARIFFA SABRINA Dedah Petua Sihat & Ramping!

Terkejut dengar petua sihat dan ramping Puan Sri Shariffa Sabrina. Sebagai personaliti ternama dan langsing seperti anak dara, mesti ramai yang beranggapan wanita hebat ini sanggup berhabis wang untuk memiliki susuk tubuh menawan. Realitinya, terang pemilik nama Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil ini… sejak umur 15 tahun lagi beliau sudah mula tidak makan nasi!

Ditemui ketika sesi fotografi bersama Nona baru-baru ini, Puan Sri Sabrina yang merupakan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) tetap ‘kaya’ dengan sikap ramah dan rendah diri. Masih sama seperti kali pertama mengenali figura Puan Sri Sabrina. Juga disifatkan seorang yang lantang menyuarakan pendapat dan berjiwa besar, pertemuan kami pagi itu lebih berkisar tentang kecantikan dan gaya hidup sihat yang diamalkan ibu kepada lima orang anak ini.

Gemar berkongsi kebaikan dengan masyarakat, Puan Sri Sabrina turut mendedahkan perwatakan beliau seorang yang lasak dan mencintai senaman. “Dah lebih dua tahun saya buat exercise di Taman Lembah Bukit SUK Shah Alam. Setiap hari dari pukul 7.45 pagi kami akan berkumpul di sana dan lakukan senaman seperti Qi Gong. Memang ramai yang datang dan salah satu manfaat senaman ini ialah dapat kuruskan badan, melegakan lenguh badan dan macam-macam lagi.

Jujurnya saya tidak begitu menggemari zumba tapi saya suka menari. Boleh dikatakan semua jenis tarianlah. Paling saya suka, modern dance,” jelas pemilik Tanah Aina Cafe dan Tanah Aina Resort ini.

Puan Sri Sabrina bersama anak lelakinya

Bersama suami tercinta

Jika kebanyakan wanita bersikap skeptikal bila diajukan soal berat badan, Puan Sri Sabrina nyata berbeza. Enggan berselindung, dia lantas melontar bicara. “Berat saya sekarang 55 kg. Tinggi 5 kaki 5 inci. Zaman anak dara dulu berat badan cuma 50 kg je.”

“Puan Sri jenis tak kuat makan ke?” celah penulis. “Eh, saya suka makan. Cuma tak makan nasi.. itu je. Sebenarnya sejak umur 15 tahun sampailah sekarang saya tak makan nasi. So saya gantikan nasi tu dengan pengambilan roti, makan ubi.. macam ubi keledek dan ubi kayu.

Memandangkan umur saya dah 56 tahun sekarang.. maknanya dah 41 tahun saya tak makan nasi. Bagus kalau makan ubi ni sebab di Afrika contohnya, adalah negara di dunia yang paling kurang rakyatnya hidap kanser sebab mereka makan makanan dari sumber bawah tanah.”

Oleh sebab kecintaan beliau terhadap kecergasan dan sukan, Puan Sri Sabrina turut membuka Tanah Aina Fitness Centre di Shah Alam khas buat kaum wanita mengadakan aktiviti dan rutin senaman bersama-sama.

 

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara Ideaktiv Sdn Bhd • Dikendali Oleh Astro Group

error: