Belajar Bersama Di Amerika, DATIN SERI SHAMSHIDA Dedah Perkenalan Awal Bersama Dato’ Seri Azmin!

Belajar Bersama Di Amerika, DATIN SERI SHAMSHIDA Dedah Perkenalan Awal Bersama Dato’ Seri Azmin!

Siapa sangka, pemergian Datin Seri Shamshida Taharin ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran akhirnya ‘mendekatkan’ beliau dengan jodoh. Meskipun usia perkahwinan bersama Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali hampir mencecah 30 tahun namun pasangan ini kekal bahagia melayari bahtera rumah tangga di samping enam cahaya mata. Dari awal pembabitan Dato’ Seri Azmin dalam arena politik sehinggalah menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi hari ini… wanita berusia 52 tahun ini tetap setia berdiri di belakang suami tercinta.

Mengimbas kembali momen perkenalan pasangan genius ini, Datin Seri Shida membuka bicara. “Sebagai anak guru, saya memang sentiasa didedahkan tentang pentingnya pelajaran oleh ibu bapa. Terutama sekali ibu saya, Puan Siti Rahmah Ismail. Alhamdulilah, ketika di Sekolah Menengah Sains Bukit Mertajam, Pulau Pinang, saya selalu menjadi top student dan mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester. Saya juga pernah ditawarkan untuk mendalami bidang perubatan tapi akhirnya saya menolak.

Saya masih ingat pertemuan dengan Dato’ buat pertama kali. Hari itu dia datang ke tempat saya di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Bukit Gambang, bersama wakil universiti bagi memilih pelajar terbaik ke University of Minnesota. Tanpa disangka, saya terpilih dan menerima biasiswa MARA untuk ke American Degree Program. Maka bermulalah kisah hidup saya sebagai anak perantau di Amerika. Sayangnya ketika tiba di sana, bagasi saya hilang.

Pensyarah kami pernah mengusik. Katanya suami saya telah memilih saya dari awal untuk dijadikan isteri. Mungkin kerana selepas saya menamatkan baki pengajian dua tahun di Malaysia, tidak lama kemudian Dato’ pun masuk meminang. Tapi sebenarnya kami percaya pada jodoh dan alhamdulilah berkekalan sehingga ke hari ini,” kata Datin Seri Shida yang berbeza usia hanya setahun lebih muda daripada Dato’ Seri Azmin.

Selepas tamat pengajian di Amerika Syarikat, Datin Seri Shida seterusnya bergelar pelatih di syarikat pembinaan EMKAY selama enam bulan dan di Malaysia Airlines sebagai management trainer selama enam bulan. Selepas mendirikan rumah tangga dengan Dato’, beliau menyertai Phileo Allied Bank sebagai konsultan. “Kini selain menumpukan perhatian pada anak-anak, masa saya lebih banyak terisi dengan program sendiri. Saya merupakan Pengerusi di Rumah Puteri Arafiah (di bawah kelolaan PEKAWANIS) yang merupakan sebuah rumah pemulihan dan perlindungan remaja bermasalah di antara usia 12 ke 21 tahun.

Saya dan anak-anak juga aktif berhubung melalui grup Whatsapp. Itulah cara kami bersembang dan mengeratkan hubungan bila masing-masing jauh di mata. Sebenarnya sepanjang hidup suami saya, dia memang seorang yang selalu sibuk. Dari seorang ahli politik, sehingga bergelar ADUN, Ahli Parlimen, dan Menteri Besar, tingkat kesibukannya semakin lama semakin tinggi. Sebagai teman hidup, saya cuma mengikut apabila kehadiran diperlukan. Tapi sebenarnya saya suka berjumpa rakyat dan melalui program-program tertentu, saya seronok dapat menyalurkan amal jariah serta membantu golongan susah.”

Dalam kesibukan mengurus keluarga dan suami, wanita kelahiran Taiping ini seorang yang ‘cukup dekat’ dengan ilmu agama. “Aktiviti saya sejak 11 tahun lalu, mesti menghadiri kelas tafsir Al-Quran setiap dua kali seminggu. Hari Selasa dan Khamis selalunya. Jadi pegawai saya sudah tahu, dua hari ini memang khas untuk saya menimba ilmu. Apa-apa program atau mesyuarat seboleh-bolehnya diatur bukan pada hari tersebut. Di rumah, kami juga jadikan aktiviti solat berjemaah sebagai amalan keluarga, berimamkan suami atau anak-anak, atau ibu saya, atau pun saya sendiri sebagai imam kepada anak-anak perempuan kami mengikut kesesuaian keadaan. Kami percaya bahawa ‘A family that prays together stays together’. Itulah caranya mengeratkan kasih sayang sesama kami.”

Seperti wanita lain, Datin Seri Shida juga senang memanjakan diri di spa. Perawatan seperti berurut dan facial menjadi pilihannya untuk beristirahat. “Saya tidak pernah cerewet tentang makanan. Bagi saya semuanya sedap jika cukup semua rasanya. Namun saya kurang mengambil nasi tapi melebihkan pengambilan sayur-sayuran. Mungkin itulah caranya saya menjaga kesihatan sampai sekarang.”

Datin Seri Shida dan Dato’ Seri Azmin dikurniakan enam cahaya mata iaitu Farah Shazliyana, Mohamed Ameer Shazrin, Farah Amira, Farah Afifah, Mohamed Basheer Noor Al-Haq dan Mohamed Yusuf Al-Sadiq. Keluarga ternama ini pernah menghiasi muka depan Majalah Nona Edisi Tahun Baru Januari 2017.

 

Pahala BERHIJAB Hilang Bila ‘Terlalu Kreatif’ Gaya Tudung & Pakai Aksesori Berlebihan!

Pahala BERHIJAB Hilang Bila ‘Terlalu Kreatif’ Gaya Tudung & Pakai Aksesori Berlebihan!

Kalau dulu pemakaian hijab disifatkan sesuatu yang kolot dan ketinggalan zaman, tapi kini lebih ramai wanita Islam sudah mula memakai tudung. Tapi malangnya, tudung yang dipakai seolah-olah hanya menutupi kepala dan bukan menutup aurat seperti yang dituntut dalam Islam.

Terpanggil untuk menjelas lanjut tentang senario ini, Nona mendapatkan penjelasan Ustazah Firuz Akhtar Mohamad Bokhari iaitu Juara Musim Pertama program realiti Ustazah Pilihan. Lebih dikenali dengan gelaran Ustazah Firuz, beliau juga merupakan graduan Sarjan Pengajian Islam dan Asia Barat dari Universiti St. Louis, Washington.

Soalan : Melihat kepada situasi masa kini terdapat pelbagai jenis tudung dan gaya hijab yang dipraktikkan wanita Islam. Pun begitu, adakalanya padanan aksesori dan warna tudung yang dipakai kelihatan keterlaluan. Adakah ia satu perkembangan yang baik?

Gambar hiasan

Jawapan: Perkembangan trend tudung di Malaysia sangat memberangsangkan. Pelbagai pilihan disediakan dan tudung amat mudah di dapati sama ada di kedai atau secara online. Situasi ini amat menggalakkan kerana ia menunjukkan bahawa wanita Malaysia dapat menerima hakikat penutupan aurat dengan terbuka. Malah sangat kreatif dan inovatif dalam isu tudung.

Walau bagaimana pun, kita perlu sentiasa beringat tentang tujuan dan syarat bertudung atau menutup aurat. Janganlah kita menjadi ‘terlalu kreatif’ dalam mencipta tudung atau aksesorinya sehingga tujuan utama menutup aurat itu tersasar. Ketika itu, bukan saja pahala menutup aurat akan hilang, malah kita akan mendapat dosa pula.

Secara dasarnya, syarat hijab adalah:

  1. Menutupi tubuh kecuali bahagian yang dibenarkan
  2. Hijab tidak ‘transparent’
  3. Hijab tidak mempunyai perhiasan atau warna menjolok mata
  4. Hijab tidak ketat atau menampakkan bentuk
  5. Hijab tidak menyerupai pakaian lelaki

Semoga dengan penjelasan Ustazah Firuz, kita lebih berhati-hati dan peka dengan penampilan diri. Teruskan istiqamah!

Ikut Kelas Agama & Mengaji Walau Umur Lewat 40an, DATIN ARIANIE Buang Rasa Malu!

Ikut Kelas Agama & Mengaji Walau Umur Lewat 40an, DATIN ARIANIE Buang Rasa Malu!

Kenapa perlu timbul rasa malu? Sedangkan apa yang dilakukan Datin Arianie Mohd Abidin ini benda baik dan ‘bekalan’ untuknya kemudian hari. Lagipun mendalami ilmu Allah itu luas.. tiada had umur tertentu andai mahu mengikuti kelas agama mahupun mengaji. Bahkan, semuanya bergantung kepada niat dan hati. Sudahkah kita bersedia untuk berubah?

Seiring pertambahan usia dan niat untuk berubah ke arah kebaikan di samping mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa, Datin Arianie tidak malu untuk mengaku yang dirinya sedang berusaha mendalami ilmu agama dan menyebut bacaan ayat suci Al-Quran dengan lebih sempurna. “Alhamdulillah, lebihan masa yang ada sekarang ini memudahkan saya mengikuti kelas mengaji di Paya Jaras setiap hari Jumaat. Bila tengok segala apa yang telah Allah kurniakan kepada saya dan keluarga walaupun tidak semewah orang lain, timbul rasa syukur dan risau jika amalan kita di dunia ini masih kurang.

Bila-bila masa saja Dia boleh ambil nyawa hambanya tapi sudah cukupkah amalan kita selama ini? Walaupun agak terlambat untuk menguasai Al-Quran tapi sekurang-kurangnya Dia menghantar ‘jentikan-jentikan’ halus seperti ini agar kita sentiasa mengingatiNya. Pentingnya kita kena selalu membaca Quran kerana amalan inilah yang akan kita bawa di dalam dunia yang abadi. Mungkin dulu kita lalai tapi sekarang kita sangat memerlukan semua ini,” pesannya penuh nasihat.

Seperti Datin Arianie, Datuk Hattan atau nama sebenarnya, Datuk Mohd Shukri Shahabudin turut melalui fasa sama sebaik menginjak usia lewat 40an. Apatah lagi, sebaik mengerjakan ibadah haji pada Ogos lalu beliau semakin tertarik mendalami ilmu agama malah lagu-lagu yang dihasilkan juga kini lebih bersifat keagamaan. Dalam mencari kebahagiaan hakiki, Datuk Hattan tidak pernah alpa mendoakan kesejahteraan keluarga termasuk isteri dan anak tunggalnya, Adam.

Baca artikel berkaitan Demi Anak, Datin Arianie & Dato’ Hattan Sanggup Upah Ustaz Datang Ke Rumah! Enggan Anak Ketinggalan Dalami Ilmu Agama

“Saya pernah menyuarakan pendapat saya kepada isteri tentang pemakaian hijab. Dia menerimanya dengan hati terbuka dan saya selalu berpesan kepadanya lakukan perubahan tersebut dengan kerelaan hati dan dalam keadaan bersedia. Saya tidak mahu apabila sudah berhijrah, kembali dengan imej lama sebab desakan orang lain atau kerana fesyen semata-mata. Saya enggan ambil peduli dengan kata-kata sinis segelintir orang tentang isteri saya. Bagi saya, apa gunakan dia memakai tudung jika mahu memuaskan hati orang. Biar dia belajar dulu dan saya tengok dia pun sudah mula belajar hal-hal berkaitan agama. Alhamdulillah,” tutur Datuk Hattan dalam nada tenang.

 

Status Very Important Person (VIP) yang dibawa jelitawan ini sedikit pun tidak mengubah personaliti diri. Sejak pertama kali mengenali hingga sekarang, beliau masih individu sama yang berpegang pada resmi padi ‘makin berisi makin tunduk’.

Secara peribadinya, Datin Arianie mengakui status yang diterima itu bukan tiket untuk bermegah-megah jauh sekali untuk merendah-rendahkan martabat insan lain. Sebaliknya ia merupakan satu bentuk penghargaan yang diberikan kepada suaminya bagi mengenang pengorbanan jasa beliau dalam industri seni. Baik Datin Arianie mahupun Datuk Hattan, kedua-duanya lebih selesa menjalani hidup seperti insan biasa.

“Jujurnya sama saja kehidupan kami dulu dan kini tak ada beza. Ia sesuatu yang subjektif dan bergantung pada individu berkenaan untuk bawa diri mereka sendiri. Ada yang selesa bawa body guard ke mana saja mereka pergi tapi untuk kami, tidak perlu. Memegang gelaran datin, saya pilih untuk tidak terlalu menjaga sampai timbul rasa kurang senang di kalangan orang sekeliling. Cara saya, biar orang yang ada di sekitar kita rasa selesa dan tak mahu buatkan diri kita berada terlalu di atas sangat.”

Angkara Konflik SUAMI ISTERI, Perkembangan Mental & Emosi Anak-Anak Terencat!

Angkara Konflik SUAMI ISTERI, Perkembangan Mental & Emosi Anak-Anak Terencat!

Islam amat mengambil berat tentang hal ehwal serta kebajikan wanita. Kaum lelaki diperintahkan untuk berbuat baik terhadap wanita. Dalam sebuah rumah tangga umpamanya, wanita yang bergelar isteri merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada seorang suami kerana suami merupakan ketua keluarga.

Berikut perkongsian Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah Mohd Badiuzzaman atau lebih dikenali sebagai Ustazah Sharifah Khasif berkenaan jenis-jenis mudarat dalam rumah tangga berserta kesannya terhadap institusi keluarga.

Ustazah Sharifah Khasif

AMANAH

Seorang suami diperintahkan untuk menunaikan hak-hak isteri, menjaga maruah isteri serta mengajar isteri perkara-perkara berkaitan dengan agama dan pembentukan peribadi. Sebarang bentuk penganiayaan yang dilakukan suami terhadap isterinya seperti mengabaikan nafkah, mendera atau memukul isteri tanpa sebab-sebab yang dibenarkan oleh syara‘ dilarang oleh Islam.

JENIS-JENIS MUDARAT DALAM RUMAHTANGGA

1. Tidak memberi nafkah zahir dan batin. Nafkah zahir termasuklah:

a) Tempat tinggal bersama (suami dan isteri) iaitu rumah selayaknya yang memberi keselesaan dan keamanan.

b) Mengabaikan keperluan hidup iaitu makanan, pakaian serta peralatan yang munasabah dan selayaknya mengikut kemampuan suami. Sabda Rasulullah SAW maksudnya:

Dan wajib ke atas kamu memberikan mereka (isteri-isteri) rezeki mereka dan pakaian mereka dengan baik. Tempatkanlah mereka di mana kamu bertempat tinggal mengikut kemampuanmu.”

2. Tidak bergaul dengan isteri secara baik, mesra dan kasih sayang. Firman Allah SWT maksudnya: “Bergaullah dengan mereka dengan cara yang baik.”

3. Tidak berlaku adil kepada isteri-isteri jika suami itu mempunyai isteri lebih daripada satu.

4. Menyakiti hati isteri, berlaku kasar dan sebarang perbuatan yang memudaratkan isteri tanpa sebarang sebab seperti memukul tanpa belas ihsan.

5. Menghalang isteri untuk menziarahi keluarganya (ibu bapa dan kaum keluarganya).

KESAN TERHADAP INSTITUSI KELUARGA

  • Konflik boleh menjejaskan kesihatan pasangan terlibat. Dalam keadaan tertekan, satu kesan paling ketara ialah masalah tekanan darah tinggi dan boleh melarat kepada masalah penyakit jantung.  Penyakit ini jika berterusan boleh membawa maut
  • Anak-anak kurang mendapat perhatian jika ibu bapa asyik berkonflik. Jika ibu bapa tidak bersefahaman tentu sekali anak-anak juga menanggung akibatnya. Mereka tidak dapat melakukan akvititi yang biasanya dilakukan bersama. Contohnya, ibu bapa berdepan konflik tentu tidak akan keluar untuk bersiar-siar atau berkelah.
  • Prestasi kerja menurun. Kesan di tempat kerja, putus hubungan perniagaan, konflik di tempat keluarga dan hubungan dalam masyarakat wujud disebabkan masalah dalaman ahli keluarga. Bayangkan apa yang berlaku itu hasil daripada konflik suami isteri. Itu belum lagi jika berlaku perceraian.
Kalis Tohmahan, VIVY YUSOF Nekad Buat Wanita Tertarik Untuk Berhijab Dengan dUCkscarves!

Kalis Tohmahan, VIVY YUSOF Nekad Buat Wanita Tertarik Untuk Berhijab Dengan dUCkscarves!

Katalah apa saja kepadanya pun.. tapi sebagai wanita yang mempunyai misi besar dan berhasrat mahu ‘menjentik’ hati wanita lain untuk mengenakan hijab, Vivy Yusof enggan melatah dengan sindiran negatif yang dilemparkan kepadanya. Jelas usahawan muda dan berjaya yang tersenarai dalam Forbes Under 30 ini, sudah tiba masanya wanita Islam terutama yang berhijab bangkit memperkasakan diri.

Ditemui ketika majlis The Merdeka Duck di Muzium Negara, Vivy tak putus-putus memberi suntikan inspirasi. Bukan saja melalui ketegasannya dalam setiap jawapan yang diberikan bahkan dengan keadaan diri yang sedang sarat hamil anak ketiga.. Vivy tetap gagahkan diri bertemu khalayak dan menjayakan majlis tersebut. Bayangkan dengan perut yang makin membesar dan pergerakan yang makin perlahan, tetap bergaya cantik dan ceria meraikan pengunjung.

“Macam mana nak perkasakan wanita dengan hijab? Pada saya, semuanya kena mula dari diri sendiri. Saya rasa kita selaku wanita berhijab kena bangga, progresif, moden dan ubah cara pemikiran. Dalam pada itu, kita kena sentiasa berfikir secara positif.

Dan, jangan ada perasaan nak jatuhkan orang lain mahupun rendahkan diri kita dengan seribu satu alasan. Jujurnya, saya memang nak lihat kaum wanita hari ini jadi lebih progresif dan kuat. Baik dari segi mental juga fizikal.”

Diaju pertanyaan tentang persepsi segelintir wanita yang beranggapan memakai dUCkscarves seolah-olah memiliki jenama mewah terkenal, Chanel.. Vivy selaku Pengasas The Duck Group dan FashionValet terpaku sambil melempar senyuman.

“Saya rasa itu salah satu my dream sebab nak naikkan taraf hijab. Memang ada banyak tudung yang affordable dan bermacam-macam corak serta jenis dijual di pasaran. Tapi saya mahukan sesuatu yang lebih unik dan berbeza seiring dengan kehendak wanita muslimah ketika ini.

Ada pihak yang mempertikaikan tentang harganya.. pada saya, kenapa jika berkaitan religion kena murah? Islam itu ‘mahal’.

Tak dinafikan, orang luar tengok ‘dUCk woman‘ sebagai wanita yang berdaya saing, memberi inspirasi dan sebagainya. Jadi, kita sebagai wanita perlu ada aspirasi. Bila ada yang melabelkan dUCkscarves sedemikian, saya take it as a compliment.

Secara tidak langsung buatkan mereka rasa tertarik dan hendak pakai tudung. Kami di The Duck Group juga banyak terima feedback dari mereka yang dulunya tak berhijab kini dah mengenakan tudung. Kebanyakan mereka mengaku takut dilabel kolot dan ketinggalan bila pakai tudung.. tapi bila dapat tahu tentang dUCkscarves, rekaan dan kualitinya.. mereka lebih berani untuk berhijrah. Sudah tentu saya rasa puas bila dapat buat orang tergerak hati hendak berubah.”

Berhubung isu ciplak rekaan dUCkscarves yang semakin berleluasa, Vivy bagaimana pun enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu gejala ini menjadi penghalang kreativiti. Apa yang pasti, usahawan berusia 30 tahun ini berkata pihaknya telah dan sedang melakukan pelbagai cara untuk mengatasi perkara itu. Namun, tidak mahu terlalu menguar-uarkannya kerana percaya mutu dan kualiti dUCkscarves akan terus dipertingkat saban tahun.

 

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: