Jangan Sampai Lupa Niat Asal Bertudung, Ini Pesan Fashion Stylist DHAN ILLIANI!

Jangan Sampai Lupa Niat Asal Bertudung, Ini Pesan Fashion Stylist DHAN ILLIANI!

Dhaniya Illiani Yusof sememangnya obses dalam bidang seni yang diceburinya. Ilham kreatif dan karya anak muda berusia 21 tahun ini pastinya membuatkan sesiapa sahaja kagum melihatnya. Lebih mesra disapa Dhan Illiani yang juga merupakan seorang graduan diploma dalam bidang fesyen di Inti International University.

Sebagai seorang freelancer, Dhan Illiani sentiasa menceburi pelbagai jenis bidang berkaitan dengan dunia fesyen dan seni. Ia berdasarkan peluang yang ditawarkan dan mempunyai ciri ciri diminati sebagai seorang individu yang eksperimental.

FESYEN DAN HIJAB

Saya tidak melihat hijab sebagai satu halangan untuk berekspresi dalam fesyen dengan peringatan untuk tidak melupakan niat asal berhijab dan berkarya. Tetapi saya juga percaya fesyen tiada genggaman dan peranan dalam aspek hijab, lebih daripada aspek fizikalnya ia ada nilai rohani, satu ibadah dan bentuk komitmen peribadi seorang hamba dengan Yang Maha Esa. Cara pendekatan individu dalam pemakaiannya bagi saya ialah satu perjalanan dan progres individu tersebut untuk memahami dan mendekatiNya. Saya sendiri masih tengah mempelajari dan mendalami perihal ini.

 

TREND HIJAB TERKINI

 Pada peringkat global, fesyen hijab yang menjadi trending ialah stail lilitan simple dan elegant yang mengayakan look effortless. Selain itu, stail turban resort juga menjadi ikutan seperti yang dapat dilihat di pertunjukan fesyen pada tahun ini. Ia digemari ramai dan sedang menular untuk dijadikan trend. Golongan yang lebih edgy pula memilih stail tudung ninja yang memeluk kepala dan leher.

 

INSPIRASI FESYEN

Inspirasi saya untuk berfesyen berputik dengan hasrat saya untuk menggunakan diri sebagai sebuah canvas. Ia merupakan kemahuan saya untuk cuba bermain dengan idea menjadi karya direct saya sendiri. Juga dorongan saya ialah dari peluang untuk menggunakan pakaian dalam menerokai aspek dan sudut berlainan dalam diri saya, ia berasa sedikit seperti satu keupayaan untuk shape shift.

 

PENATAAN GAYA

Semestinya penting untuk mengambil kira minat dan ciri individualistik individu tersebut dalam menata gaya. Ia memerlukan kemahiran dan kreativiti untuk mengetahui cara suai padan yang tepat dan sempurna. Ia bukan sahaja dalam aspek luaran malah ia juga perlu sesuai dengan personaliti yang membawa pemakaian dalam stail yang telah dipilih. Peringatan yang berguna dalam menata gaya  ialah untuk mengingati bahawa anda yang memakai baju dan bukan baju yang memakai anda.

 

EKSPRESI GAYA

Cara untuk menerapkan nilai personaliti diri dalam pemakaian ialah dengan staying true to yourself. Cuba praktikkan gabunggan apa yang diminati  dengan nilai dalam diri sendiri sebagai seorang individu dalam pemilihan pemakaian. Tidak kisahla jika apa yang dipakai ialah untuk tampil bergaya atau hanya untuk tampil selesa, fesyen yang sebenar ialah berjuruskan lifestyle individu dan itu sendiri sudah melambangkan satu bentuk ekspresi yang tersendiri yang kita sedar atau tidak.

 

 

7 TIP TAMPIL TRENDY

  1. Pakai pakaian yang sesuai dan yang compliment jenis badan anda.
  2. Cuba eksperimen dengan memakai pakaian yang ada dengan cara atau stail yang sedikit berbeza.
  3. Pastikan pilihan pakaian anda tidak membuat anda rasa kekok atau tidak selesa.
  4. Tiada salah dalam memberi keutamaan dalam keselesaan dalam berfesyen.
  5. Aksessori atau detail yang vibrant seperti rantai, gelang atau cermin mata boleh memberi nafas baru kepada look yang neutral dan simple.
  6. Jangan terlalu takut untuk bergaya dengan warna yang terang, kalau sudah berani sedikit, cuba pula color blocking.
  7. Labur dalam pakaian yang boleh dipakai untuk pelbagai aktiviti dan dalam banyak cara.

 

IKON GAYA PILIHAN

Saya amat gemar penyanyi Icelandic, Bjork. Stailnya sangat unik, eklektik dan eksperimental. Cara dia berekspresi dalam pemakaiaannya adalah lain dari yang lain dan dalam kata vogue authentic. Bjork bijak dalam bermain dengan nilai seni dalam gayanya yang melahirkan satu stail yang avant garde dan luar daripada kotak.

Mula Menjahit Umur 15 Tahun, Kini FUZANA MOKHTAZA Setaraf Pereka Fesyen Terkenal Luar Negara!

Mula Menjahit Umur 15 Tahun, Kini FUZANA MOKHTAZA Setaraf Pereka Fesyen Terkenal Luar Negara!

Siapa sangka pemegang Ijazah Sarjana Muda Berganda (double degree) dalam bidang senibina  mampu mencipta kerjaya dalam industri fesyen tanah air. Pemilik nama Fuzana Mokhtaza bukanlah nama asing dikalangan pencinta fesyen. Minat yang mendalam mengenai dunia fesyen membawa satu lembaran baharu buat anak muda yang berasal dari Alor Star, Kedah ini. Mula mengikuti kelas jahitan seawal usia 15 tahun nyata mematangkan Fuzana Mokhtaza dalam menghasilkan setiap rekaan busana. Hari ini, jenama Fuzana Mokhtaza kian meniti kejayaan dengan kualiti dan rekaaan yang cukup eksentrik.

 

BAGAIMANA ANDA MENCEBURI BIDANG FESYEN?

Saya menceburi dalam bidang fesyen secara tidak langsung. Saya seorang yang mementingkan pakaian yang betul fit to my body. Semasa saya masih kecil, tukang jahit sering membuat pakaian yang besar untuk saya. Disebabkan hal itu, saya meminta ibu saya untuk menghantar saya ke kelas menjahit. Kebetulan pula, nenek sebelah ibu saya seorang tukang jahit. Walaupun saya tidak pernah bertemu nenek , saya sering melihat gambar beliau di akademi menjahit. Saya juga melihat hasil kerja beliau untuk pakaian ibu dan makcik-makcik saya. Dari situ, saya mula mencintai bidang fesyen.

PERMULAAN ANDA DALAM BIDANG FESYEN?

Ketika saya masih belajar di universiti, saya menjahit di bilik dan apabila cuti semester saya akan mengambil kesempatan tersebut untuk menjahit sepenuh masa. Pada mulanya saya hanya menjahit jubah, dres dan abaya sahaja untuk rakan-rakan dan keluarga. Selepas itu, saya mula membuat rekaan baju kurung lace RTW. Nama saya kian dikenali dan mendapat tempahan termasuk dari Sabah dan Sarawak. Ada juga yang meminta saya untuk membuat baju perkahwinan.

 

APAKAH KEKUATAN JENAMA ANDA?

Saya mementingkan rekaan yang tidak terlalu sarat, moden dalam pada masa yang sama ia cukup feminin dan lembut. Paling penting sekali, saya akan pastikan setiap rekaan yang saya hasilkan bersesuaian dengan personaliti dan keadaan fizikal seseorang individu itu.

BAGAIMANAKAH UNTUK MEMASTIKAN JENAMA ANDA MASIH BERTAHAN HINGGA KE HARI INI?

Untuk kekal bertahan hingga ke hari ini, saya selalu mengikuti trend terkini, fabrik dan teknik terkini. Pada saya, untuk menempa nama mudah tetapi untuk kekal relevan bukanlah sesuatu yang mudah. Walaubagaimanapun, pengalaman saya selama 7 tahun masih dianggap hijau bagi saya. Saya masih perlu pelajari dan memperbaiki mana yang perlu. Apa yang boleh saya katakan disini, paling penting harus sentiasa up to date with current trend dan pastikan hasil produk yang dihasilkan bagus dan sempurna.

 

APAKAH CABARAN YANG ANDA HADAPI SEBAGAI PEREKA FESYEN YANG MEMAKAI HIJAB?

Saya rasakan masyarakat boleh menerima pereka feysen berhijab dan sebagai salah seorang wanita berhijab, saya sentiasa menerima maklum balas yang sangat positif. Sejujurnya, tiada cabaran yang terlalu besar dan saya masih mempunyai pelanggan yang percaya dengan jenama Fuzana Mokhtaza. Dari segi rekaan, saya tidak begitu menghadkan untuk mereka sesuatu pakaian. Namun dalam pada masa yang sama, saya akan cuba sebaik mungkin untuk tidak menghasilkan pakaian yang terlalu terdedah.

SEBAGAI WANITA YANG MEMAKAI HIJAB, ADAKAH ANDA AKAN MEMASTIKAN PAKAIAN YANG DIREKA LEBIH SOPAN?

Of course! Saya akan sentiasa meneliti dan pastikan setiap rekaan yang saya hasilkan itu todak keterlaluan. Namun, saya juga mempunyai pelanggan yang terdiri daripada non-muslim. “so basically I design something that is modern, but not too conservative but at the same time not too revealing”.

 

PENGALAMAN YANG SUKAR DILUPAKAN SEPANJANG BERGELAR PEREKA FESYEN?

Dipilih menjadi wakil dari Malaysia untuk mengadakan pertunjukan fesyen dengan negara-negara lain termasuk Mexico, Turkey Lebanon dan lain-lain lagi di Qatar, Doha. Pertunjukan fesyen ini adalah bridal fashion show yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Qatar.  Berkongsi backstage dengan pereka fesyen terkenal antaranya Fouad Sarkis dari Lebanon adalah momen yang sukar untuk dilupakan.

 

 

 

 

Rambang Mata Tengok Koleksi Lebaran Petals By HATTA DOLMAT, Cantik-Cantik Semuanya!

Rambang Mata Tengok Koleksi Lebaran Petals By HATTA DOLMAT, Cantik-Cantik Semuanya!

Jenama Hatta Dolmat tidak perlu diperkenalkan lagi dengan karya fesyen agung yang sering diperkatakan oleh penggemar fesyen. Saban hari, pereka yang berasal dari Melaka sering melahirkan idea kreatif dan inovatif dalam memartabatkan seni fesyen tanah air. Ketika berbicara mengenai koleksi lebarannya, beliau mencetuskan kelainan yang bakal menjanjikan kepuasan buat penggemar jenama terkemuka ini.

Jika dilihat tahun sebelumya, rekaan lebaran Hatta Dolmat bertemakan Vintaj Inggeris dimana beliau menzahirkan bakat seni melukis ke atas fabrik lalu digarap indah dalam siluet warisan melayu tradisi. Untuk koleksi lebaran 2018, pereka fesyen terkenal ini mengilhamkan sesuatu yang lebih segar dan tentunya relevan untuk digayakan pada abad ini. Potongan ringkas dan minimalis menjadi tunjang buat koleksi lebaran beliau dengan memperlihatkan penampilan wanita yang ringan dalam suatu rekaan yang cukup elegan.

TREND FESYEN YANG HANGAT PADA TAHUN INI?

Pada saya, Penggunaan fabrik sheer ataupun fabrik yang bersifat ringan  bakal hangat pada tahun ini. Ia lebih dikenali sebagai fabrik Organdi dan sudah memasuki pasaran tempatan. Fabrik ini kelihatan seperti organza tetapi ia tidak begitu berkilat dan sedikit tebal daripada Organza. Ia amat cantik apabila dipakai dan memberi ilusi lembut buat si pemakai. Selain itu, potongan dan jatuhan fabrik menampakkan sesuatu rekaan labih menarik. Fabrik ini sering digunakan oleh pereka fesyen terkenal seperti Zuhair Murad dan Elie Saab dimana fabrik ini digunakan sebagai lapisan dalam sesuatu busana untuk menampakkan rekaan tersebut tidak terlalu berkilat.

CERITAKAN SEDIKIT MENGENAI KOLEKSI LEBARAN HATTA DOLMAT TAHUN INI

Untuk tahun ini saya membuat kesinambungan daripada koleksi RTW Petals by Hatta Dolmat. Ia merupakan koleksi kedua Petals dan saya memberikan  suntikan eksklusif untuk koleksi ini dimana saya memberi penekanan pada potongan dan teknik jatuhan kain agar  ia memberi efek yang lebih ringan. Berbeza dengan tahun lepas, saya menggunakan motif-motif yang saya lukis sendiri tetapi pada tahun ini saya lebih selesa untuk mereka sesuatu yang lebih ringkas dan minimalis.

APAKAH KELAINAN REKAAN LEBARAN HATTA DOLMAT PADA TAHUN INI?

Rekaan kali ini lebih terhad di mana saya hanya menghasilkan enam ke lapan helai sahaja. Ia tampil cukup eksklusif dimana saya fokus dengan penggunaan fabrik Organdi dan mula jatuh cinta untuk bereksperimen dengan fabrik tersebut. Saya melihat fabrik ini jarang digunakan dan mengambil langkah berani dengan menghasilkan koleksi lebaran menggunakan fabrik Organdi. Saya menterjemahkan sifat petals atau kelopak dalam setiap rekaan dengan menekankan potongan yang sedikit berbeza seperti teknik layering, flair dan lain-lain lagi. Namun saya masih mengekalkan ciri-ciri tradisional seperti kebaya yang diberi nafas baharu.

SILUET, PILIHAN FABRIK DAN PILIHAN RONA BUAT KOLEKSI LEBARAN

Selain fabrik Organdi, saya juga banyak menggunakan fabrik tulle dan juga broked. Saya mengilhamkan teknik potongan berlapis yang diinspirasikan dari kelopak bunga (petals). Dari segi pemilihan rona, seperti kita tahu bunga bersifat lembut dan disukai wanita. Jadi, saya memilih rona-rona pastel seperti biru cair, teal, pic, bloom, champagne, lavender dan juga putih.

KONGSIKAN SEDIKIT TIP FESYEN SEMPENA AIDILFITRI YANG BAKAL MENJELMA TIDAK LAMA LAGI

Saya sarankan untuk semua wanita di luar sana untuk mengembalikan busana klasik untuk disarungkan di hari lebaran seperti baju kurung dan baju kebaya. Walaupun kini terdapat pelbagai busana klasik yang mendapat sentuhan moden namun harus diingatkan ia janganlah terlalu tersasar dengan rekaan asal busana. Apa yang boleh dikatakan di sini ialah fesyen raya sesuatu yang minimal dan ringkas. Paling penting ia cukup selesa untuk digayakan dan bukan bersandar pada fesyen semata-mata.

APAKAH PERSEDIAAN PALING PENTING UNTUK MENYAMBUT HARI LEBARAN?

Persediaan paling penting ialah dari segi bajet dan perbelanjaan. Sebaiknya, senaraikan terlebih dahulu kos-kos penting yang perlu diberi keutamaan. Dengan keadaan ekonomi yang kurang baik kebelakangan ini, saya nasihatkan supaya anda bijak memilih fesyen busana raya. Seperti kita tahu, mungkin ada sesetengah busana raya yang dijual di luar sana dengan harga agak mahal. Sekiranya suka dengan busana tersebut, cukup sekadar membeli satu atau dua pasang sahaja. Tidak perlu bazirkan duit dengan membeli busana raya terlalu banyak dan akhirnya tidak pakai. Hari raya adalah momen untuk berhimpun bersama keluarga dan bukan medium untuk anda bergaya hingga boleh menyebabkan pembaziran.

PESANAN HATTA DOLMAT BUAT MEREKA DI LUAR SANA DALAM MENCARI BUSANA LEBARAN YANG TEPAT DAN SEMPURNA

Memilih pakaian yang tepat dengan potongan bentuk badan ialah dengan cara menempah baju dan bukan membeli koleksi RTW yang berada di pasaran. Ini kerana koleksi RTW adalah satu himpunan fesyen yang mempunyai basic saiz seperti saiz S,M,L,XL dan sebagainya. Tetapi proportion bentuk badan wanita Malaysia tidak sama. Contohnya saiz S mungkin mempunyai bentuk pinggul yang besar dan sebaliknya sekaligus menjadikan siluet dan potongan tidak sama. Sebaik-baik potongan ialah potongan busana yang ditempah dan betul-betul mengikut saiz badan anda. Namun, persediaan yang lebih awal perlu dibuat sekiranya anda ingin menempah baju dan elak menempah di saat-saat akhir.

 

Magis Jemari MIROL JONIT, Patutlah Ramai Selebriti Popular Ternanti-Nantikan Rekaan Beliau! Memang Ada ‘Class’

Magis Jemari MIROL JONIT, Patutlah Ramai Selebriti Popular Ternanti-Nantikan Rekaan Beliau! Memang Ada ‘Class’

Nama Mirol Jonit mungkin sedikit asing namun sejak kebelakangan ini sering menjadi pilihan selebriti tatkala hadir di majlis berprestij tanah air. Pereka muda yang berasal dari Melaka ini sering menampilkan rekaan yang berani dengan pemilihan fabrik yang bersesuaian. Berusia 27 tahun dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM), penulis mendekati figura ini lebih dekat untuk menyelami perjalanan seninya.

Liza Hanim, salah seorang selebriti yang menggunakan khidmatnya

Setiap Pereka Memiliki Estetik Rekaan Mereka Yang Tersendiri. Bagaimana Pula Dengan Anda?

Rekaan saya atau lebih mudah dikatakan signature saya adalah bereksperimen dengan pola. Pola pakaian adalah elemen yang penting dalam menghasilkan rekaan. Ini adalah proses di mana rekaan ini akan berhasil seperti lakaran yang dibuat. Semua pereka mampu membuat lakaran yang hebat dan sukar untuk merealisasikan. Ini adalah satu cara saya berkarya kebanyakan rekaan saya polanya adalah sangat berbeza. Ini boleh dilihat dengan shape dan silhouette yang sangat berbeza. Dan saya percaya kekuatan pada gabungan shape, form dan silhouette akan terhasil satu rekaan yang kuat ditambah pula gabungan fabrik yang sesuai. Kebanyakan hasil rekaan saya amat minimal dan mungkin hampir tiada penggunaan labuci dan perincian yang berkilau. Bagi saya trend itu sudah berlalu dan kini fesyen perlukan potongan yang minimal tetapi bentuk yang luar biasa.

Siapakah Idola Anda Di Dalam Dunia Fesyen?

Saya amat mengagumi Karl Lagerfeld. Beliau merupakan pereka antarabangsa yang senior tetapi hasil rekaan beliau sentiasa baru dan trending di pasaran. Beliau menjadi inspirasi saya kerana banyak jenama mewah antarabangsa dapat sentuhan ajaibnya seperti Chanel, Fendi dan yang terbaru H&M. Semua menjadi evergreen serta dapat diterima seluruh dunia dan pelbagai lapisan pengguna. Karl juga sentiasa ketengahkan rekaan yang bereksperimen pola pakaian dari segi cutting, shape dan form ini yang membuat saya impress dengan beliau.

Ziana Zain turut menggayakan busana beliau

Bagaimana Pula Dengan Pereka Tempatan?

Bagi pereka tempatan pula saya amat kagumi Melinda Looi. Melinda dapat menghasilkan empayar sendiri dengan hasil karyanya yang tersendiri. Beliau mampu menembusi pasaran antarabangsa dan juga mampu tembus pakaian Muslimah walaupun dia berbangsa cina. Setiap koleksi Melinda akan ada elemen baru yang diterapkan seperti fabrik dan teknik detailing yang baru. Olahan ini membuat jenama Melinda Looi bertahan dan relevan dengan kehendak semasa dan trend fesyen.

Pereka Jenama Terkenal Barat Umpama Berlumba Mereka Fesyen Sesuai Untuk Wanita Berhijab Apa Pandangan Anda?

Ya saya akui ini apa yang sedang berlalu sekarang. Sebab utama ini terjadi adalah kerana ada permintaan yang besar di segmen ini iaitu hijab. Seolah-olah hijab ini lubuk lombong emas, sudah pasti semua pengeluar akan mencuba mendapatkan pasaran mereka masing-masing. Hijab bukan lagi sebagai fesyen yang asing bagi penggemar fesyen kerana ini sudah dianggap satu trend yang terkini malahan menjadi satu ikutan satu dunia. Jenama fesyen terkenal dan artis-artis barat memberi satu aliran yang sihat dan menaikkan nilai fesyen hijab di pentas fesyen dunia.

Wany Hasrita pun tidak terkecuali mengenakan rekaan beliau

Siapakah Ikon Fesyen Glamor Di Mata Anda?

Ikon fesyen yang saya kagumi adalah Rihanna. Bagi saya beliau cukup pakej dan sangat berpengaruh dengan style dan personaliti.

Adakah Anda Bersedia Sekiranya Rekaan Anda Dikritik Dengan Perkataan Yang Tidak Sepatutnya Di Media Sosial?

Ya saya bersedia kerana apa yang kita impikan pasti ada bayaran yang patut kita terima. Jadi tepuk dada tanya selera. Kritikan ini sebenarnya akan membuat kita lebih berhati-hati dan belajar dari apa yang kita buat.

 

‘The Rise of Malaysian Designers’ Dedikasi FashionValet Buat Pereka Fesyen Tempatan!

‘The Rise of Malaysian Designers’ Dedikasi FashionValet Buat Pereka Fesyen Tempatan!

Sejak menembusi industri fesyen e-dagang pada 2010, FashionValet berusaha mengetengahkan pereka fesyen tempatan. Bukan sahaja mencipta sebuah platform untuk menaikkan dan mengangkat nama mereka, tetapi inisiatif tersebut adalah sebagai pencetus inspirasi buat seluruh peminat fesyen tanah air dan juga antarabangsa.

Bangga dengan pencapaian dan bakat-bakat pereka fesyen Malaysia masa kini, FashionValet berbesar hati melancarkan coffee table book pertamanya, ‘The Rise of Malaysian Designers by FashionValet’. Mempunyai 300 halaman muka surat yang menampilkan 20 pereka fesyen dan jenama terkemuka tempatan, barisan pereka fesyen terlibat adalah Afiq M, Aere, Alia Bastamam, Arared, Cala Qisya, dUCk, Fizi Woo, FZK by Fitri Zainal, INNAIRED, Khoon Hooi, Laguna Sydney, Locka, Love To Dress (kini dikenali sebagai Olloum), Mimpikita, Nurita Harith, Poplook, Rizman Ruzaini, Syaiful Baharim, THAVIA dan TudungPeople.

Menurut Pengasasnya, Vivy Yusof, usaha untuk menerbitkan ‘The Rise of Malaysian Designers’ merupakan hasil kerja seluruh warga FashionValet sepanjang tahun ini bertujuan sebagai pengantara pereka fesyen, jenama dan masyarakat yang tidak mengetahui kisah perjalanan, rahsia serta kejayaan setiap insan istimewa ini dalam menempa nama dalam industri fesyen negara. Dengan muka hadapan tebal dihiasi wajah 20 designer, buku ini turut mengandungi foto-foto eksklusif, kata-kata azimat dan kisah di sebalik pembabitan mereka.

Bagi penggemar fesyen tanah air, jangan lepaskan peluang untuk memiliki naskhah ini di www.fashionvalet.com atau di kedai fizikal FashionValet di Bangsar Village II dan Pavilion pada Oktober ini dengan harga RM129 senaskhah. SUZIANA ABU DAUD

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: