
Jika selama ini ramai yang terpesona dengan gaya masakan unik dan ekspresi Cef Burak Ozdemir yang sering mengukir senyuman sepanjang menghasilkan video masakan, kini hilangnya seri dan ‘kemanisan’ itu.
Semuanya gara-gara insiden dan keadaan huru-hara yang sedang melanda penduduk di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu.
Sebagai individu berpengaruh dan terkenal dengan masakan amalnya untuk golongan kurang berkemampuan, penderitaan yang dialami rakyat Palestin akibat jenayah perang rejim Zionis Israel cukup memberi kesan besar terhadap kehidupan cef kelahiran Turki ini.



Ramai peminat mula menyedari perubahan Cef Burak kebelakangan ini apatah lagi dia turut dilihat enggan bergembira dan tersenyum ketika membuat content di media sosial.
Ini merupakan cara usahawan lelaki berusia 28 tahun berkenaan menunjukkan tanda sokongan dan solidariti kepada saudara Islam di sana.
Dalam perkongsian video masakan baru-baru ini juga jelas kelihatan wajah sedih Cef Burak. Reaksi tersebut nyata mengundang pertanyaan dan perhatian peminat.




Yang pasti, ia bukanlah kali pertama dia muncul dengan penampilan seumpama itu dalam video masakannya.
Malah ketika Turkiye dilanda gempa bumi pada Februari lalu, Cef Burak turut bertindak sama.



Sehingga ke hari ini, dia sudah pun mempunyai lebih 54 juta pengikut di media sosial. Personaliti ceria dan bakat Cef Burak menyediakan hidangan dalam portion besar turut mendapat perhatian personaliti terkenal dunia seperti Khabib Nurmagomedov, Cristiano Ronaldo dan pengasas Huda Beauty, Huda Kattan.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/tak-peduli-jika-diboikot-pemilik-huda-beauty-keturunan-iraq-ini-lantang-bela-nasib-palestin/
Gaya Hidup Mewah Pewaris SWAROVSKI, Gaun Kahwin Je Lebih USD1 Juta & Bertatah 500 Ribu Swarovski!

Wow, terkedu bila dapat tahu betapa mewahnya gaya hidup pewaris empayar Swarovski ini! Mana tidaknya, Victoria Swarovski bukan hanya mampu memiliki pelbagai barang mewah dari hujung rambut ke hujung kaki. Bahkan majlis dan gaun perkahwinannya turut menjadi bualan dan tersenarai antara perkahwinan termahal di dunia setaraf perkahwinan diraja Putera William dan Kate Middleton!
Baru meniti usia 27 tahun, Victoria Swarovski merupakan penyanyi pop terkenal kelahiran Austria. Meskipun memegang status pewaris Swarovski namun sejak dari kecil wanita cantik ini sudah dididik untuk belajar berdikari. Pada awal pembabitan Victoria dalam industri muzik, dia cuma menggunakan nama gelaran ‘Victoria S’ hanya kerana mahu menyembunyikan status diri sebagai legasi jenama kristal mewah berkenaan.
“Kalau saya menggunakan nama (Swarovski), pasti mereka akan kata ‘Oh budak perempuan kaya itu, apa yang dia buat? Dia bukan berbakat pun.’ Ia akan menyukarkan lagi perjalanan seni saya dan sukar untuk saya tonjolkan kebolehan diri.
Ibu dan ayah saya banyak mengajar tentang bagaimana untuk menjalani kehidupan normal dan ada kewangan yang stabil. Mereka selalu mengingatkan bahawa apa yang dimiliki hari ini boleh hilang sekelip mata dan disebabkan itulah saya membina kerjaya sendiri,” ujar Victoria yang mula menandatangani kontrak bersama Sony Records ketika berusia 15 tahun dan merakam lagu The Chronicles of Narnia : The Voyage of the Dawn Treader dalam versi Bahasa Jerman.
Selepas berjaya bertapak kukuh dalam industri, pada tahun 2014 barulah Victoria berani tampil dengan nama keluarganya, Victoria Swarovski. Apa yang mengejutkan ialah lagu duet Victoria bersama penyanyi rap terkenal Jerman mendapat sambutan menggalakkan yang seterusnya menjadi kemuncak kerjaya Victoria hingga kini.
Selain menyanyi, anak perempuan Paul Swarovski dan Alexandra Swarovski ini juga sebenarnya seorang pengacara, penulis lirik, model dan pereka fesyen. Ibunya, Alexandra pernah menjadi model dan wartawan. Terbaru, Victoria dikenali sebagai hos bagi program hiburan popular, Let’s Dance. Hasil kerja kerasnya dalam bidang seni… Victoria pernah menerima anugerah Deutscher Fernsehpreis – Best Primetime Entertainment Show.


Kerap berkongsi momen percutian ke seluruh pelusuk dunia di media sosial, Victoria dilabel wanita yang bijak bergaya dan mempunyai cita rasa fesyen mewah. Jika diteliti beg tangan yang dijinjing… kebanyakannya dari jenama terkemuka, Hermes. Pelbagai saiz, warna dan bentuk beg tangan Hermes ada dalam simpanan Victoria. Begitu juga koleksi beg Chanel, Christian Dior dan sebagainya yang dimiliki wanita bertuah ini. Itu belum lagi aksesori cermin mata hitam, jam dan kasut yang dipakai!
Selain gemar berkunjung ke tempat percutian eksklusif dan menikmati percutian mewah di atas kapal, Victoria juga dilihat sering menaiki jet peribadi untuk ke satu-satu destinasi. Dia kerap meluangkan masa bersama adik perempuannya yang juga seorang model iaitu Paulina Swarovski.
Menyentuh kisah cinta Victoria, wanita kelahiran Austria ini akhirnya bertemu jodoh dengan jejaka pilihan yang juga seorang ejen hartanah, Werner Murz. Mereka berdua mula mengenali melalui persahabatan bapa masing-masing. Khabaranya hubungan istimewa yang terjalin di antara Victoria dan Werner sudah berlanjutan selama beberapa tahun sebelum mereka memutuskan untuk berkahwin pada tanggal 16 Jun 2017 di Trieste, Itali yang hanya dihadiri 250 orang tetamu.
Paling menarik perhatian dunia ialah perkahwinan mereka yang cukup eksklusif dan mewah. Gaun yang dipakai Victoria adalah ilham pereka terkenal Dubai iaitu Micheal Cinco yang pernah menghasilkan busana untuk selebriti antarabangsa seperti Jennifer Lopez, Beyonce, Rihanna, Naomi Campbell dan Lady Gaga.
Menurut Daily Mail, gaun perkahwinan Victoria sepanjang 8 meter dianggarkan mencecah nilai lebih USD 1 juta yang diperincikan dengan 500, 000 butir kristal Swarovski dan seberat 46 kilogram atau hanya 15 pound lebih ringan daripada berat badan Victoria ketika itu. Selain gaun, kasut yang dipakai iaitu Jimmy Choo turut mempunyai ukiran namanya. Harga minimun bagi sepasang kasut tinggi Jimmy Choo dianggarkan bermula dari USD2 ribu.
Pada malam perkahwinan pula, Victoria menyediakan tiga pasang gaun lagi. Salah satunya berwarna merah yang terletak cantik di tubuh rampingnya ketika majlis tari-menari. Sementara gaun putih tanpa lengan digayakan Victoria sewaktu upacara memotong kek perkahwinan berlangsung. Fuh, memang luar biasa mewah majlis perkahwinan Victoria Swarovski!
Victoria merupakan generasi kelima empayar Swarovski yang diasaskan oleh nenek moyangnya iaitu Daniel Swarovski pada tahun 1985. Masih berpaksikan kepada perniagaan keluarga turun-temurun, syarikat ini dilaporkan meraih pendapatan bernilai USD4.2 bilion pada tahun 2017.
Sumber: Hello Magazine, Business Insider & Money
Bukan Jaga Hati Suami Je, Hati Ibu Mentua Pun Kena Tackle! Ini 10 Cara Jadi Menantu Favourite!

Macam-macam cerita kita dengar tentang hubungan menantu dan mentua. Ada yang manis, ada pula penuh dengan kemarahan dan kekecewaan. Alangkah bertuah menantu dan mentua yang hubungannya sentiasa wangi dan mesra. Dan betapa pedihnya bagi mereka yang hubungannya sentiasa panas dan meruncing.
Apabila menantu dan mentua tidak sebulu, orang lain dalam keluarga akan turut sama merasakan tempiasnya. Terutama anak atau pasangan dan juga cucu-cucu yang ada. Tentu tidak menyenangkan apabila cucu-cucu atau anak-anak melihat nenek dan orang tua mereka bermasam muka serta tidak bertegur sapa.
Sebagai mentua, adakalanya kita cepat sangat tersentuh atau kecil hati dengan menantu. Ini mungkin sebab kita bimbang kehilangan kasih sayang anak yang kini sudah menjadi milik orang. Sepatutnya, perasaan seperti ini tidak timbul dan kita patut berlapang dada menerima kehadiran seorang anak lagi dalam keluarga.
Sementara menantu pula kadang-kadang cepat terasa hati dengan mentua lantaran masih tidak dapat menyesuaikan diri dengannya. Sepatutnya, menantu juga mengambil inisiatif untuk mendekati mentua dan cuba menyayanginya sama seperti menyayangi orang tua sendiri.
10 CARA JADI MENANTU FAVOURITE
- SELALU SENYUM
-Apabila berdepan dengan mentua, jangan sesekali menarik muka masam. Sebaiknya berusaha untuk senyum seikhlas mungkin. Ini kerana bimbang mentua terasa hati walhal punca anda monyok tidak ada kaitan dengannya. Jadi perlu senyum sentiasa walaupun dalam hati anda itu tidak begitu gembira.
- ELAK MASUK CAMPUR
-Anda sangat tidak digalakkan untuk masuk campur dalam perihal anak menantunya yang lain sekalipun apa yang berlaku itu tidak bertentangan dengan syariat. Elakkan bergossip dan menjadi batu api kerana tersilap langkah, ia akan memakan diri anda sebagai menantu. Jadi, berbaik-baiklah dengan mentua dan ipar duai yang lain.
- MURAH HATI
-Untuk mengambil hati mentua, anda tidak boleh kedekut sebaliknya perlu bermurah hati misalnya belikan ibu mentua hadiah, pakaian atau paling kurang barang keperluan rumah. Jika tidak, anda boleh beri wang untuk belanja.
- RINGAN TULANG
– Ingat, di rumah mentua anda perlu ringan tulang. Bangun awal pagi, solat subuh dan segera bantu ibu mentua di dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Anda juga perlu tunjuk skil memasak dan soal sedap atau tidak itu bukan keutamaan. Yang penting anda rajin ke dapur.
- SELALU MINTA PANDANGAN
-Sebagai ibu, hati mana yang tidak gembira jika anak menantu selalu menghubungi atau menziarahinya. Selain bertanya khabar, sebagai menantu anda juga boleh bertanya pendapatnya tentang sesuatu perkara misalnya yang melibatkan anak-anak anda yakni cucu-cucunya, Sesekali anda juga boleh bertanya resipi kegemaran suami anda yang juga anak kesayangannya. Pasti mentua anda gembira.
- USAH CEMBURU DENGAN MENTUA SENDIRI
-Asyik anda sahaja layan suami sesekali berilah peluang untuk ibu mentua melayan anaknya.Misalnya ketika anda balik ke kampung. Bukan setiap hari mentua anda berpeluang layan anak lelaki seperti zaman bujang mereka dulu. Jadi, biarkan jika mentua manjakan suami anda. Cemburu biarlah bertempat.
- JAGA AIR MUKA SUAMI
-Isteri yang baik dan bijak adalah isteri yang pandai menjaga aib suaminya. Jadi, elakkan memarahi suami di depan ibunya walaupun apa yang dilakukan suami ketika itu benar-benar menyakiti hati anda. Kawal emosi anda depan mentua.Usah sekali memperkecilkan suami di depan mentua anda dan adik-beradiknya yang lain. Ini boleh memberi gambaran positif pada ibu mentua anda bahawa anda seorang yang sangat menghormati suami.
- JAGA PERCAKAPAN
– Usah biarkan kerana mulut badan binasa. Jika anda seorang yang dikategorikan sebagai mulut lepas, anda dinasihatkan agar kurang bercakap. Dan pastikan anda sentiasa alert pada yang bakal diperkatakan anda, bimbang ia mengecilkan hati ibu mentua. Fikir sebelum bercakap.
- DAHULUKAN DIA
-Sebagai menantu yang baik, anda dahulukan mentua anda dalam apa jua keadaan.Sebagai contoh mudah, apabila ibu mereka naik kenderaan bersama anda, pelawa dia untuk dududk di hadapan iaitu di sebelah anaknya. Beri dia peluang bersembang dengan suami anda dan sesekali anda duduk di belakang bersama anak-anak tidak mengapa.
- PUJI SUAMI ANDA
-Hati seorang ibu pasti gembira jika ada orang lain memuji anaknya. Jadi, anda perlu selalu puji kebaikan suami di depan ibu mentua anda. Sesekali ucapan begini, “pandai sungguh mama didik dan ajar dia. Saya rasa amat beruntung dapat suami macam dia.” ROSMAH IDAYU ABU SAMAH
Berurut Untuk Betulkan KANDUNGAN SONGSANG, Selamat Ke? Adakah Pembedahan Caesarean Saja Pilihan Yang Ada?

Menerima berita gembira sebaik disahkan oleh doktor bakal bergelar seorang ibu sangat menguja hati. Lebih-lebih lagi apabila telah lama menanti perkhabaran indah ini.
Namun, dilaporkan hampir 20% ibu hamil akan mengalami keadaan bayi dalam kandungan dengan keadaan kaki di bawah dan kepala di atas atau dalam dikatakan dalam keadaan songsang.
Kedudukan songsang bayi di dalam rahim adalah perkara biasa ketika awal kehamilan. Proses perubahan kedudukan bayi berlaku secara semula jadi pada minggu ke-28 hingga minggu ke-32.
Jika kedudukan bayi masih tidak berubah, maka ibu hamil tersebut diklasifikasikan sebagai kandungan songsang. Namun, terdapat juga sebilangan kecil kes bayi mengubah kedudukan selepas dari tempoh tersebut.
Cara hidup tidak pengaruhi kedudukan bayi
Kandungan songsang bererti kedudukan yang paling bawah (berdekatan dengan pangkal rahim) adalah kaki atau punggung bayi. Kedudukan bayi songsang selalunya berlaku secara spontan, tidak ada sebab tertentu dan TIDAK dipengaruhi oleh cara kehidupan seseorang ibu tersebut.
Ramai yang bertanya adakah ia disebabkan oleh faktor pemakanan, faktor pekerjaan dan adakah kerana ibu hamil sering tidur ketika mengandung. Semuanya tidak berkaitan dan tidak menyebabkan kandungan menjadi songsang.
Namun ada beberapa faktor yang didapati boleh menggalakkan kedudukan songsang bagi bayi di dalam kandungan.
Faktor-faktor berikut adalah:
- Bayi yang besar dalam kandungan.
- Masalah air ketuban; terlalu banyak (polyhydramnios) atau kurang air ketuban (oligohydramnios).
- Ibu yang pernah mengalami kandungan songsang sebelum ini.
- Masalah uri di bawah atau placenta previa.
- Masalah kedudukan uri di sudut rahim (cornual placenta).
- Masalah bentuk rahim yang tidak normal (bicornuate misalnya).
- Masalah fibroid di dalam rahim ketika hamil.
- Kandungan kembar.
Kaedah membetulkan kedudukan bayi
Tidak ada cara tertentu untuk merawat kandungan songsang. Namun, ramai doktor boleh membantu untuk melakukan External Cephalic Version (ECV) untuk mengubah kedudukan bayi daripada songsang kepada cephalic agar lebih ramai wanita boleh bersalin secara normal.
Syarat-syarat sebelum prosedur ECV dilakukan
- Bayi hendaklah matang.
- Kedudukan uri adalah normal.
- Air ketuban dalam keadaan normal.
- Dilakukan oleh doktor di hospital yang mempunyai kemudahan lengkap.
- Pesakit perlu sedar dan sanggup mengambil risiko-risiko yang diterangkan oleh doktor.
Risiko-risiko yang dikaitkan dengan ECV
- Bayi akan bertukar menjadi songsang semula.
- Bayi boleh mengalami masalah lemas (fetal distress) ketika atau selepas prosedur ECV tadi.
- Ibu mengalami sakit atau sengal di bahagian otot abdomen selepas ECV.
- Ibu mengalami pendarahan akibat abruptio placenta yang berlaku akibat ECV.
- Ibu terpaksa tinggal di hospital selepas ECV untuk pemantauan ibu dan bayinya.
Memandangkan risiko-risiko tersebut, ECV tidak boleh dilakukan oleh bidan-bidan atau mana-mana kakitangan kesihatan di luar hospital. Begitu juga dengan kelahiran, bayi yang songsang hendaklah dilahirkan di hospital.
Bagi kandungan songsang, cara kelahiran yang paling selamat adalah melalui Caesarean Section atau pembedahan.
Namun begitu, terdapat ibu dan bapa yang mahukan bayi mereka dilahirkan secara normal melalui faraj walaupun kedudukannya songsang. Semua pesakit yang ingin cuba melahirkan bayi songsang melalui faraj hendaklah bersetuju mengambil risiko-risiko di bawah:
- Risiko bayi lemas.
- Risiko tali pusat jatuh keluar dahulu sebelum bayi dilahirkan.
- Risiko bayi meninggal dunia akibat kedua-dua masalah di atas.
Kadangkala, dalam mencuba untuk bersalin secara normal, bayi yang songsang tidak juga turun dan keluar walaupun si ibu mengalami kontraksi dan kesakitan yang kuat. Kes begini akan melalui Emergency Caesarean Section. Hamizatul Maizan Mohamed