
Belle Yahya bukan lagi nama asing dalam kalangan usahawan di Malaysia. Mula menceburi bidang perniagaan lebih sedekad yang lalu, jenama busana muslimah miliknya iaitu Bella Ammara masih kekal bertahan di pasaran. Bahkan ia pernah menjadi fenomena suatu ketika dulu dan menakluki beberapa cawangan di seluruh negara.
Seiring pertambahan usia, kemewahan harta benda bukan lagi tumpuan utama Belle. Sebaliknya pemilik nama Sharifah Nabilla Al-Yahya Syed Sheh ini lebih berminat mengejar akhirat dan mengumpul ‘saham’ untuk dijadikan bekalan ke sana kelak.
Buktinya, daripada free hair kemudian bertudung dan seterusnya bertudung labuh, kini Belle Yahya selesa dengan penampilan berpurdah. Tidak pernah menyangka dirinya akan berubah sedrastik ini namun Belle bersyukur diberi hidayah Allah selagi masih bernafas.
Perubahan Belle Yahya
Dalam temu bual bersama stesen radio Zayan, isteri Carl Samsudin tersebut berkongsi fasa perubahan yang dialaminya ke arah untuk menjadi seorang muslimah sejati dan diredai Allah.
“Sebenarnya bagi Belle point dia adalah mencari. Masa Belle berniaga memang Belle pulun berniaga untuk jadi orang berjaya di dunia. Nak buat yang terbaik di dunia masa tu.
Pernah rasa bisnes ‘meletup’ tapi rasa macam ini je ke? Perasaan dia biasa je. Belle masih lagi mencari sampailah satu hari Belle dapat jemputan daripada kawan untuk pergi majlis ilmu. Rasa sangat seronok dan tenang. Duit berjuta-juta pun tak dapat that kind of feeling. Kelas ni percuma je tapi perasaan tu tak mampu dibayar.
View this post on Instagram
Belle mula belajar agama dengan ustaz dan ustazah. Sampai satu tahap jatuh cinta dengan majlis ilmu. Dari situ Allah gerakkan hati untuk Belle berpurdah. Kita nak cari sesuatu perasaan yang tenang dan bahagia itu, susah nak dapat. Hanya dengan dekatkan diri dengan Allah saja, perasaan itu kita dapat.”
Akui Belle lagi, dia pernah berpandangan memakai purdah melambangkan tingginya ilmu agama seseorang dan hanya orang tertentu saja mampu memakainya.
Belle Yahya Kejar Akhirat
“Dulu Belle ada pandangan yang berpurdah ini orang-orang alim. Saya pun tak sangka (berpurdah) dan sedar diri belum sempurna. Belle pun hamba Allah yang berdosa tapi nak ubah diri kita. Kalau kita buat betul-betul kerana Allah, kita takkan ambil kisah pandangan orang terhadap kita.
Belle tahu belum sempurna dari segi pakaian dan masih banyak dosa. Tapi Belle berdoa untuk jadi terbaik satu hari nanti yang Allah reda. Inilah jalan jihad Belle untuk berubah dari zaman remaja dulu tak bertudung. Istiqamah tak mudah tapi percaya Allah tunjukkan jalan untuk istiqamah.”
Kagum dengan semangat Belle Yahya untuk berubah menjadi insan lebih baik. Sebagai wanita yang pernah sukses pastinya dia sudah lalui pelbagai situasi dan puas dengan kemewahan dunia.
Terdahulu, Belle pernah mengusahakan pusat kecantikan Naarabelle Facespa, memiliki rangkaian Sugar Belle Cosmetics dan BA Beau.