Dalam usaha menjadikan masyarakat Malaysia lebih sihat dan mengamalkan pemakanan sihat, soal pengambilan hidangan berasaskan makanan laut perlu dipertingkatkan memandangkan ikan kaya dengan sumber protein, selenium, zink, iodin, Vitamin A dan D serta Omega 3.
Bagi chef terkenal Datuk Chef Wan, memasak berasaskan makanan laut seperti ikan banyak meninggalkan nostalgia buat dirinya terutamanya ketika zaman kanak-kanak. Tambahnya, membesar dalam persekitaran yang susah dan anak sulung kepada tujuh adik-beradik, sejak kecil dia sudah didedahkan dengan pelbagai ragam kehidupan untuk membantu ibu dan bapanya menambah pendapatan keluarga.
“Dari kecil saya sudah diajar untuk mencari rezeki tambahan untuk keluarga. Bayangkan, ayah hanya bekerja sebagai seorang askar berpangkat korperal dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) manakala ibu pula merupakan seorang suri rumah. Sudah tentu pendapatan keluarga agak terhad.
Jadi, sebagai anak sulung ayah akan membawa saya memancing di kawasan lombong berdekatan kuarters dan dari situ saya belajar bagaimana memancing. Hasil tangkapan dijadikan lauk untuk kami adik-beradik.”
Selain itu, Datuk Chef Wan juga sering membantu ibunya menyediakan kuih-muih untuk dijual di dalam kaurters. Dari situlah minatnya mula didedahkan secara informal terhadap dunia masakan terutamanya makanan Melayu.
“Jika ada lebihan, ikan tersebut juga akan dibuatkan ikan masin dan dimakan pada saat-saat yang diperlukan,” ujarnya ketika ditemui di majlis santai Uncle Ali The Fishmonger yang terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam.
Pada majlis tersebut, Datuk Chef Wan turut berkongsi dua menu warisan keluarganya iaitu Gulai Udang Nenas dan Ikan Bakar Portugis. Resipi gulai tersebut telah diwarisi olehnya dari 5 generasi keluarga yang sememangnya mempunyai kepakaran dalam bidang masakan.
“Resipi yang saya sediakan hari ini adalah resipi keluarga yang diwarisi sejak turun-temurun lagi. Antara rahsia untuk mendapatkan hidangan gulai yang enak adalah melalui penggunaan bahan-bahan yang segar antaranya kunyit, lengkuas, buah keras, udang kering dan serbuk ketumbar.
“Saya tidak mempunyai sukatan khas dalam memasak. Sama seperti orang dulu-dulu memasak pakai campak-campak sahaja, saya juga begitu. Tetapi untuk memasak gulai, pastikan api besar digunakan untuk menaikkan bau bahan yang hendak ditumis. Pastikan jika mengisar bahan menggunakan mesin pengisar, ia akan mempunyai air dan tumislah dengan menggunakan api yang besar.
Jika menggunakan batu lesung, api yang sederhana sudah memadai dan pastikan ianya ditumis sehingga pecah minyak dan wangi. Jangan kedekut menggunakan bawang merah dalam masakan melayu kerana ia adalah antara salah satu rahsia untuk menyedapkan hidangan.”
Sebelum menamatkan proses memasak, Chef Wan turut berkongsi petua bagaimana memasak makanan berasaskan hidangan laut agar ia kekal segar dan enak ketika dinikmati.
“Untuk memasak hidangan berasaskan makanan laut, ia tidak boleh dimasak terlalu lama kerana akan menyebabkan manis pada makanan laut hilang. Jadi, sebagai contoh jika memasak gulai udang seperti ini, pastikan api ditutup beberapa minit sebelum dihidangkan kerana semasa proses tersebut udang masih boleh melalui proses memasak. Pastikan masa memasak makanan laut tidak terlalu lama bagi mengekalkan nutrien yang istimewa di dalamnya,” ujar Datuk Chef Wan mengakhiri perbualan.