Sejak daripada pencarian Dewi Remaja diperkenalkan 33 tahun lalu sehingga kini, ramai bakat-bakat baharu telah dilahirkan dan mereka kini berjaya dalam bidang masing-masing termasuklah pengacara dan pelakon hebat tanah air, Scha Al-yahya. Mengakui pembabitannya dalam Dewi Remaja pada awalnya hanya untuk mengisi masa lapang dan menjadi pembaca berita, Scha tak sangka rezekinya datang meluas dalam bidang lakonan dan pengacaraan.
“Pada awalnya saya menyertai pencarian Dewi Remaja hanya untuk mengisi masa lapang dan tiada sebarang misi. Saya bercita-cita untuk menjadi pembaca berita atau pengacara sahaja, bukan nak jadi pelakon. Selepas enam bulan menjadi juara, baru saya sedar keadaan sudah menjadi semakin serius dan perlu fokus”, jelas Scha mengimbau kembali kenangan.
Tidak menganggap pencarian Dewi Remaja hanya bersandarkan rupa paras semata-mata, ini reaksi ikhlas Scha.
“Bagi saya istilah beauty with brain ini sangat subjektif. Tidak semestinya anda hanya menjadi seorang yang pandai dari segi akademik, tetapi juga harus bijak menguruskan diri sendiri, stres ataupun apa sahaja kontroversi dan spekulasi yang dilemparkan. Hal ini kerana, menjadi seorang yang dikenali dalam industri hiburan pada hari ini, anda tidak akan terlepas peluang untuk menghadapi perkara seperti ini”.
Ads
Itu yang akan menunjukkan sama ada kita ini smart secara IQ atau EQ. Namun, kedua-dua itu sangat penting. Beauty with brain akan kelihatan apabila kita tahu cara mengawal emosi dan ujian yang mendatang”, jelas Scha Alyahya yang sentiasa menarik perhatian ramai dengan penampilannya yang on point!
Mengakui Dewi Remaja merupakan saluran terbaik para gadis di luar sana untuk mengembangkan bakat masing-masing disamping meneruskan cita-cita dalam dunia glamour. Namun, untuk terus mengekalkan nama baik dalam industri, mereka harus menjadi diri sendiri.
Ads
“Tidak dinafikan, berat sebenarnya untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemenang Pencarian Dewi Remaja. Semua orang ada membuat silap. Namun, saya harus bijak menyembunyikan kelemahan diri dan memperbaikinya kerana saya mempunyai tangunggjawab besar kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Jangan terlalu tertekan untuk menjadi seorang sempurna. It is okay. You are allowed to make mistakes. It’s just like, did you learn from your mistakes?”, jelas bekas juara Pencarian Dewi Remaja 2005/2006 ini.
“Saya percaya kalau kita belajar daripada kesilapan yang pernah dilakukan dan tunjukkan we can do better from time to time, kita mampu untuk memikul tangunggjawab tersebut dengan cara yang lebih profesional, telus dan tidak dibuat-buat.”, tambah ibu kepada Lara Alana ini.
Ads
“Apa yang dapat dilihat pada hari ini pemilihan mereka bukan sahaja berdasarkan rupa paras yang cantik. Rata-rata mereka mempunyai beauty with brain dan kelebihan masing-masing. Di mana saya yakin untuk pencarian kali ini, itulah kriteria yang pihak penganjur titik beratkan. Memang tidak boleh kalau hanya bersandarkan pada paras rupa kerana mereka telah disediakan platform hebat untuk mengembangkan lagi bakat mereka dan tunjuk apa yang mereka boleh sumbangkan kepada industri”, jelas Scha lagi ketika ditemui di sidang media Pengumuman Top 12 Pencarian Dewi Remaja 2018/2019 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Besar ujian yang dilalui Meutya Viada Hafid untuk bergelar ibu. Siapa sangka Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia ini menanti selama sembilan tahun untuk menimang cahaya mata dan bergelar ibu. Semangat yang dimiliki pemimpin wanita ini nyata mengundang rasa kagum dalam kalangan insan khususnya kaum isteri yang senasib dengannya.
Meutya yang kini berusia 47 tahun kian sibuk menggalas tugas menerajui bidang komunikasi dan digital di negara jiran.
Figura ini secara rasmi dilantik menyandang jawatan Menteri dalam bidang tersebut pada 21 Oktober 2024 semasa pemerintahan Presiden Prabowo Subianto. Ia sekaligus menjadikannya wanita pertama menduduki jawatan berkenaan.
Karier politik Meutya Hafid bermula pada tahun 2010 dengan menyertai parti politik Golkar. Terdahulu, dia dikenali sebagai wartawan di Metro TV sekitar tahun 2001 hingga 2008.
Bahkan Meutya juga pernah menemu bual Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kira-kira 21 tahun lalu. Perkara tersebut didedahkan sewaktu dia mengiringi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dalam lawatan rasmi ke Malaysia pada April lepas.
Meutya Viada Hafid mendirikan rumah tangga pada 24 Februari 2014 dengan Noer Fajrieansyah. Kini usia perkahwinan mereka mencecah usia 11 tahun dan lebih bermakna dengan kehadiran cahaya mata yang dinanti-nantikan iaitu Lyora yang selamat dilahirkan pada 9 September 2022.
Dalam hantaran yang dibuat di media sosial, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dari University of New South Wales, Australia dan Sarjana Seni dalam Ilmu Politik, Universitas Indonesia ini meluahkan rasa syukur melihat permata hati kian membesar sihat.
Sambil meletakkan tanda pagar Pejuang Dua Garis Selama 9 Tahun kongsinya, “Terima kasih L. Ibu jadi meneguhkan hati kembali atas semboyan yang dulu selalu ibu pegang 9 tahun tanpa jeda hari menunggumu hadir. Jangan Menyerah.”
Memetik laporan Detik Health, Meutya Hafid telah menjalani prosedur IVF sebanyak 10 kali untuk mendapatkan anak.
“Saya pertama kali menjalani bayi tabung itu pada usia 37 tahun. Sempat mengalami tiga kali hamil tapi keguguran kerana janin dan embrio itu tidak bisa berkembang dengan baik.
Alhamdulillah, saya berhasil hamil akhirnya pada usia 44 tahun dan dikurnia puteri yang saya beri nama Lyora Shaqueena Ansyah.”
Sebagai memberi inspirasi kepada pasangan yang masih menanti untuk bergelar ibu ayah, Meutya turut menerbitkan buku ‘Lyora: Keajaiban yang Dinanti’ pada 10 November 2023.
Tidak semua wanita mempunyai rezeki untuk hamil semula jadi namun kerana naluri keibuan yang menebal dalam diri dan berkemampuan untuk melakukan rawatan kesuburan, ada yang sanggup menanggung sakit, mengeluarkan wang yang banyak dan masa yang lama semata-mata untuk memenuhi impian menimang cahaya mata sebagai pelengkap rumah tangga.
Moga perkahwinan Meutya Hafid dan suami berkekalan hingga ke syurga di samping puteri kesayangan, Lyora.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penyampaian dakwah melalui platform teknologi, terbukti menjadi magnet yang mampu menarik generasi masa kini agar lebih cintakan Islam. Inilah usaha wanita hebat yang bukan sahaja bergelar pendakwah dan penceramah bebas tetapi usahawan Muslimah yang disegani, Ustazah Asma’ Harun.
Ustazah Asma tiba ke lobi Concorde Hotel Shah Alam bersama suami, Ustaz Tengku Fazli Tengku Yahya. Wajah penerima Nona Motivator Award 2022 ini terlihat begitu bersih dan menenangkan, terasa betapa indah pertemuan ini diserikan dengan silaturrahim sambil kami berbalas khabar dan bertukar salam.
Meneliti senarai portfolio dan pengalaman kerjaya Ustazah Asma’ Harun pada usia 39 tahun, sesungguhnya cukup mengagumkan.
Anak jati Terengganu itu menetap di Seremban, dikurniakan 7 orang cahaya mata serta memiliki kelulusan Sarjana Pengajian Islam dari Open University Malaysia (OUM) dan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar di Mesir.
Dalam kesibukan berdakwah, Ustazah Asma’ sebenarnya banyak menulis buku. Antara karyanya adalah Sahabat Dunia Akhirat, Kembara Menuju Allah, Ada Syurga Di Rumahmu, Hijrahku Ini Sebenarnya Untuk Siapa dan Ensiklopedia Keluarga Bahagia.
Bakat mendidik itu barangkali diwarisi daripada ibu tercinta, Puan Fikriah Awang yang merupakan seorang guru fizik.
Tidak cukup dengan menulis, siapa sangka Ustazah Asma’ turut meneruskan minat bapanya, Ustaz Harun Ismail dalam bidang dakwah dan perniagaan.
Bahkan cucu kepada murabbi Ustaz Haji Awang Abu Bakar dan cicit Tok Guru Haji Abbas yang cukup disegani di Pantai Timur itu turut bergelar usahawan dengan menerajui pelbagai cabang perniagaan Muslim.
“Saya pernah digelar ‘Ustazah Ayam’ kerana pernah meniaga ayam masa awal berceramah dahulu. Setiap minggu suami akan berulang-alik ke Kedah untuk ambil stok ayam dan setiap kali ceramah, kami akan bawa ayam frozen untuk dijual.
Hanya suami dan keluarga sahaja yang tahu betapa mencabarnya keadaan kami waktu itu.
Niatnya adalah untuk membekalkan makanan yang diyakini halal kepada orang ramai, kebetulan ketika itu sedang hangat dengan isu haiwan yang disembelih tidak mengikut syariat.
Dari situ, alhamdulillah saya mula meningkat sedikit demi sedikit hingga kami berjaya tubuhkan sebuah NGO iaitu Sahabat Amal Care (SAC).” Ustazah Asma Harun
KERJAYA
Sebelum meninggalkan jawatan tetap dalam kerajaan pada Ogos 2017, Ustazah Asma’ pernah dilantik sebagai Pegawai Hal Ehwal Agama Islam JAKIM, Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga Islam JHEAINS (Perunding Cara Rumah Tangga) dan Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAINS.
Dengan tekad dan nawaitu untuk terus memberi manfaat kepada ummah, Ustazah Asma’ kini merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hijrah Berhad, Pengasas Yayasan Al-Hijrah, Pengarah Urusan dan peneraju di syarikat-syarikat di bawah Kumpulan Hijrah Berhad serta Penaung NGO Sahabat Amal Care di Seremban, Negeri Sembilan.
“Sebelum meletak jawatan sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAINS pada tahun 2017, pada waktu itu saya telah pun mula terlibat dengan ceramah secara kecil-kecilan seperti usrah dan tazkirah di surau.
Kemudian saya ambil keputusan untuk berhenti kerja kerana ingin fokus pada dunia dakwah dan ceramah. Keputusan tersebut mendapat sokongan suami dan keluarga.
Namun, ujian dakwah tidak ringan dan memerlukan sokongan yang kuat daripada orang terdekat. Saya lalui ujian demi ujian, sehingga pernah mengalami masalah kewangan yang teruk dan ayah saya meninggal dunia sewaktu saya menyampaikan ceramah.” Ustazah Asma Harun
Baca artikel perjuangan dakwah bersama penerima Nona Motivator Award, Ustazah Asma’ Harun ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Konsep & Penata Gaya: Azniza Aziz
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Mimie Romyza
Lokasi: Concorde Hotel Shah Alam
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Khabar gembira yang dikongsi dari Istana Kelantan bersama rakyat jelata mengenai Istiadat Perkahwinan Diraja di antara Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra dan Yang Berbahagia Che Puan Sofie Louise Johansson disambut penuh rasa syukur di kalangan rakyat jelata kira-kira setahun yang lalu.
Aura keterujaan bukan sahaja dapat dirasai oleh rakyat negeri Kelantan, bahkan ia turut dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia. Tanggal 19 April 2019 menjadi saksi majlis perkahwinan pasangan diraja telah berlangsung secara sederhana namun tetap meriah. Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan menjadi saksi pasangan diraja ini disatukan sebagai suami isteri.
Semenjak berita perkahwinan pasangan ini, penampilan Che Puan Sofie sering mencuri tumpuan di kalangan rakyat jelata. Mana tidaknya, Che Puan Sofie sering tampil manis dalam persalinan baju tradisional iaitu baju kurung. Diserikan lagi dengan lilitan selendang di atas kepala menyempurnakan penampilan anggun penuh sopan serta pujian setiap mata yang memandang.
Majalah Nona secara eksklusif bertemu dengan Che Puan Sofie di Istana Kota Lama, Kota Bharu Kelantan untuk sesi temu bual bersama wanita kelahiran Rystad, Linköping, Östergötland, Sweden yang menjadi permaisuri di hati Tengku Mahkota Kelantan ini.
Sekalung penghargaan buat kakitangan Pejabat Sultan Kelantan yang telah bertungkus-lumus memastikan sesi fotografi ulung Che Puan Sofie dengan pihak media ini berjalan lancar. Malah Che Puan Sofie turut memberikan kerjasama terbaik sepanjang sesi fotografi berjalan bagi memastikan potret yang diambil memenuhi cita rasa.
Bukan mudah sebenarnya mengatur pertemuan eksklusif ini memandangkan beberapakekangan dan protokol yang harus dipatuhi. Namun begitu, kerjasama dari kedua belah pihak telah berjaya memudahkan sesi fotografi ini dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Walaupun pada awalnya sesi fotografi ini dijadualkan pada penghujung Mac, namun pihak majalah NONA dan pihak Istana Kelantan terpaksa akur apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan di seluruh negara. Berkat kesabaran dan kerjasama tanpa mengenal erti jemu, akhirnya tarikh baharu sesi fotografi diperolehi dan krew majalah NONA diundang ke Istana Kota Lama, Kota Bharu Kelantan.
Sebelum edisi cetakan berada di pasaran, edisi digital majalah NONA sudah boleh diperolehi di Aplikasi eMall Karangkraf.Lebih mengujakan, hantaran cover Che Puan Sofie di laman Instagram miliknya turut mendapat maklumbalas dari Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj di mana baginda memuji kejelitaan Che Puan Sofie. Junjung kasih Tuanku.
Sikap lemah lembut dan sopan-santun Che Puan Sofie yang diuar-uarkan oleh masyarakat di Kelantan begitu terserlah semasa sesi fotografi dijalankan baru-baru ini. Sentiasa mengukir senyuman manis, menerima kehadiran kami dengan penuh mesra juga benar-benar memikat dan mudah untuk didekati.
Tidak hairanlah mengapa dalam tempoh kurang setahun, kehadiran Che Puan Sofie amat disenangi oleh rakyat Kelantan. Kini setelah hampir setahun menjadi suri di hati Tengku Mahkota Kelantan itu, Che Puan Sofie semakin serasi menjalani kehidupan sebagai isteri Tengku Mahkota Kelantan.
Malah, Che Puan Sofie tidak langsung kelihatan kekok menemani Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota menyantuni rakyat jelata mahupun ke acara rasmi kerajaan. Memahami kepentingan hubungan di antara raja dan rakyat jelata, Che Puan Sofie telah mengambil inisiatif untuk mendalami ilmu agama dan mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu.
“Secara jujurnya, rakyat Kelantan telah memenangi hati saya dalam pelbagai cara. Mereka bukan sahaja kaya dengan sopan santun budaya Timur, malah kaya dari pelbagai aspek kehidupan. Saya merasa amat bertuah diterima sebagai isteri kepada Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan,” ujar Che Puan Sofie.
Walaupun kini sudah bermastautin jauh dari negara kelahirannya, namun Che Puan Sofie tidak sesekali melupakan adat serta tradisi yang banyak membentuk keperibadiannya kini.
“Di Sweden, kami mempunyai satu tradisi dikenali sebagai ‘Jäntelagen’ atau the law of Jante, yang bermaksud anda tidak boleh percaya anda lebih baik atau sebaliknya dari orang lain. Kata-kata tersebut saya pegang sehingga kini sebagai azimat untuk diri saya tatkala melalui fasa terkini dalam kehidupan,” ujar Che Puan Sofie merendah diri tatkala penulis mengajukan persoalan mengenai perubahan status buat dirinya dari orang kebanyakan ke istana.
Apa yang pasti, Che Puan Sofie bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik semata-mata. Lebih istimewa, Che Puan Sofie juga gemar memasak seperti yang sering dikongsi di laman media sosialnya @ljo_. Memasak sememangnya menjadi kegemarannya sejak zaman remaja lagi. Tambahan pula, mata pelajaran Ekonomi Rumah Tangga sudah menjadi salah satu subjek kegemaran Che Puan Sofie ketika menuntut di bangku sekolah.
“Bukan itu sahaja, saya juga membesar dalam keluarga yang gemar memasak. Ibu dan nenek juga sering berkongsi resipi turun-temurun keluarga dengan saya. Sebaik mendirikan rumah tangga dengan Tengku Mahkota, saya bertuah kerana bonda mentua, YMM Raja Perempuan Tengku Anis binti Almarhum Tengku Abdul Hamid menghantar salah seorang cef istana untuk mengajar saya memasak beberapa hidangan tradisi Kelantan.
Tahun lalu semasa di Sweden, saya dan keluarga berpeluang untuk mempelajari cara menyediakan Kuzi Ayam, antara hidangan tradisi negeri Cik Siti Wan Kembang melalui buku masakan Resepi Warisan CIK SITI WAN KEMBANG Kelantan Malaysia.
Menu tersebut menjadi kegemaran kami. Saya juga berminat untuk mempelajari pelbagai menu pencuci mulut popular Kelantan. Pada April lalu, saya telah diberi tunjuk ajar oleh cef istana untuk menyediakan kuih kegemaran saya iaitu Seri Muka.
Saya seronok dapat menyediakan juadah istimewa untuk santapan dan mendapat pujian dari Tuanku. Malah ketika Ramadan yang lalu, saya menyediakan kuih tradisi Nasi Kaya Pulut atau Pulut Sekaya untuk sajian berbuka puasa. Kini, kuih tersebut sudah menjadi salah satu menu kegemaran saya, ” ujar Che Puan Sofie yang berhasrat mempelajari menu warisan Kelantan yang lain pula.
Ditanya mengenai menu kegemaran Tengku Mahkota Kelantan, Che Puan turut berkongsi menu kegemaran Tengku Mahkota Kelantan itu. Nak tahu menu apakah yang menjadi kegemaran Tengku Mahkota dan disediakan sendiri oleh Che Puan Sofie, dapatkan Majalah NONA Oktober 2020 atau melalui Aplikasi eMall Karangkraf!
NOTA PENTING: Majalah NONA versi cetakan sudah berada di pasaran tetapi amat terhad.Untuk mengelakkan kekecewaan untuk mendapatkan edisi istimewa ini, anda boleh mendapatkannya dalam versi digital.Muat turun Aplikasi eMall sekarang!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.