Wanita berusia 28 tahun ini yang selesa digelar sebagai Fiqah Kadir kini mampu berbangga dengan pencapaian diri kerana berjaya memiliki empayar perniagaan sekali gus bergelar usahawan muda sukses di Malaysia. Memandangkan minat terhadap bidang perniagaan mengatasi segalanya, sebaik bergelar graduan Diploma Kejururawatan dari Kolej Universiti MAHSA, Fiqah Kadir meneruskan perniagaan online yang diminatinya sejak tahun 2009.
Sepanjang pengajian Fiqah Kadir menjadikan perniagaan sebagai aktiviti sampingan.“Saya beruntung kerana banyak mendapat ilmu perniagaan daripada kedua ibu bapa sejak kecil. Sebaik tamat belajar saya mengeluarkan rekaan pertama jenama sendiri iaitu skirt diikuti koleksi pakaian wanita. Terkini ialah koleksi baju menyusu yang mendapat sambutan menggalakkan di kalangan wanita,” kongsi pengasas Padieka Raccolta dan BondaMilk. com ini yang merupakan ibu kepada dua anak.
SUMBER KEKUATAN
“Suami insan paling mempercayai kebolehan dan kesungguhan saya. Dalam masa jatuh, beliau banyak membantu serta memberikan nasihat dan dorongan. Saya bersyukur kerana memiliki suami yang sporting, memahami dan ringan tulang. Suami sering mengingatkan saya agar sentiasa berwaspada dalam mengambil tindakan.
Ads
Ads
Suami berkhidmat di perairan Malaysia, maka kami sering berjauhan dalam tempoh yang agak lama iaitu lebih kurang 3-4 bulan. Maka, saya perlu bijak menguruskan masa di samping melayan karenah anak-anak yang masih kecil. Sumber kekuatan saya seterusnya ialah anak-anak dan team saya yang sentiasa memahami serta bersemangat. Dengan adanya mereka, saya mampu bergerak untuk memberikan yang terbaik,” bicara Fiqah Kadir. Baginya cabaran adalah proses melahirkan superwoman berkualiti. Hasil daripada setiap ujian pula ilmu paling berharga.
“Apabila menceburkan diri dalam bidang keusahawanan secara online, usahawan perlu bergerak seiring dengan perkembangan digital yang sangat laju khususnya dalam pemasaran. Ambil inisiatif untuk sentiasa menambah ilmu kerana jika terleka kita akan tertinggal. Hampir sembilan tahun saya menceburkan diri dalam bidang perniagaan secara online, banyak perbezaan dari segi strategi pemasaran dan ia berubah dengan pantas.
Pelanggan pun sudah bijak menilai sesuatu produk. Maka, cari jalan terbaik bagaimana meyakinkan mereka melalui kelebihan strategi pemasaran kita,” jelas Fiqah Kadir yang berhasrat untuk meluaskan pasaran pakaian wanita menyusu ke seluruh Asia serta menjadi perintis baju menyusu dan keperluan ibu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lembah Klang sememangnya mempunyai banyak lokasi tempat makan menarik untuk seisi keluarga. Sebut sahaja menu yang diinginkan baik tempatan mahupun makanan barat, semuanya mudah ditemui. Antara kafe yang sering meniti di bibir food hunters termasuklah Gula Cakery.
Gula Cakery merupakan sebuah kafe yang menjual pelbagai jenis kek dan pastri seterusnya mengembangkan menu mengetengahkan makanan Barat serta Asia. Bermula sebagai sebuah impian, perniagaan yang diasaskan bersama ahli keluarga ini membuktikan kerjasama yang baik di kalangan ahli keluarga mampu merealisasikan sebuah jenama yang menjadi lambang kejayaan bersama.
Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal sewaktu kecil sering membantu nenek memasak dan membakar kek di dapur. Setiap kali menjelang Aidilfitri, Ariena menjadi pembantu dan teman rapat nenek di dapur sehingga dia mahir menyediakan kek dan biskut tanpa bantuan orang lain.
Oleh kerana minat mendalami pelbagai ilmu masakan sama ada secara formal atau praktikal dengan sokongan nenek, ayah dan ibu, Arieni memberanikan diri menjual kek kegemarannya menerusi dalam talian.
Sebelum pembukaan kedai pertamanya, Arieni pernah menuntut ilmu pastri ke Paris untuk belajar dengan sendirinya tentang pembuatan kek dan pastri yang betul. Pada usianya yang muda, beliau telah mengambil kursus pendek selama 3 minggu untuk mahir dengan resepi yang diajar.
“Rangkaian kafe ini sebenarnya bermula daripada sebuah impian. Disebabkan saya terlalu meminati serta obses terhadap dunia pembuatan kek, maka terhasillah jenama Gula Cakery yang menjadi impian saya sejak kecil,” ujar Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Head Baker di kesemua rangkaian Gula Cakery.
Berkelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Arieni memulakan perniagaannya seawal usia menginjak angka 20 tahun. Rasa kasih yang tidak pernah putus terhadap kanak-kanak serta mahu sentiasa berdampingan dengan mereka telah mencetus idea untuk membuka sebuah pusat belajar memasak untuk kanak-kanak yang turut memuatkan kafe untuk kemudahan seisi keluarga menikmati hidangan ringan.
Ketika itu Arieni ‘menumpang dapur’ di rumah ibunya untuk menyiapkan tempahan para pelanggan sambil menganjurkan kelas-kelas baking secara sambilan. Pada peringkat permulaan, Arieni menggunakan nama Gula Home Bakery sebagai jenama produk memandangkan dia memulakan perniagaan dari rumah.
Keunikan nama Gula menjadi sinonim buat Arieni yang menganggap gula sebagai salah satu elemen penting dalam menyiapkan kek untuk para pelanggan.
Penerima NONA BEST HOMEGROWN F&B AWARD ini boleh berbangga mempunyai 13 cawangan kafe di ibu negara yang bukan sahaja menghidangkan kek, malah Arieni turut mempunyai kedai menyediakan roti jala iaitu Arieni’s Roti Jala serta sebuah kedai makanan yang menghidangkan menu dari Mexico yang terletak di Setia Alam. Malah ia turut membuka cawangan di Melaka.
Lebih membanggakan, jenama ini turut diiktiraf Time Out KL sebagai kafe berkonsepkan kekeluargaan terbaik apabila kafe Gula Cakery mengembangkan perniagaan dengan pembukaan kafe yang diberi nama Gula Petite di IOI City Mall Putrajaya. Tambah Arieni lagi, Gula Petite berkonsepkan kafe mini yang memberi fokus kepada jualan aneka jenis kek, sandwich dan hidangan minuman panas and sejuk.
Kejayaan demi kejayaan dirai oleh jenama tempatan yang diusahakan bersama keluarga ini membuktikan berkat kerjasama dan kesefahaman antara satu sama lain mampu membawa jenama ini menempa pelbagai kejayaan dalam jangka masa yang singkat.
Berkat doa dan kemahuan untuk merebut peluang mengembangkan perniagaan, Arieni tidak menafikan sokongan keluarga dan sifat dirinya yang sentiasa ingin memajukan diri menjadi antara faktor yang mendorong kejayaannya kini.
“Suami sering melabelkan diri saya sebagai wanita yang tidak boleh duduk diam. Ada sahaja idea atau benda yang hendak saya lakukan. Idea-idea yang datang saya kembangkan untuk menjadikan ia sesuatu yang boleh membawa keuntungan. Itu antara faktor yang saya rasa perlu ada dalam diri setiap wanita untuk berjaya.
Saya menguruskan 13 cawangan dan 180 orang kakitangan. Sudah semestinya saya tidak boleh berdiam diri dan merancang pelbagai strategi untuk sama-sama memajukan jenama serta memastikan kakitangan juga menikmati manfaat bersama,” ujar Arieni yang memasang azam untuk menambah baik kehidupan kakitangannya dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Saya mengamalkan konsep berkongsi rezeki dengan kakitangan kerana dalam perniagaan ini ia saling memerlukan dan bergantung antara satu sama lain. sepanjang 8 tahun ini saya rasa lebih banyak memberi lebih memberi ketenangan dan dapat berkongsi kebaikan dengan insan-insan yang penting dalam hidup saya,” ujar Arieni lanjut.
Sepanjang bergelar usahawan, Arieni juga tidak terlepas dari berhadapan pelbagai cabaran dan dugaan untuk memastikan jenama kesayangannya itu mampu bersaing dalam industri makanan yang kompetatif.
Malah baru-baru, gandingan suami isteri ini turut menjadi juara sebuah rancangan memasak realiti yang dianjurkan oleh sebuah stesyen televisyen tempatan.
“Secara peribadi, dugaan atau cabaran terbesar yang perlu saya hadapi adalah untuk mengenali diri sendiri. Sebagai ketua, saya perlu berhadapan dengan pelbagai kerenah baik dari segi staff mahupun pelanggan.
Bayangkan, saya mempunyai 180 orang staf dan memerlukan ‘orang kanan’ untuk memastikan masakan yang terdapat dalam senarai menu menepati citarasa pelanggan dan piawaian standard yang telah saya gariskan. Jadi, jika titik tersebut tidak saya temui, agak sukar untuk saya memastikan kelancaran kafe sebaiknya.
Jadi, saya tidak boleh beremosi dalam membuat sebarang keputusan kerana ia akan memberi impak terhadap organisasi secara keseluruhannya,” ujar Arieni yang pernah berhadapan dengan masalah apabila kakitangan menamatkan perkhidmatan setelah beberapa tahun berkhidmat.
Sebagai majikan, Arieni amat mementingkan kualiti setiap kakitangan di bawah empayar perniagaannya kerana ia untuk menjayakan perniagaan berasaskan makanan, mutu serta kualiti makanan memainkan peranan yang penting untuk memastikan kepuasan pelanggan sentiasa terpelihara.
Baca artikel penuh penerima NONA BEST HOMEGROWN F&B AWARD di majalah NONA edisi Januari 2023 yang sudah pun berada di pasaran.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajarlah hati untuk jangan cemburu dengan kehidupan atau kejayaan orang lain. Bersyukur dan bergembiralah terhadap kejayaan dan kemajuan yang dicapai oleh orang lain dan jangan sesekali anda merasa iri hati terhadap mereka.
Ikhlas menerima kehidupan yang ada di sekeliling kita dan ambil setiap satunya sebagai semangat untuk kita turut sama boleh berjaya seperti mereka. Dunia ini umpama lautan yang luas rezekinya, kita perlu bijak mengambil peluang dan berusaha untuk memperoleh kejayaan di dunia serta akhirat.
Datin Rauzawani Abdul Hadi, CEO Eniq World Sdn. Bhd yang merupakan pengasas Glow Glowing dan O’Betty terus mengorak langkah mengukuhkan empayar perniagaannya. Strategi pemasaran di radio, menjadi saluran utama untuk memastikan produk ini agar sentiasa konsisten di pasaran, selain aktif di media sosial mengikut trend semasa.
“Semuanya bermula dari bawah. Saya dibesarkan dalam keluarga yang suka berniaga, arwah mama buka kedai makan. Saya dan adik-beradik lain melihat bagaimana mama bersusah-payah membesarkan kami dengan hanya menjual nasi. Semangat arwah mama itulah memberi banyak kekuatan dalam diri saya untuk meneruskan perjuangan dalam perniagaan.
Walaupun saya sedikit terkilan, arwah mama meninggal tiga tahun lalu disebabkan masalah kesihatan. Belum sempat mengecapi segala kejayaan dan kesenangan saya. Namun saya bersyukur, sedikit sebanyak sebelum ini dapat jugalah membahagiakan arwah mama walaupun tidak secara keseluruhan,” jelas Datin Rauzawani atau lebih popular dikenali sebagai CikZaa Glow Glowing di media sosial.
Tiada jalan singkat untuk berjaya, Datin Rauzawani terus berbicara. “Saya mula dengan membuka salun kosmetik. Menawarkan perkhidmatan rawatan rambut, penjagaan wajah dan jual produk kecantikan jenama lain. Selepas setahun, barulah saya mengatur langkah memberanikan diri untuk mengeluarkan produk sendiri, Jamu Dara Anggun.
Waktu itu, permintaan terhadap produk jamu sangat tinggi. Saya jual produk orang lain, alhamdulillah laku. Ini membuatkan saya yakin untuk lebih berusaha dengan menjual produk sendiri. Saya pernah melalui saat kesukaran waktu itu menjual jamu di pasar malam, pasar borong dan buka booth di serata tempat.
Pernah kami diuji, berlakunya hujan ribut dan banyak produk habis rosak. Dengan bayaran tapak yang mahal, saya terpaksa menanggung banyak kerugian. Sebenarnya pelbagai peristiwa duka yang dilalui dan sikit sebanyak mematahkan semangat untuk berniaga.
Namun, saya tetap bangkit dan tidak mahu mengalah. Orang luar mungkin melihat segala keindahan dan kejayaan yang ada sekarang tetapi realitinya proses untuk sampai ke tahap sekarang, bukanlah semudah itu,” ujar Datin Rauzawani.
Selepas dua tahun, jualan jamu mendapat sambutan. Barulah tercetusnya idea untuk mengeluarkan produk skincare, Glow Glowing pada tahun 2013. “Dengan membawa tagline ‘Glow Glowing, Cantik Weyy!’ Alhamdulillah, Glow Glowing mendapat sambutan dengan strategi marketing yang berterusan di media sosial, radio dan televisyen.
Istimewanya produk ini boleh membantu mencerahkan kulit dan kesannya dapat dilihat seawal tujuh hari. Ia dapat mengatasi masalah kulit seperti jerawat, jeragat dan sebagainya bergantung pada jenis kulit seseorang. Paling utama skincare ini sangat mementingkan kualiti dan selamat digunakan oleh semua lapisan masyarakat.”
Kini Glow Glowing telah berada di pasaran hampir 8 tahun. Biarpun lambakan produk kecantikan di pasaran, Datin Rauzawani tidak pernah takut dengan persaingan. Tidak sesekali menganggap persaingan itu boleh menjatuhkan kita dan sentiasa percaya Allah telah mengatur rezeki kita sebaiknya. Baru-baru ini, Glow Glowing menerima anugerah NONA Best Beauty Brand Award di NONA Superwoman 2022.
Tanpa menoleh ke belakang, Datin Rauzawani terus mengorak langkah dengan mengeluarkan rangkaian produk kosmetik di bawah label O’betty.
“Bila kulit wajah cantik dan berseri, saya pasti setiap wanita ingin tampil sempurna dengan solekan menarik. O’betty tampil dengan rangkaian produk kosmetik bagi melengkapi penampilan wajah setiap wanita,” ujarnya yang kini dalam perancangan untuk mengeluarkan satu lagi produk R2Fit tidak lama lagi.
Di sebalik kejayaan Datin Rauzawani, Dato’ Mohd Rowi merupakan mentor utama bagi kejayaan syarikat Eniq World Sdn. Bhd. Pesan suami buat isteri tercinta, “Kalau ingin berjaya jangan iri hati dan dengki dengan orang. Jika kita ingin sukses seperti mereka, kita sendiri perlu buat seperti mana mereka lalui dan usaha sehingga berjaya.”
Akhir kata buat semua wanita Malaysia yang ingin berjuang dalam bidang perniagaan, “Buat semua wanita yang baru mula nak berniaga, anda perlu persiapkan diri dengan kekuatan mental serta fizikal bagi menghadapi segala cabaran yang bakal menanti. Jangan mudah putus asa, jika terjatuh dan terduduk, bangkit kembali.
Sentiasa lihat kesilapan yang mungkin kita lakukan dalam perniagaan dan belajar daripada mereka yang berpengalaman. Kejayaan itu bukan datang bergolek dengan pantas atau setahun dua. Semuanya mengambil masa untuk kita naik dan bergantung juga kepada usaha yang telah kita curahkan. Tiada jalan mudah untuk berjaya!”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Menikmati kek coklat Mamasab dengan drizzle krim keju yang melimpah, sampai sekarang masih terasa kelazatannya. Lembut dan gebu. Tak hairanlah begitu ramai penggemar kek Mamasab sanggup repeat order. Jujur sangat sedap dan memuaskan!
“Alhamdulilah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas, kami dapat beroperasi seperti biasa. Malah semasa ia berkuat kuasa, tempahan yang masuk terlalu banyak. Tak menang tangan kami melayan permintaan customer.
Jualan kek juga meningkat kepada 1-2 juta sehari sehingga wujudnya istilah ‘Jutawan PKP’,” cerita CEO & Pengasas Mamasab International, Siti Noor Sabrina Soobri yang baru dinobatkan Nona Best Networking Business Award dalam Nona Superwoman Award 2020.
Tak cukup dengan bisnes kek, kini Mamasab berkembang ke bisnes kosmetik menerusi pelancaran set lipstik Mamasab dan Young & Glow. Lipstik yang didatangkan dalam pouch bag Neelofa itu tersedia dalam dua pilihan eksklusif iaitu Diva serta Primadona.
Fenomena lipstik Mamasab itu sekali lagi bergelora di jiwa para usahawan serta ejen-ejen Mamasab kerana dikatakan sangat bagus serta berbaloi dimiliki. Selain warna-warna yang cantik, ia juga setaraf lipstik antarabangsa serta menyihatkan kulit bibir. Selain itu terdapat juga pelbagai produk penjagaan wajah di bawah empayar Mamasab seperti pencuci muka dua dalam satu.
Transformasi radikal yang diperkenalkan jelas mengubah pemikiran dan norma kehidupan ramai usahawan kecil, sekaligus melahirkan jutawan-jutawan baru di bawah didikannya.
“Saya bermula dari cawangan pertama (2017) melonjak naik hingga 14 cawangan dan lima kilang operasi dalam tempoh tiga tahun dengan 40,000 ejen dan 5,000 pengedar Mamasab Warrior seluruh Malaysia.
Impian saya jelas mahu melahirkan ramai jutawan, bukan saja dalam bisnes F&B semata-mata, tapi bidang kosmetik dan sebagainya.
Kami bukan saja membuka banyak peluang pekerjaan tapi mencipta ruang untuk lebih ramai ejen menjana pendapatan hingga RM20,000-50,000 sebulan.
Sebenarnya saya bertuah kerana mempunyai tulang belakang yang kuat iaitu team saya. Dalam bisnes melibatkan network, kami perlu bijak menguruskan ahli. Dalam team Mamasab, kami ni macam sekumpulan Avengers. Semua orang ada kekuatan masing-masing.
Saya pula ibarat kapten yang menguruskan orang-orang bijak dan hebat ini. Sebab itu kalau ditanya kekuatan saya, jujur sekali ia adalah tenaga saya. Tenaga yang Mamasab ada sangat dahsyat.
Saya perlu mempunyai kekuatan dalaman tersendiri. Bila top leader dah jumpa kekuatan tu, saya mesti bantu atau coach pula team saya untuk mencari kekuatan dalaman mereka.
Gabungan tenaga-tenaga inilah yang membuatkan kami berjaya mencapai sasaran jualan RM90 juta, malah pernah diadakan Grand Award Mamasab untuk mengiktiraf kejayaan top sellers yang membanggakan.”
Mengakhiri perbualan kami, cara Mamasab berdepan kritikan jelas sangat menginspirasikan. “Kritikan paling susah dilupakan tentulah tentang produk kek dan biskut Mamasab. Faktor selera ni terkait emosi dan sangat subjektif sifatnya. Ada yang rasa sedap dan ada pula sebaliknya. Saya anggap itu semua adalah attitude.
Memang ada orang suka complaint macam semua perkara tak kena. Tapi sebagai peniaga, saya develop kekuatan diri untuk tidak melayan kritikan negatif, sebaliknya ambil sebagai cabaran untuk meningkatkan kualiti produk makanan yang dihasilkan. Itu saja.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Madhuri Dixit berkongsi rahsia kulit mulus pada usia 59 tahun melalui penggunaan rose water, Vitamin C, pelembap dan sunscreen dalam rutin penjagaan kulit hariannya.