Saban hari kita dipaparkan dengan tragedi-tragedi yang menakutkan seperti penderaan mahupun pembunuhan kejam. Paling menyedihkan apabila ia melibatkan ahli keluarga terdekat atau orang-orang yang dikenali. Adakah isu-isu seperti ini ada hubung kait dengan gangguan mental sehingga hilangnya kewarasan diri?

IKLAN

Pakar Perunding Psikologi dari Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd Salleh merungkai persoalan ini. Beliau juga merupakan Pengasas dan Pengarah Urusan NH Edu-Health Centre Kuala Lumpur.

“Definisi kesihatan mental ialah berkenaan kesejahteraan jiwa di samping rasa bahagia dan gembira. Kesihatan mental yang baik bermaksud memiliki keyakinan diri yang tinggi, kendiri yang bagus atau sederhana. Seseorang itu juga akan merasa selesa dengan dirinya ketika bersama orang lain. Jika ada rasa negatif pun dia masih mampu mengawal di samping tahu bagaimana untuk mengatasinya.”

TEKANAN KERJA MELAMPAU Dorong Manusia Hilang Waras? Baca Penerangan Doktor Ini Tentang GANGGUAN MENTAL

Punca Gangguan Mental

  1. Gemar menyendiri dan memendam perasaan atau masalah.
  2. Genetik atau sejarah keluarga yang memudahkan seseorang itu merasa tertekan apabila berhadapan dengan permasalahan.
  3. Kecederaan akibat kemalangan atau perubatan seperti mengalami sakit belakang dalam tempoh terlalu lama boleh menyebabkan simptom kemurungan yang serius.
  4. Persekitaran seperti tekanan di tempat kerja berkaitan bebanan tugas, ekspektasi terlalu tinggi oleh ketua atau kerja melebihi had masa yang sepatutnya.
  5. Suri rumahtangga sepenuh masa yang seolah-olah bekerja untuk 24 jam. Melayan karenah anak-anak, keluarga dan kerja rumah. Ada kala mereka lupa dengan hobi sendiri.
  6. Gangguan mental adalah 15 kali ganda berisiko tinggi jika seseorang itu terlibat dengan najis dadah yang mendorong seseorang melakukan sesuatu di luar kewarasan seperti membunuh. Kemungkinan mangsanya ahli keluarga terdekat.

Tanda-Tanda Awal Gangguan

  • Lebih suka menyendiri, cepat marah, sukar tidur, kerap sakit kepala dan hilang minat terhadap sesuatu seperti kerja dan hobi.
  • Mereka juga bersikap agresif, mudah berasa sedih dan menangis, menjerit secara tiba-tiba dan mudah melenting. Ia dikenali sebagai bipolar yang menyebabkan mereka agresif tanpa sedar yang boleh menjejaskan prestasi kerja termasuk hubungan dengan keluarga, pasangan, rakan dan pelajaran.
  • Pesakit mental kronik selalu berhalusinasi, tingkah laku juga abnormal. Pesakit skizofrenia sering menganggap semua perkara sebagai serius dan sesuatu yang tidak logik sebagai logik.
  • Pesakit merasa seperti ada orang ingin membunuhnya, delusi dan kecelaruan fikiran.
  • Skizofrenia di kalangan kanak-kanak jarang berlaku namun tidak mustahil. Lazimnya berlaku di peringkat awal baligh hingga dewasa.

“Baik lelaki mahupun wanita masing-masing berisiko untuk mendapat gangguan mental jika tidak dikawal. Ramai beranggapan meroyan ada kaitan dengan gangguan mental. Namun, ia sebenarnya dipengaruhi oleh hormon dan keletihan selepas bersalin.

IKLAN

Wanita bergelar ketua juga harus betul-betul kuat dari segi mental dan fizikal bagi berhadapan dengan cabaran. Jika tidak kuat seorang wanita itu akan mudah tertekan. Mania atau kemurungan banyak berlaku di kalangan wanita,” jelas Dr. Nor Hamidah.

Rawatan

IKLAN

Pemberian ubat, kaunseling dan terapi secara one to one. Terapi ini dalam bentuk kumpulan di mana setiap pesakit akan saling belajar daripada pengalaman masing-masing. Banyak pendekatan diambil dalam usaha menyembuhkan pesakit bergantung kepada jenis penyakit dan latar belakang pesakit. Ubatan yang diambil bukan dadah dan diberikan untuk jangka masa pendek.

“Masalah seperti kemurungan, tekanan dan trauma tidak termasuk dalam sebarang skim perlindungan insurans. Peranan syarikat amat penting dalam menyediakan inisiatif kepada pekerja contohnya kursus berkenaan kesihatan mental dan kaedah mengelakkan tekanan. Negara-negara Barat banyak mengadakan program dan memberi sokongan kesihatan untuk para pekerja.

Peranan masyarakat khususnya kejiranan amat penting untuk saling membantu dan mendengar permasalahan. Begitu juga peranan ahli keluarga terdekat. Prihatinlah dengan mengenali emosi ahli keluarga anda seterusnya mencari jalan penyelesaian. Pujuk secara baik dan nyatakan kepadanya kita akan mendapatkan bantuan profesional ataupun kaunselor,” saran Dr. Nor Hamidah. Amy Mohd

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI