
MasyaAllah, melimpah ruah rezeki Nor Farhatul Fairuzah Panut. Satu per satu kejayaan diraih figura ini sejak bergelar Johan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) pada tahun 2019.
Terbaharu, Farha yang mewakili Negeri Sembilan sewaktu menyertai MTHQA itu menerima pemberian sebuah rumah dari kerajaan Negeri Sembilan atas pencapaian wanita ini dalam pertandingan berkenaan.
NOR FARHATUL FAIRUZAH TERIMA HADIAH RUMAH
Berkongsi berita gembira itu di media sosial miliknya, personaliti berusia 24 tahun ini sama sekali tidak menyangka menerima hadiah cukup istimewa tersebut.
Luah Farha, “Alhamdulillah syukur, kurniaan rezeki yang tak disangka dari kerajaan Negeri Sembilan yang telah menghadiahkan sebuah rumah sebagai hadiah penghargaan Johan Qariah dalam Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa yang lalu.
Terima kasih juga kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Sri Utama Haji Aminuddin bin Harun atas penghargaan ini. Semoga Negeri Sembilan dapat melahirkan lebih ramai lagi Qari dan Qariah yang berjaya diperingkat antarabangsa dan semoga usaha ini juga mendapat keberkatan daripada Allah SWT.”
Oktober lalu, Farha memperoleh tauliah mengajar Agama Islam dan berceramah dari Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dalam bidang Al-Quran bagi kategori kanak-kanak dan dewasa.
NOR FARHATUL FAIRUZAH LULUSAN IJAZAH SARJANA MUDA PENGAJIAN AL-QURAN
View this post on Instagram
Pada November pula, dia berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan PGNK 3.90.
Manakala 14 Disember lepas, Farha sah bergelar isteri kepada seorang mutawif iaitu Ilham Amri.
Kehadiran Farha yang aktif menyebarkan agama Islam di media sosial mewakili suara anak muda untuk menarik minat golongan ini mencintai Al-Quran.
Selain aktif menyertai program keagamaan, Nor Farhatul Fairuzah juga kini merupakan Pengarah Bimbingan Agama Vacasia Tours & Travels Sdn Bhd.
Sesungguhnya orang yang sentiasa berusaha membawa kebaikan ke jalan Allah memperoleh keberkatan kehidupan dan diperluas rezeki. Semoga segala kejayaan dan inisiatif Farha menyebarkan agama memberi suntikan semangat serta inspirasi kepada masyarakat.