Sekalung tahniah buat Johan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran 2019, Nor Farhatul Fairuzah Panut atas kejayaan menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam Dengan Kepujian baru-baru ini. Meskipun sibuk dengan tugas sebagai duta produk, influencer dan karier dakwah namun anak kelahiran Selangor ini tetap komited menyambung pengajian.
Farhatul atau mesra disapa Farha berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Johan qariah tersebut diraikan dalam Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia Ke-52.
Dalam temu bual bersama Nona, Farha menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada insan tersayang atas kejayaan yang dicapai hari ini.
“Alhamdulillah bersyukur dan berterima kasih kepada ibu, Hajah Jaliah Haji Simin dan arwah ayah, Allahyarham Haji Panut Markum yang telah banyak mendoakan saya sehingga berjaya. Tak dilupakan, guru-guru, pensyarah dan keluarga.
Ads
Perasaan saya bercampur-baur, gembira, terharu dan dalam masa sama sebak sebab di sebalik kejayaan saya capai ini ada cabarannya. Alhamdulillah akhirnya saya dah berjaya melepasi semua.”
Tambah Farha lagi, “InshaAllah ada niat nak sambung master, doakan yang terbaik. Memang rancang nak sambung dan selain belajar, sekarang saya dah masuk bidang pelancongan juga dan menjadi Pengarah Bimbingan Agama Vacasia Tours and Travels Sdn Bhd.
Semoga bisnes yang saya pegang ini berjaya dan saya juga ada impian buat kelas Al-Quran untuk memberi manfaat kepada masyarakat.”
Oktober lepas, Farha memperoleh tauliah untuk mengajar Agama Islam dan berceramah dalam bidang Al-Quran bagi kategori kanak-kanak dan dewasa dari Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Meniti usia 24 tahun dia mewakili suara anak muda berusaha menarik minat golongan ini mencintai Al-Quran melalui media sosial memandangkan kebanyakan mereka aktif dan gemar menggunakan platfrom berkenaan.
Ads
Farha yang juga merupakan Ikon Pertubuhan Peduli Insan Malaysia yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan berperanan menyalurkan bantuan kepada masyarakat memerlukan di seluruh dunia di samping menjayakan misi kemanusiaan.
Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin semangat buat Farha untuk menyampaikan ilmu Al-Quran dan suntikan inspirasi kepada golongan wanita untuk mengejar impian.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keberanian Aliza Ali membawa masuk jenama Chatime ke pasaran Malaysia kira-kira 14 tahun lalu sememangnya wajar diberi pujian. Kewujudan minuman bubble tea berasal dari Taiwan tersebut ke pasaran negara ini bukan hanya satu bentuk pelaburan menguntungkan. Malah berjaya mencipta fenomena luar biasa dalam industri makanan dan minuman (F&B) tanah air.
Chatime ialah rantaian francais kedai teh terbesar di dunia yang berpangkalan di Taiwan dan Aliza merupakan Pemegang Lesen Induk serta Ketua Pegawai Eksekutif Chatime Malaysia. Sepanjang lebih sedekad mengemudi syarikat makanan dan minuman berkenaan, anak jati kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini menempa pelbagai kejayaan dan pengiktirafan di dalam dan luar negara.
Dianugerahkan Nona F&B Business Award 2024, Aliza tanpa berselindung menjelaskan perjalanan beliau sebagai usahawan bermula dari bawah dan bukan berasal dari keluarga yang mempunyai latar belakang perniagaan.
“Saya dibesarkan di Kuala Pilah sampai usia 11 tahun. Kemudian, keluarga berpindah ke luar Negeri Sembilan dan seterusnya menetap di Kuala Lumpur. Mengusahakan perniagaan memang menjadi impian saya. Disebabkan itu, saya tak kisah melibatkan diri dalam apa jua bidang sekalipun asalkan ia saya dapat berniaga.
Tak ada dalam kalangan ahli keluarga saya yang menceburi bisnes. Hanya saya seorang saja. Sebelum mula perniagaan F&B ini saya juga pernah cuba banyak benda lain. Saya pernah timba pengalaman dalam bisnes melibatkan pembinaan. Bahkan saya juga pernah jual produk usahawan lain hanya untuk memahami bagaimana proses perniagaan itu berlaku.
Saya tidak meletakkan minat bisnes terhadap satu-satu produk semata-mata atau kena buat perniagaan F&B saja. Saya terbuka untuk menjalankan apa juga bisnes lain. Cuma bila mengusahakan Chatime dan lihat potensi perniagaan ini yang semakin berkembang maju, saya terpaksa buat keputusan ketepikan bisnes lain untuk fokus kepada hanya satu benda.
Tak boleh bagi tumpuan kalau terlampau banyak sangat buat cabang bisnes. Lebih-lebih lagi kalau nak ia berkembang lebih besar. Saya percaya untuk fokus kepada satu bisnes saja dan tinggalkan bisnes yang lain untuk fokus dengan Chatime.”
Ujar graduan Kejuruteraan Kimia dari Imperial College London ini, mengendalikan empayar Chatime banyak mengajarnya tentang selok-belok dunia perniagaan dan menghidangkan pelbagai prospek untuk beliau meneroka peluang di peringkat global.
Mengimbas kembali momen pembukaan cawangan pertama Chatime di Genting Highlands pada tahun 2010, detik berkenaan sentiasa terpahat segar di ingatan Aliza. Beliau sama sekali tidak menyangka menerima sambutan luar biasa daripada pelanggan dari segenap lapisan umur dan bangsa.
“Saya ingat lagi waktu itu tengah bulan puasa. Tak jangkakan apa-apa pun masa pembukaan outlet pertama di Genting sebab pada tahun 2010 kebanyakan yang datang ke sana ialah mereka yang berbangsa Cina kerana ada banyak pusat hiburan. Hendak dijadikan cerita, tiba-tiba saya dapat panggilan daripada pihak pengurusan pusat beli-belah di Genting yang minta saya segera datang kerana ada masalah.
Berdebar-debar hati saya fikir apa yang dah jadi. Lagipun baru pertama kali buka outlet. Tiba saja di sana, saya terkejut tengok pelanggan beratur panjang nak beli minuman Chatime. Sampai lif-lif di depan kedai kami terpaksa ditutup sebab tak boleh masuk dan ramai orang. Itulah satu-satunya masalah yang saya sangat gembira dengar,” imbau Aliza sambil ketawa.
CABARAN
Sepanjang mengusahakan Chatime selama lebih sedekad, Aliza kini mampu tersenyum bangga apabila perniagaan tersebut sudah pun memiliki 130 buah cawangan di seluruh negara.
“Saya bermula dari bawah dan zero sama seperti orang lain. Faktor modal dan funding menjadi salah satu cabaran utama untuk majukan bisnes. Terutama sekali bila kita mahu buka banyak kedai. Bayangkan, satu kedai saja kena keluarkan modal sebanyak RM400,000. Kalau mahu buka 100 kedai sudah tentu melibatkan banyak wang.
Ditambah pula orang nampak saya ini seorang wanita muda lagi dan baru start company, jadi tak ramai orang lagi yang percaya dengan apa yang saya mampu buat ketika itu. Mereka mahu melabur dalam syarikat saya pun, mereka kurang yakin.
Those are the things that I faced. Tapi sekiranya kita sangat passionate about it, semua itu tak rasa susah sangat. Kalau kita betul-betul nak buat, insyaAllah benda itu boleh jadi kenyataan.”
Sedar kehendak dan selera pelanggan yang kian berubah-ubah, Aliza Ali rancak melakukan eksperimen dan inovasi demi memenuhi cita rasa khalayak.
“Kebanyakan orang sekarang lebih suka alternatif untuk dairy milk. Tambahan pula, orang Asia ramai yang mengalami lactose intolerance atau mengalami sakit perut atau ketidakselesaan pada perut selepas minum susu atau makanan berasaskan tenusu. Di Chatime, saya dapati pelanggan sekarang lebih memilih minuman yang ada oat milk dan tak mahu lagi minum susu lembu.”
Mengambil serius situasi tersebut, Aliza teruja menghasilkan satu produk jenama baharu berasaskan susu bijirin oat.
“Kami baru saja mula dengan jenama baharu yang menjadi produk susu berjenis oat milk pertama Malaysia iaitu OATING. Produk jenama ini akan ada di kebanyakan industri F&B macam Chatime dan beberapa jenama F&B lain. Buat permulaan, ia akan memasuki pasaran Malaysia dan Indonesia dalam Quarter 1 tahun 2025.
Dalam masa setahun yang lepas, saya banyak buat research untuk kenal pasti bisnes apa yang saya nak buat lagi pada masa akan datang. Saya dah menjalankan Chatime selama 14 tahun dan mungkin inilah masa untuk move on daripada bubble tea kepada bisnes yang lebih membawa makna lagi. Antaranya memberi fokus kepada produk lactose intolerance yang lebih berfaedah kepada kesihatan pengguna,” telus Aliza mengenai strategi perniagaannya kelak.
INSPIRASI
Atas pencapaian membanggakan sebagai usahawan, Aliza Ali melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama Malaysia dijemput sebagai penyampai di Bursa Saham Hong Kong (HKEX) 2023 di samping tokoh usahawan wanita dari China.
“Saya sangat terkejut apabila dijemput untuk berada di situ bersama seorang wanita yang juga usahawan berjaya, Joey Wat. Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Yum China yang mempunyai cawangan F&B terbesar di China.
Walau syarikat saya tidaklah segah syarikat Yum China yang bernilai berbilion-bilion Dolar, tapi mereka kagum dengan kejayaan kami yang menjadi salah sebuah syarikat Asia Tenggara yang bermula daripada zero tapi boleh berjaya dan tersenarai dalam Bursa Saham.”
Menyentuh sumber inspirasi yang menjadi kekuatan Aliza dalam kehidupan dan perniagaan, tanpa berfikir panjang nama Allahyarham ibu tersayang iaitu Fuziah Yusof meniti di bibir anak kelapan daripada sembilan adik-beradik ini.
“Allahyarham ibu saya meninggal dunia pada tahun ini ketika berusia 79 tahun. Bagi saya, beliau besarkan kami adik-beradik daripada bukan sesiapa menjadi orang berjaya. Saya ingat lagi momen bila kawan-kawan arwah ibu tanya pekerjaan saya, dia jawab saya jual air. Jadi ramai kawan-kawannya ingat saya jual air di pasar malam dan beliau tak betulkan pun sampai akhir hayatnya,” ulas Aliza.
“I learned that she was just very humble. Tiada apa pun yang mengubah peribadi dirinya dari dulu sampai beliau meninggal dunia dan itulah yang memberi saya inspirasi untuk menjadi sepertinya. Arwah selalu percaya dengan apa saja yang saya buat. Tak pernah paksa saya belajar tapi selalu percaya saya akan jadi orang berjaya. Saya tahu yang beliau selalu mendoakan kejayaan saya.”
Sebelum mengakhiri perbualan, Aliza Ali turut menitipkan kata-kata semangat ini buat golongan wanita.
“Kebanyakan wanita rasa dia berdepan banyak kekangan dari segi masa, pekerjaan dan sebagainya. Saya selalu tekankan kepada staf bahawa tiada orang yang boleh bagi anda kekangan melainkan ia datang daripada mentaliti anda sendiri. Kalau anda rasa anda boleh jadi hebat, percayalah anak boleh jadi hebat.
Dengan peluang dan teknologi hari ini anda boleh berjaya walaupun tanpa ada staf dan tanpa menggunakan duit yang banyak. Kita kena ada perasaan ‘lapar’ untuk belajar dan berjaya. Selalu percaya pada diri dan rebut peluang yang ada di depan mata. Saya yakin semua orang boleh berjaya dan tidak wujud istilah lambat untuk memulakan sesuatu perniagaan dari sekarang.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam kesibukan meraikan kedatangan Syawal, nampaknya Uyaina Arshad dan suami tersayang, Raja Syahiran turut mengadakan majlis akikah untuk putera sulung mereka, Raja Urhan Raja Syahiran.
Putera kesayangan Uyaina dan Raja Syahiran ini mempunyai nama yang unik dan maksud yang cukup baik selain sebutannya hampir sama dengan ibunya.
Menurut Uyaina, Urhan membawa maksud pemimpin yang hebat. Selain dekat dengan nama ibu Uyaina iaitu Noor Alhan, nama Urhan juga diambil bersempena nama Sultan Empayar Uthmaniyyah yang kedua iaitu Sultan Orhan Gazi. Semoga Raja Urhan membesar menjadi seorang khalifah yang baik di muka bumi ini dan dapat memberi kebaikan kepada ramai orang.
Memilih persalinan kuning sebagai tema majlis, majlis akikah tersebut diadakan serentak sambutan rumah terbuka Aidilfitri pasangan ini yang menyaksikan tetamu yang hadir terdiri daripada kaum keluarga kedua belah pihak dan beberapa rakan rapat mereka.
Lari dari tema rumah terbuka yang tipikal, Uyaina dan keluarga mempunyai cara tersendiri menghiburkan para tetamu yang datang berkunjung ke rumah terbuka dan majlis akikah putera tersayang.
Mana tidaknya, tetamu pasangan ini diserikan dengan persembahan tarian dari keluarga Uyaina yang mempersembahkan tarian Musang Berjanggut & Ketipang Payung versi Uyaina dan Raja syahiran.
“Keluarga Uyaina memang suka buat persembahan terutamanya jika ada majlis keluarga. Apabila berkahwin dengan Syahiran, keluarga dia pun semangat buat persembahan untuk majlis keluarga. I am soooo happy! Rasa we belong together sangat,” ujar Uyaina dalam posting Instagram miliknya.
Uyaina dan keluarga mengambil masa satu hari untuk mempelajari teknik tarian dan ia merupakan momen indah sekeluarga yang menjadi kenangan mereka bersama.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sikapnya dalam memajukan diri sangat menginspirasikan. Teringat kata-katanya, “Think like a queen. A queen is not afraid to fail. Failure is another steppingstone to greatness,”. Wanita berusia 67 tahun ini mula mencipta nama dalam rancangan bual bicara popularnya “Oprah Winfrey Show” yang mula diterbitkan pada tahun 1984.
Bayangkan program ikonik ini telah bersiaran selama 25 tahun sebelum berakhir pada tahun 2011. Jumlah gaji yang diterima oleh wanita ini tidak diketahui tetapi beliau memperoleh sekitar RM720 juta (USD165 juta) di antara Mei 2011 dan Mei 2012.
Setelah program bual bicaranya berakhir, Oprah telah melancarkan saluran kabelnya sendiri, Oprah Winfrey Network (OWN). Pegangan sahamnya sebanyak 25.5 peratus dalam saluran kabel ini dianggarkan bernila RM327 juta (USD75 juta). Selain itu, Oprah juga memiliki syarikat majalah sendiri dengan menjadi sebahagian Ahli Lembaga Pengarah dalam Weigh Watchers.
Menurut CNBC, harga saham syarikat wanita yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni/Sains, Universiti Tennessee State ini, mencapai rekod tertinggi pada bulan Jun 2018. Forbes melaporkan sahamnya telah berubah dari RM192 juta (USD43.5 juta) menjadi RM1,747 juta (USD400 juta).
Oprah Winfrey atau lebih terkenal dengan nama Lady O ini sememangnya berjiwa pemurah. Ingat lagi 17 tahun lalu, apabila wanita ini telah mencipta sejarah dalam dunia penyiaran melalui rancangan bual bicara popularnya “Oprah Winfrey Show”. Oprah telah memberi kejutan paling dikenang sehingga kini apabila menghadiahkan 276 unit kereta kepada setiap penonton dalam studionya.
Benar orang kata, lagi banyak kita memberi lagi murah rezeki yang kita dapat. Siapa sangka, jiwa pemurah yang dimiliki wanita ini, melayakkannya dinobatkan sebagai selebriti wanita TERKAYA di dunia dengan jumlah kekayaan bersih, RM15 billion (USD3.5 billion). Semua yang diraih oleh Oprah ini adalah hasil titik peluhnya sendiri.
Selebriti wanita TERKAYA di dunia ini juga aktif dalam aktiviti kemanusiaan. Oprah Winfrey pula telah melakukan tanggungjawab sosialnya dengan menghulurkan sumbangan sebanyak RM44 juta (USD10 juta) bagi membasmi pandemik COVID-19 di Amerika Syarikat di awal pandemik COVID-19 melanda Amerika Syarikat.
RM4.3 juta (USD1 juta) daripada jumlah sumbangan “Help Americans During This Pandemic” itu, akan didermakan kepada America’s Food Fund bagi membantu mereka yang kelaparan akibat pandemik ini.
Selain itu, Oprah juga memiliki syarikat bernama Harpo Production. yang memiliki rangkaian tunggal dengan Discovery Communication. Harpo Production merupakan kekuatan di sebalik program Dr. Phil, Rachael Ray dan The Dr. Oz Show.
Ini bermakna jiwa wanita ini sudah sebati dengan dunia penyiaran dan tidak mampu meninggalkannya meskipun bekerja di belakang tabir sahaja.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.