Keberanian Aliza Ali membawa masuk jenama Chatime ke pasaran Malaysia kira-kira 14 tahun lalu sememangnya wajar diberi pujian. Kewujudan minuman bubble tea berasal dari Taiwan tersebut ke pasaran negara ini bukan hanya satu bentuk pelaburan menguntungkan. Malah berjaya mencipta fenomena luar biasa dalam industri makanan dan minuman (F&B) tanah air.
Chatime ialah rantaian francais kedai teh terbesar di dunia yang berpangkalan di Taiwan dan Aliza merupakan Pemegang Lesen Induk serta Ketua Pegawai Eksekutif Chatime Malaysia. Sepanjang lebih sedekad mengemudi syarikat makanan dan minuman berkenaan, anak jati kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini menempa pelbagai kejayaan dan pengiktirafan di dalam dan luar negara.
Dianugerahkan Nona F&B Business Award 2024, Aliza tanpa berselindung menjelaskan perjalanan beliau sebagai usahawan bermula dari bawah dan bukan berasal dari keluarga yang mempunyai latar belakang perniagaan.
CHATIME, EMPAYAR KEBANGGAAN ALIZA ALI
“Saya dibesarkan di Kuala Pilah sampai usia 11 tahun. Kemudian, keluarga berpindah ke luar Negeri Sembilan dan seterusnya menetap di Kuala Lumpur. Mengusahakan perniagaan memang menjadi impian saya. Disebabkan itu, saya tak kisah melibatkan diri dalam apa jua bidang sekalipun asalkan ia saya dapat berniaga.
Tak ada dalam kalangan ahli keluarga saya yang menceburi bisnes. Hanya saya seorang saja. Sebelum mula perniagaan F&B ini saya juga pernah cuba banyak benda lain. Saya pernah timba pengalaman dalam bisnes melibatkan pembinaan. Bahkan saya juga pernah jual produk usahawan lain hanya untuk memahami bagaimana proses perniagaan itu berlaku.
Saya tidak meletakkan minat bisnes terhadap satu-satu produk semata-mata atau kena buat perniagaan F&B saja. Saya terbuka untuk menjalankan apa juga bisnes lain. Cuma bila mengusahakan Chatime dan lihat potensi perniagaan ini yang semakin berkembang maju, saya terpaksa buat keputusan ketepikan bisnes lain untuk fokus kepada hanya satu benda.
Tak boleh bagi tumpuan kalau terlampau banyak sangat buat cabang bisnes. Lebih-lebih lagi kalau nak ia berkembang lebih besar. Saya percaya untuk fokus kepada satu bisnes saja dan tinggalkan bisnes yang lain untuk fokus dengan Chatime.”
Ujar graduan Kejuruteraan Kimia dari Imperial College London ini, mengendalikan empayar Chatime banyak mengajarnya tentang selok-belok dunia perniagaan dan menghidangkan pelbagai prospek untuk beliau meneroka peluang di peringkat global.
Mengimbas kembali momen pembukaan cawangan pertama Chatime di Genting Highlands pada tahun 2010, detik berkenaan sentiasa terpahat segar di ingatan Aliza. Beliau sama sekali tidak menyangka menerima sambutan luar biasa daripada pelanggan dari segenap lapisan umur dan bangsa.
“Saya ingat lagi waktu itu tengah bulan puasa. Tak jangkakan apa-apa pun masa pembukaan outlet pertama di Genting sebab pada tahun 2010 kebanyakan yang datang ke sana ialah mereka yang berbangsa Cina kerana ada banyak pusat hiburan. Hendak dijadikan cerita, tiba-tiba saya dapat panggilan daripada pihak pengurusan pusat beli-belah di Genting yang minta saya segera datang kerana ada masalah.
Berdebar-debar hati saya fikir apa yang dah jadi. Lagipun baru pertama kali buka outlet. Tiba saja di sana, saya terkejut tengok pelanggan beratur panjang nak beli minuman Chatime. Sampai lif-lif di depan kedai kami terpaksa ditutup sebab tak boleh masuk dan ramai orang. Itulah satu-satunya masalah yang saya sangat gembira dengar,” imbau Aliza sambil ketawa.
Ads
CABARAN
Sepanjang mengusahakan Chatime selama lebih sedekad, Aliza kini mampu tersenyum bangga apabila perniagaan tersebut sudah pun memiliki 130 buah cawangan di seluruh negara.
“Saya bermula dari bawah dan zero sama seperti orang lain. Faktor modal dan funding menjadi salah satu cabaran utama untuk majukan bisnes. Terutama sekali bila kita mahu buka banyak kedai. Bayangkan, satu kedai saja kena keluarkan modal sebanyak RM400,000. Kalau mahu buka 100 kedai sudah tentu melibatkan banyak wang.
Ditambah pula orang nampak saya ini seorang wanita muda lagi dan baru start company, jadi tak ramai orang lagi yang percaya dengan apa yang saya mampu buat ketika itu. Mereka mahu melabur dalam syarikat saya pun, mereka kurang yakin.
Those are the things that I faced. Tapi sekiranya kita sangat passionate about it, semua itu tak rasa susah sangat. Kalau kita betul-betul nak buat, insyaAllah benda itu boleh jadi kenyataan.”
Sedar kehendak dan selera pelanggan yang kian berubah-ubah, Aliza Ali rancak melakukan eksperimen dan inovasi demi memenuhi cita rasa khalayak.
Ads
“Kebanyakan orang sekarang lebih suka alternatif untuk dairy milk. Tambahan pula, orang Asia ramai yang mengalami lactose intolerance atau mengalami sakit perut atau ketidakselesaan pada perut selepas minum susu atau makanan berasaskan tenusu. Di Chatime, saya dapati pelanggan sekarang lebih memilih minuman yang ada oat milk dan tak mahu lagi minum susu lembu.”
Mengambil serius situasi tersebut, Aliza teruja menghasilkan satu produk jenama baharu berasaskan susu bijirin oat.
“Kami baru saja mula dengan jenama baharu yang menjadi produk susu berjenis oat milk pertama Malaysia iaitu OATING. Produk jenama ini akan ada di kebanyakan industri F&B macam Chatime dan beberapa jenama F&B lain. Buat permulaan, ia akan memasuki pasaran Malaysia dan Indonesia dalam Quarter 1 tahun 2025.
Dalam masa setahun yang lepas, saya banyak buat research untuk kenal pasti bisnes apa yang saya nak buat lagi pada masa akan datang. Saya dah menjalankan Chatime selama 14 tahun dan mungkin inilah masa untuk move on daripada bubble tea kepada bisnes yang lebih membawa makna lagi. Antaranya memberi fokus kepada produk lactose intolerance yang lebih berfaedah kepada kesihatan pengguna,” telus Aliza mengenai strategi perniagaannya kelak.
INSPIRASI
Atas pencapaian membanggakan sebagai usahawan, Aliza Ali melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama Malaysia dijemput sebagai penyampai di Bursa Saham Hong Kong (HKEX) 2023 di samping tokoh usahawan wanita dari China.
“Saya sangat terkejut apabila dijemput untuk berada di situ bersama seorang wanita yang juga usahawan berjaya, Joey Wat. Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Yum China yang mempunyai cawangan F&B terbesar di China.
Walau syarikat saya tidaklah segah syarikat Yum China yang bernilai berbilion-bilion Dolar, tapi mereka kagum dengan kejayaan kami yang menjadi salah sebuah syarikat Asia Tenggara yang bermula daripada zero tapi boleh berjaya dan tersenarai dalam Bursa Saham.”
Ads
Menyentuh sumber inspirasi yang menjadi kekuatan Aliza dalam kehidupan dan perniagaan, tanpa berfikir panjang nama Allahyarham ibu tersayang iaitu Fuziah Yusof meniti di bibir anak kelapan daripada sembilan adik-beradik ini.
“Allahyarham ibu saya meninggal dunia pada tahun ini ketika berusia 79 tahun. Bagi saya, beliau besarkan kami adik-beradik daripada bukan sesiapa menjadi orang berjaya. Saya ingat lagi momen bila kawan-kawan arwah ibu tanya pekerjaan saya, dia jawab saya jual air. Jadi ramai kawan-kawannya ingat saya jual air di pasar malam dan beliau tak betulkan pun sampai akhir hayatnya,” ulas Aliza.
“I learned that she was just very humble. Tiada apa pun yang mengubah peribadi dirinya dari dulu sampai beliau meninggal dunia dan itulah yang memberi saya inspirasi untuk menjadi sepertinya. Arwah selalu percaya dengan apa saja yang saya buat. Tak pernah paksa saya belajar tapi selalu percaya saya akan jadi orang berjaya. Saya tahu yang beliau selalu mendoakan kejayaan saya.”
Sebelum mengakhiri perbualan, Aliza Ali turut menitipkan kata-kata semangat ini buat golongan wanita.
“Kebanyakan wanita rasa dia berdepan banyak kekangan dari segi masa, pekerjaan dan sebagainya. Saya selalu tekankan kepada staf bahawa tiada orang yang boleh bagi anda kekangan melainkan ia datang daripada mentaliti anda sendiri. Kalau anda rasa anda boleh jadi hebat, percayalah anak boleh jadi hebat.
Dengan peluang dan teknologi hari ini anda boleh berjaya walaupun tanpa ada staf dan tanpa menggunakan duit yang banyak. Kita kena ada perasaan ‘lapar’ untuk belajar dan berjaya. Selalu percaya pada diri dan rebut peluang yang ada di depan mata. Saya yakin semua orang boleh berjaya dan tidak wujud istilah lambat untuk memulakan sesuatu perniagaan dari sekarang.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Perbuatan ini bukan perkara baru dalam masyarakat. Kita biasa melihat ada ahli keluarga atau kenalan yang berpuasa tapi tidak bersolat. Kadang-kadang tidur atau terlalu sibuk sepanjang hari hingga terlepas waktu Zohor dan Asar.
Kita mungkin tertanya-tanya, bagaimana kedudukan puasa mereka sedangkan kewajipan yang lebih utama mereka tinggalkan. Sah atau tidak?
Mufti Wilayah Persekutuan mengambil pendapat yang mengatakan bahawa puasa tanpa solat ini sah tapi tidak dipahalakan kerana mengabaikan rukun Islam yang penting.
Sia-sianya seperti ini. Kita tadah air dalam baldi bocor. Air yang ditadah tak penuh-penuh sebab di dasarnya mengalir keluar.
Untuk menjawab soalan ini, sebagai mukadimah saya nukilkan pendapat Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi melalui kitabnya, Fatawa Muasirah:
“Orang Islam dituntut melakukan semua ibadat, iaitu mendirikan sembahyang, membayar zakat dan berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji jika berkemampuan. Sesiapa yang meninggalkan salah satu ibadat ini tanpa keuzuran, dia telah melampaui batas terhadap Allah.”
Ulama Islam telah mengeluarkan berbagai-bagai pendapat, sesetengahnya berpendapat kufur jika meninggalkan salah satu ibadat ini. Ada pula yang mengkafirkan orang yang meninggalkan sembahyang dan enggan membayar zakat.
Sebahagian berpendapat yang lain pula hanya orang yang meninggalkan sembahyang sahaja menjadi kufur kerana kedudukan sembahyang yang tinggi di dalam Islam. Dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan:
“Di antara hamba dan kekufuran itu ialah meninggalkan sembahyang.”
Ulama yang mengkafirkan orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, dengan sendirinya berpendapat bahawa puasa orang itu juga tidak diterima kerana orang kafir itu sendiri amalannya tidak diterima.
Sesetengah ulama masih lagi mengiktiraf keimanan dan keislamannya selama mana orang itu masih mempercayai kebenaran Allah dan Rasul-Nya serta tidak membangkang atau mencela apa yang dibawa Rasulullah SAW. Malah mereka menyifatkan orang seperti ini sebagai fasik.
Jika seseorang itu mengurangkan sebahagian daripada ibadatnya yang wajib kerana malas atau mengikut hawa nafsu, tanpa mengingkari atau mempermain-mainkannya dan dia juga melakukan ibadat-ibadat yang lain, dia dikira Muslim yang tidak sempurna, imannya lemah dan dan jika berterusan meninggalkannya, Allah tidak mensia-siakan amalan kebaikannya.
Pahala terhadap apa yang telah dilakukannya tetap ada, sebaliknya dia berdosa di atas ketelanjurannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Qamar ayat 53 bermaksud:
“Dan segala urusan yang kecil mahupun yang besar adalah tertulis.”
Firman-Nya lagi dalam surah al-Zalzalah ayat 7-8 bermaksud:
“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat pembalasannya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan menerima balasannya pula.”
Telekung Siti Khadijah
Dalam hal ini saya cuba merumuskan pendapat ulama berkenaan dengan orang yang puasa tetapi tidak solat, antaranya:
Pendapat pertama: Mereka dianggap sebagai keluar daripada Islam dan tidak sah puasa mereka. Hendaklah mereka bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat. Inilah pendapat mazhab Hambali dan sebahagian ulama masa kini.
Pendapat kedua: Mereka yang tidak solat tetapi berpuasa dianggap puasa mereka sah tetapi tidak diberi pahala. Inilah pendapat kebanyakan ulama Azhar seperti ‘Atiyyah Saqar, Dr. Ahmad Syarbashi, Dr. Muhemmed al-Bakri Ismail dan lain-lain. Hal ini kerana Rasulullah S.A.W bersabda mafhumnya:
“Siapa yang meninggalkan ucapan yang keji dan beramal dengannya, maka tiada keperluan bagi Allah dengan sebab dia meninggalkan makan dan minumnya”. Riwayat Bukhari & Muslim
Kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan puasa sah tetapi tidak dipahalakan kerana menafikan rukun Islam yang sangat penting iaitu solat.
Inilah sebahagian daripada Ahkam al-Siyam yang ingin dibentangkan kepada masyarakat Islam agar difahami dengan jelas untuk menjadikan puasa benar-benar menepati syariat.
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sememangnya memiliki pakej lengkap seorang Permaisuri. Bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik, peribadi yang lembut dan merendah diri bahkan baginda juga seorang permaisuri yang berpendidikan tinggi. Pada 22 Mac lalu, Tuanku Zara menyambut ulang tahun keputeraannya yang ke-47 dan merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik yang dilahirkan di Ipoh, Perak. Sempena ulang tahun tersebut, baginda turut berkenan membuka akaun Instagram rasmi milik baginda iaitu Tuanku Zara Salim.
Tuanku Zara bertemu jodoh dengan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah pada 17 Mei 2007 ketika baginda berusia 34 tahun. Perkahwinan baginda berdua dikurniakan seorang putera dan seorang puteri. Putera baginda iaitu Yang Teramat Mulia Raja Dato’ Seri Azlan Muzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah diputerakan pada 14 Mac 2008. Manakala puteri baginda yang diberi nama Yang Teramat Mulia Raja Dato’ Seri Nazira Safya pula diputerikan pada 3 Ogos 2011.
Menelusuri latar belakang pendidikan Raja Permaisuri Perak ini, Tuanku Zara mendapat pendidikan di SMK Convent Ipoh dan pernah mewakili sekolah dalam sukan squash dan tenis serta mewakili negeri Perak dalam sukan renang. Di samping aktif dalam bidang sukan, baginda juga cemerlang dalam akademik.
Ketika berusia 22 tahun, Tuanku Zara menerima Ijazah Kejuruteraan Kimia kelas pertama di University of Nottingham, United Kingdom pada Julai 1995. Selepas menamatkan pengajian, baginda berkhidmat dalam industri hydrocarbon di syarikat petroleum negara Petronas. Pengalaman baginda yang amat luas dalam bidang kejuruteraan menjadikan baginda salah seorang wanita Malaysia yang diberi kepercayaan menyandang jawatan penting dalam projek berskala besar.
Mendekati latar belakang Tuanku Zara, ayahanda baginda iaitu Dato’ Seri William Stanley Walker Davidson atau Salim Davidson ialah seorang peguam terkenal di Malaysia. Manakala ibunda baginda pula ialah Dato’ Seri Sharifah Azaliah Tan Sri Syed Omar Shahabuddin yang merupakan kerabat diraja Kedah di sebelah bonda baginda. Tuanku Zara merupakan cicit kepada Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan anakanda cucunda saudara kepada Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Perdana Menteri Malaysia Pertama.
Sesungguhnya Tuanku Zara memiliki keperibadian dalaman dan luaran yang menawan. Malah, kemunculan baginda dalam istiadat mahupun majlis-majlis rasmi sering mencuri perhatian kerana penampilan Raja Permaisuri Perak ini yang anggun dan elegan.
Tuanku Zara juga seorang permaisuri berjiwa prihatin kerana pada 13 April lalu baginda bersama Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Eleena binti Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah Al-Maghfur-lah berkenan mengurniakan 1,250 pelindung muka untuk petugas barisan hadapan bagi membantu memenuhi keperluan tersebut di hospital-hospital dalam usaha memerangi wabak COVID-19.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim bagi pihak Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dilaporkan telah menyerahkan sumbangan baginda kepada Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Mohamad Ghopran bin Yeop Hamzah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Macam anak daralah! Lama tak nampak kemunculan Erin Malek dalam drama atau filem tempatan. Teringat lagi lakonan Erin sewaktu membintangi filem kanak-kanak Tentang Bulan. Rasanya masa tu dia baru berusia belasan tahun. Dari zaman anak dara, sampailah sudah berumah tangga nampak makin cantik berseri.
Walau sudah berkahwin… body maintain langsing. Hakikatnya, Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek ini sudah lima tahun bergelar mak. Ada dua orang anak pula tu! 15 Julai lalu merupakan ulang tahun kelahiran ke-26 Erin Malek.
Berkahwin dengan jejaka pilihan yang juga anak kepada usahawan automobil ketika usia baru mencecah 20 tahun pada tanggal 10 Oktober 2014, isteri kepada Farriz Fauzy ini selamat melahirkan anak sulung mereka setahun kemudian pada 1 Oktober 2015.
Kelahiran bayi lelaki yang diberi nama Mohamed Faliq Mohamed Farriz tersebut nyata menyentuh emosi ibu muda ini kerana dia sepatutnya melahirkan sepasang kembar namun takdir Allah, hanya Mohamed Faliq selamat dilahirkan.
Dua tahun kemudian, pasangan suami isteri ini kembali dikurniakan rezeki anak perempuan yang kini berusia tiga tahun. Diberi nama Nur Aisha Mohamed Farriz, anak pasangan romantis ini dilahirkan pada 10 Februari 2017. Alhamdulillah, dah sepasang dah anak Erin dan Farriz.
10 Oktober lepas, genap enam tahun pasangan ini melayari bahtera perkahwinan sebagai suami isteri. Teringat lagi perkahwinan gilang-gemilang mereka yang menjadi bualan ramai ketika itu. Pada majlis akad nikah, Erin tampil memukau dalam persalinan tradisi rona biru lembut.
Menzahirkan rasa syukur atas kebahagiaan hidup berumah tangga bersama Farriz, jelitawan ini menitipkan ucapan romantis buat suami tercinta. “6 years of marriage with 2 beautiful kids. Happy anniversary to us Farriz Fauzy! Thank you for being the greatest husband and papa to our kids. Love you sayangku.”
Sejak berstatus isteri dan mak orang, Erin memperlahankan aktiviti seninya dan agak jarang muncul di majlis-majlis hiburan mahupun kaca TV. Fokusnya kini lebih tertumpu kepada keluarga dan menguruskan dua orang anak.
Pun begitu, kelibat Erin Malek tetap menjadi perhatian dan sumber inspirasi peminat khususnya kaum wanita kerana mampu sentiasa tampil cantik dan bergaya walaupun ada dua anak yang masih kecil. Meskipun kedua-dua anak masih kecil, namun Erin dan suami akan tetap bawa anak-anak pergi bercuti bersama.
Berbicara tentang penampilan wanita jelita ini pula Erin mendedahkan dia ambil keputusan untuk berhijrah dan tampil berhijab pada tahun 2016 selepas hasrat ingin memakai tudung disokong suami tercinta dan keluarga tersayang. Memang terserlah keayuan Erin Malek sejak bertudung!
Kredit: Instagram Erin Malek
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!