Jika bercerita tentang anak perempuan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pasti nama pertama yang terlintas ialah Ivanka Trump. Hakikatnya, pemimpin paling
berpengaruh di dunia tersebut mempunyai seorang lagi anak perempuan yang nyata ‘jauh’ daripada radar populariti anak-anaknya yang lain dikenali sebagai Tiffany Ariana Trump.
Berusia 26 tahun dan dilahirkan pada 13 Oktober 1993 di West Palm Beach, Florida… Tiffany merupakan satu-satunya anak Trump hasil perkahwinan keduanya dengan pelakon dan personaliti televisyen, Marla Maples. Walaupun Tiffany anak bongsu perempuan berbanding adik-beradik yang lain seperti Donald Jr, Ivanka, Eric dan Barron namun kewujudannya tidak mendapat perhatian meluas memandangkan media di sana lebih berpihak kepada isteri pertama, Ivana.
Empat tahun melayari perkahwinan, Trump dan Maples akhirnya bercerai pada tahun 1999. Sejak itu, Maples membesarkan Tiffany sebagai ibu tunggal dan masih berhubung
baik dengan Trump demi anak gadisnya itu. Bercerita tentang ibu tersayang, Tiffany memberitahu media bahawa Maples seorang ibu yang penyayang dan sentiasa berada di sisinya sejak kecil.
“Kami sentiasa bersama, dia yang menghantar saya ke sekolah, menaiki kereta bersama-sama, menyanyi dan menari bersama serta selalu bergurau tentang gerak tari masing-masing.”
Meskipun tinggal jauh dari kelibat bapa dan adik-beradik yang lain, Tiffany bijak bergaul dengan masyarakat di sekitar California dan mempunyai hubungan baik dengan golongan kaya dan ternama di sana. Misalnya, ibu Tiffany merupakan rakan baik kepada Kris Jenner dan Tiffany juga mendapatkan pendidikan di sekolah persendirian.
Ketika usia baru mencecah 17 tahun, Tiffany sudah bergelar penyanyi dan menghasilkan single pertamanya ‘Like a Bird’ pada 2011. Namun ramai yang mengkritik suara Tiffany dan menganggap anak bongsu Trump ini tidak memiliki bakat dalam bidang nyanyian. Salah satu persamaan realiti yang boleh dikaitkan dengan ahli keluarga wanita dalam keluarga Trump ini adalah kesemua mereka pernah terlibat dalam bidang peragaan.
Isteri Trump, Melania dan bekas isteri lain iaitu Ivana dan Marla Maples dahulunya merupakan seorang model. Bahkan Ivanka Trump pun pernah bergelar peragawati dalam tempoh yang singkat dan dikhabarkan menandatangani kontrak bersama Elite Model Management Corporation sebelum memutuskan untuk mengurus empayar milik bapanya.
Pada awal tahun 2016, Tiffany dilihat mengikut jejak langkah mereka apabila tampil dalam New York Fashion Week ketika masih bergelar pelajar kolej.
Ada yang beranggapan hubungan anak perempuan Trump iaitu Ivanka dan Tiffany agak tegang. Namun menerusi perkongsian Tiffany di Instagram, dia mendedahkan kakak sulungnya itu sebagai sahabat baik dan saling menyokong di antara satu sama lain.
Pernah menyatakan hasratnya untuk turut terlibat menguruskan perniagaan keluarga, Tiffany bagaimanapun cuba mempersiapkan diri dengan melanjutkan pengajian dalam jurusan undang-undang di Georgetown Universiti, dua tahun lalu.
Yang pasti, kehidupan Tiffany bukan semudah yang disangka meskipun dia ialah anak presiden Amerika Syarikat. Biarpun dikenali sebagai socialite, pelajar dan juga selebriti, dia turut tidak terkecuali menerima kritikan dan pandangan sinis daripada masyarakat yang menentang pentadbiran bapanya selaku pemimpin utama negara yang juga usahawan berjaya di Amerika Syarikat. Walau ada ketika, dia sendiri tidak ‘sebulu’ dengan idea dan pendapat bapa namun apa yang lebih penting pada Tiffany adalah tentang pelajaran dan masa depannya kelak.
Apa yang menarik di sini.
Sumber: The List