Tidak seperti kelaziman, gaya dan stail seseorang turut terkesan selepas berlalunya pandemik COVID-19. Kini bangkit semula dalam fasa pemulihan, ayuh Nona tunjukkan senarai item fesyen yang versatil agar suasana normal baharu diatur penuh gaya.

IKLAN

Pelitup Muka

Kini pelitup muka adalah item asas untuk setiap orang. Ini adalah langkah perlindungan paling penting, selain mencuci tangan dan mengelak daripada menyentuh wajah. Selain pelitup muka yang datang dalam pelbagai rekaan, anda juga perlu kerap menukar pakaian dan mandi bagi mengelakkan jangkitan menular (jika ada) di kalangan ahli keluarga terdekat.

Inner

Pakaian asas wajib ada, inner turtleneck dan berlengan panjang perlu diberi keutamaan kerana ia mampu melindungi kulit secara keseluruhan. Dengan iklim di Malaysia, pilihlah inner berfabrik kapas yang berfungsi sebagai penyerap peluh.

Kemeja Lengan Panjang

Kemeja berwarna putih dalam potongan slim-fit seharusnya ada dalam gerobok anda. Supaya tubuh tidak kelihatan besar, elakkan potongan ketat atau melekap di badan. Pemilihan kemeja polos seperti ini memudahkan anda menyuaipadan dengan seluar, tudung atau aksesori berwarna lain.

Maxi Dress

Maxi dress atau helaian gaun labuh berpotongan longgar memberikan nafas moden. Jika ia berpotongan tanpa lengan, anda boleh padankan dengan outerwear seperti kot atau kardigan, kemudian sempurnakan dengan tali pinggang. Sungguh chic!

Blazer

Blazer bercetak, sama ada bercorak haiwan atau alam semula jadi menjadikan gaya si pemakai kelihatan bold. Kali ini, jangan gentar untuk mengenakan corak atau warna-warna yang menyerlah, seperti neon. Menyarung blazer yang mengikut susuk badan juga merupakan cara paling mudah untuk kelihatan fashionable.

Jaket Biker

Item mesti ada selepas pandemik. Rekaannya yang berlengan panjang memberikan lebih perlindungan dari pencemaran. Anda boleh sarungkan kutang putih di dalam dan lapisi dengan jaket biker agar kelihatan ranggi dan urban.

Kardigan

Pada asalnya kardigan merupakan baju sejuk yang berpotongan blazer dengan butang di bahagian depan. Kini kardigan direka lebih moden dengan bahan asas lebih ringan dan sesuai dengan cuaca panas. Anda boleh memakai kardigan berpotongan pendek ataupun labuh sebagai kunci gaya tanpa kelihatan keterlaluan.

Seluar

Seluar pensel atau pencil trousers, lebih sesuai dikenakan pada waktu begini berbanding seluar skinny. Anda juga boleh mengenakan seluar palazzo kerana potongannya yang beralun memberikan ilusi lebih langsing kepada si pemakai.

Skirt Labuh

Satu lagi kunci gaya bagi menggantikan seluar. Pemakaian skirt labuh kini kembali menjadi trend dan sesuai dikenakan pada waktu ini kerana selain labuh menutup kaki, ia juga mencipta imej feminin dan girlish.

Selendang

Pemilihan selendang dalam warna-warna terang seperti merah atau kuning boleh menaikkan seri wajah anda. Selain styling biasa, ia juga boleh dijadikan turban untuk kelihatan urban. Sebaiknya kenakan baju turtleneck atau inner leher agar bahagian yang terdedah dapat ditutup dengan sempurna.

Pump Shoes & Flats

Pemilihan kasut yang menutupi keseluruhan kaki amat penting. Pump shoes dan flats sesuai digayakan kerana faktor rekaannya yang ringkas dan mudah disarung. Pilihan warna-warna terang menyerlahkan lagi gaya si pemakai.