
Tidak kira siapa pun kita atau tinggi mana pun pangkat kita, menunaikan rukun Islam yang kelima adalah puncak kepada segala ibadah. Sudah pasti mengerjakan ibadah haji di bulan Zulhijjah menjadi idaman setiap muslimin dan juga muslimat kerana ganjarannya yang begitu besar.
Datin Seri Umie Aida adalah antara insan bertuah kerana telah terpilih menjadi salah seorang Duyufurrahman ataupun tetamu Allah SWT pada musim haji tahun ini. Datin Seri Umie Aida bakal berangkat ke Tanah Suci Makkah pada 4 Ogos ini.

Mengerjakan ibadah haji buat kali pertama, Datin Seri Umie Aida akan ditemani oleh suaminya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Kongsi Datin Seri Umie, “Ketika mengerjakan umrah, Januari lalu, saya berdoa bersungguh-sungguh supaya Allah meluaskan rezeki dan diberi peluang kembali ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadat haji pula.

Alhamdulillah, doa saya diperkenankan. Saya berharap diberikan Allah kesabaran dan kekuatan untuk melaksanakan segala rukun dengan sempurna.

Peluang itu juga saya manfaatkan sebagai ruang untuk muhasabah diri kerana setiap tetamu Allah pasti ingin pulang bersama haji mabrur. Saya mahu kembali ke tanah air nanti menjadi insan yang lebih baik,” kata Datin Seri Umie Aida bersungguh.

Menurut adik kepada Erma Fatima ini, beliau mengharapkan diberikan kesihatan yang baik dan dapat menyempurna ibadah haji dan mendapat haji yang mabrur.

“Teruja sebenarnya atas peluang dan kesempatan ini. Secara peribadi, saya sudah tidak sabar mahu ke sana, malah sedang membilang hari menanti waktu Wukuf. Saya harap sangat diberikan Allah kesihatan yang baik untuk merasai nikmat paling berharga ini,” kata Datin Seri Umie Aida.
Sumber: Berita Harian; Foto: Instagram @umieaida9
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pertama Kali Jejak Kaki Ke TANAH SUCI Pada Usia 39 Tahun, Wanita Ini Akui Dulu Dirinya JAHIL

Apabila berada di tanah suci Mekah tiada lagi perbezaan darjat mahupun pangkat. Semua yang ada sama di sisi Allah SWT.
Pengalaman kali pertama menunaikan umrah pada Mac 2019 telah membawa perubahan besar dalam kehidupan Surina Mohd Zain sekaligus mengajar dirinya menjadi seorang yang reda dengan takdir Allah SWT.
Surina kini bertugas sebagai Pengarah Projek di Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Lebih membahagiakan wanita ini apabila niatnya untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah sebelum usia 40 tahun termakbul.
“Setiap kali selesai solat saya sering berdoa dan berniat semoga suatu hari nanti saya dapat ke tanah suci sebelum usia 40 tahun. Alhamdulillah doa saya dimakbulkan apabila pada Mac tahun lalu saya berpeluang menunaikan umrah untuk pertama kalinya pada usia 39 tahun.
Sejak dulu saya memang dah berniat, sebelum umur 40 tahun mesti ada turning points ke arah kebaikan termasuk tujuan hidup. Objektif hidup saya ialah berjaya di dunia dan akhirat.


Saya ke tanah suci pada 20-30 Mac 2019 diuruskan oleh agensi pelancongan berdaftar iaitu Qalesya Travel & Services Sdn Bhd.”
PENGALAMAN DI TANAH SUCI
“Memandangkan ini pengalaman pertama saya, segala persiapan dilakukan sebaik mungkin. Sewaktu menjejakkan kaki ke tanah suci perasaan saya berlainan sekali, tidak seperti beberapa trip yang pernah saya pergi sebelum ini. Ia cukup membahagiakan dan menenangkan jiwa. Tak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Saya berpeluang menunaikan solat di Hijir Ismail selama 30 minit. Saya juga dapat mencium Hajarul Aswad dengan pertolongan dua wanita dari Indonesia termasuk menjejakkan kaki ke Raudah. Saya dapat bersolat dan berdoa dengan selesa. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan atas izin-Nya.



Cuma saya tidak berkesempatan untuk melakukan tawaf wida’ kerana tiba-tiba datang haid. Selepas makan ubat, haid berhenti dan saya dapat meneruskan ibadah semula di Madinah.”
PERISTIWA MENAKJUBKAN
“Peristiwa ini terjadi ketika saya berniat hendak membawa kerusi wakaf masjid ke hotel kerana mahu menggunakannya atas sebab tertentu. Nak dijadikan cerita ketika saya hendak mengambilnya di masjid, kerusi itu sudah tiada di tempatnya. Lantas saya berniat untuk mencarinya semula esok selepas Subuh. Saya solat Isyak di masjid kemudian kembali ke hotel.
Sebaik tiba di hotel berlaku satu peristiwa yang sangat menakjubkan! Saya terkejut apabila melihat kerusi wakaf itu tiba-tiba sahaja sudah berada di hadapan pintu bilik. Bukan hanya terkejut, saya juga terkedu kerana memikirkan siapa pula yang membawa kerusi itu? Subhanallah!”

TERUS ISTIQAMAH
“Pengalaman ke tanah suci telah menjadikan saya seorang yang lebih reda dengan takdir Allah SWT. Saya percaya kita mesti berbuat baik dalam apa jua perkara mahupun keadaan demi mendapatkan ganjaran kebaikan dari Allah SWT. Semuanya kerana Dia.
Bagi saya segala yang dilakukan mahupuan kejayaan adalah untuk dunia dan akhirat. Ia perlu selari dan berpandukan ajaran serta undang-undang Islam. Secara tak langsung saya dapat menjaga penampilan dan kelakuan dengan baik. Saya akui sebelum ini saya jahil..

Impian saya selepas ini ialah untuk menunaikan ibadah haji pula. Never say good bye to Kaabah and Mecca. I will come back. Rindu sangat!”
Kredit Foto: Instagram Surina Mohd Zain
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tinggal Serumah 17 Orang, Ada 4 Pembantu & Hidang Buffet Ala Hotel, Meriahnya Keluarga Dato’ Dr Mashitah Ibrahim!

Pertama kali menjejaki kediaman Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim di Gombak, hati disapa ketenangan. Banglo putih yang tersergam ini begitu kemas dan nyaman. Namun paling menarik, ia dihuni oleh empat generasi terdiri 17 orang tidak termasuk empat pembantu rumah mereka!
Suasana riuh lengkap gelak tawa dan tangisan si kecil merupakan sesuatu yang amat membahagiakan hati wanita ini. Tidak hairanlah mengapa ia dihuni oleh sebuah keluarga besar atau extended family merangkumi orang tua, mak ayah, anak-anak dan cucu Dato’ Dr. Mashitah serta pasangan, Dato’ Abdul Shakur Abu Bakar.
“Pertamanya saya tak pernah memaksa anak-anak untuk tinggal sekali. Tapi saya tengok, anak-anak yang memilih untuk duduk sekali. Dan untuk membolehkan kita duduk dengan anak dan menantu, ada undang-undangnya.” Dato’ Dr. Mashitah
Dato’ Dr. Mashitah mempunyai empat cahaya mata iaitu Dr. Ameerah Suad, Fatin Sajeeda, Muhammad Wafi dan Adel Wajdi. Berusia 57 tahun, ahli politik disegani ini baru saja memulakan karier barunya sebagai Pesuruhjaya Sumpah pada 2 Februari 2022 lepas.
Ramai dan beraneka ragam, Dato’ Dr. Mashitah sempat tertawa kecil mengenang suasana meriah di rumah ketika berbuka puasa.
“Kalau makan tu, takde orang lainlah. Kami saja dah penuh. Nak lagi berbuka puasa, makan serentak. Tambah lagi meja panjang untuk makanan.
Dalam bulan Ramadan ni, waktu berbuka puasa semua orang menunggu di meja makan. Biasanya saya ambil masa 5 minit untuk tazkirah. Masa itulah kita remind keluarga dan diri kita benda yang simple. Jadi mak mak ni kalau tak jadikan paksaan, tak menjadilah (ketawa).”
TINGGAL SERUMAH
Tambah Dato’ Dr. Mashitah, beliau menyediakan segala kemudahan untuk mereka sekeluarga hidup dengan selesa dan harmoni.
“Rumah ini direka supaya masing-masing ada privasi. Di rumah pun saya sediakan empat orang maid; dua orang untuk jaga anak-anak, satu untuk memasak dan jaga makan minum dan yang keempat tu untuk basuh kain baju.
Kalau tengok ruang keringkan baju kami, macam saya jaga anak yatim… banyak sangat baju jemuran!

Bila tinggal serumah, biasalah ada macam-macam ragam terutamanya bab makanan. Ada yang tak suka ikan, tak suka sayur, tak makan daging dan nasi, yang perempuan jaga badan.
Jadi apa yang saya buat, rumah ni ada macam buffet, kita ada pilihan sayur dan buah-buahan. Ada pilihan roti, ada nasi putih dan nasi beras perang, ada juga quinoa.
Sampaikan anak-anak kata… ‘Kalah buffet kat hotel la ni Ma!’ (ketawa). Sebenarnya saya memang design rumah tu yang sesuai dengan penghuninya.” Dato’ Dr. Mashitah



Beliau juga selalu berpesan pada anak-anak supaya bersyukur selalu. “Allah Taala bagi mata bukan untuk kita tengok sebarangan. Apa dia ubat cuci mata supaya mata kita terang dapat pahala? Pandanglah mak ayah. Kedua, pandang Al-Quran. Ketiga, pandanglah anak-anak yang tak berdosa. Jadi dalam rumah ni ada semua. Mulakan hari kamu dengan kebaikan, pandanglah semua tu sebelum melangkah ke tempat kerja.”
MERTUA-MENANTU
Salah satu cabaran tinggal dalam keluarga besar adalah hubungan rumit mertua dan menantu. Namun bagi Dato’ Dr. Mashitah, beliau ada rahsia bahagianya.
“Saya buat menantu ni macam anak-anak. Memang ada masanya kekurangan, saya panggil dan tegur macam anak… ‘Mama nak bagitau, kenapa tinggal macam ni. Kain tu bawa turunlah, senang sikit nak basuh, nak cuci dan tolong angkatkan…’
Saya buat begitu. Saya taknak perli-perli sebab kita pun pernah jadi menantu. Hari ni kita jadi mertua. So kita kena reflect apa yang kita tak suka apa yang mertua buat kat kita dulu. Jadi kita jangan buat macam tu.



Ramai orang rasa takpelah menantu lelaki, yang pertama dan kedua tu sebab anak-anak sulung dan kedua saya perempuan. Menantu lelaki tak kisah sangat duduk dengan mertua. Tapi menantu perempuan saya, dia pilih untuk duduk dengan mertua. Dan alhamdulillah kami boleh duduk dalam keadaan yang harmoni.
Kalaupun terpaksa menegur, saya tak tegur pada anak lelaki saya, tapi saya panggil dia (menantu). ‘Mama nak bagitau…’ dengan cara yang baiklah.
Walaupun dia menantu yang saya anggap sebagai anak, dia tetap orang luar yang mesti dijaga perasaannya. Setakat ini alhamdulillah mereka boleh menerima dengan baik.” Dato’ Dr. Mashitah
NASIHAT TENTANG PERKAHWINAN
Sebagai pendakwah hebat dan wanita pintar yang sering diangkat sebagai pendidik ummah, perkongsian Dato’ Dr. Mashitah tentang perkahwinan ini cukup memberi kesan mendalam. Nasihat yang sama pun disampaikan pada anak-anaknya di rumah.
“Saya selalu ingatkan anak-anak, ‘Dulu, you are madly in love with each other. But when you get married, you will be mad to each other.’
Zaman sekarang ni anak-anak kena tahu tanggung jawab. Dalam dunia moden yang selalu melaungkan kesamarataan, kesaksamaan bersama… bukan maknanya suami isteri bahagi kerja sama banyak. Bukan malam ni I jaga anak, esok you jaga anak.
Saya kata, ‘Allah SWT mencipta perempuan ni dengan kemampuan yang berbeza.’ Telah dinyatakan berkali-kali, takkan sama lelaki dan perempuan ni.
Untuk mencapai kebahagiaan rumah tangga ni, yang pertama sekali komunikasi kena bagus. Selalu ambil masa untuk berbincang supaya kita tak stres. Kedua, usahlah harapkan kesempurnaan pada pasangan kita.
Kalau kita harapkan kesempurnaan, kita takkan jumpa sampai bila-bila. Dalam perkahwinan kita kena memberi antara satu sama lain. Accept as what you are.

Pada anak perempuan saya kata, dambakanlah untuk menjadi bidadari syurga. Diorang kata, ‘Amboi Mama…’ Tapi saya jawab, ‘Yes, dalam hidup ni you kena ada tujuan. Saya letakkan tujuan saya dalam hidup ni nak menjadi hamba Allah yang baik, wanita solehah, bidadari syurga.’
Nabi dah sebutkan macam-macam tentang bidadari ni. Keindahan mereka duduk dalam syurga. Tapi antara bidadari ni dengan wanita solehah, mana yang lebih baik? Nabi jawab, ‘Jauh lebih baik wanita solehah.’ Sehinggakan bidadari syurga pun cemburu dengan wanita solehah.
Tapi mudah ke nak jadi wanita solehah? Tidak. Sebab wanita solehah ni kena jaga semua tapi dia selalu gagal di sini (mulut).
Sampai Nabi pun pernah pesan, ‘Kamu ni senang ketuk pintu syurga tapi bila Aku tengok neraka, kamulah penghuni paling ramai.’
Sebagai wanita, kita kena banyak bersyukur dan tengok orang yang lebih kurang daripada kita. Saya cakap pada anak-anak, ‘Korang ni duduk dengan Mama kan. Tau tak orang yang tak duduk dengan Mama dia.
Balik terpaksa masak, you all balik semua makanan terhidang, anak-anak terjaga, saya sediakan 4 maids untuk uruskan keluarga besar kami.’ Jadi bersyukur. Barulah kita dapat rasa bertuahnya hidup ini.

Yang kedua, selalu bersedekah. Lagi kita bersedekah, lagi kita rasa ketenangan, kebahagiaan, keseronokan dan kesihatan.
Dan yang ketiga, selalu minta maaf. Ada satu hadis, ‘Sebaik-baik wanita adalah wanita Al-Wadud, banyak anak tapi penyayang. Selalu orang banyak anak ni, dia pemarah kan. Sebelum tidur pegang tangan suami dan memohon ampun atas kesalahannya hari ini.
Jangan pernah sekali tinggikan ego kamu, sampai tak pernah sekali pun minta maaf pada suami kamu. Suami je asyik minta maaf pada kita kan? Jadikan satu tabiat sebelum tidur, biasakan minta maaf atas apa saja yang kita tersilap hari itu.
Jadi kita pun tidur dengan keredhaan Allah dan kalau kita mati pun dalam keadaan diredhai suami. InsyaAllah ganjarannya adalah wanita solehah yang dijanjikan syurga.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penampilan ‘On Point’ Fazura Jadi Sorotan, Inspirasi Dan ‘Role Model’ Wanita Moden!

Sebut sahaja nama Fazura, pasti ramai dikalangan Nonarians yang mengenali bintang jelita suri hati kepada aktor, Fattah Amin ini. Malah, dek kerana sikap rendah diri dan mesra peminat yang dimilikinya, Fazura sentiasa disenangi orang ramai.
Selain itu, penampilan yang ditonjolkan sentiasa berjaya meraih perhatian dan menjadi sorotan wargamaya! Justeru, disini NONA kongsikan beberapa gambar OOTD Fazura yang boleh dijadikan rujukan gaya wanita moden.
Mana tahu, Nonarians juga boleh jadi cantik persis ibu kepada Fatima ini? Jom lihat fesyen OOTD terbaik Fazura!
1. Kemas & Rapi Dengan Rona Putih
Suka benar kami melihat pelakon Fazura dalam rona putih. Sudahlah memang empunya diri cantik & manis, apabila menyarungkan rekaan berona putih, lebih tampak ayu dan sopan. Seperti gaya OOTD di atas, pelakon ini bijak menggayakan rona putih dengan rekaan celana potongan besar atau ‘palazzo’ untuk menjadikan seluruh imej lebih menarik.
Padanan akesesori seperi ‘handbag’ juga memainkan peranan penting menjadi pelengkap stail ini. Pilih warna-warna aksesori yang lebih ‘bold’ untuk dijadikan sebagai ‘fashion statement’ dalam keseluruhan gaya. Gaya hijab juga menjadi nilai bonus dalam stail rona putih ini. Jika anda ingin wujudkan stail wanita yang sofistikasi, jangan lupa bawa sekali cermin mata hitam untuk tampak lebih mahal dan eksklusif!
2. Sopan Tetapi Moden!

Ayunya Fazura dalam rekaan serba ‘pink’ ini! Jelas kelihatan gaya yang santai, selesa dan paling penting, sopan! Biarpun hanya mengenakan rekaan ala jubah, pelakon ini masih nampak urban dan bergaya! Nak tahu triknya? Usah beli rekaan jubah yang terlalu besar atau terlalu kecil.
Anda harus membeli jubah yang sesuai dengan saiz tubuh anda. Barulah nampak gaya OOTD ‘on-point’ walaupun hanya menyarungkan sehelai jubah. Pilihan warna serta aksesori juga memainkan peranan penting untuk melengkap keseluruhan stail ini. Jika mahu selamat, elakkan pilihan corak yang terlampau. Ingat ya! ‘Less is more’! Lebih sederhana lebih mahal!
3. Persis Wanita Melayu Terakhir

Ramai wanita di luar sana risau jika menggayakan ‘blouse’ yang kosong dan bimbang keseluruhan gaya nampak bosan. Tidak ya! Lihat saja pelakon ini! Bijak dalam menyesuai padankan rekaan ‘blouse’ yang berona polos putih bersama celana jeans berona gelap, semestinya gaya ini wajib anda lihat dan rujuk untuk menghasilkan stail yang mewah!
4. Kasual Ranggi

Ketepikan dahulu padanan yang sarat dengan corak bunga, potongan yang labuh atau feminin. Untuk gaya OOTD ini, kita raikan gaya ranggi si muslimah moden! Padanan ‘baseball shirt’ bersama seluar khakis berona tanah cukup sempurna untuk digayakan di tengah bandar raya Kuala Lumpur!
Pilihan kasut yang sesuai ala ‘sporty’ juga menghidupkan imej OOTD ini! Masih dalam konteks menutup aurat, cumanya ia lebih ranggi! Mengapa tidak?
5. Denim Oh Denim!

Apa yang tidak kena dengan helaian denim? Tidak ada salah dalam menyarungkan rekaan denim samaada celana mahupun baju! Sesuai untuk anda yang ingin gaya minimalis dikala sibuk melakukan tugasan kerja di luar, sehelai rekaan denim mampu untuk membuatkan gaya anda mahal! Pilih kemeja yang kosong (lebih baik jika fabriknya ‘cotton’) untuk digayakan dengan celanan denim.
Percaya atau tidak, biarpun ianya tampak ringkas tetapi sebenarnya gaya ini sahaja sudah cukup untuk menonjolkan aura kejelitaan anda persis pelakon Fazura ini! Tidak salah juga untuk menyarungkan dari atas ke bawah dengan fabrik denim! Asalkan tidak terlalu sarat dan tidak kelihatan ‘murah’, ia sesuai untuk digayakan!
Selamat mencuba!
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Hijabista
Sumber gambar: Instagram Fazura
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


