Lembah Klang sememangnya mempunyai banyak lokasi tempat makan menarik untuk seisi keluarga. Sebut sahaja menu yang diinginkan baik tempatan mahupun makanan barat, semuanya mudah ditemui. Antara kafe yang sering meniti di bibir food hunters termasuklah Gula Cakery.
Gula Cakery merupakan sebuah kafe yang menjual pelbagai jenis kek dan pastri seterusnya mengembangkan menu mengetengahkan makanan Barat serta Asia. Bermula sebagai sebuah impian, perniagaan yang diasaskan bersama ahli keluarga ini membuktikan kerjasama yang baik di kalangan ahli keluarga mampu merealisasikan sebuah jenama yang menjadi lambang kejayaan bersama.
Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal sewaktu kecil sering membantu nenek memasak dan membakar kek di dapur. Setiap kali menjelang Aidilfitri, Ariena menjadi pembantu dan teman rapat nenek di dapur sehingga dia mahir menyediakan kek dan biskut tanpa bantuan orang lain.
Oleh kerana minat mendalami pelbagai ilmu masakan sama ada secara formal atau praktikal dengan sokongan nenek, ayah dan ibu, Arieni memberanikan diri menjual kek kegemarannya menerusi dalam talian.
Sebelum pembukaan kedai pertamanya, Arieni pernah menuntut ilmu pastri ke Paris untuk belajar dengan sendirinya tentang pembuatan kek dan pastri yang betul. Pada usianya yang muda, beliau telah mengambil kursus pendek selama 3 minggu untuk mahir dengan resepi yang diajar.
Ads
“Rangkaian kafe ini sebenarnya bermula daripada sebuah impian. Disebabkan saya terlalu meminati serta obses terhadap dunia pembuatan kek, maka terhasillah jenama Gula Cakery yang menjadi impian saya sejak kecil,” ujar Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Head Baker di kesemua rangkaian Gula Cakery.
Arieni dan suami bersama-sama mengusahakan perniagaan F&B bersama keluarga tersayang
Berkelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Arieni memulakan perniagaannya seawal usia menginjak angka 20 tahun. Rasa kasih yang tidak pernah putus terhadap kanak-kanak serta mahu sentiasa berdampingan dengan mereka telah mencetus idea untuk membuka sebuah pusat belajar memasak untuk kanak-kanak yang turut memuatkan kafe untuk kemudahan seisi keluarga menikmati hidangan ringan.
Ketika itu Arieni ‘menumpang dapur’ di rumah ibunya untuk menyiapkan tempahan para pelanggan sambil menganjurkan kelas-kelas baking secara sambilan. Pada peringkat permulaan, Arieni menggunakan nama Gula Home Bakery sebagai jenama produk memandangkan dia memulakan perniagaan dari rumah.
Keunikan nama Gula menjadi sinonim buat Arieni yang menganggap gula sebagai salah satu elemen penting dalam menyiapkan kek untuk para pelanggan.
Ads
Penerima NONA BEST HOMEGROWN F&B AWARD ini boleh berbangga mempunyai 13 cawangan kafe di ibu negara yang bukan sahaja menghidangkan kek, malah Arieni turut mempunyai kedai menyediakan roti jala iaitu Arieni’s Roti Jala serta sebuah kedai makanan yang menghidangkan menu dari Mexico yang terletak di Setia Alam. Malah ia turut membuka cawangan di Melaka.
Lebih membanggakan, jenama ini turut diiktiraf Time Out KL sebagai kafe berkonsepkan kekeluargaan terbaik apabila kafe Gula Cakery mengembangkan perniagaan dengan pembukaan kafe yang diberi nama Gula Petite di IOI City Mall Putrajaya. Tambah Arieni lagi, Gula Petite berkonsepkan kafe mini yang memberi fokus kepada jualan aneka jenis kek, sandwich dan hidangan minuman panas and sejuk.
Kejayaan demi kejayaan dirai oleh jenama tempatan yang diusahakan bersama keluarga ini membuktikan berkat kerjasama dan kesefahaman antara satu sama lain mampu membawa jenama ini menempa pelbagai kejayaan dalam jangka masa yang singkat.
Ads
Berkat doa dan kemahuan untuk merebut peluang mengembangkan perniagaan, Arieni tidak menafikan sokongan keluarga dan sifat dirinya yang sentiasa ingin memajukan diri menjadi antara faktor yang mendorong kejayaannya kini.
“Suami sering melabelkan diri saya sebagai wanita yang tidak boleh duduk diam. Ada sahaja idea atau benda yang hendak saya lakukan. Idea-idea yang datang saya kembangkan untuk menjadikan ia sesuatu yang boleh membawa keuntungan. Itu antara faktor yang saya rasa perlu ada dalam diri setiap wanita untuk berjaya.
Saya menguruskan 13 cawangan dan 180 orang kakitangan. Sudah semestinya saya tidak boleh berdiam diri dan merancang pelbagai strategi untuk sama-sama memajukan jenama serta memastikan kakitangan juga menikmati manfaat bersama,” ujar Arieni yang memasang azam untuk menambah baik kehidupan kakitangannya dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Saya mengamalkan konsep berkongsi rezeki dengan kakitangan kerana dalam perniagaan ini ia saling memerlukan dan bergantung antara satu sama lain. sepanjang 8 tahun ini saya rasa lebih banyak memberi lebih memberi ketenangan dan dapat berkongsi kebaikan dengan insan-insan yang penting dalam hidup saya,” ujar Arieni lanjut.
Sepanjang bergelar usahawan, Arieni juga tidak terlepas dari berhadapan pelbagai cabaran dan dugaan untuk memastikan jenama kesayangannya itu mampu bersaing dalam industri makanan yang kompetatif.
Malah baru-baru, gandingan suami isteri ini turut menjadi juara sebuah rancangan memasak realiti yang dianjurkan oleh sebuah stesyen televisyen tempatan.
“Secara peribadi, dugaan atau cabaran terbesar yang perlu saya hadapi adalah untuk mengenali diri sendiri. Sebagai ketua, saya perlu berhadapan dengan pelbagai kerenah baik dari segi staff mahupun pelanggan.
Bayangkan, saya mempunyai 180 orang staf dan memerlukan ‘orang kanan’ untuk memastikan masakan yang terdapat dalam senarai menu menepati citarasa pelanggan dan piawaian standard yang telah saya gariskan. Jadi, jika titik tersebut tidak saya temui, agak sukar untuk saya memastikan kelancaran kafe sebaiknya.
Jadi, saya tidak boleh beremosi dalam membuat sebarang keputusan kerana ia akan memberi impak terhadap organisasi secara keseluruhannya,” ujar Arieni yang pernah berhadapan dengan masalah apabila kakitangan menamatkan perkhidmatan setelah beberapa tahun berkhidmat.
Sebagai majikan, Arieni amat mementingkan kualiti setiap kakitangan di bawah empayar perniagaannya kerana ia untuk menjayakan perniagaan berasaskan makanan, mutu serta kualiti makanan memainkan peranan yang penting untuk memastikan kepuasan pelanggan sentiasa terpelihara.
Baca artikel penuh penerima NONA BEST HOMEGROWN F&B AWARD di majalah NONA edisi Januari 2023 yang sudah pun berada di pasaran.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Walaupun Neelofa tidak dapat bersama kami di malam berprestij Nona Superwoman Award 2018 pada 4 Disember lalu atas tuntutan kerja, tapi kami berjaya surprisekan Neelofa untuk menerima dua trofi Nona di set MELETOP.
Neelofa antara selebriti yang menerima penganugerahan daripada Majalah Nona sempena Nona Superwoman Award 2018 yang meraikan wanita-wanita berjaya dan berinspirasi dalam bidang masing-masing.
Apa yang menariknya lagi, Neelofa berjaya membawa pulang dua anugerah iaitu Nona Insta Famous Award dan Nona Hijab Award! Tahniah Neelofa!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tiada perkataan yang dapat menggambarkan betapa setianya wanita bernama Wan Azizah Wan Ismail ini. Hatinya yang perkasa tidak hanya tergambar dari kata-kata, tapi melalui perbuatan dan gaya fesyen yang tidak pernah berubah. Buktinya, gambar baju kurung yang dipakainya pada 2015 masih kemas tersarung di tubuhnya ketika pertemuan kami pada tahun 2022.
Dalam hantaran Facebook beliau bertarikh 11 Februari 2015, Dr Wan Azizah yang kini merupakan ahli Parlimen Bandar Tun Razak pernah memuat naik gambar beliau bersalam dengan suaminya memakai sepasang baju kurung hitam dan tudung bawal putih.
Menariknya ketika Majalah Nona bertemu beliau di rumah pada 21 September 2022, wanita hebat ini tetap memakai baju kurung dan tudung yang sama dipakainya tujuh tahun lepas!
Hebatnya Dr Wan Azizah, sering membuat sesiapa pun selesa bertemu. Selain suka tersenyum, ayat-ayat zikrullah juga selalu basah di bibir wanita berusia 70 tahun itu. Ketenangan adalah kekuatan utama beliau yang tidak mudah terdapat pada mana-mana wanita pun.
“Sebenarnya dulu saya lebih fokus pada kerjaya saya sendiri. Saya jarang ambil peduli, apatah lagi nak masuk campur hal-hal kementerian. Anwar pernah cakap pada saya, ‘You bukan Menteri, I Menteri. You jangan campur…’ Jadi mungkin sebab itu saya lebih bahagia dengan kerjaya saya dalam bidang perubatan.” Dr Wan Azizah
Menyentuh pengalaman paling pahit Dr Wan Azizah selaku ketua keluarga sepanjang tempoh suaminya dipenjarakan, siapa sangka dalam keterpaksaan itu melahirkan seorang wanita hebat yang menjadi pemimpin politik, ketua parti dan gagasan pembangkang, malah beliau turut menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri wanita pertama di Malaysia.
Dr Wan Azizah sempena ulang tahun kelahiran ke-70
**************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
**************
Rentetan peristiwa pemecatan dan penahanan Dato’ Seri Dr Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah mula bangkit melalui gerakan reformasi. Beliau bertanggungjawab membantu menubuhkan Parti Keadilan Nasional digabungkan dengan Parti Rakyat Malaysia pada April 1999 yang kemudian menjadi Parti Keadilan Rakyat dan bertindak selaku Presiden PKR.
“Saya kira hidup saya tidaklah berliku sangat. Ada ramai lagi yang terpaksa menghadapi cabaran yang lebih hebat dari saya dan suami dengan berkesudahan tidak mendapat apa-apa pulangan pun.
Saya boleh tahan mulut orang, katalah apa-apa pun. Yang saya cari hanyalah reda Allah. Itu saja yang membuatkan saya kuat menerima ujian-Nya.” Dr Wan Azizah
Pada pilihan raya 2018, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tetapi hanya bertahan selama dua tahun.
Ditanya tentang kenangan termanisnya sewaktu memegang jawatan tersebut, Dr Wan Azizah berulang-kali melahirkan rasa syukur.
“Ya, saya kira itu satu pengiktirafan kepada kaum wanita. Dan sebagai wanita, saya percaya kita boleh menunaikan tanggungjawab hakiki sambil memperbaiki negara dan pentadbirannya.
Ketika menjadi TPM, saya banyak membantu dari aspek pentadbiran. Banyak yang boleh digabungkan kerana saya kira kementerian ini kadang-kadang berjalan membuat tugasan-tugasan mereka secara berasingan. Dan bila digabungkan, kesinambungan pentadbiran itu jadi lebih komprehensif serta memberi solusi yang dimahukan.”
Ditanya siapakah wanita hebat yang menjadi inspirasinya, ini jawapan beliau yang kini semakin sibuk dengan tanggungjawab sebagai isteri Perdana Menteri, selepas pelantikan rasmi Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 24 November 2022.
“Penghuni wanita di syurga majoritinya wanita solehah yang kuat bersabar. Merekalah inspirasi saya. Dari kisah mereka saya belajar agar janganlah terlalu berkeras, kalau diuji kita kena sabar, reda dan bersyukur. Yakinlah jika ada satu hal yang diuji, kita masih ada banyak benda lagi yang lain untuk disyukuri.
Hidup ini adalah perjalanan. Sampai penghujungnya yang kita cari tetaplah keredaan Allah Taala. Kena reda dengan ketentuan-Nya supaya kita jadi tenang dan anggap ujian atau yang lain-lain tu hanyalah sekadar sampingan atau persinggahan dalam hidup ini saja,” pesan beliau mengakhiri pertemuan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kerjaya sebagai seorang peguam sememangnya menjadi dambaan ramai wanita kerana kerjaya tersebut mempunyai auranya yang tersendiri. Bagi Datin Dr Nik Sarina Hashim, setelah beberapa tahun memilih karier dalam bidang perundangan, siapa sangka pintu hatinya terbuka untuk membuka perniagaannya sendiri.
Dek kerana minat dalam bidang perniagaan menjadi asbab mengapa Datin Dr. Nik Sarina Hashim sanggup melepaskan jawatan sebagai peguam setelah bertahun lamanya berkecimpung dalam kerjaya tersebut. Sekaligus, mengasaskan SLAE Cosmetics.
“Setelah banyak menguruskan produk-produk di bawah jenama tempatan di bawah amaxMALL, saya memasang impian untuk mengeluarkan jenama sendiri. Memandangkan saya suka kepada kecantikan, apatah lagi produk berasaskan kosmetik, maka lahirlah SLAE Cosmetics.
Produk kosmetik SLAE Cosmetics mementingkan kualiti dan datang dalam pembungkusan yang menarik berunsurkan alam semulajadi. Nama itu diperolehi setelah sekian lama memerah otak memikirkan nama yang bersesuaian dan menarik untuk penjenamaan produk SLAE dan juga what it stands for,” ujar Datin Dr Nik Sarina yang juga penerima NONA BEST PROFESSIONAL BEAUTY AWARD.
Berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Kings College London serta Sarjana Perbankan (Undang-Undang) dan Doktor Falsafah dalam Islamic Finance, wanita inspirasi ini pernah bertugas sebagai Majistret dan Timbalan Pendakwa Raya serta peguam sebelum menceburkan diri dalam dunia perniagaan.Segala pengalaman yang pernah dilaluinya dijadikan inspirasi untuk memastikan jenama kosmetik yang diasaskannya mampu bersaing bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.
“Entah macam mana, bila sudah lama bekerja dalam bidang perundangan, hati ini teringin pula nak ada sebuah bisnes sendiri. Maka, bermulalah titik tolak saya dalam bidang perniagaan kosmetik,” katanya hadir ke studio Ideaktiv baru-baru ini.
SLAE Cosmetics menggunakan tagline The Makeup For Work ini menjadikan wanita berkerjaya sebagai inspirasi dalam menghasilkan produk kosmetik yang menggunakan bahan semulajadi, bebas alkohol, tiada parabendan wangian sekaligus sesuai untuk digunakan seharian.
Berkongsi mengenai cabaran yang dilalui sepanjang mengasaskan SLAE Cosmetic, Nik Sarina yang kini menggalas tanggungjawab sebagai pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat memberitahu persaingan adalah lumrah dalam dunia perniagaan.
“Pada pandangan saya, setelah memulakan perniagaan kosmetik ini, masalah penghantaran barang oleh pihak ketiga menjadi cabaran pertama. Kadang-kadang penghantar kurang prihatin bahawa apa yang dihantar ialah amanahnya sebagai penghantar dan mereka perlu memastikan bungkusan dikendalikan dengan cermat,” katanya.
Tambah Nik Sarina lagi, pada tahun 2023 SLAE bakal melancarkan pelbagai rangkaian produk demi memenuhi keperluan dan permintaan pelanggan yang semakin menggemari produk di bawah jenamanya.
“Harapan kami bukan setakat menjalankan perniagaan secara fizikal tetapi juga melakukan jualan ke negara secara luar secara dalam talian, InsyaAllah”, ujarnya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Rezeki aktres Hollywood ini pada usia 62 tahun, Demi Moore muncul sebagai wanita tertua dinobatkan gelaran 'Orang Tercantik Di Dunia' oleh Majalah People.