Doktor, ini merupakan perkahwinan kedua saya dan kami suami isteri bercadang untuk mempunyai cahaya mata bersama. Masalahnya, usia suami sudah 60 tahun manakala saya pula di hujung 40-an. Apakah harapan kami cerah?

Untuk pengetahuan Doktor, saya pernah menjalani rawatan membuang fibroid kira-kira empat tahun lepas.

IKLAN

Diyana Mastura, Bukit Damansara

Dr Norazlin Rosli: Pertanyaan yang sungguh baik, terima kasih. Untuk pengetahuan anda, kesuburan atau kebolehan seseorang wanita untuk hamil bergantung kepada tiga perkara iaitu:

  1. Keupayaan mengeluarkan telur daripada ovari,
  2. Salur fallopio yang berfungsi atau tidak tersumbat untuk persenyawaan,
  3. Rahim yang normal untuk implantasi telur yang telah disenyawakan (embrio) serta pembesaran janin dan perkembangan bayi di dalam kandungan.

Jumlah telur yang dimiliki oleh seseorang wanita itu adalah terhad dan telah berada di dalam ovarinya sejak di peringkat bayi lagi. Telur akan mula dikeluarkan melalui proses ovulasi apabila seorang wanita itu akil baligh dan mula mengalirkan darah haid. Bilangan telur ini tidak akan ditambah.

Oleh itu apabila usia seseorang itu meningkat, bilangan telurnya juga akan semakin berkurangan. Kadar pengurangan telur akan menjadi lebih cepat apabila seseorang wanita itu mencecah usia 35 tahun. Kerana itulah kesuburan atau kebolehan untuk mengandung akan berkurangan apabila wanita itu meningkat umurnya.

Puan,

Kualiti telur juga akan berkurangan apabila umur seseorang wanita itu bertambah. Risiko untuk embrio yang dihasilkan tidak normal juga adalah tinggi berbanding dengan wanita yang lebih muda. Embrio yang tidak normal mungkin tidak boleh melalui proses implantasi lalu mengurangkan peluang untuk hamil.

Jika proses implantasi berjaya berlaku, risiko keguguran pula adalah tinggi untuk embrio yang tidak normal.

Jika embrio yang tidak sihat ini berjaya membesar, risiko untuk seorang wanita itu melahirkan bayi yang mempunyai kecacatan genetik seperti Sindrom Down’s adalah tinggi.

IKLAN

Salur fallopio penting untuk pertemuan di antara sperma dan telur. Seorang wanita mempunyai dua salur fallopio, iaitu di sebelah kiri dan kanan rahim. Oleh itu, salah satu mestilah berfungsi untuk memberi peluang kehamilan. Telur yang telah disenyawakan (embrio), akan bergerak dari salur fallopio dan turun ke dalam rongga rahim untuk proses implantasi.

Dalam kes anda, jika rongga rahim diganggu oleh pertumbuhan fibroid, peluang untuk implantasi embrio boleh terjejas.

Satu lagi yang perlu menjadi perhatian semua. Sebenarnya kuantiti dan kualiti sperma tidak terlalu bergantung kepada usia seseorang lelaki. Ini kerana, sperma dihasilkan pada setiap tiga bulan.

Saya ingin menasihatkan kepada anda dan suami agar berjumpa dengan pakar kesuburan bagi membuat pemeriksaan lengkap termasuk ujian ultrabunyi, ujian darah dan juga analisa air mani.

IKLAN

Andai kata kadar simpanan telur anda telah berkurangan, alternatif rawatan IVF boleh dipertimbangkan namun peratusan untuk berjaya juga adalah bergantung. Untuk meningkatkan kemungkinan berjaya, terdapat proses Preimplantation Genetic Screening, di mana embrio yang telah dihasilkan melalui proses IVF akan dibiopsi bagi memeriksa kandungan genetiknya.

Embrio yang mempunyai kandungan genetik normal dapat menambahkan kebarangkalian untuk berjaya hamil, memendekkan masa yang diambil untuk sesebuah pasangan itu untuk mencapai kehamilan dan juga mengurangkan risiko untuk mendapat kandungan yang tidak normal.

Bagi pesakit bukan Islam, terdapat pilihan untuk mendapatkan perdermaan telur dari wanita yang lebih muda. Ini akan meningkatkan probabiliti untuk berjaya hamil dan juga mendapatkan kandungan dan seterusnya bayi yang sihat. Semoga jawapan ini dapat membantu anda dan suami membuat pilihan seterusnya.

Umur 40-an Teringin Mengandung Lagi, Dr Norazlin Rosli Bagi Penerangan Padu Tentang Risikonya!

Dr. Norazlin Rosli merupakan Konsultan Obstetrik dan Pakar Kesuburan berkelulusan dari University of Glasgow. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di Royal College of O&G di United Kingdom dan pernah berkhidmat di pelbagai hospital kerajaan, termasuk di UK, Brunei dan Singapura. Beliau merupakan Pakar Kesuburan di Sunfert International Fertility Centre, Hospital Pakar Ampang Puteri dan Kasih Fertility Specialist Clinic.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI