
Seiring dengan perubahan zaman masakini, penampilan ruang dapur turut mengalami revolusi. Nuansa putih bukan lagi menjadi trend semasa kerana warna-warna lain juga mampu mendominasi ruang kegemaran kebanyakan kaum wanita. Antaranya ialah warna biru, merah serta kuning.
Bagaimana pula dengan warna hitam? Adakah anda berani mencuba untuk mewarnai ruang dapur kesayangan? Sekiranya warna hitam menjadi pilihan anda pada tahun ini untuk ruang dapur kesayangan, mari kita lihat keistimewaannya yang mampu mengubah persepsi bahawa warna hitam bukanlah warna pemalap. Sebaliknya ia bakal menjadi ‘pemanis’ ruang dapur yang elegan.
PEMANIS RUANG
Walaupun warna hitam kelihatan sedikit ‘pelik’ untuk dijadikan sebagai warna dekorasi ruang dapur namun warna ini ternyata mampu menjadi pemanis. Kesan dan suasana yang pertama akan anda rasakan jika ruang dapur berwarna hitam ialah ia terasa lebih kukuh. Mengapa? Kerana warna hitam adalah solid dan jelas, maka kesan kukuh itu pasti akan terus dapat dirasai. Lebih-lebih lagi jika anda menggabungkannya dengan warna kelabu dan sedikit aksen tembaga.
EDGY
Pengaplikasian konsep warna hitam untuk ruang dapur sebenarnya masih kurang popular. Namun, jika anda ingin menaplikasikan warna hitam di ruang dapur maka ambien dapur yang edgy akan dirasai. Tambahkan material subway tile maka terhasilnya penampilan ruang dapur yang sangat menarik.
ELEGAN
Sekiranya anda tidak mahu keseluruhan ruang dapur bernuansa gelap kerana khuatir ianya kelihatan sempit, maka aplikasikan warna hitam sebagai aksen. Contoh, warna hitam hanya dihadirkan pada perabot dapur seperti meja dan kerusi makan atau lampu gantung di dalam ruang dapur. Pilihan material marmar atau granit adalah penyelesaian yang tepat bagi anda yang mahukan konsep dapur di rumah agar kelihatan mewah dan elegan.
HANGAT
Konsep ruang yang hangat bukan hanya terhadap daripada penerapan warna coklat sahaja malah warna hitam juga mampu memberikan kesan ruang yang hangat. Asalkan anda memadukannya dengan material batu bata di dinding serta panel kayu di ruang plafon maka ruang dapur berwarna hitam terasa lebih hangat.
UNIK
Aksen dekoratif yang unik juga boleh anda tambahkan di ruang dapur. Warna hitam yang mendominasi ruang dapur juga akan kelihatan serasi dengan tambahan penyedut asap (hood) tahan karat. AMY MOHD
Setengah Tahun Gugur Sampai 3 Kali, Kini DATIN ZAI Syukur Rasa Nikmat Ibu 2 Anak!

Rezeki Allah Taala pasti ada apabila sampai waktunya. Walau berdepan pelbagai cabaran besar untuk menimang cahaya mata kira-kira dua tahun lalu, kini Datin Zai Izatti merupakan ibu kepada dua orang anak. Empunya badan sendiri pun tidak menyangka, aturan Allah untuk mengurniakan zuriat kepadanya adalah secepat ini. Hanya ungkapan alhamdulillah yang terpacul di bibir ratu hati Datuk Jamal Abdillah ini setiap kali berkongsi cerita mengenai perjalanannya menjadi seorang ibu.
Selamat menerima kehadiran ‘orang baru’ pada tanggal 11 November 2020 yang juga seorang bayi lelaki, ibu berusia 27 tahun ini berkata kehamilan anak kedua disifatkan lebih mudah berbanding anak sulungnya, Nur Azura Yamani. Menamakan bayi lelaki mereka, El Issac Yamani… Datin Zai yang kini dalam proses berpantang meluahkan rasa syukur kerana diberi rezeki menikmati pengalaman bergelar ibu dua anak.
Mesra menyambut panggilan penulis, Datin Zai terbuka berkongsi momen kelahiran El Issac Yamani secara pembedahan sekitar dua bulan lalu. “Kenangan bersalin kali ini, lepas bayi keluar je dan selesai pembedahan saya terus diserang gastrik. Mungkin sebab semalaman berpuasa jadi masuk angin. Bahagian dari pusat ke bawah memang tak rasa apa waktu tu. Tapi perut memulas.
Lepas doktor bagi ubat alhamdulillah, baik. Ikutkan due date El Issac 17 November tapi sebab kena operate, doktor bagi kami pilih sendiri tarikh untuk bersalin. Jadi 11 November jadi pilihan. Jantina anak pula dari usia dia 4 bulan kami dah tahu dan masa El Issac lahir berat dia 3.05 kg.”

Berhasrat untuk mempunyai sekurang-kurangnya empat orang anak, Datin Zai mendedahkan perjalanan untuk menimang cahaya mata tidak semudah yang disangka. Beliau pernah mengalami keguguran sebanyak empat kali sebelum melahirkan Azura. “Awal kahwin dulu kami suami isteri tak rancang tapi direzekikan hamil. Bila dapat tahu gugur, sedih sangat. Saya rasa mungkin waktu tu saya terlalu excited dan kandungan awal lagi tapi tak beritahu sesiapa pun.
Bayangkan, saya pernah gugur 4 kali baru dapat Azura. Sebelum itu memang saya ada cuba ambil suntikan dan supplement untuk hamil. Bila banyak kali gugur, saya jumpa doktor sebab risau ada masalah berkaitan rahim atau sebagainya. Alhamdulillah, tak ada masalah.
Ketika dalam proses nak buat IVF, setengah tahun juga… tiga kali saya gugur. Sampai diri dah pasrah dan reda kalau ditakdirkan tak ada rezeki anak. Tapi waktu itulah, Allah ‘bagi’ Azura. Walaupun masa mengandungkan Azura saya alami banyak pendarahan tapi syukur semuanya dipermudahkan. El Issac pun saya hamil secara semula jadi.”
Nampaknya sekarang Datuk Jamal dan Datin Zai sudah pun mempunyai sepasang cahaya mata. Kalau anak sulung dulu diberi nama Nur Azura Yamani, uniknya nama anak kedua mereka El Issac Yamani atau singkatannya Zeck ini diambil sempena filem Azura! Terus terbayang lakonan Datuk Jamal sebagai Zeck dalam filem popular era 1984 tu.
“Sejak anak pertama lagi memang bapa dia yang pilih nama. Mula dulu Datuk nak nama Azura sebab memori kenangan filem tu. Anak kedua ni pun sama juga. Kalau tanya saya, saya memang tak pandai sangat nak bagi nama anak. Saya serahkan dekat Datuk. Issac tu diambil daripada nama Inggeris Ishak, Yamani pula sebab keturunan Yaman. Jadilah El Issac Yamani atau singkatan Zeck,” jelas Datin Zai yang mengaku tidak cerewet dalam bab pemberian nama anak. Untung Datuk Jamal!
Mengimbas kembali kehamilan kedua Datin Zai Izzati, beliau nyata tidak menyangka diberi rezeki timang cahaya mata sekali lagi ketika anak sulung baru berusia tujuh bulan. Memandangkan kurniaan terindah dari ilahi ini diterima dalam bulan Ramadan, pasangan romantis berkenaan menganggap ia satu rahmat buat rumah tangga mereka.
Ujarnya, beliau tidak mengalami alahan teruk sepanjang mengandungkan El Issac. “Mengandungkan El Issac ni tak teruk macam Azura dulu. Ada alahan dan rasa tak lalu makan sampai 4 bulan. Cuma yang saya perasan bila mengandung anak kedua, Azura jadi kuat meragam dan manja sangat. Sampai mandi dan makan pun menangis. Azura ni hyperactive, jenis tak boleh duduk diam. Ada je yang dia nak buat. Buat masa sekarang, saya dah mula hantar Azura ke playschool dari hari Isnin sampai Jumaat.”

Memandangkan Azura sudah bersekolah, mudah untuk Datin Zai menguruskan rumah dan bayi. Malah beliau sendiri yang memasak menu berpantang di rumah. “InshaAllah saya berpantang 100 hari tapi sekarang ini tidaklah seketat amalan pantang awal bersalin dulu. Makanan yang ‘tajam’ saya elakkan dulu untuk 6 bulan.
Lagipun saya bersalin czer, tak boleh urut sangat. 10 hari pertama lepas bersalin dulu ada ambil confinement service. Mak saya pun ada jaga awal dulu. Tapi sekarang semua jaga sendiri termasuk lauk pantang. Sepanjang berpantang ni saya suka makan sayur kalian dan sawi juga ikan rebus.”
Diaju sama ada beliau ada perancangan untuk mengusahakan perniagaan, Datin Zai mengakui beliau pernah terlintas untuk memiliki bisnes sendiri namun semuanya masih di peringkat awal. “Buat masa ini tak tahu lagi hendak buat bisnes apa. Mungkin kedai makan sebab keluarga saya ada mengusahakan perniagaan tersebut. Tengoklah macam mana nanti,” ungkap Datin Zai sambil ketawa.
Sebelum mengakhiri perbualan, beliau berharap kedatangan tahun baharu yang diuji dengan situasi pandemik Covid-19 dan keadaan politik dan ekonomi yang tidak stabil dapat kembali pulih seperti sebelum ini. “Harapan tahun baharu, semoga semuanya berada dalam keadaan baik dan anak-anak saya dapat membesar dengan sempurna.”
Kredit foto: Instagram Datin Zai Izatti
Tolak Nasi Kerana Takut Gemuk, Wanita Boleh Cuba Gantikan Roti Ini Sebagai BEKALAN KARBOHIDRAT

Ramai wanita yang mahu mengamalkan diet untuk menguruskan badan tetapi sering gagal meneruskan program diet pilihan mereka. Akibatnya diet terputus di tengah jalan. Lebih malang lagi setelah gagal program diet, badan semakin naik.
Tubuh memerlukan kalori sebagai sumber tenaga untuk melakukan aktiviti harian. Karbohidrat pula merupakan sumber utama kalori yang menjana tenaga. Nasi adalah makanan ruji rakyat Malaysia yang kaya dengan karbohidrat dan sumber membekalkan tenaga.
Namun, ramai yang mengelak mengambil nasi terutama ketika dalam program diet. Roti telah menjadi pilihan untuk mengganti nasi sebagai alternatif sumber karbohidrat.
Roti mengandungi karbohidrat yang boleh menggantikan nasi. Roti bukan hanya pilihan mereka yang mahu menurunkan berat badan tetapi turut menjadi pilihan bagi mereka yang mencuba untuk makan sihat.
Ramai wanita berdiet memilih roti untuk memberi rasa kenyang. Roti yang terbaik adalah roti yang berasaskan gandum.
Roti tawar gandum dapat memenuhi keperluan kalori setiap hari dengan kandungan serat yang tinggi dan hanya mengandungi 12.26 gram karbohidrat dalam sepotong roti.
Manakala protein dalam gandum yang digelar gluten dapat diukur dengan kadar kekerasan roti. Semakin keras tekstur roti, maka semakin banyak protein di dalamnya. Kandungan protein dalam sepotong roti sekitar 5 gram.
Manfaat Roti Tawar Gandum
- Membantu program diet kerana kandungan serat tinggi yang baik untuk pencernaan.
- Menurunkan kolesterol kerana mampu mengikat asid yang dikeluarkan oleh hempedu (bile asid). Asid ini yang menjadi punca kolesterol.
- Mengandungi serat tinggi.
- Mengandungi vitamin dan mineral seperti vitamin E, B2 dan niasin.
- Elok untuk pesakit diabetes kerana kandungan glikemik rendah.
Jenis-jenis roti
(a) Roti tawar
Karbohidrat yang terdapat dalam roti tawar baik untuk menambah tenaga. Mengambil roti tawar sebagai sarapan dapat memberikan rasa kenyang.Namun, bergantung pula kepada beberapa jumlah keping roti yang diambil.
Selain itu, roti tawar juga kaya dengan serat. Serat berfungsi untuk melancarkan sistem pencernaan sehingga sistem pencernaan menjadi sihat. Roti tawar juga mengandungi vitamin B untuk keperluan tubuh.
(b) French bread/baguette
Terkenal sebagai roti tongkat kerana bentuknya yang panjang dan bertekstur keras. Permukaan baguette selalu dibuat berbelah tengah. Masyarakat Barat menggemari roti ini sebagai sandwic atau di permulaan makanan. Boleh juga dibuat roti bawang putih atau bruschetta dan sedap dimakan bersama sup.
(c) Roti Pita
Roti pita memiliki kalori lebih sedikit daripada roti gandum biasa. Roti ini paling ideal buat mereka yang mahu menurunkan berat badan. Diadun sempurna dengan biji-bijian dan mengandungi mineral dan vitamin. Roti pita berupaya mengurangi risiko kolesterol dan darah tinggi.
(d) Croissant
Croissant adalah jenis roti yang berasal dari Perancis. Roti ini mempunyai tekstur tidak terlalu padat dan menjadi pilihan penggemar sandwic. Kulitnya rangup dan bahagian dalam lembut sehingga membuat permukaan roti muda retak ketika ditekan.
(e) Roti gandum
Roti gandum yang dibuat dari biji gandum, merupakan sumber karbohidrat yang terbaik untuk sarapan. Roti jenis ini mengandungi nutrisi yang bermanfaat untuk tubuh, seperti protein, vitamin B, antioksidan, zat besi, magnesium, dan mineral.
Roti gandum sangat baik untuk kesihatan kerana rendah lemak dan bebas kolesterol. Roti gandum juga dilengkapi dengan campuran fitokimia yang dapat melawan perkembangan sel-sel kanser. Hamizatul Maizan Mohamed
KEMBARA DI TWIN CITY ANTARA BEIJING & SHANGHAI.

Melintasi ruang angkasa nan biru, lalu membelah awan putih menjelajahi perjalanan sejarah dunia dan masa hadapan Republik China. Penulis di bawa terbang oleh pesawat Cathay Pacific. Merasai kenikmatan percutian yang sensasi, meluapkan emosi, memanjakan mata dan menikmati syurga dunia membeli-belah, hanya di tempat yang paling eksotik di dunia twin city antara Beijing dan Shanghai. Percutian selama tujuh hari enam malam, penulis berkongsi kisah kembara yang penuh history, beauty and luxury….
JEJAK SEJARAH & EKSOTISME
Perjalanan ke Hong Kong mengambil masa hampir empat jam dan pertukaran penerbangan dari Hong Kong ke Beijing, tiga jam. Tiba di lapangan terbang Beijing, penulis terus di bawa ke tempat penginapan Beijing Changfeng Hotel untuk berehat setelah seharian menghabiskan masa dalam perjalanan.
Sesaat mentari menyapa jendela sangka penulis jam 10a.m, rupanya baru 5a.m. Cerah cepat sekali menguasai muka bumi tanah komunis ini. Perjalanan harus bermula… Negara China terus berkembang pesat dengan pembangunan ekonomi yang semakin maju. Penduduknya 75 peratus melebihi jumlah rakyat Malaysia, sana-sini mata penulis rambang dengan ribuan kepala manusia. Bangunan mencakar langit megah berdiri, inilah antara destinasi popular pilihan pelancong datang dan pergi…
HARI KEDUA
Beijing, kota politik dan terkenal dengan sejarah kegemilangan Dinastinya. Memulai perjalanan ke Tian’anmen Square. Pemandu pelancong mula bercerita tentang kegemilangan Empayar Dinasti Ching dan Dinasiti Ming. Kagum penulis berada di kawasan dataran dan istananya, Palace of Hearenly Purity yang telah di bina pada tahun1420an dan di re-built kembali oleh Dinasti Qing.
Lawatan selama dua jam di istana lama ini bagai tidak terasa kerana terpukau dengan struktur binaan serta ukiran agung seni karyanya. Dikatakan Maharaja mempunyai 3,000 isteri dan setiap dari mereka mempunyai istana kecil. Berjuta rahsia masa lalu tersimpan rapi di sini. Semestinya, tidak akan lengkap percutian anda ke Beijing jika tidak menjejakkan kaki ke Tian’anmen Square.
Perjalanan diteruskan di Forbidden City, kota yang paling tua di dunia berusia 600 tahun. Mata penulis terus dikuasai dengan struktur seni bina China yang mengagumkan. Penat berjalan, makan tengah hari sedia menanti di restoran Bei Jing Dong Lai Shun Xi Qu Fan Zhuang. Semestinya hidangan HALAL dan sepanjang perjalanan percutian ini, semua restoran yang dipilih selamat di makan.
Aktiviti tidak berhenti di situ, terus sahaja menuju ke Summer Palace. Istana yang separuh usianya megah berdiri dengan lambaian pohon hijau meriah di tepi tasik. Jika musim salju, tasik buatan tersebut akan beku dan aktiviti meluncur ais boleh dilakukan. Sayangnya, saat penulis berada di situ cuaca hampir mencecah 31°c dan hanya aktiviti sukan air boleh dilakukan. Penulis terus dibuai dalam suasana alam serta kesenian agung istana lamanya. Patinya saat-saat indah itu, penulis rakamkan dalam foto-foto menarik untuk dikongsi bersama teman.
Setelah menunaikan solat di Masjid Desheng, penulis di bawa melawat Pearl Centre. Selain berpeluang membeli-belah aksesori mutiara asli, penerangan terperinci juga diberikan mengenai proses ternakan mutiara dan cara buatannya. Seterusnya di bawa ke pusat Silk Centre. Penulis di hidangkan dengan pelbagai pilihan fabrik sutera yang tinggi mutu kualitinya. Kesempatan ini membuka peluang untuk penulis terus membeli-belah fabrik dan cadar, semuanya diperbuat dari benang sutera. Bila malam bertandang, panggung mula menanti kami untuk persembahan akrobatik sebagai penutup hari pertama di kota Beijing.
HARI KETIGA
Kembara di tanah Beijing diteruskan ke pusat Jade Ware City, sebelum melangkah ke titik paling penting Tembok Besar China (TBC). Pelbagai pilihan boleh dibuat dari aksesori sehinggalah barangan hiasan kediaman yang diperbuat dari jed. Sukar sekali untuk membuat pilihan kerana terlalu banyak yang cantik dan menarik.
Tiba di TBC tengah hari, bagai terpukau dengan kemegahan tembok perbatasan yang di bina 170 tahun lalu untuk menahan musuh dari Mongolia, Turki dan Rusia. Tentu sahaja penulis tidak mampu mendaki kaki tangga tembok sepanjang 6,700km, belum sampai suku perjalanan pun sudah semput dibuatnya. Namun, pemandangan indah dari atas TBC cukup mengagumkan mampu melenyapkan segala kepenatan.
Dalam perjalanan pulang ke hotel, penulis di bawa singgah ke pusat perubatan herba China. Selain dari maklumat penjagaan kesihatan, penulis berkesempatan mendapat khidmat mengurut kaki secara percuma. Lega rasanya, melepaskan kepenatan kaki setelah memanjat TBC. Terasa haus, lantas di bawa ke Tea House untuk acara minum teh.
Masa untuk membeli belah! Singgah di market untuk mendapatkan pelbagai barangan cenderahati dengan harga berpatutan. Kemudian terus pulang ke hotel… membawa bersama mimpi-mimpi indah di Beijing pada hari kedua. Tidak sabar untuk satu hari bernama esoknya…
HARI KEEMPAT
Selepas sarapan, sekali lagi di bawa ke pusat rawatan herba lain kerana China sememangnya kaya dengan pelbagai rempah ratus. Selesa dengan urutan kaki secara percuma, penulis di bawa menjamu halwa mata dengan koleksi batu permata di Diamond Centre. Sempat untuk mendapatkan cenderamata buat ibu tercinta…
Dari situ, penulis bersama rombongan lain mengintai lokasi yang menjadi sejarah dunia baru-baru ini. Tersergam megah stadium Olimpik dengan seni reka binaannya berinspirasi sarang burung.
Tepat jam 7p.m, penulis tiba di stesen kereta api Beijing. Berduyun kepala manusia sesak memenuhi ruang legar. Sudah lama kiranya penulis tidak meluncur menggunakan perkhidmatan kereta api, tidak sabar rasanya untuk melelapkan mata di atas kereta api berkatil kelas pertama. Perjalanan menuju ke Suzhou…
HARI KELIMA
Seawal mantari pagi menampakkan wajahnya, penulis tiba di kota Suzhou. Suasana cukup segar dan nyaman, difahamkan ianya dikenali sebagai Taman Syurga kerana terdapat banyak taman peribadi yang cantik sekali. Selepas sarapan, penulis di bawa ke Wave Surging Paviion Garden. Kemudian menuju ke kilang Silk Store sebelum bertolak menuju ke Shanghai.
Bila mata terbuka, bangunan mencakar langit membanjiri kiri dan kanan pandangan penulis. Inilah kota metropolitan komersial yang mengagumkan! Lantas di bawa menuju ke Nanjing Road pusat membeli belah terkemuka di Shanghai. Meriah dengan pelbagai barangan yang ditawarkan dan padat dengan ribuan manusia seluruh dunia.
Selepas santap dan menunaikan solat, sekali lagi di bawa ke sebuah pusat membeli-belah yang boleh tawar-menawar. Biarpun hanya sejam menghabiskan masa di situ, sudah cukup mengisi ruang kosong travel beg yang di bawa penulis. Selesai semua, barulah berangkat ke hotel penginapan, Ekspress by Holiday Inn.
HARI KEENAM
Menghabiskan saat-saat terakhir di kota Shanghai, penulis di bawa ke bandar lama. Kagum dengan seni bina bangunannya yang masih kekal sehingga sekarang. Hampir setengah hari penulis menghabiskan masa shopping dan merakamkan foto kenangan di situ.
Selepas menjamu selera di sebuah Restoran Halal yang enak hidanganya, penulis di bawa melancong sekitar kota Shanghai dan singgah lagi di sebuah market untuk membeli-belah.
Lewat petang setelah matahari terbenam, cruise sedia menanti untuk pelayaran sekitar Shanghai menyaksikan keindahan suasana malamnya. Lampu berwarna-warni memancar penuh keriangan di setiap sudut bangunan mencakar langit di kota Shanghai. Segalanya berubah di malam hari, sukar digambarkan keindahannya melainkan anda sendiri berada sekapal bersama penulis.
Lewat malam, barulah kembali ke tempat penginapan dan bersedia untuk kembali ke Tanah air keesokan harinya. Penulis percaya setiap dari wajah mereka yang bersama mengikuti pakej percutian ini kembali ke Malaysia dengan melirik senyuman kepuasan dan terisi segala kenangan terindah.