
Siapa tak mengenali adik beradik popular dan berbakat antarabangsa, Gigi dan Bella Hadid yang sememangnya mendominasi dunia peragaan.
Menjadi pilihan utama baik berjalan di atas pentas peragaan mahupun memperaga untuk iklan-iklan jenama besar, menjadikan mereka berdua antara supermodel wanita yang bakal mengikuti jejak langkah Noami Campbell, Claudia Schiffer, Cindy Crawford, Christie Brinkley dan ramai lagi.
Dan yang terbaru, seorang lagi keluarga Hadid khabarnya bakal meneruskan legasi Gigi dan Bella apabila kakak mereka berdua, Alana sudah mula terjun dalam bidang modeling.
Walaupun tidak sepopular dan seanggun kedua-dua adiknya, namun wajah serta personaliti unik dimiliki Alana menjadikan dirinya menonjol.
Memiliki hubungan darah sebapa dengan Gigi dan Bella namun berlainan ibu, Alana baru-baru ini jadi sorotan dan bualan media dan lensa apabila membuat penampilan sulungnya di pentas peragaan Copenhagen Fashion Week memeragakan busana dari brand Saks Potts di usia 40 tahun.
Kelibatnya terus menjadi perhatian apabila tampil berjalan di atan pentas peragaan untuk jenama Munthe.
Enggan menumpang populariti dan pengaruh adik-adiknya, rupanya bidang fesyen sudah lama sebati dalam dirinya di mana Alana juga merupakan usahawan, stylist dan pereka fesyen untuk jenama La Detresse pada 2017, Current Moji serta Hadid Eyewear.
Anak sulung dan memiliki seorang lagi adik perempuan bernama Marielle Hadid, meski berbeza ibu, namun hubungan Alana dan adik-beradik tirinya itu cukup baik. Gigi Hadid, Bella Hadid dan Anwar Hadid merupakan anak kepada Mohamed Hadid dan model Yolanda Hadid. Mohammed dan Yolanda mendirikan rumahtangga selama enam tahun dan bercerai pada tahun 2000.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Siren Kecemasan! Tahukah Anda, Wanita Aktif & Lasak Berisiko Alami Masalah KERAP BUANG AIR KECIL?

PERKONGSIAN…. Masalah hilang kawalan pundi kencing seringkali melanda wanita dan juga lelaki di seluruh dunia. Akibat diserang rasa malu, ramai yang berdiam diri dan enggan tampil mendapatkan rawatan. Adakah masalah ini boleh berlarutan dan membahayakan nyawa?
Soalan kesihatan ini telah di jawab oleh Dr. Kamarulzzaman Ahmad, MD (HOM.INDIA) BHMS (MSIA) DHS (MSIA), BSc. Spec.Major EducRecs (SIUC.USA) yang juga merupakan konsultan perubatan Yayasan Kasih Sayang Selangor. (MAJALAH NONA, NOV 2008)
KERAP BUANG AIR KECIL
Saya seorang pesara dan pernah bertugas sebagai seorang guru serta aktif dalam sukan berbasikal. Suatu ketika dulu, saya pernah terlibat dalam kemalangan semasa bersukan sehingga terpaksa menjalani pembedahan. Syukur kerana masih dianugerahkan tiga cahaya mata meskipun setiap kali bersalin, saya terpaksa melalui kaedah Caesarean.
Apa yang merunsingkan saya adalah masalah kerap membuang air kecil yang saya alami sejak lima tahun lalu. Pada awalnya ia tidak ketara tetapi kini saya terpaksa ke tandas hingga 7-10 kali sehari. Ini mengehadkan aktiviti harian, selain amat memalukan diri saya. Apakah sebenarnya masalah yang berlaku serta bagaimanakah cara mengatasinya?
JAWAPAN
Masalah kerap kencing atau urinary incontinence bukannya satu penyakit tetapi merupakan petanda terdapatnya masalah yang amat memerlukan perhatian dan kajian oleh seorang doktor. Selalunya pundi kencing manusia akan dikosongkan setiap empat jam. Fungsi pundi kencing yang normal membabitkan perhubungan kompleks antara pundi kencing dengan otak.
Apabila pundi kencing perlu dikosongkan, otot dinding pundi kencing mengecut dan ‘sphincter urethra’ (otot pengawalan liang badan) akan berehat. Keadaan ini membenarkan air kencing dikeluarkan.
Kekerapan membuang air kecil pada setiap orang berbeza. Secara umum, keperluan anda ke tandas melebihi lapan kali dalam 24 jam dianggap tidak normal. Keinginan membuang air kecil meningkat apabila pundi kencing diisi kira-kira separuh penuh (250ml). Biasanya orang akan ke tandas pada tahap ini tetapi kapasiti normal pundi kencing adalah sekitar 400ml.
Jika Puan mengalami empat simptom berikut, bermakna Puan sedang mengalami sistem kawalan pundi kencing yang lemah:
- Membuang air kecil melebihi lapan kali sehari
- Kerap rasa keinginan yang kuat dan tiba-tiba untuk kencing
- Kebocoran air kencing yang tidak terkawal
- Kebocoran air kencing ketika batuk, ketawa, bersin, melompat atau berlari
Perkara ini bukanlah masalah asing bagi wanita yang telah meningkat usia, malah cabaran ini juga dialami oleh jutaan golongan wanita dan lelaki di seluruh dunia. Malangnya ramai pesakit seperti Puan tidak mahu atau bertangguh-tangguh mendapatkan rawatan kerana malu.
Punca-punca
Simptom kencing kerap boleh berpunca daripada pelbagai faktor, antaranya adalah:
(a) Jangkitan pada sistem kencing
(b) Sembelit
(c) Pemakanan, minuman dan ubatan
(d) Masalah fizikal atau fisiologi seperti :
- Ibu mengandung dan kesan bersalin
- Lanjut usia
- Kesan sampingan dari Hysterectomy
- Kesan interstitial cystitis
- Masalah prostat seperti barah dan prostatitis
- Masalah pundi kencing seperti barah dan batu karang
- Masalah saraf yang berpunca daripada penyakit stroke, multiple schlerosis atau sebagainya
- Obesiti
Rawatan
Memang tidak dinafikan bahawa hilang kawalan pundi kencing adalah satu keadaan yang merimaskan. Malah ia mungkin memalukan dan mengehadkan aktiviti harian. Perkara paling utama yang mesti diberi perhatian adalah memahami punca masalah. Berjumpalah dengan pakar untuk mengenalpasti punca masalah. Masalah yang dialami oleh jutaan populasi dunia boleh dirawat dengan berbagai kaedah seperti berikut:
(1) Behavioral techniques
Teknik seperti Pelvic Floor Muscle Exercise ini telah digunakan dengan jayanya bagi masalah yang berpunca daripada kelemahan otot pelvik.
(2) Gabungan Kaedah Alopathy dan Akupunktur – SANS (Stoller Afferent Nerve Stimulator) Device Untuk Masalah Berpunca daripada SARAF
SANS adalah satu alat hasil gabungan teknologi perubatan moden iaitu neuromodulation dan elektro akupuntur. Ia adalah hasil kajian Dr. Marshall Stoller, seorang profesor di UCSF. Teknik ini menurut penciptanya amat berguna dan bersesuaian dengan pesakit wanita yang tidak tahan dengan kesan sampingan ubat dan gagal dirawat secara ‘bladder training’.
Sebagaimana diketahui umum dalam rawatan akupuntur, jarum digunakan atau dicucuk pada titik akupuntur pada pergelangan kaki yang terus merangsang saraf pundi kencing dan saraf tunjang. Jarum tersebut pula disambung dengan rangsangan elektrik bersifat low frequency yang boleh dikawal oleh perawat. SANS digunakan sekali dalam seminggu. Setiap sesi rawatan mengambil masa selama 30 minit. Kekerapan rawatan pula bergantung kepada tindak balas dan keperluan pesakit. Keberkesanan kaedah ini masih dikaji secara klinikal.
(3) Pembedahan
Pembedahan seperti prosedur Sling dan Bladder Neck Suspension juga biasa digunakan bagi kes-kes tertentu.
(4) Penggunaan Ubatan
Bagi kes-kes yang berpunca daripada jangkitan seperti cystitis dan prostatis, doktor perubatan moden biasanya memberi antibiotik. Selain itu antispasmodic drugs dan antidepresant drug juga biasa digunakan bagi kes-kes yang bersesuaian.
(5) Penyembuhan dengan Kaedah Homeopati
Perubatan Homeopati merawat pesakit BUKAN penyakit. Kaedah ini amat mementingkan penelitian simptom fizik dan metafizik pada pesakit telah digunakan dengan jayanya untuk merawat pesakit seperti Puan. Sebelum diberi sebarang penawar, seorang doktor homeopathy akan menjalankan diagnosis untuk mendapatkan selengkap mungkin simptom pada diri puan. Ini termasuk sejarah diri dan keluarga Puan terutamanya yang menjurus kepada kesihatan. Sebagai contoh, saya nyatakan disini beberapa jenis penawar yang telah digunakan untuk merawat pesakit seperti Puan sehingga sembuh.
- Apis Mellifica
- Berberis Vulgaris
- Cantharis
- Causticum
- Mercury Corr
- Sepia
Menerusi pembacaan lanjut di internet, saya TIDAK menggalakkan Puan membeli ubatan sendiri kerana cara diagnosis ini hanya berdasarkan kes di internet dan amat TIDAK TEPAT dari sudut Homeopati. Oleh itu berjumpalah dengan seorang pengamal perubatan homeopati yang bertauliah.
PERINGATAN
Estrogen Therapy
Dalam kajian Dr. Jeanette Brown, pengarah UCSF Women’s Continence Center, didapati penggunaan ESTROGEN dalam postmenopausal hormone therapy telah mendatangkan masalah pada pesakit-pesakit terlibat. Oleh itu Puan diingatkan supaya berjumpa doktor pakar sebelum menjalani sebarang rawatan.
Kecederaan Akibat Jatuh
Keadaan tergesa-gesa dan tidak tertahan-tahan untuk kencing sebenarnya boleh mendatangkan kecelakaan kepada pesakit. Dalam kajian mengenai kencing kerap ini, terdapat banyak kes cedera dan patah akibat terjatuh dalam keadaan tergesa-gesa. Oleh itu jangan ambil mudah! Bertindak sekarang sebelum anda jadi begini.
‘Punyalah malas!’ Malaysia Tersenarai Nagara Ketiga Di Dunia Paling Malas Jalan Kaki

Berjalan kaki banyak faedahnya! Selain itu, berjalan kami juga merupakan terapi kesihatan asas yang penting bagi manusia. Namun, satu kajian baru-baru ini mendedahkan rakyat Malaysia berada di tangga ketiga di dunia yang malas untuk berjalan kaki. Seriuslah!
Kajian dari Universiti Stanford dibuat berdasarkan maklum balas 717,527 responden yang memberikan gambaran tentang gaya hidup penduduk di 111 negara di seluruh dunia. Menariknya, kajian ini juga mendedahkan negara pertama di dunia yang paling malas berjalan kaki ialah Indonesia.
Berdasarkan laman web tempo.co, kajian itu turut menyatakan bahawa purata orang Indonesia berjalan hanya 3,513 langkah sehari. Manakala Malaysia pula berada di tempat ketiga dengan purata 3,963 langkah sehari.
Dalam penelitian tersebut juga turut mendedahkan negara yang rakatnya paling rajin berjalan kaki adalah Hong Kong dengan 6.880 langkah sehari. Selepas Hong Kong, negara yang rakyatnya rajin berjalan kaki adalah China dengan rata-rata 6.189 langkah per hari. Di tempat ketiga ialah Ukraine (6,107), keempat Jepun (6,010) dan kelima ialah Rusia (5,969).
Menurut KOSMO Online, berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), purata jumlah berjalan kaki bagi setiap individu seperti mana yang disarankan oleh global adalah sekurang-kurangnya 5,000 langkah sehari. Dalam pada itu, kajian yang sama berkata, negara dengan masalah obesiti rendah adalah merujuk kepada sikap rakyatnya gemar melakukan aktiviti berjalan kaki setiap hari.
Untuk rekod, jalan kaki ternyata banyak manfaatnya. Antara kelebihanya adalah ia mampu mencegah penyakit jantung, mengurangkan risiko alzheimer, mencegah diabetes, menurunkan risiko terkena strok dan mencegah osteoporosis.
Cegah Kanser Tanpa Suplemen, Kaum Wanita Mesti BANYAKKAN SAYURAN Ini Dalam Diet Harian

Bulan Oktober ini adalah bulan kesedaran kanser payudara. Kanser payudara merupakan pembunuh utama wanita di seluruh dunia. Amalkan gaya hidup yang sihat dan pemakanan yang kaya dengan antioksidan untuk sama-sama mencegah kanser payudara ini.
Kanser bermula apabila sel-sel sihat bermutasi akibat diracuni oleh racun yang masuk ke dalam badan kita. Kanser juga boleh berlaku akibat kegagalan manusia yang kurang makan sayur-sayuran dan buah-buahan.
Sayur-sayuran, lebih-lebih lagi yang berwarna hijau perlu diambil dalam setiap hidangan. Pakar nutrisi menyarankan agar kita mengambil sayur-sayuran separuh pinggan berbanding dengan suku pinggan untuk nasi dan ikan.
Sayur-sayuran mempunyai manfaat yang pelbagai demi memenuhi keperluan dan kesihatan tubuh. Vitamin A, D, E, K, C, B adalah di antara jenis vitamin yang terdapat dalam sayur-sayuran.
Warna yang terdapat pada sayur-sayuran juga memainkan peranan yang tersendiri. Sayur-sayuran hijau mengandungi fitokimia berupa lutein dan zeaxanthin yang berfungsi untuk menghalang pertumbuhan sel kanser. Sayur-sayuran berwarna hijau juga berfungsi untuk membantu produksi sel darah merah, menguatkan sel otak dan meningkatkan imuniti tubuh.
Kacang buncis
Kacang buncis mempunyai kadar protein yang cukup tinggi. Protein yang terdapat di dalam kacang buncis lebih kurang dengan protein pada telur. Apabila kacang buncis dimasak dengan sempurna, ia dapat mengawal kadar gula di dalam darah.
Kacang botor
Kacang botor mengandungi kalsium, zat besi dan vitamin A. Kandungan asid amino yang terdapat dalam kacang botor lebih kurang sama dengan kacang soya. Kacang botor boleh membantu mengubati serangan demam campak dan akarnya boleh mengubati penyakit vertigo.
Kacang panjang
Manfaat kacang panjang yang paling utama adalah sumber antioksidan. Selain itu kacang panjang mengandungi beta karotena, vitamin C dan mineral yang sangat penting untuk tubuh. Makan kacang panjang boleh membantu menghalang racun masuk ke dalam tubuh akibat pencemaran.
Kacang pis
Kacang pis kaya dengan vitamin B2 (riboflavin) yang membantu proses penyerapan protein di dalam tubuh. Ia juga merupakan sumber tenaga apabila sumber vitamin B1 yang melakukan proses pertukaran karbohidrat kepada tenaga. Tanpa vitamin B1 tubuh sukar memecahkan karbohidrat di dalamnya.
Asparagus
Asparagus yang biasanya direbus kaya dengan vitamin C, vitamin E, vitamin B6, kalsium, magnesium, protein, vitamin A, vitamin K, tiamin, riboflavin, rutin, niasin, zat besi, fosfat, potasium, tembaga, mangan, dan selenium. Sumber terpenting ini dapat melancarkan sistem pencernaan. Asparagus juga memiliki kandungan kalori yang rendah, tidak mengandungi lemak atau kolesterol, dan memiliki kandungan sodium yang sedikit. Hamizatul Maizan Mohamed