
Tiap kali mendengar kelunakan suara penyanyi lagenda Dato Jamal Abdillah, pastinya meremang bulu roma dengan kelunakan vokal beliau yang tiada galang gantinya. Sememangnya nilai figura lagenda seperti beliau tidak akan pernah susut. Waima datang ramai pendatang baharu, kedudukan Jamal Abdillah tidak akan goyah.
Membuka suku tahun kedua 2023, Dato Jamal Abdillah membawakan buah tangan istimewa dengan persembahan Konsert Jamal Abdullah Live In Concert yang akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 September ini.
Walaupun kesuntukan masa, penganjur Shiraz Projects yakin tiket Konsert Jamal Abdillah Live In Concert yang akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 September ini akan ‘ sold out’ seperti dijadualkan.
Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, pihaknya memilih Jamal kerana percaya dengan pesona dan kredibiliti penghibur legenda terbabit.
“Jamal adalah satu jenama yang cukup kuat dalam industri muzik tempatan dan figura yang sinarnya tidak pernah padam. Karakter serta pesona Jamal sendiri sudah cukup kuat untuk menarik peminat datang dan mereka juga tidak pernah jemu untuk menonton persembahannya.
“Saya yakin konsert ini akan menjadi konsert yang gemilang dan menjadi momen indah buat semua peminat,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan di KLCC, di sini, hari ini.
Sementara itu, Jamal, 64, berkata, dia terharu dan bersyukur kerana Shiraz Projects memberi kepercayaan padanya untuk menjayakan konsert skala besar itu.
“Saya berminat untuk bekerjasama dengan Shiraz Projects kerana konsep dipersembahkan dan pada masa sama, saya juga boleh berinteraksi dengan peminat dalam skala yang lebih besar.
“Saya juga menjanjikan kelainan dengan susunan semula sebanyak 15 rangkaian lagu hits yang dipilih perlu mencapai piawaian konsert,”katanya.
Ditanya artis undangan pula, kata Jamal, ia juga membabitkan penampilan seorang artis lelaki terkenal yang masih dalam perbincangan lagi.
“Saya juga merancang untuk menampilkan dua anak, Osama Yamani,22 dan Zaki Yamani, 17, pada konsert itu nanti,” katanya.
Juara Bintang RTM 1979 ini bakal menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu- lagu hitnya seperti Penghujung Rindu, Kekasih Awal Dan Akhir, Gadis Melayu, Aku Maafkan Kamu dan banyak lagi.
Anak Pulau Pinang Juara Badminton Dunia, Loh Kean Yew Hadiahkan Kemenangan Buat Rakyat Singapura!

Kemenangan Loh Kean Yew di final Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (WBF) di Huelva, Sepanyol baru-baru ini merupakan hadiah hujung tahun terbaik buat rakyat Singapura. Meskipun dilahirkan di Pulau Pinang, namun juara badminton dunia ini sebenarnya merupakan atlet negara jiran.
Berusia 24 tahun, Loh yang memiliki ketinggian 175cm merupakan pemain badminton perseorangan lelaki Singapura sejak tahun 2015.
Memetik laporan Berita Harian Singapura, Presiden Halimah Yacob turut memuji pencapaian jejaka tampan ini yang berjaya mengharumkan nama Singapura biarpun dalam keadaan pandemik sejak dua tahun kebelakangan ini.
“Kata pepatah, seluruh kampung harus bekerjasama untuk mendewasakan seorang kanak-kanak. Serupa dengan ini, sebuah ekosistem juga diperlukan untuk memberi sokongan kepada seorang juara.” Presiden Halimah Yacob



Loh Kean Yew menjadi warga Singapura pertama menjadi juara badminton dunia selepas menewaskan pemain nombor ke-14 dunia dari India, Srikanth Kidambi, dalam straight set 21-15, 22-20 di final Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (WBF) di Huelva, Sepanyol, untuk meraih gelaran dunia itu.
Walaupun bersaing dengan kecederaan buku lali, tidak boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda buat sementara, semangat Loh untuk bekerja keras memenangi kejohanan dunia itu amat mengagumkan.
“Terima kasih kerana yakin akan keupayaan saya dan kerana sentiasa hadir untuk menyokong saya.
Ia adalah sesuatu yang amat bermakna bagi saya kerana saya tahu saya mempunyai sokongan hebat sepanjang perjalanan ini.” Loh Kean Yew


Selain mengucapkan taniah kepada Persatuan Badminton Singapura (SBA), Institut Sukan Singapura (SSI) dan penajanya, Li-Ning, Loh memberi penghargaan kepada jurulatih, rakan sepasukan dan pasukan sokongan yang lain.
Lengkap pakej atlet bertaraf dunia, segak dan mengharumkan nama negara yang diwakilinya, pencapaian Loh Kean Yew pasti sesungguhnya menjadi inspirasi kepada atlet-atlet lain di Singapura! Syabas.

Foto: Instagram @lohkeanyew
Mencecah Usia 59 Tahun, Gimnas PERFECT 10 NADIA COMANECI Tetap Menawan dan Aktif Bersukan

Gimnastik merupakan sukan yang melibatkan prestasi pergerakan yang berulang-ulang, malah ia memerlukan kekuatan fizikal, kebolehlenturan, dan kesedaran kinestetik seperti hambur tangan dan dirian tangan. Peminat sukan gimnastik pernah mendengar nama Nadia Comaneci yang turut digelar wanita teragung sukan gimnastik abad ke-20.

Mana tidaknya, Nadia Comaneci merupakan gimnas pertama yang menerima markah sempurna sebanyak 10 markah dalam sukan gimnastik yang diperolehinya ketika menyertai Sukan Olimpik. Perfect 10! itulah gelaran yang masih dipegang oleh bekas gimnas yang kini sudah menjangkau usia 59 tahun!

Nadia Elena Comaneci dilahirkan pada 12 November 1961. Dia merupakan seorang ahli gimnastik Romania yang memenangi lima pingat di Sukan Olimpik dan yang pertama menerima markah sempurna sebanyak 10 markah dalam sukan gimnastik di Sukan Olimpik.

Dia dianggap oleh sebahagian sebagai ahli sukan teragung bagi abad ke-20 dan salah seorang ahli gimnastik terbaik sepanjang masa.
Dilahirkan di Onesti, Romania, Comaneci merupakan anak kepada pasangan Gheorghe dan Stefania-Alexandrina. Dia dipanggil Nadya, singkatan dari ‘Nadyezhda’ yang bermaksud harapan, wirawati dalam filem Rusia.

Nadia Comaneci pertama kali bertanding pada peringkat kebangsaan Romania pada tahun 1970, sebagai ahli pasukan bandar tempatannya.
Dia kemudiannya dilatih oleh Bela Karolyi dan isterinya Marta, yang kemudian berpaling tadah ke Amerika Syarikat dan menjadi jurulatih kepada ramai ahli gimnastik Amerika Syarikat.
Setelah menjadi seorang remaja yang berumur 13 tahun, kejayaan pertama Comaneci adalah pada tahun 1975 di Pertandingan Eropah (European Championships) di Skien, Norway, memenangi tiga pingat emas dan satu perak.

Pada pertandingan Pra-Olimpik di Montréal pada tahun 1975, Nadia memenangi gelaran Keseluruhan (All-Around). Pada tahun yang sama Associated Press menamakannya sebagai Athlete of the Year.
Pada usia 14, Comaneci menjadi bintang pada Sukan Olimpik 1976 di Montréal, Québec. Bukan sahaja dia menjadi ahli gimnastik pertama di Sukan Olimpik yang menerima markah penuh 10 markah (yang diulanginya sebanyak 6 kali), dia juga memenangi tiga pingat emas keseluruhan, individu, tiang imbangan (balance beam) dan bar tidak selari, pingat perak untuk (pasukan keseluruhan) dan pingat gangsa untuk senam lantai.

Di negaranya, kejayaannya menjadikan dia dinamakan ‘Hero of Socialist Labor’, orang Romania termuda menerima pengiktirafan tersebut. Nadia mendapat 19 markah penuh sebelum ke Montreal.
Comaneci berjaya mempertahankan gelaran keseluruhan pada tahun 1977 tetapi pasukan Romania menarik diri dari bertanding dalam acara akhir apabila terlibat dengan kontroversi mengenai bantahan pemberian markah.
Comaneci hadir di Pertandingan Dunia 1978. Dia terjatuh pada acara bar tidak selari sekaligus beliau menduduki tangga keempat terakhir tetapi memenangi acara alang imbangan (beam title).

Pada tahun 1979, Comaneci memenangi gelaran keseluruhan Eropah ketiga berturut-turut menjadi ahli gimnastik pertama lelaki atau perempuan yang melakukannya.
Pada Pertandingan Dunia (World Championships) Disember berikut, Comaneci mendahului selepas pertandingan wajib diadakan tetapi dimasukkan ke dalam hospital akibat keracunan darah pada lengannya dari pengikat genggaman besinya.
Beliau mengingkari arahan doktor lalu dia meninggalkan hospital dan melengkapkan acara tiang alang di mana dia memungut 9.95 markah. Prestasinya memberikan Romania memenangi pingat emas berpasukan yang pertama.
Dia bertanding dalam Sukan Olimpik Musim Panas 1980 di Moscow, Rusia dan mendapat tempat kedua keseluruhan di belakang Yelena Davydova.

Comaneci mengekalkan gelarannya dalam alang imbangan yang seri untuk pingat emas. Dalam acara senam lantai (floor exercise) pasukan Romania menduduki tempat kedua.
Comaneci bersara dari bertanding sejurus selepas pertandingan ini. Pertandingan utama terakhirnya adalah di Perlawanan Universiti Dunia di Bucharest pada tahun 1981 di mana dia memenangi 5 pingat emas. Bagaimanapun terdapat tuduhan berat sebelah di kalangan hakim kerana Romania diwakili separuh daripada hakim di situ.

Antara 1984 dan 1989 dia merupakan ahli Persekutuan Gimnastik Romania – Romanian Gymnastics Federation dan membantu melatih ahli gimnastik muda Romania.
Pada November 1989, dia berpaling tadah ke Amerika Syarikat. Comaneci menghabiskan banyak masa melawat, mengiklankan pakaian dan peralatan gimnastik, mengiklankan pakaian dalam Jockey, peralatan aerobik, dan juga sebagai model pakaian perkahwinan.
Nadia berkahwin dengan Panait dan hidup di Amerika Syarikat.

Karoyli cuba menghubungi Nadia, tetapi gagal. Rupa-rupanya, panggilan Karoyli telah ditapis oleh Panait. Nadia kecewa dengan sikap Panait yang terlalu mengawal dirinya dan cemburu buta. Panait enggan Nadia berhubung dengan masyarakat lain di luar termasuk orang Romania.

Nadia pula mahu bertemu media berpengaruh di Amerika Syarikat untuk mengkritik kerajaan Romania dan memperjuangkan hak pelarian Romania yang sangat ramai. Panait kemudian mengurungnya di rumah selama 3 bulan. Nadia bebas dengan bantuan rakannya Alexandru Stefu. Nadia dan Panait bercerai. Panait melarikan diri dengan wang $150,000 selepas menjual kereta dan rumah Nadia.

Selepas itu, Nadia bertemu dengan Bart Conner. Kerajaan Romania yang sudah bebas daripada komunisme telah memperbaiki semula hubungan dengan Nadia demi memajukan sukan gimnastik. Perkahwinan Nadia dan Bart 1996, dilangsungkan di Bucharest, Romania. Kerajaan ketika itu memberikan cuti peristiwa untuk perkahwinan itu. Mereka kini sudah bersama selama 24 tahun dan mempunyai seorang cahayamata.


Conner dan Nadia membuka perniagaan membekalkan alatan gimnastik. Nadia turut menubuhkan pusat latihan gimnastik dengan Bela Karoyli.Kini, Nadia terus mendapat wang yang banyak hasil daripada kisah Perfect 10 beliau. Banyak versi dokumentari dan filem telah membolehkan beliau menikmati $10 juta kekayaan bersama-sama dengan suaminya.Antara filem terbaru menceritakan detik Perfect 10 Nadia Comaneci adalah Eternal Princess lakonan Katie Holmes pada 2015. Filem lama bertajuk Nadia diterbitkan pada 1984. Penulis masih ingat pernah menonton filem Nadia ini yang diterbitkan pada 1984 dan memperolehi banyak inspirasi dari kisah kejayaannya!

Nadia terus aktif dengan gimnastik. Beliau menjadi jurucakap untuk sukan tersebut. Pada 2017, Comaneci kembali semula ke lapangan di mana beliau mencipta The Perfect 10 pada 4 dekad yang lalu.

Dia kini sibuk dengan gimnastik dan kerja amal seluruh dunia. Dia dan suaminya memiliki Akademi Gimnastik Bart Conner, Syarikat Pengeluar Sempurna 10 dan beberapa kedai peralatan sukan dan merupakan editor majalah International Gymnast. Pada 29 Jun 2001, dia menjadi warganegara (naturalized citizen) Amerika Syarikat.

Comaneci merupakan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Olimpik Khas (Special Olympics) Antarabangsa, Presiden Kehormat Persekutuan Giminastik Romania, Presiden Kehormat Jawatankuasa Olimpik Romania, Duta Sukan Romania, Timbalan Presiden Lembaga Pengarah Persatuan Distrofi Otot, dan Ahli bagi International Gymnastics Federation Foundation.
Dia menerima dua anugerah Olympic Order daripada IOC. Dia juga telah dimasukkan ke dalam International Gymnastics Hall of Fame.

Pada Disember 2003, buku pertamanya Letters To A Young Gymnast, diterbitkan. Buku ini merupakan riwayat hidup, menjawab persoalan yang diterimanya melalui surat peminat. Comaneci memulakan klinik amal di Bucharest untuk membantu anak-anak yatim di Romania.



Kini, pada usia 59 tahun, Nadia masih kelihatan menawan dan minat terhadap sukan gimnas masih mendalam dalam dirinya. Wanita ini merupakan sumber inspirasi gimnas seluruh dunia sehingga kisahnya difilemkan untuk menjadi inspirasi dalam sukan gimnastik!
Ada 3 Diploma, Kejayaan SHIMA Buka Akademi Kecantikan Di Usia 27 Tahun Cetus Inspirasi!

Belum pun mencecah usia 30 tahun namun Nor Ashima Abdullah sudah melakar bermacam-macam pencapaian membanggakan. Bukan hanya dalam bidang akademik tetapi juga mencipta kejayaan tersendiri apabila impian mempunyai sebuah akademi kecantikan akhirnya menjadi kenyataan.
Walau sudah berjaya menggapai cita-cita tersebut, wanita kelahiran Ampang ini mengakui perjalanannya sebagai ahli perniagaan masih panjang.
Bakal meniti umur 27 tahun pada 3 Ogos depan, Nor Ashima atau mesra disapa Shima tanpa berselindung mengakui kehidupannya tidak semudah disangka. Sejak kecil, dia sudah melalui pelbagai ujian. “Dari kecil saya tak tinggal bersama keluarga kandung kerana dibesarkan oleh keluarga angkat. Merekalah yang banyak membantu saya menjadi insan lebih kuat dan bercita-cita tinggi.
Saya dibesarkan di Ampang dan bapa angkat yang saya panggil ayah ialah seorang penjual Nasi Lemak. Ayah bekerja keras mencari rezeki buat kami sekeluarga dan membiayai pelajaran saya. Kerana saya satu-satunya anak mereka, saya ditatang bagai minyak yang penuh. Walau pendapatan ayah tak seberapa tapi ayah sedaya-upaya memberi pendidikan terbaik untuk saya.
Sejak di bangku sekolah saya sudah mula meminati bidang kecantikan dan menyimpan hasrat untuk bekerja dalam industri ini. Dari situ jugalah saya pasang impian untuk ada sekolah dan pusat kecantikan sendiri. Tapi ia tidak semudah disangka kerana kami bukan dari keluarga senang dan lebih memeritkan impian saya diperkotak-katikkan oleh orang sekeliling.
Mereka anggap kerjaya dalam bidang kecantikan tidak menguntungkan dan hanya boleh dipelajari di Youtube saja tanpa perlu belajar tinggi. Kata mereka, saya hanya membuang masa dan menghabiskan wang ringgit ayah kerana mahu melanjutkan pelajaran di sekolah kecantikan di United Kingdom,” kenang Shima tatkala menceritakan kehidupan silam.
Meskipun dirundung rasa sedih namun ia tidak mematahkan semangat Shima untuk berjaya. Buktinya, dia kini tidak hanya mempunyai satu skrol pendidikan bahkan tiga diploma dalam jurusan perniagaan dan kecantikan. Usai tamat persekolahan, Shima melanjutkan pelajaran peringkat Diploma in Business Studies di Kolej University PolyTech Mara Bangi selama tiga tahun.
“Demi nak kumpul duit dan teruskan belajar, saya buat macam-macam kerja sambilan di banyak tempat. Tahun 2016, saya habis belajar Diploma dan cari duit dengan bekerja sebagai sales promoter syarikat telekomunikasi demi untuk sambung belajar dalam bidang cosmetology.
Saya juga pernah bekerja di spa dan salun kecantikan dalam masa sama ambil short course. Pada tahun 2017, saya berjaya peroleh Diploma Beauty Therapy & Aesthetic di Adonis 1st Academy of Cosmetology selain menerima Professional Certificate in Advanced Aesthetics Therapist & Beauty Consultant.
Kemudian, saya bertugas sebagai Assistant Doctor di sebuah klinik estetik sebelum akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran di UK dengan menggunakan sebahagian wang simpanan. Alhamdulillah, saya tamat belajar dan memperoleh Diploma in Beauty Educator, Level 3 in Teaching & Education PTLLS di Beauty Industry Approval, UK.”
Berbekalkan pendidikan dan pengalaman bekerja di lebih 10 klinik kecantikan, pada April 2020 Shima membuka akademi kecantikan miliknya sendiri iaitu Dolled House Cosmetology School yang mendapat pengiktirafan daripada United Kingdom. Wanita cekal ini kembali diuji apabila pandemik Covid-19 melanda negara dan merencatkan perniagaan ketika itu.
“Dolled House Cosmetology School khusus untuk wanita yang mahu mengusahakan perniagaan berasaskan kecantikan di samping mendapat kelayakan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Sepanjang ia dibuka, seramai lebih 50 orang sudah berjaya tamat pengajian dan membuka pusat kecantikan sendiri.
Berdasarkan pengalaman saya sendiri, saya percaya ‘melabur’ dalam pendidikan merupakan pelaburan yang terbaik buat semua individu. Dalam masa sama kita dapat jana pendapatan dan bantu lebih ramai orang. Saya harap dengan perkongsian kisah saya ini dapat memberi inspirasi buat ramai wanita.
Tidak hanya kepada mereka yang mahu mendalami bidang kecantikan tetapi juga buat wanita yang berada dalam lapangan kerjaya masing-masing. Usah pedulikan sindiran negatif dan caci maki orang sekeliling yang tak sependapat.
As long as you know what you’re doing and believe it. Growth your mindset, great works are perfomed, not by strength, but by perseverance. Yang penting pengakhiran cerita kita bukan pengakhiran kata-kata mereka,” akhirinya penuh semangat.