Nama Aidid Marcello dan Norzie Pak Wan Chek suatu ketika dulu dikenali ramai dan pernah melakar kejayaan tersendiri dalam dunia penyiaran. Kedua-duanya bertuah kerana dikurniakan bakat sebagai pengacara dan personaliti televisyen yang mampu menarik perhatian penonton dengan gaya penyampaian yang menyenangkan.
Norzie Mendirikan rumah tangga dengan Aidid Marcello pada tahun 2005. Ternyata kelebihan pasangan suami isteri ini dalam dunia penyiaran diingati hingga ke hari ini. Aidid misalnya pernah mencipta nama sebagai pengacara program Remaja bersama Che Puan Juliana Evans.
Sementara isterinya, Norzie pula bergelar pengacara program dokumentari popular Majalah 3 dan beberapa program temu bual lain di stesen TV yang sama.
5 Mei lalu genap 18 tahun usia perkahwinan Aidid dan Norzie. Berkongsi video isteri tercinta di media sosial, bapa kepada empat orang cahaya mata ini menitipkan doa terbaik untuk rumah tangga yang dibina di samping wanita kesayangan.
“Happy Anniversary yang ke-18 sayangku. You are my; bestie, tempat gaduh manja, tempat mengadu domba, cikgu I juga, mummy singa dengan anak-anak hahaha dan segalanya.
Yang baca ni doakan kami masuk syurga sama-sama ok, sama-sama kita doa semoga kita dan pasangan kita beroleh Jannatul Firdaus, Aamiin.”
Aidid kini fokus kepada syarikat produksi miliknya iaitu Mindquest Digital. Sementara Norzie pula bersara dari dunia penyiaran kira-kira tiga tahun lepas demi memberi tumpuan kepada keluarga dan anak-anak.
Hasil perkongsian hidup bersama, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Alyea Nai Lina berusia 17 tahun, Muhammad Iman, Muhammad Yusuf dan Muhammad Ibrahim.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/pembaca-berita-wanita-pertama-berhijab-di-kaca-tv-pesona-azura-abdul-karim-anggun-usia-55/