
“Tiada warisan yang lebih berharga buat anak-anak selain Al-Quran, kerana di dalamnya tersimpan petunjuk dan hikmah yang akan membimbing mereka sepanjang hayat.” Inilah yang ingin diterapkan Pengasas Pusat Pembelajaran Pendidikan Islam Hatimurni, Ustazah Siti Khadijah Mohni.
Katanya, Hatimurni bukan sekadar tempat menuntut ilmu, namun para guru dididik untuk memberikan masa berkualiti anak-anak bersama ibu bapa di rumah. “Saya selalu sarankan ibu bapa agar gunakan masa berkualiti bersama anak-anak selepas mereka balik sekolah. Sebab itu saya minta cikgu-cikgu di Hatimurni supaya tidak beri ‘homework’ untuk anak-anak, latihan selesaikan di dalam kelas. Apa yang saya terapkan ialah latihan biar sedikit namun mereka faham dan boleh buat,” katanya.
USAHA MURNI USTAZAH SITI KHADIJAH JADI INSPIRASI
Malah jelasnya lagi, ilmu yang diterapkan dapat membantu kemajuan pelajar hasil daripada konsep membaca, melihat dan mendengar setiap hari di dalam kelas. “Saya sentuh dahulu mengenai peningkatan Al-Quran daripada Qiraati ke Al-Quran di mana saya dapati ramai pelajar darjah satu. Mereka bermula awal tahun dan menunjukkan peningkatan Al-Quran.
Manakala pelajar darjah empat ke atas, tahap hafazan mereka sudah lebih dari Surah Ad-Dhuha. “Dalam tempoh masa setahun, setiap hari mereka akan menghafal surah dan membaca bersama-sama sebelum kelas bermula. Konsep membaca, melihat dan mendengar setiap hari ini memberikan kesan luar biasa.
Malah bacaan dalam solat juga menunjukkan peningkatan,” tambahnya lagi. Pertama kali menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran, namun Ustazah Siti mahu menjadikannya sebagai acara tahunan bagi meraikan pencapaian pelajar. Malah dia mahu kembalikan kembali tradisi dahulu di mana anak-anak akan diraikan dalam majlis kesyukuran beserta dengan pulut kuning. “Ini adalah kali pertama kami mengadakan Majlis Khatam Al-Quran secara besarbesaran dan menfokuskan kepada khatam sahaja.
“Sebelum ini, majlis Khatam Al-Quran dibuat pada bulan puasa namun kami mahukan suasana di mana anak-anak faham betapa pentingnya suasana meraikan kejayaan apabila dapat mencapai tahap tertentu. “Bukan sekadar fokus kepada majlis konvokesyen, namun majlis Khatam ini elok diketengahkan supaya anak-anak boleh merasai bagaimana suasana Khatam Quran seperti zaman kita dahulu.
“Hari ini kami ketengahkan tradisi itu dan ia memberi impak yang besar kerana ibu bapa turut terlibat untuk menghargai anak-anak. Ia merapatkan ‘bonding’ anak dan ibu bapa itu sendiri.
“Program ini juga bersempena ulangtahun ke-17 penubuhan Hatimurni dan ini cara kami menyampaikan kesyukuran dengan meraikan anak-anak,” tambahnya lagi. Terdahulu, Hatimurni meraikan pelajar menerusi Majlis Khatam Al-Quran & Anugerah Peningkatan Al-Quran Pelajar Tahun 2024 yang baru sahaja berlangsung pada 15 Disember baru-baru ini.
Bercerita kembali detik penubuhan Hatimurni, Ustazah Siti berkata pusat pengajian ini berkembang daripada kelas mengaji sehingga tertubuhnya kelas kafa.
“Hatimurni diwujudkan pada tahun 2007 dan pada peringkat permulaan, kami fokus kepada kelas mengaji Al-Quran namun kami dapati ramai ibu bapa yang bertanyakan mengenai kelas Kafa dan transit. Kami sesuaikan strategi dengan mewujudkan Kafa dan transit. Malah pada tahun 2020 juga, Hatimurni wujudkan kelas Kafa secara online.
Semoga usaha Ustazah Siti Khadijah ini dipermudahkan dan mendapat restu dari Ilahi, sekaligus menjadi inspirasi buat semua wanita-wanita di luar sana untuk berjuang ke jalan Allah.