Hanya air mata menceritakan kegembiraan dan rasa syukur seorang ibu, saat pertama kali menatap wajah si anak yang dilahirkan. Itulah jua yang dirasai pengacara, pelakon dan model terkenal – Uyaina Arshad yang akhirnya selamat melahirkan bayi sulung pada tanggal 8 September 2022.
Uyaina atau nama penuhnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 29 tahun, berkongsi momen indah kelahiran bayinya menerusi Instagram. Biarpun sekadar gambar genggaman tangan, berita tersebut pantas disambut dengan kesyukuran oleh rakan selebriti serta para peminatnya.
Dalam perkongsian terkini, isteri kepada Raja Syahiran ini selamat bersalin melalui kaedah pembedahan (Caesarean) pada waktu Maghrib. Kelahiran yang dinanti-nantikan itu turut disambut dengan tangisan kerana selama 9 bulan ini memberikan pelbagai rasa buat mereka suami isteri.
“Assalamualaikum anakanda ku..
Penantian dihidangkan dengan rasa hiba, sayu dan gembira. Pembedahan yang berlangsung dengan selamat. Syukur Alhamdullilah..
Menjelang Maghrib tanggal 8/9/22 anakandaku dilahirkan dengan tangisan. Semoga menjadi anak yang soleh, taat pada ibu bapa & agama, menjadi manusia yang baik berakhlak mulia & seorang pemimpin yang hebat.
Baba & Mama love you so much.” Uyaina Arshad
Juara Puteri Muslimah Asia dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya itu turut menitipkan doa buat cahaya matanya sambil memohon doa orang ramai buat mereka.
“Minta doa yang baik-baik dari kalian semua untuk anak sulung kami.. Dan semoga yang baik-baik berbalik kepada kalian juga.” Uyaina Arshad
Berita gembira ini turut diraikan oleh rakan selebriti serta peminat Uyaina dengan ucapan tahniah. Tak sabar nak tunggu pasangan ini berkongsi wajah bayi dan nama si comel!