Memiliki rambut yang cantik, sihat dan bersinar merupakan idaman setiap wanita termasuklah wanita berhijab. Namun menyarung hijab mengurangkan pengudaraan yang wajar berlaku pada rambut dan kulit kepala.
Ramai wanita berhijab mengeluh masalah rambut kelemumur, gatal, berbau dan rambut mudah putus sedangkan wanita yang tidak berhijab juga menghadapi masalah yang sama.
Berbagai cara telah dilakukan namun rambut idaman masih sahaja mengganggu penampilan. Berikut adalah beberapa tip perawatan agar rambut dan kulit kepala tetap sihat bagi wanita berhijab.
(1) Syampu teratur
Pastikan bersyampu rambut sekurang-kurangnya dua hari sekali. Pilih syampu yang mengandungi bahan semula jadi seperti daun bunga raya berkhasiat memperbaiki pertumbuhan rambut baru serta aloe vera boleh mengatasi masalah rambut gugur dan putus.
Selain itu, pilih syampu mengikut jenis kulit rambut seperti rambut kering, kelemumur atau rambut rosak. Menjaga kebersihan rambut dan kulit kepala boleh mengurangkan risiko rambut rosak dan kulit kepala bermasalah. Setelah bersyampu jangan lupa memakai perapi rambut agar rambut cantik, lembut dan kuat.
(2) Keringkan rambut
Selepas bersyampu, keringkan rambut secara semula jadi. Jangan meramas rambut terlalu kuat menggunakan tuala. Sebaik-baiknya elakkan memakai hijab ketika rambut basah lebih-lebih lagi selepas bersyampu. Kondisi rambut dan kulit kepala basah akan menyebabkan terbit bau yang tidak menyenangkan, kelemumur dan gatal-gatal pada kulit kepala.
Rambut basah menyebabkan rambut mudah putus dan gugur dengan banyaknya. Jika anda tidak mempunyai masa boleh keringkan rambut dengan alat pengering rambut pada suhu rendah. Tetapi, jika mempunyai masa sebaik-baiknya biarkan rambut kering secara semula jadi.
(3) Rawatan rambut
Sekali-sekali rambut perlu dibelai dan diberi rawatan yang secukupnya. Rawatan yang diperlukan perlu mengikut kesesuaian dan keperluan rambut anda. Selain itu, anda boleh melakukan rawatan harian seperti masker rambut dan menggunakan tonik rambut agar akar rambut lebih kuat dan mencegah masalah kelemumur. Memakai masker rambut tidak perlu setiap hari memadai dengan sekali seminggu dan boleh dipraktikkan pada hujung minggu.
(4) Cara menyikat rambut
Sebaik-baiknya jangan menyikat rambut ketika sedang basah kerana rambut berada dalam keadaan rapuh. Guna sikat yang mempunyai barisan gigi kasar kerana boleh mengelakkan akar rambut daripada tercabut. Jika masih juga mahu merapikan rambut cukup hanya dengan menggunakan jari untuk merapikannya.
(5) Cara mengikat rambut
Ramai wanita berhijab memilih rambut panjang kerana kurang menghadapi masalah rambut terkeluar. Memiliki rambut panjang tidak salah tetapi ikat rambut dengan kemas dan jangan mengikat rambut terlalu kuat. Lebih-lebih lagi menggunakan getah yang tidak elastik. Ini kerana rambut mudah putus dan gugur.
(6) Material hijab
Pilih hijab yang sesuai dengan cuaca kita panas dan kering. Pilih hijab daripada fabrik yang mudah menyerap peluh dan tidak panas. Fesyen hijab sekarang memerlukan wanita memakai inner neck. Ramai wanita setiap hari menukar hijab tetapi tidak menukar inner neck. Sebenarnya inner neck juga perlu ditukar setiap hari agar bakteria tidak melekat pada kulit kepala dan menimbulkan masalah di kemudian hari.
(7) Biar rambut berehat
Sekiranya tidak mengenakan hijab sebaik-baiknya biar rambut berehat dengan membiarkan rambut tanpa ikatan. Bebas rambut agar ia boleh bernafas begitu juga dengan kulit kepala. Merehatkan rambut boleh menjadikannya lebih segar dan mengurangkan kadar kelembapan kulit kepala. Kulit kepala yang basah akibat peluh boleh mengeluarkan bau yang tidak enak dan merangsang masalah kulit kepala.
(8) Makanan rendah lemak
Segala rawatan yang secara luaran sudah dilakukan. Tidak lengkap rawatan rambut andai rawatan daripada dalam diabaikan. Nikmati makanan rendah lemak serta kaya dengan protein, vitamin B6, B12 dan C serta zat besi dapat memberi nutrisi kepada rambut secara semula jadi. Sumber kekacang, bayam dan pisang juga jangan ditinggalkan. Hamizatul Maizan Mohamed