Percaya atau tidak, wanita adalah golongan lemah yang paling memerlukan wang… bukan untuk membeli-belah tapi sebaliknya untuk kegunaan hari tua kerana mereka dikatakan hidup lebih lama.
Tidak dinafikan bahawa di antara lelaki dan wanita, masing-masing punya perspektif tersendiri tentang pelan kewangan peribadi. Hakikatnya terdapat banyak alasan yang berat sebelah kepada golongan lelaki, bermula daripada jangkaan budaya sehinggalah pertimbangan hidup yang praktikal.
IKLAN
Lelaki wajar memiliki lebih banyak wang, lelaki besar tanggungannya, lelaki begitu dan lelaki begini. Jadi, adakah sebagai wanita, kita harus akur sahaja?
Isu kali ini, Nona ingin berkongsi tiga isu wang yang sering kali menjejaskan wanita. Tiga cabaran yang membimbangkan serta tiga solusi untuk mengatasi isu ini dengan lebih bijaksana.
Isu 1: WANITA HIDUP LEBIH LAMA TAPI KURANG MENJANA WANG
Jurang pendapatan lelaki dan wanita masih jauh bezanya. Sehingga kini, masih ramai golongan wanita yang meraih pendapatan 20% lebih rendah berbanding lelaki untuk tugas yang sama. Ini juga bermakna, wanita tidak memiliki banyak faedah dari segi kewangan untuk persaraan kelak kerana tiada lebihan wang untuk ditabung.
Ditambah pula dengan statistik mengejutkan iaitu 80% lelaki mati dalam perkahwinan dan 80% wanita mati semasa bujang, ini cukup jelas menunjukkan bahawa golongan wanita bakal berdepan masalah besar dalam kewangan mereka. Mereka harus merancang untuk jangka masa yang lebih panjang.
Menurut saranan penulis buku When She Makes More, Farnoosh Torabi, wanita perlu lebih agresif untuk tabungan persaraan mereka. “Stok wang di dalam akaun harus bertimbun dan anda perlu memiliki insurans untuk melindungi diri daripada sebarang kemungkinan.” Nampak mudah tapi sebenarnya sukar, bukan?
Isu 2: WANITA MENGANGGAP WANG MEREKA UNTUK KELUARGA
IKLAN
Sejak dahulu lagi wanita dilatih agar berkongsi hasil pendapatan mereka untuk keluarga. Tidak salah mengadaptasi budaya ini kerana setiap wanita pasti punya impian untuk membahagiakan anak-anak dan orang tua mereka.
Namun masalah akan timbul apabila wanita terbeban untuk menyara kewangan keluarga seterusnya mengabaikan kewangan peribadinya. Mereka sering berasa tiada pilihan kerana perlu membantu anak-anak yang dewasa, melunaskan biaya kolej atau menjaga kebajikan ibu bapa yang sudah bersara.
Adakah anda masih ingat prosedur standard syarikat penerbangan iaitu memakai topeng oksigen kepada diri sendiri dahulu sebelum membantu anak di sisi? Nasihat ini juga terpakai untuk wanita tentang perancangan kewangan mereka.
Anda tidak mampu membantu keluarga jika anda sendiri dalam kesulitan, maka jagalah diri anda dahulu sebelum menawarkan bantuan buat mereka. Terdengar sedikit zalim, namun itulah yang sebaik-baiknya.
IKLAN
Isu 3: WANITA SERING TAKUT UNTUK MELABUR
Kebanyakan kajian terhadap tingkah laku kewangan menunjukkan bahawa wanita memiliki kurang keyakinan untuk melabur berbanding lelaki. Menurut NASDAQ.com, “Wanita kurang yakin untuk membuat keputusan berkaitan pelaburan, menjadikan mereka cenderung untuk tidak memilih pelaburan terhadap aset berisiko tinggi.”
Sekiranya anda tidak yakin dengan kebolehan untuk melabur dengan baik, jalinkan kerjasama dengan penasihat kewangan yang boleh dipercayai. Mereka dapat membantu merealisasikan sasaran anda tanpa perlu melangkah terlalu jauh dari zon selesa anda.
Yang paling utama, ingat bahawa tiada siapa yang kisah tentang masa depan kewangan anda selain diri sendiri, jadi pastikan anda melabur hari ini untuk masa depan.
TIP BIJAK
Jana dan hidup dalam bajet. Jejak perbelanjaan anda dengan teliti.
Sediakan dana kecemasan yang cukup untuk menampung sehingga 4-6 bulan.
Selepas dana kecemasan mencukupi, mulakan tabungan untuk persaraan.
Wanita bermulut puaka, lidah (dan jarinya) lebih tajam dari belati. Kadang-kadang bila timbulnya sesuatu isu yang mengundang perselisihan pendapat, kata-kata yang mereka keluarkan sungguh ‘luar biasa’.
Umpamanya ketika menilai kehidupan selebriti serta public figure dari akaun Facebook, Twitter atau Instagram mereka. Pantang silap di mata, ada yang terus menjatuhkan hukuman seperti Tuhan.
Seolah-olah kita saja yang betul dan maksum.
Mungkinkah akibat trend membaca gosip dan aib orang lain melalui media sosial ini yang melahirkan begitu ramai golongan wanita dari jenis isteri Abu Lahab bernama Hindun?
Dan tahukah anda, Allah SWT telah mengisahkan tentang lima jenis wanita dalam Al-Quran dan salah satunya disebut secara spesifik tentang mereka yang suka bergosip atau menyebarkan hal orang lain?
Lima jenis wanita ini telah diceritakan dalam Al-Quran buat panduan kita semua. Cuba semak, diri kita ini jatuh dalam kategori yang mana…
Jenis Wanita Dalam Al-Quran
(a) Pejuang
Jenis pertama yang disebut dalam al-Quran adalah jenis pejuang. Wanita yang memiliki sifat pejuang ini mempunyai keperibadian yang kuat. Mereka berani menanggung risiko apa pun saat keimanannya diusik dan kehormatannya diperlekehkan. Siti Asiah binti Mazahin, isteri Firaun memiliki sifat pejuang ini.
(b) Solehah
Jenis wanita yang kedua ialah wanita soleh yang menjaga kesucian dirinya. Kita dapat lihat sifat ini ada pada Maryam binti Imran. Hari-harinya diisi dengan ketaatan dan Maryam sangat konsisten menjaga kesucian dirinya.
(c) Penghasut, Pembuat Fitnah & Penggemar Gosip
Jenis yang ketiga, dimiliki oleh isteri Abu Lahab bernama Hindun. Mereka yang mempunyai sifat seperti Hindun ini suka menghasut, menyebar fitnah dan menjaja cerita.
Di dalam al-Quran, Hindun disebut sebagai ‘pembawa kayu bakar’ atau dengan kata lain penyebar fitnah. Bersama suaminya, Hindun tidak putus menentang dakwah Rasulullah SAW, menyebar fitnah dan melakukan kezaliman. Bayangkan perkara yang kecil boleh menjadi besar apabila Hindun bersuara.
(d) Penggoda
Jenis wanita yang keempat ialah jenis wanita yang suka menggoda. Ini dibuktikan Zulaikha saat menggoda Nabi Yusuf AS. Perbuatan Zulaikha ini diceritakan dalam Al-Quran.
Pada zaman ini, wanita penggoda sememangnya amat ramai dalam masyarakat. Golongan ini mudah dikesan melalui cara berpakaian, percakapan dan perbuatannya yang jelas mengada-ngada.
(e) Pengkhianat & Ingkar Terhadap Suaminya
Allah tidak menyukai wanita yang mengkhianati suaminya yang soleh. Isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth mempunyai sifat kelima ini. Saat suaminya memperjuangkan kebenaran, mereka menjadi pengkhianat dakwah.
Meskipun wanita-wanita yang dikisahkan dalam Al-Quran ini hidup ribuan tahun lampau, namun karakteristik dan sifatnya tetap abadi sampai sekarang. Semoga dengan membaca kisah ini, kita tidak terjerumus pada lingkar dosa yang akan memenuhi neraka.
Ingat, jangan jadikan teknologi sebagai pintu rahsia untuk ke neraka. Dalam pada enak memberi komen-komen ‘laser’, berkongsi gosip dan menjadi keyboard warrior, ingatlah semula pada teras agama kita yang suci.
Wanita yang baik adalah yang menjadikan lelakinya seseorang yang lebih baik. Norzalina Mohd Alias
Mempunyai bilik karaoke, gimnasium dan mini pawagam di dalam rumah sudah menjadi kebiasaan bagi sesebuah kediaman mewah. Namun, bila ada ruang boling bawah tanah… tempat istirahat ini pastinya menggambarkan pemilik kediaman berkenaan seorang yang kaya, berjiwa muda dan bercita-cita tinggi.
Itulah antara personaliti bintang tenis ternama dunia, Maria Sharapova yang membina rumah agam miliknya di Los Angeles dengan cukup teliti dan berunsurkan suasana mewah tapi minimalis.
Menyifatkan rumah agam tiga tingkat yang dibina di cerun bukit ini sebagai refleksi semangat dan kejayaannya selaku pemain tenis bertaraf antarabangsa, atlet kelahiran
Rusia ini sangat menitikberatkan soal hiasan dan seni bina setiap ceruk kediaman. Pendek kata, segala apa yang terdapat di dalam rumah berkenaan adalah ilham darinya sendiri.
Menurut pereka hiasan dalaman yang terlibat dengan susun atur rumah Maria Sharapova, model dan usahawan cantik ini seorang yang teliti dan tegas dalam mengurus ruang privasi. Bahkan dia juga akan berunding dengan mereka yang terlibat dalam menghias setiap inci rumah.
“Saya sangat terinspirasi dengan seni bina dan nilai estetika Jepun yang serba minimalis. Tambahan pula, saya dibesarkan dengan persekitaran yang tidak terlalu banyak hiasan. Bagi saya, minimalis adalah sesuatu yang sihat. Apa gunanya memiliki banyak barang di dalam rumah sedangkan tidak menggunakannya.”
Nama Maria Sharapova mula bersinar sebagai selebriti sukan antarabangsa ketika dia masih kecil. Meniti usia 33 tahun, Maria pernah memegang ranking nombor satu pemain
tenis wanita dunia sewaktu dia baru mencecah umur 18 tahun.
Selain aktif mengembangkan bakat dalam sukan tenis, Maria juga terlibat dalam kempen promosi jenama sukan dan kosmetik dunia termasuk Nike. Di samping itu, Maria turut
meluaskan empayar dalam bidang perniagaan dengan membuka syarikat coklat dan manisan premium Sugarpova.
Mengintai ruang mewah kediaman Maria Sharapova seperti yang dikongsikan menerusi channel Architectural Digest, Open Door… pemandangan dari kamar tidur Maria cukup mengagumkan kerana menghadap terus ke Pantai Malibu.
https://www.instagram.com/p/BzROKWNnukM/
Uniknya, kediaman ini menggabungkan rona kelabu, coklat dan warna-warna natural yang menonjolkan sisi mewah konkrit dan kaca. Malah, ada di kalangan penonton yang melabelkan rumah Maria tidak ubah seperti sebuah galeri.
Dilengkapi dengan kolam renang yang luas, Maria turut membawa masuk perhiasan antik dari pelusuk dunia seperti Asia, Afrika dan Eropah untuk menghidupkan suasana klasik
di ruang kediaman. Pada waktu senggang pula, atlet tinggi lampai ini akan menjemput rakan-rakan datang ke rumahnya dan menikmati masa terluang sambil bermain boling di
tingkat bawah rumah.
Menjengah perkongsian Ustazah Asma’ Harun ketika di Masjid Nabawi, bagai menjemput rasa rindu dan keinginan untuk hadir ke sini.
Dalam perkongsian Ustazah Asma’ Harun, beliau berkesempatan menunaikan umrah bersama suami, Ustaz Tengku Fazli Tengku Yahya dan ahli keluarga tersayang baru-baru ini.
Seronok melihat perjalanan dan pengalaman yang dikongsi beliau sepanjang berada di sana, termasuklah info mendalam tentang Masjid Nabawi.
Madinah al-Munawwarah tempat yang amat istimewa dan tenang, kota yang penuh dengan kerinduan buat seluruh umat Islam. Lihatlah betapa berbezanya masjid ini dulu dan sekarang, dari zaman Nabi Muhammad SAW masih utuh hinggalah ke zaman sekarang.
16 KEUNIKAN MASJID NABAWI
Masjid Nabawi merupakan masjid kedua paling suci selepas Masjidil Haram. Di sinilah terletaknya makam Rasullullah SAW. Masjid ini asalnya dibina sendiri oleh Baginda, bersebelahan dengan rumah yang Baginda diami selepas peristiwa Hijrah pada tahun 622 Masihi.
Maksudnya: “Tidak digalakkan mengembara melainkan tiga buah masjid iaitu Masjid al-Haram, Masjid an-Nabawi dan Masjid al-Aqsa.” (HR Bukhari, hadis sahih)
Ustazah Asma’ Harun di Masjid Nabawi
1. TERDAPATNYA RAUDHAH
Raudhah merupakan salah satu tempat yang mulia yang terletak di dalam Masjid Nabawi, iaitu antara rumah Nabi Muhammad SAW di sebelah timur dan mimbar Masjid Nabawi di sebelah barat. Dalam masjid ini, ia menjadi tempat beribadah yang utama, tempat turunnya wahyu, majlis ilmu dan sebagainya. Raudhah juga disebutkan sebagai taman Syurga. Daripada Abdullah bin Zaid al-Mazini r.a., Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Di antara rumahku dan mimbarku terdapat satu taman (raudhah) daripada taman-taman Syurga.” (HR al-Bukhari hadis sahih)
Dahulu Rasulullah SAW melakukan ibadah di Raudhah, memimpin solat, menerima wahyu dan menjadi tempat ibadah bagi para sahabat.
Bagi umat Islam yang hadir ke sini, ia merupakan salah satu tempat yang amat mustajab untuk berdoa. Kebanyakan jemaah yang hadir akan berebut peluang untuk masuk ke kawasan Raudhah bagi menunaikan solat dan berdoa.
2. PAYUNG GERGASI SIMBOLIK MASJID NABAWI
Payung Masjid Nabawi adalah payung gergasi yang boleh dibuka di dataran Masjid Nabawi. Naungan payung dibentangkan di empat sudut dan kawasan yang diliputi oleh naungan memanjang sehingga 143,000 meter persegi.
Konsep ini pada asalnya dicipta oleh Raja Abdullah bin Abdul Aziz, yang mengarahkan pembinaan payung untuk dataran masjid yang diawasi oleh Penjaga Dua Masjid Suci. Projek itu telah siap pada bulan Ogos 2010.
Pada mula pembinaan, terdapat 182 payung yang menjajarkan tiang masjid di dataran, dan kemudiannya 68 payung ditambah di dataran timur, berjumlah 250 payung. Kos projek tersebut adalah 4.7 billion riyal.
Di perkarangan Masjid Nabawi terdapat 250 buah payung gergasi yang terbuka secara automatik setiap waktu subuh dan ditutup menjelang azan maghrib.
Masa diambil sekitar 3 minit untuk membuka dan menutup payung gergasi
Fungsi payung ini adalah untuk melindungi jemaah-jemaah daripada panas matahari semasa solat serta daripada risiko tergelincir dan jatuh sekiranya hujan. Struktur serupa dibina di dataran masjid seluruh dunia.
3. MASJID KEDUA TERBESAR DI DUNIA
Masjid Nabawi menjadi masjid terbesar kedua di dunia setelah Masjidil Haram di Kota Mekah. Masjid ini didirikan oleh Baginda SAW pada tahun 632M. Kemudian pembesaran pertama dibuat oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan seterusnya hingga ke hari ini.
Ukuran keluasan Masjid Nabawi selepas pembesaran terakhir ialah tingkat bawah seluas 165,500 meter persegi. Dengan keluasan ini ia boleh menampung seramai 257,000 orang jemaah.
Masjid Nabawi sekarang mempunyai 27 buah kubah bergerak, 543 buah kamera bagi mengawal keadaan di luar dan dalam masjid, 4 buah eskalator serta 18 buah tangga biasa.
Kedudukannya di tengah-tengah bandar Madinah al-Munawwarah menjadikannya seperti bulan purnama dan permata yang bersinar, sesuai dengan peranannya sebagai sumber cahaya dan keindahan Islam.
118,000 unit lampu digunakan menghiasi dan menerangi kawasan perkarangan Masjid Nabawi, dan lebih 30 jenis unit pencahayaan automatik digunakan
4. MEMPUNYAI 6 IMAM DAN 17 MUAZZIN
Masjid Nabawi mempunyai kira-kira 6 orang imam antaranya, Sheikh Abdul Mohsen al-Qasim, Sheikh Saleh al-Badir, Sheikh Ahmed Bin Humaid an-Nuaimi, Sheikh Abdullah bin Abdul Rahman, Sheikh Khaled al-Muhanna dan Sheikh Ahmed bin Ali al-Hudhaifi.
Muazzin pertama di Masjid Nabawi adalah Bilal Bin Rabah. Masjid ini kini mempunyai 17 orang muazzin. Antara muazzin utama di Masjid Nabawi adalah Sheikh Abdul Rahman Khashogi, seperti dilaporkan melalui surat khabar al-Riyad. Setiap hari, tiga muazin berganti mengumandangkan azan dari Mukabbariyyah iaitu tempat khusus untuk muazzin.
Masjid Nabawi ternyata memiliki 17 muazzin yang mengumandangkan azan lima kali sehari
5. JUMLAH PEKERJA MASJID NABAWI MELEBIHI 1,620 ORANG
Pembersihan masjid dilakukan dalam tiga kali pertukaran waktu bekerja iaitu selepas solat subuh, isyak dan pada awal pagi. Setiap pertukaran waktu melibatkan 1,000 orang petugas kebersihan.
Mereka membersihkan lantai, kotoran pada tiang-tiang masjid serta payung gergasi yang menaungi perkarangan Masjid Nabawi.
6. TERDAPAT 100 PINTU (PINTU AN-NISA’ KE-39 DIKHASKAN UNTUK JEMAAH PEREMPUAN)
Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Baginda membangunkan masjid dengan tiga pintu. Pertama, pintu bahagian selatan saat kiblat masih menghadap Baitul Maqdis di arah utara.
Kedua, pintu di bahagian timur yang dinamakan dengan Pintu Nabi, juga disebut dengan Bab Uthman, yang kemudian dikenali dengan Bab Jibril.
Ketiga, pintu di sebelah barat yang dinamakan dengan Pintu Atikah kerana berdekatan dengan rumah Atikah binti Abdullah bin Yazid bin Muawiyah.
Tentang pintu 39 atau Bab An-Nisa’ adalah pintu yang di khaskan buat laluan para wanita. Kedudukan pintu ini adalah bertentangan dengan perkuburan Baqi’. Pintu ini diberikan nama Bab An-Nisa’ kerana Khalifah Umar Al-Khattab telah membukanya bagi kegunaan kaum wanita memasuki masjid Nabawi.
Pintu ini diberikan nama Bab An-Nisa’
Sebaik sahaja memasuki pintu ini, kita akan melihat di bahagian kiri pangkin yang dikenali sebagai pangkin Ahli Suffah.
7. PERNAH TERBAKAR 2 KALI
Sebenarnya Masjid Nabawi pernah terbakar sebanyak dua kali dalam sejarah. Kali pertama berlaku pada bulan Jamadil Awal 654H (1232M).
Ia terjadi apabila seorang penjaga stor Masjid Nabawi masuk ke dalam stor untuk mengambil obor api. Malangnya, selepas keluar, beliau tertinggal lilinnya di atas bekas yang tersimpan obor api tadi lalu menyebabkan kebakaran.
Api mula menyambar ke permaidani masjid, kemudian merebak ke bahagian lain di dalam sehingga memusnahkan mihrab, mimbar, kitab-kitab Al-Quran dan sebagainya. Hanya kubah di bahagian tengah masjid sahaja yang terselamat. Hasil jasa dan sumbangan para pemerintah Islam ketika itu, Masjid Nabawi dipulihkan semula.
Kebakaran kedua berlaku pada bulan Ramadan tahun 886H (1464M). Pada satu hari yang mendung, ketika muazzin berada di puncak menara untuk melaungkan azan, tiba-tiba datang kilat menyambar menara tersebut.
Dalam kejadian itu, muazzin tersebut meninggal dunia dan api pun mula membakar atap masjid. Api telah memusnahkan bahagian timur, utara dan barat masjid.
Ada juga beberapa orang yang bergegas ke bahagian atap untuk memadamkan api, namun tergelincir dan jatuh daripada atap itu lalu meninggal dunia. Rumah-rumah berdekatan Masjid Nabawi juga turut terbakar. Selepas dua tahun, Masjid Nabawi berjaya dibaiki sepenuhnya hasil usaha kerajaan Mesir, iaitu Sultan Quaitbay.
8.TEKNOLOGI PENURUN SUHU
Pada tepi payung gergasi, terdapat pita biru yang mengelilinginya. Pita itu diperbuat daripada material khusus sehingga membuat suhu di bawahnya turun 8 darjah celcius secara automatik. Hal ini kerana suhu di Arab Saudi sangat panas sehingga boleh mencapai 45 darjah celcius.
9. WILAYAH JAZIRAH ARAB YANG PERTAMA DIALIRI ELEKTRIK
Ketika Kerajaan Uthmaniyyah memperkenalkan aliran elektrik di Jazirah Arab, tempat pertama yang disalurkan aliran elektrik adalah Masjid Nabawi sekitar tahun 1909.
Kubah hijau yang terkenal di Masjid Nabawi pernah dicat dengan warna ungu sekitar 150 tahun lalu kerana warga Arab ketika itu di wilayah Hijjaz menyukai warna tersebut. Kini warna kubah Masjid Nabawi adalah warna Hijau.
11. KARPET DI MASJID NABAWI PERNAH BERWARNA MERAH
Karpet baru ini dijahit menggunakan teknologi terkini, mereka masih mengekalkan corak lama yang mempunyai logo Arab Saudi di atasnya. Semua ini adalah bagi memberi keselesaan kepada para jemaah yang datang berkunjung untuk beribadah.
12. MEMILIKI 5 MIHRAB
Mihrab adalah tempat imam memimpin solat. Kebiasaannya satu masjid hanya mempunyai satu mihrab sahaja, tetapi jika kita berkunjung ke Masjid Nabawi terdapat 5 mihrab, antaranya Mihrab Nabawi (نَبَوِي), Mihrab Tahajud (تَہَجُّدَ), Mihrab Fatimah (فَاطِمَة), Mihrab Uthmani (عُثْمَانِي), Mihrab Sulaimani (سُلَيْمَانِي).
13. MADINAH TERKENAL DENGAN POHON KURMA
Di Arab Saudi terdapat banyak ladang kurma, lebih 300 jenis kurma yang ditanam di Arab Saudi. Madinah terkenal di dunia kerana pohon kurma dan kilang produksi kurma yang tersendiri. Buah-buahan ini diproses untuk dieksport.
14. THAQIFAH BANI SAIDAH
Di sini merupakan lokasi berkumpulnya para sahabat untuk memilih Khalifah Pertama selepas kewafatan Rasulullah SAW. Saat jenazah Rasulullah SAW diuruskan oleh beberapa orang sahabat, terjadinya perbincangan hangat antara kaum Ansar dan Muhajirin tentang urusan perlantikan khalifah bagi umat Islam di tempat ini.
Diriwayatkan daripada Aisyah r.a.:
قَالَ: واجْتَمعتِ الأنْصَارُ إلى سَعْدِ بنِ عُبَادَةَ في سَقِيفَةِ بَنِي سَاعِدَةَ،فَقالوا: مِنَّا أمِيرٌ ومِنكُم أمِيرٌ، فَذَهَبَ إليهِم أبو بَكْرٍ، وعُمَرُ بنُ الخَطَّابِ، وأَبُو عُبَيْدَةَ بنُ الجَرَّاحِ
Maksudnya: “Perawi berkata: Kemudian kaum Ansar berkumpul menemui Sa’ad bin Ubadah di Saqifah Bani Sa’idah lalu mereka berkata: “Daripada pihak kami ada pemimpinnya begitu juga dari pihak kalian (Muhajirin) ada pemimpinnya”.
Lalu Abu Bakar r.a., Umar al-Khattab r.a. dan Abu ‘Ubaidah bin Al-Jarrah mendatangi mereka,
فَذَهَبَ عُمَرُ يَتَكَلَّمُ فأسْكَتَهُ أبو بَكْرٍ، وكانَ عُمَرُ يقولُ: واللَّهِ ما أرَدْتُ بذلكَ إلَّا أنِّي قدْ هَيَّأْتُ كَلَامًا قدْ أعْجَبَنِي، خَشِيتُ ألَّا يَبْلُغَهُ أبو بَكْرٍ، ثُمَّ تَكَلَّمَ أبو بَكْرٍ، فَتَكَلَّمَ أبْلَغَ النَّاسِ
Umar r.a. memulakan perbicaraanya namun Abu Bakar r.a. menenangkannya. Sebelumnya Umar r.a. berkata, “Sungguh aku tidak bermaksud hal seperti itu. Aku hanya mempersiapkan perbicaraan yang membuatku kagum namun aku bimbang jika tidak disampaikan oleh Abu Bakar r.a. Kemudian Abu Bakar r.a. mula berbicara dengan kata-kata yang menunjukkan perbicaraan manusia bijak,
فَقَالَ فِي كَلاَمِهِ: نَحْنُ الأُمَرَاءُ وَأَنْتُمُ الوُزَرَاءُ، فَقَالَ حُبَابُ بْنُ المُنْذِرِ: لاَ وَاللَّهِ لاَ نَفْعَلُ، مِنَّا أَمِيرٌ، وَمِنْكُمْ أَمِيرٌ، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: لاَ، وَلَكِنَّا الأُمَرَاءُ، وَأَنْتُمُ الوُزَرَاءُ
Dia berkata dalam pembicaraannya: “Kami (Muhajirin) adalah pemimpin sedangkan kalian adalah para menterinya.” Dengan spontan, Hubab bin Munzir berkata, “Tidak, demi Allah, kami tidak mahu seperti itu. Tetapi kami mempunyai pemimpin dan kalian juga mempunyai pemimpin tersendiri.” Abu Bakar menjawab, “Tidak, tapi kami adalah pemimpin sedangkan kalian para menterinya.” (HR Bukhari, hadis sahih)
15. LOKASI UNTA BERHENTI SAAT KETIBAAN RASULULLAH SAW DI MADINAH
Sebelum menjadi masjid yang besar, kawasan Masjid Nabawi merupakan tanah kosong dengan sejumlah pohon kurma yang tumbuh di atasnya. Tepatnya, lokasi pembangunan masjid ini merupakan tempat berhentinya unta yang ditunggangi Baginda SAW ketika tiba di Madinah al-Munawwarah. Syeikh Ibnu Hisyam di dalam kitab Sirah al-Nabawiyyah menceritakan:
“Unta yang dinaiki oleh Rasulullah SAW berjalan sehingga ke perkampungan Bani Malik bin an-Najar. Ia duduk di sebuah tempat pengeringan kurma milik dua anak yatim Bani an-Najar. Kedua-dua anak yatim tersebut bernama Sahl dan Suhail. Ketika unta itu berhenti dan Rasulullah SAW tidak turun daripadanya, maka unta itu melompat dan kemudian berjalan tidak jauh dari situ. Rasulullah SAW meletakkan tali kendali unta itu dan beliau tidak membelokkannya.
Kemudian unta itu menoleh ke belakang, berjalan kembali ke tempat duduknya semula dan duduk di tempat tersebut. Ketika itulah Rasulullah SAW turun daripadanya. Setelah itu, Abu Ayyub al-Ansari, Khalid bin Zaid membawa bekal perjalanan Rasulullah SAW dan menyimpan di rumahnya.
Rasulullah SAW menetap di rumah Abu Ayyub al-Ansari, Khalid bin Zaid. Beliau bertanya tentang pemilik tempat pengeringan kurma tersebut. Muaz bin Afra’ berkata kepada beliau, “Wahai Rasulullah, tempat pengeringan tersebut milik Sahl dan Suhail. Mereka anak yatim dan masih ada pertalian dengan keluargaku. Saya akan meminta persetujuan mereka dan kemudian dijadikan tempat tersebut sebagai masjid.”
16. MASJID NABAWI TERBINA DARIPADA BATANG DAN PELEPAH POHON TAMAR
Tiang mihrab dan dinding Masjid Nabawi ketika itu dibina daripada susunan batu-bata serta tanah, manakala bumbung masjid diperbuat daripada pelepah tamar. Tiang masjid terdiri daripada batang tamar, lantainya diratakan dengan anak-anak batu dan pasir. Keluasan Masjid Nabawi ketika itu hanyalah 100 hasta dengan lebar yang lebih kurang sama dengan panjangnya.
Rasulullah SAW juga membina ruang-ruang rumah untuk isteri-isteri baginda di sisi masjid. Keadaannya amat sederhana iaitu dibina daripada batu-bata, atapnya daripada pelepah dan batang tamar. Setelah ruang tersebut selesai dibina, barulah Baginda berpindah dari rumah Abu Ayyub al-Ansari.
Semoga kita semua direzekikan oleh Allah untuk sampai ke masjid suci ini, mudah-mudahan kita dapat berniat iktikaf dan menunaikan solat di dalamnya bagi mengabdikan diri kepada Allah SWT dan menghayati perjuangan Rasulullah SAW ketika membina Masjid Nabawi yang sehingga kini menjadi kerinduan buat seluruh umat Islam. Semoga Allah SWT sentiasa mendidik hati kita agar istiqamah dengan ketaatan kepada-Nya.
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
Rujukan:
1. Kitab Raheeq al-Makhtum oleh Syeikh Safiyyurrahman al-Mubarakfuri
2. Kitab Sirah Nabawiyyah oleh Ibnu Hisyam
3. Mufti Wilayah Persekutuan, Sejarah Permulaan Binaan Masjid Nabi SAW
Sumber: Asma’ binti Harun, Tim Penyelidikan & Tim Travel