
Anak kelahiran Kuching, Sarawak Viviana Lin Winston dinobatkan sebagai Miss Grand Malaysia 2025 pada malam kemuncak pertandingan ratu cantik itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen HGH.

Jelitawan berusia 25 tahun ini berjaya memukau barisan juri menerusi keanggunan dan daya inteleknya, sekali gus melayakkan Viviana merangkul gelaran Miss Grand Malaysia 2025 serta membawa pulang hadiah wang tunai, barang kemas dan pelbagai pakej eksklusif.
Wakili Malaysia Ke Miss Grand International
Dengan kemenangan itu, gadis berketurunan Iban ini akan mewakili Malaysia ke pentas Miss Grand International tahun ini yang dijadualkan berlangsung di Bangkok, Thailand pada Oktober depan.

Memetik kenyataan Bernama, Viviana atau lebih mesa disapa Vivi mencipta sejarah apabila menjadi wanita Iban pertama merangkul gelaran Miss Grand Malaysia.
“Pencapaian ini bukan sekadar kemenangan di pentas ratu cantik, tetapi peluang untuk meraikan kepelbagaian dan menunjukkan bahawa keunikan budaya Iban juga layak mendapat tempat di peringkat tertinggi.
“Saya harap kejayaan ini beri inspirasi kepada anak muda daripada pelbagai latar belakang untuk percaya pada diri dan terus mencuba,” kata penuntut Universiti Malaysia Sarawak ini.
BACA JUGA: Bekas Ratu Cantik & Pernah Sertai Politik, Pesona Jo-Anna Ibu Jelita Yang Kini Sambung PhD!
Viviana turut meluahkan rasa terharu atas sokongan luar biasa yang diterimanya apabila 300 warga Sarawak sanggup datang ke Kuala Lumpur untuk memberi sokongan secara langsung kepadanya.
Impi Julang Mahkota Emas Pertama

Sedar akan tanggungjawab besar yang menunggu di pentas MGI, gadis ini berazam untuk meneruskan legasi wakil terdahulu yang pernah berada dalam kelompok terbaik dunia.
“Selepas ini, saya ingin fokus untuk bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman supaya dapat membawa nama Malaysia lebih jauh. Saya yakin impian untuk menjulang mahkota emas pertama bukan mustahil jika disertai latihan berterusan, bimbingan yang betul dan kerja berpasukan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Nasional MGM 2025 Melisha Lin berkata kemenangan Viviana adalah hasil usaha gigih serta kelebihan yang dimiliki gadis tersebut dalam kelima-lima aspek utama yang dinilai di peringkat antarabangsa iaitu beauty, body, brain, behaviour dan business.
View this post on Instagram
Pihaknya menyasarkan untuk memperkukuh prestasi Malaysia di pentas dunia dengan matlamat minimum meletakkan Viviana dalam kelompok 20 terbaik Miss Grand International tahun ini.

“Malaysia berjaya menduduki tempat keenam (fifth runner-up) pada edisi lepas dan kami berharap dapat meneruskan momentum itu. Dengan persiapan yang rapi, tidak mustahil Viviana mampu pergi lebih jauh.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


































