Islam sememangnya agama yang indah. Islam diturunkan bagi menyempurnakan akhlak manusia serta mengatur tujuan hidup dalam Islam supaya menjadi lebih harmonis dan damai. Sekaligus memperlihatkan bagaimana Islam mengangkat darjat wanita di mana Allah SWT dalam al-Quran menjelaskan, kedudukan wanita dalam Islam sama dengan lelaki.
Apabila datang haid, terdapat segelintir wanita merasakan ia sebagai ‘ gangguan’ untuk melakukan amal ibadat terutamanya ketika berada di bulan Ramadan. Haid merupakan mekanisme biologi yang terjadi pada tubuh wanita. Keluarnya darah kotor menjadi penghalang bagi kaum hawa untuk melaksanakan ibadah seperti solat dan membaca Al-Quran. Namun begitu, wanita sememangnya mempunyai kedudukan istimewa di dalam Islam.
Para ulama mempunyai pandangan yang berbeza dalam isu bolehkah seorang wanita yang dalam keadaan haid itu membaca al-Quran ? Menurut Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadan, Amalan Wanita Haid di Bulan Ramadan yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, memperincikan perkara tersebut.
Haram. Inilah pendapat jumhur fuqaha’. Mereka melarang wanita membaca al-Qur’an ketika dalam keadaan haid dan sedang berjunub berdasarkan kepada hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Tidak dibolehkan wanita dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada al-Qur’an.”
Riwayat al-Tirmizi (131)
Hadith ini dhaif di sisi sebahagian ahli ilmu kerana sebahagian riwayatnya Ismail bin Ayyash dari golongan Hijaz dan riwayatnya daripada mereka adalah dhaif.
2. Harus. Inilah pendapat ulama’ Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih iaitu dibolehkan untuk memegang al-Qur’an bagi wanita yang haid dan dibolehkan juga untuk membacanya dengan tujuan mengajar dan belajar.
Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya yang sedang berjunub. Ini kerana, hari-hari kedatangan haid itu berlangsung dalam tempoh yang lama. Maka, jika mereka dilarang membaca al-Qur’an, dibimbangi hafazan al-Qur’an mereka akan terluput. Sedangkan, berzikir kepada Allah SWT adalah dibolehkan kepada wanita-wanita yang sedang dalam haid.
Inilah juga pendapat tokoh ulama’ silam seperti Imam al-Bukhari, Imam Ibn Jarir al-Tabari, Ibn al-Munzir, al-Zahiryyah, al-Syaukani, al-San’ani, al-Sya’bi, pendapat Imam al-Syafi’i dalam qaul qadim yang telah dinukilkan oleh Abu Tsaur. Antara ulama’ masa kini yang berpegang dengan keharusannya adalah Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaymeen, Syeikh al-Azhar Ali Tantawi. Lihat Tawdhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, Syeikh Abdullah al-Bassam (1/461)
Antara Kenyataan Mereka
Ads
Syeikh al-Dusuqi al-Maliki berkata : “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an dalam keadaan adanya darah sekalipun telah berlaku janabah sebelum itu.” Lihat Hasyiyah ala al-Syarh al-Kabir al-Dardir (1/284)
Syeikh Salih Abd al-Sami’ al-Abi berkata : “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an tanpa menyentuh Qur’an.” Lihat Jawahir al-Iklil (1/32)
Imam Al-Mardawi al-Hanbali berkata : “Ditegah wanta haid daripada membaca al-Quran secara mutlak dan inilah yang sahih dalam mazhab Hanbali tetapi ada pendapat menyatakan tidak ditegah. Inilah yang dipilih oleh Syeikh Taqiyuddin Ibn Taimiyyah” Lihat al-Insaf (1/347)
Malah, dalam masalah wanita yang sedang dalam nifas juga, dibolehkan untuk membaca al-Qur’an sebagaimana fatwa Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah : “Membaca al-Qur’an bagi wanita nifas dibolehkan jika dia khuatir akan boleh lupa bacaan al-Qur’an dengan sebab lamanya tempoh masa nifas tersebut. Tetapi, jika dia yakin bahawa dia tidak melupakan bacaan al-Qur’an tersebut, maka tidak perlu dia membacanya.” Lihat Majmu’ al-Fatawa, Syeikh Ibn Taimiyyah, 1/636).
Secara tuntasnya membaca al-Quran dalam bentuk zikir-zikir dan juga doa tidaklah termasuk dalam perkara yang dilarang ke atas orang perempuan yang datang haid. Ini seperti membaca doa menaiki kenderaan, mengucapkan istirja’ ketika mendengar musibah, membaca doa-doa yang ma’tsur daripada al-Quran sebagai zikir seperti pembacaan zikir-zikir pagi dan petang, dan seumpamanya.
Namun begitu, antara amalan yang boleh dilakukan oleh wanitayang datang haid di dalam bulan Ramadan ialah:
1.Banyakkan Sedekah
Seperti yang diketahui, amalan sedekah di dalam bulan Ramadhan mempunyai ganjaran yang amat besar di sisi Allah S.W.T. Dalam isu sedekah, tidak disyaratkan bagi seseorang itu akan suci dari sebarang hadas. Justeru, seseorang wanita meskipun berada dalam keadaan haid masih boleh mendapat ganjaran pahala bersedekah ini di dalam bulan Ramadhan dengan kadar yang termampu.
2.Perbanyakkan Doa dan Zikir
Ads
Bagi orang perempuan yang haid, mereka digalakkan untuk membaca doa-doa dan juga zikir-zikir semasa berada di dalam bulan Ramadhan. Antaranya adalah seperti yang dianjurkan dalam sebuah riwayat daripada A’isyah R.Anha beliau berkata:
Maksudnya: Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu sekiranya aku bertemu dengan lailatul qadar apakah yang patut aku berdoa ? Maka kata Nabi S.A.W: ‘’Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Kau maha Pengampun, dan Kau sukakan pengampunan, maka ampunkanlah aku’’.
3.Memberi Makan Kepada Orang Berbuka
Boleh juga bagi orang yang dalam keadaan haid untuk memberikan makanan kepada mereka yang berbuka puasa. Hal ini antara perkara yang mendatangkan pahala yang besar kepada pelakunya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.
Ads
Riwayat Al-Tirmizi (807)
Bahkan kata Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa: ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun’’. Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18).
Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T:
Maksudnya: Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.
Surah Al-An’aam (160)
Justeru apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.
Meskipun terdapat beberapa ibadah yang tidak boleh dilakukan oleh perempuan yang berada dalam keadaan haid, ini sama sekali tidak menafikan peluang mereka untuk merebut dan meraih ganjaran yang besar di dalam bulan Ramadhan al-Mubarak. Bahkan terdapat banyak amalan-amalan yang boleh dilakukan dalam keadaan haid seperti beberapa contoh yang telah disebutkan di atas. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum melihat semangat juang wanita yang sudah tujuh tahun berniqab ini. Walaupun masih muda namum kejayaan milik Nurul Diana Mohd Pudzi bukan calang-calang. Memulakan perniagaan hanya bersandarkan alasan mahu menanggung kos sara hidup semasa di kolej telah menukar persepsinya dalam bidang yang penuh cabaran ini.
Wanita yang dilahirkan 28 tahun lalu ini benar-benar bersyukur dan megah dengan kejayaan miliknya kini. Menjadi pengasas produk kecantikan dan kesihatan bukan suatu angannya ketika kecil. Namun, aturan dari Yang Maha Esa adalah yang terbaik dan sebaik-baik Perancang.
“Saya bukan orang senang dan ‘degil’ untuk meneruskan pengajian di kolej. Setiap hari makan mi segera bukan suatu yang asing bagi saya ketika itu. Demi kelangsungan hidup sebagai pelajar saya perlu buat sesuatu dan timbul idea cuba menjual produk kosmetik.
Ketika itu saya langsung tak ada modal namun kuatkan hati dengan mengambil pre-order. Saya ‘jual’ di Facebook, orang order dan terus buat bayaran. Bayaran pelanggan itu saya guna untuk beli produk kemudian baharu dipos. Tak sangka dalam masa seminggu, saya dah mula ada ‘pendapatan’,” ujar wanita berkelulusan Diploma Perbankan Islam, Politeknik Sultan Idris Shah, Selangor ini.
Walaupun ketika itu keuntungan yang dimiliki oleh wanita yang mesra di sapa Dian ini bukan besar, sekadar cukup untuk menampung kos sara hidupnya sebagai pelajar namun tak pernah lupa menghulurkan wang kepada mak ayah di kampung halaman. Mungkin ini yang dikatakan berkat ‘sedekah’ dengan mak ayah sendiri, rezeki akan mencurah-curah tanpa disangka-sangka.
“Saya meneruskan jualan ini sehingga ke semester akhir pengajian dan pendapatan tertinggi yang pernah saya terima mencecah RM20 ribu sebulan,” ujar ibu kepada dua orang anak ini yang gigih dan pantang menyerah.
Selepas menamatkan pengajiannya wanita ini nekad menghasilkan produk atas jenama sendiri. Bersandarkan pengalaman berniaga di atas talian maka lahirkan produk yang diberi nama Dianz. “Saya keluarkan produk topeng muka (mask).
Ketika itu topeng muka begitu popular sebagai produk penjagaan kulit. Saya mencipta kelainan sedikit dengan menghasilkan topeng muka berwarna ungu berbanding dengan topeng muka yang banyak di pasaran dengan warna putih dan hitam.
Rezeki tak pernah salah alamat, dalam masa lapan bulan saya memperoleh keuntungan mencapai RM1 juta. Jualan saya memang 100 peratus bergantung kepada Facebook semata-mata, tidak ada laman sesawang mahupun platform digital yang lain,” terang Dian yang bangga mampu berkongsi rezeki dengan membawa 13 orang ahli keluarga menunaikan umrah melalui hasil titik peluhnya sendiri.
Sehingga kini jenama Dianz menumpukan pengeluaran produk suplemen iaitu Dianz Vitamin Premium dan Dianz D’Honey Skin Booster. “Bagi memastikan pelanggan dapat menikmati hasil yang terbaik, setiap produk Dianz memiliki sijil Kementerian Kesihatan Malaysia (Farmasi) dan mempunyai Sijil Halal,” kata Pengasas Dianz ini.
Tahun ini sahaja jenama Dianz berdiri megah di 50 papan iklan di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS Highway). Di samping itu, Dianz juga boleh dilihat di 40 buah badan bas Rapid KL terpilih serta troli di 9 buah pasar raya besar Tesco dan Mydin yang terpilih.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memang ralit tengok video-video masakan yang dikongsikan Anis Nabilah di media sosial. Bukan hanya berkongsi menu tradisi dan sajian Barat, dessert pun ada! Bersandarkan personaliti menarik Anis dan kepetahannya di depan kamera membuatkan peminat ternanti-nanti posting terbaharu wanita genit ini.
Yang pasti, aura Anis atau nama penuhnya Anis Nabilah Umaruddin cukup terkesan di hati penonton. Malah cef selebriti yang mula bersinar dalam rancangan masakan Icip-Icip pada tahun 2007 ini makin bertapak kukuh dalam industri kulinari tanah air.
Waktu itu Icip-Icip ditayangkan di saluran Asian Food Channel (AFC) dan merupakan program masakan pertama Malaysia disiarkan dalam saluran berkenaan sekaligus menjadikan dia individu termuda tampil dalam AFC. Bakat mengacara dan memasak Anis turut disiarkan menerusi My Taste of Hong Kong di saluran TLC Asia dan Eating Wild di AFC.
Bakal meniti usia 35 tahun pada 18 November depan, Anis mempunyai pengaruh besar dalam bidang kulinari. Setiap video masakan yang dikongsi wanita bertubuh ramping ini pasti mendapat perhatian penggemar makanan. Malah, Anis juga menjadi antara pencetus fenomena Thermomix dalam penyediaan makanan mudah dimasak menggunakan teknologi serba canggih berkenaan.
Berbekalkan kepakaran dan minat terhadap bidang penyediaan makanan sejak kecil lagi membuatkan Anis mampu berdiri setanding cef selebriti popular lain. Mempunyai keluarga besar dan ramai, anak keempat daripada lapan beradik ini mengakui berdepan banyak cabaran sepanjang menceburi karier masakan. Namun dia tetap tidak patah semangat untuk berjaya di samping mahu berkongsi pengalaman dengan masyarakat.
“Sewaktu mula-mula ingin membina kerjaya sebagai seorang cef selebriti, ramai yang mempertikaikan kebolehan saya. Status saya yang masih bujang, belum mempunyai anak dan umur yang muda menjadikan mereka meragui kebolehan saya memasak.
Tapi saya tidak mempedulikan komen-komen negatif tersebut kerana saya memang melakukan perkara yang saya minat dan tujuannya adalah untuk menambah dan berkongsi ilmu. Bahkan ia tidak ada kaitan langsung untuk mengejar popularity,” jelas Anis yang memiliki kelulusan diploma Food Institute of Malaysia (FIM).
“Ibu saya ada berpesan, whatever you do in your life, you have to make a difference. Jadi, saya percaya sebagai seorang cef selebriti, kerja saya bukan hanya memasak tetapi untuk melakukan sesuatu yang lebih besar dan bermakna bukan hanya kepada diri sendiri tetapi orang lain juga.
Diharapkan, dengan perkongsian resipi dan cara memasak ini dapat menarik orang-orang muda di luar sana untuk mula belajar memasak walaupun sesetengah orang mungkin menganggap memasak ini sesuatu yang remeh dan tidak penting.
Sebenarnya, bila pandai memasak kita akan tahu apakah bahan-bahan yang digunakan untuk menyiapkan hidangan makanan tersebut. Ini kerana untuk menjadi sihat ia bermula daripada apa yang kita makan.
Selain itu, mempunyai kebolehan memasak juga akan membuatkan anda menyediakan makanan yang sihat untuk keluarga dan orang yang tersayang”, ungkap penerima Nona Culinary Award ini.
Kredit foto: Instagram Anis Nabilah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bila disebut nama Datin Seri (DS) Maria Farida pasti terbayang wajahnya yang cantik dan awet muda. Di usia 51 tahun Datin Seri Maria umpama mempunyai magnet yang menarik setiap mata memandang. Walaupun sentiasa tampil ringkas tetapi pesona yang dimilikinya tetap jelita umpama anak dara.
Namun siapa sangka rupa-rupanya DS Maria Farida tidak mempunyai rutin penjagaan kulit yang khusus. “Sebenarnya dahulu saya tidak menjaga kulit dengan begitu serius. Namun, bila usia dah meningkat 50 tahun dan mula bila lihat perubahan ketara pada kulit saya jadi risau.
Foto: Instagram @mariafarida
Bila berada dalam industri ini penting untuk saya menjaga kecantikan. Kalau tak, tak ada producer yang akan panggil kita berlakon lagi. Saya tak boleh duduk diam dan masih nak berlakon. Baru saya mula risau tentang penjagaan diri.
Sejujurnya, saya tak ada rutin penjagaan kulit kerana kulit saya sangat sensitif. Saya tak boleh guna produk yang diaplikasi ke kulit secara terus. Jika salah produk pasti akan keluar ruam atau kulit jadi gatal. Cara saya menjaga kecantikan kulit adalah membersihkan kulit dengan tisu basah sahaja itu pun jenama tertentu sahaja.
Tapi kini saya dah menemui cara penjagaan kulit untuk diamalkan iaitu dengan pengambilan kolagen. Pengambilan kolagen ini benar-benar membantu penjagaan kulit saya,” kata DS Maria Farida yang ditemui di majlis pelancaran LuCOL-S.
Jauh di sudut hati DS Maria Farida, wujud rasa kecil hati digelar sebagai ‘Ratu Cucuk’. “Getting older is privilege. Saya tak cucuk dan lebih suka yang natural. Biar growing old gracefully kata orang kan,” tutur wanita yang mempunyai nama sebenar Datin Seri Maria Farida Atienza ini.
Foto: Instagram @mariafarida
Melihat susuk tubuh DS Maria Farida yang langsing terus terpacul di mulut mesti usahawan berjaya ini tak makan nasi. “Siapa kata saya tak makan nasi. Hari-hari saya makan nasi dengan lauk favorite saya. Cuma bila saya on set shooting, saya akan kurangkan nasi. Sebab bila shooting kita akan nampak besar. So bila tak shooting time tu saya akan ‘gasak’ nasi semua.
Foto: Instagram @mariafarida
Saya juga tak ada sekatan bila boleh makan nasi, anytime boleh makan nasi. Tapi sekarang kan trend intermitent fasting so, saya cuba pelan diet ini. Saya cuba berhenti makan sebelum pukul 8 dan akan makan semula pada pukul 12 tenghari. Saya tengah cuba dan tak tahu okay ke tak lagi,” kongsi isteri kepada Datuk Seri Abdul Rahman Shakur ini sambil tersenyum.
Foto: Instagram @mariafarida
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masjid Habib di Pulau Pinang menampilkan seni bina Jawi Peranakan, kubah berinspirasikan intan, serta kemudahan mesra komuniti — sebuah wakaf bernilai RM30 juta yang menjadi simbol cinta dan syukur.