Kelekaan umat Islam kini dalam mencari pendapatan, memungkinkan wujudnya percampuran rezeki daripada sumber yang halal dan haram. Kebanyakan sumber tersebut pula tidak dipastikan statusnya dengan jelas. Semuanya demi matlamat bagi memberi sesuap nasi kepada anak dan isteri.
Benarlah firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan (bagimu) dan di sisi Allah pahala yang besar.” (Surah Al-Taghabun: 15)
Oleh kerana itu, pengenalpastian ke atas status sesuatu pendapatan dan sikap berhati-hati dalam memperolehi harta secara halal adalah sangat-sangat dituntut.
Wang Tidak Patuh Syariah
Menurut pandangan Imam Al-Syafie, syariah telah melarang lapan perkara pokok iaitu riba, gharar, perjudian, penipuan, rampasan, ihtikar (monopoli barangan), rasuah dan perniagaan yang tidak patuh syariah serta mendatangkan kemudaratan (seperti arak, babi, bangkai, makanan yang memudaratkan, pendapatan daripada pelacuran dan seumpamanya).
Prof. Dr. Muhammad Nabil Ghanayim, Profesor di Kuliyyah Syariah Universiti Kaherah pula telah mentakrifkan wang atau harta tidak patuh syariah sebagai harta haram yang diperolehi melalui jalan-jalan yang tidak syarie iaitu mengambil harta yang terdapat larangan ke atasnya atau terdapat balasan (had) ke atas pelakunya, atau terdapat janji buruk berkaitannya, atau yang dinamakan sebagai batil oleh Allah S.W.T.
Manakala kebanyakan fuqaha’ mutakhir ini mentakrifkan harta tidak patuh syariah ialah harta yang dimiliki dan diperolehi melalui wasilah yang tidak diiktiraf oleh syarak seperti rompakan, rampasan, hasil jualan barang curi, rasuah, perjudian, loteri, transaksi riba, perlindungan insurans konvensional, keuntungan pelaburan di dalam sekuriti tidak patuh syariah dan seumpamanya.
Menurut Suruhanjaya Sekuriti, sesuatu perniagaan diklasifikasikan sebagai tidak patuh syariah sekiranya perniagaan itu menjalankan aktiviti teras yang tidak selaras dengan syariah seperti berikut:
- Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah).
- Perjudian dan pertaruhan.
- Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan.
- Insurans konvensional.
- Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan syariah.
- Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan.
- Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh syariah.
- Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan syariah.
Fatwa Wang Tidak Patuh Syariah
Di Malaysia, ketetapan berkenaan penyaluran wang-wang haram telah diputuskan sejak dahulu lagi iaitu melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Kali Ke-3 pada 21hb. Jun 1971 yang telah memutuskan:
i. Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan yang dibuat oleh institusi Islam atau perniagaan atau badan kebajikan yang dianggotai oleh orang-orang Islam dalam mana-mana bank harus diterima oleh badan-badan itu atas alasan kecemasan ekonomi orang-orang Islam pada masa ini; dan
ii. Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan seseorang Muslim dalam mana-mana bank harus diterima olehnya atas alasan kerana kecemasan itu juga, tetapi wang faedah itu hendaklah dimasukkan dalam Baitulmal atau untuk kegunaan maslahah umum.
Manakala melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, telah dinyatakan iaitu:
“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:
i. Diserahkan kepada baitulmal untuk maslahah maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
ii. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau
iii. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal”.
Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor
Melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 1/2009 pada 18hb. Mac 2009 yang menyatakan:
i. Wang tidak patuh syariah yang diperolehi boleh dijadikan sumber baitulmal dan harus dimasukkan ke dalam akaun baitulmal.
ii. Penggunaan wang tidak patuh syariah harus untuk kegunaan menjalankan operasi perjalanan kerja di MAIS seperti pembinaan, penyelenggaraan bangunan, emolumen, pendidikan, pertanian, penyelidikan, perubatan, kemudahan asas seperti pembinaan dewan, tandas, jambatan dan lain-lain untuk kegunaan umum.
Bagaimanakah peranan Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor ke atas Wang Tidak Patuh Syariah?
Sebagai sebuah entiti tunggal yang mentadbir harta umat Islam, Baitulmal berperanan penting dalam mendakwah masyarakat terutamanya mengurus harta secara bijaksana berdasarkan hukum syarak.
Hal ini selaras sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 7, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu, “Maka hendaklah menjadi kewajipan majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam negeri Selangor selaras dengan hukum syarak.”
Kebanyakan masyarakat mengetahui kewajipan membayar zakat sebagai wadah penyucian harta umat Islam. Kewajipan ini bagaimanapun terhad kepada syarat-syarat kelayakan harta yang dizakatkan dan asnaf-asnaf yang telah ditentukan.
Walau bagaimanapun, kebanyakan masyarakat juga kurang arif akan perihal harta-harta yang diperolehi dengan jalan yang tidak betul. Unsur-unsur tidak halal ke atas harta dan juga keraguan yang timbul sering kali dipandang enteng oleh sebilangan masyarakat mutakhir ini. Dengan kepesatan ekonomi kini, seringkali menjauhkan masyarakat daripada menitik beratkan aspek hasil atau rezeki yang dikurniakan Allah ke atas hambanya.
Oleh yang demikian, Baitulmal MAIS ingin mengambil peluang ini mengajak umat Islam untuk sama-sama membersihkan harta yang diperolehi agar kehidupan yang dilalui penuh keberkatan dan sentiasa berlandaskan hukum syarak.
Sebagai sebuah organisasi ulung yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta orang Islam, MAIS berperanan untuk menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada seluruh umat Islam berkenaan peri pentingnya mengurus harta secara bijaksana sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak.
Penyerahan kepada Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor merupakan pilihan cara pelupusan yang utama, selamat dan meyakinkan serta mampu menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi umat Islam sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 7, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003: “Maka hendaklah menjadi kewajipan majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam negeri Selangor selaras dengan hukum syarak.”