Tangan seorang ibu terbuka ketika anaknya memerlukan sebuah pelukan… Hati seorang ibu mengerti ketika anaknya perlukan teman… Mata seorang ibu lembut tetapi tegas ketika anaknya perlukan satu pelajaran… Dan, cinta seorang ibu memberikan sayap agar anak-anaknya bisa terbang!
Kasih sayang seorang ibu tiada berpenghujung. Bayangkan pada usia menghampiri satu abad, ibu tua bernama Ada Keating ini sanggup menjadi penghuni di rumah kebajikan Moss View, Liverpool, semata-mata untuk menjaga anak sulungnya, Tom.
Ada, 98, mempunyai empat orang anak hasil perkongsian hidup dengan mendiang suaminya iaitu Tom, Barbara, Margi dan Janet (meninggal pada usia 13 tahun).
Sebelum bersara, Tom bekerja sebagai tukang cat dan juruhias di sebuah firma perkhidmatan bangunan. Dia mula menjadi residen di Moss View pada tahun lepas.
Ads
Selepas memasuki Moss View, Ada dan Tom kelihatan sukar berpisah malah mereka suka meluangkan masa bersama.
“Saya akan mengucapkan selamat malam kepada Tom sebelum tidur dan saya akan ke biliknya sebaik bangun tidur untuk mengucapkan selamat pagi,” cerita Ada yang pernah bekerja sebagai pembantu jururawat.
Ads
“Jika saya keluar berjumpa hairdresser, Tom pasti akan ternanti-nanti kepulangan saya. Rasanya seperti kembali ke zaman dulu, apabila saya tiba di rumah saja pasti dia akan berlari memeluk tubuh ini.”
Semestinya sebagai anak, Tom juga gembira semenjak ibunya tinggal di situ. Masakan tidak, serba-serbi keperluannya dijaga rapi. Tapi kadangkala, ibu Tom juga masih menegurnya seperti kanak-kanak, malah selalu berpesan behave yourself!”
Menurut pengurus rumah kebajikan tersebut, Philip Daniels, mereka selalu tersentuh dengan keakraban ibu dan anak itu. “Jarang sekali dapat melihat hubungan seperti ini di sebuah rumah yang sama dan kami akan pastikan mereka sentiasa gembira.”
Ya Tuhan, tersentuhnya hati dengar kata-kata nenek tua ini. Tiba-tiba teringat satu pesanan, ‘Sebesar mana pun kasih sayang seorang anak kepada orang tua, tetap tidak mampu melebihi kasih sayang orang tua kepada anaknya!‘ Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Alhamdulillah, mama masih sihat dan cergas di usia 69 tahun. Doa saya semoga Allah terus memberi rahmat dan kesejahteraan buat Ta’adah Bt Mohd Said, dunia serta akhirat… Amin.
Saya percaya semua anak inginkan yang terbaik buat ibu mereka, dipanjangkan usianya untuk terus menikmati detik bahagia di kehidupan dunia sementara ini. Terpanggil saya untuk berbicara bersama mama dan berkongsi kisah rutin harian sihat dan cantik yang diamalkannya. Mungkin amalan ini dapat memberi inspirasi kepada semua wanita lain, walaupun ramai lagi ibu-ibu di luar sana punya 1001 cerita dan petua serta nasihat terbaik yang boleh dikongsi bersama pembaca majalah Nona.
Kini telah 6 tahun mama melewati hari-hari bebas daripada penyakit yang paling digeruni oleh wanita. KANSER. Syukur alhamdulillah. Masih ingat waktu itu, kala mama membuat pemeriksaan dan di sahkan KANSER OVARI tahap 2 (aktif), mama sangat kuat semangat dirinya.
Tanpa berfikir panjang mama terus bersetuju untuk menjalani proses kemoterapi seperti yang telah disarankan oleh doktor. Tidak sekali saya melihat kesedihan atau air matanya mengalir. Sangat kuat beliau melalui proses itu, walaupun kesakitannya hanya dia dan Allah sahaja yang tahu. Walaupun dalam hati saya sendiri yang menangis, bila saat melihat raut wajahnya yang dimamah usia ketika terlantar baring seperti melayan mimpi panjang yang memenatkan.
Tambah pilu hati ini kala melihat rambutnya gugur akibat kesan kemo, tapi mama masih mampu tersenyum… Saya percaya inilah senario yang dihadapi oleh ramai di antara mereka apabila melihat orang tersayang melalui proses rawatan kemo. Berat mata memandang, pastinya berat lagi bahu yang di pikul.
“Mama maafkan saya kerana tidak menemanimu setiap hari dan setiap masa di saat itu…” Mama layari hidupnya sendiri dengan cukup tabah. Pasti adanya penyesalan dalam diri saya ini, sebagai seorang anak sebab selalu tinggalkan mama sendiri menjalani rawatannya. Setiap kali pulang ke Kedah dan kembali ke Kuala Lumpur pasti saya yang menangis tapi bukanlah di hadapannya kerana saya tidak mahu menunjukkan kesedihan itu, saya juga perlu kuat seperti mama.
Setiap kali itulah, saya berdoa “Ya Allah, jaganya untukku. Lindungilah mama dan kembalikanlah kesihatannya dengan baik. Kurangkanlah beban kesakitannya kerana aku amat menyayanginya.” Amin… Allah telah pemudahkan perjalanan itu.
Hari ini alhamdulillah, mama berdiri tersenyum. Sibuk dengan aktiviti warga emas dan mengaji Al-Quran. Saya mengutip beberapa petua yang telah diamalkannya, mungkin ada yang sesuai dan boleh juga dipraktikkan oleh orang lain. Dulu sekali pandang, mama seperti pelakon Uji Rashid dan sekarang kalau pakai sunglasses, macam Noorkumalasari pula.
Sejujurnya saya mengagumi kecantikan mama sejak di usia mudanya. Sangat cantik dan mama aktif dengan pelbagai aktiviti, popular juga mama di Alor Setar dulu. Ingat lagi, saya pernah melihat mama belajar catwalk di rumah sambil meletakkan buku di atas kepala dengan langkah bersama sepatu tinggi 4 inci.
Petang-petang joging dan ‘wardrobe’ sangat meriah dengan himpunan pelbagai koleksi baju yang dibeli dan ditempah, sehingga tidak muat ruang almari. Itulah mama… Personalitinya sangat tegas tetapi punya hati yang baik.
Mama daripada dahulu tidak minum air ais dan jarang sekali mengambil kopi. Tapi kalau makan nasi wajibnya ada pelbagai ulam-ulaman antara menjadi kegemaran mama, ulam raja, daun dan buah mengkudu sangat baik untuk kuatkan badan dan awek muda. Tapi memang benar, mama ratu ulam. Semua jenis daun hijau dimakannya. Petua makan nasi, sama juga seperti orang lain, makan nasi tidak bersilang seli dengan air. Minum air panas sebelum mula makan nasi untuk basahkan kerongkong serta melancarkan penghadaman.
Sesekali dahulu terlihat mama akan kepal-kepal nasi panas tanpa lauk dan kemudian terus makan. Biasanya dalam 2 atau biji kepalan sambil membaca doa makan, kata mama ini petua yang diamalkan oleh atuk nenek kita supaya badan sihat dan dijauhi daripada penyakit. Ini sekadar petua, bukanlah amalan khurafat. Siapa nak buat, boleh buat. Tidak mahu tak mengapa!
Mama tidak mengambil sebarang suplemen, hanya mengambil ubat yang diberikan oleh doktor atau hanya dari bahan semula jadi. Biasanya mama akan ambil bawang putih rendam bersama madu asli, biar selama tiga hari kemudian makan satu pagi, satu malam setiap hari. Ataupun bawang putih kupas dan masukkan ke dalam nasi ketika gembur, setelah hampir masak lalu makan seperti ulam.
Banyak khasiat bawang putih untuk kesihatan antaranya dapat mengurangkan risiko kanser, menurunkan kolesterol, baik untuk darah tinggi, mencegah penyakit jantung dan sebagainya. Selain itu, mama juga mengamalkan minum air jus timun atau carrot untuk sejukkan badan serta baik untuk kesihatan. Makan pisang jika stres dan untuk memudahkan proses penghadaman.
Sewaktu mama dalam proses rawatan kanser, setiap kali selepas melakukan kanser mama amalkan minum air kelapa muda. Selesai menjalani semua proses kemoterapi, mama amalkan minum air daun belalai gajah dan makan buah durian belanda. Bila sihat sikit, mama rebus air daun durian belanda untuk diminum.
Alhamdulillah kaedah dan amalan ini sesuai dengan tubuh mama. Mama juga sesekali mengamalkan minum air rebusan daun rama-rama yang mempunyai banyak khasiat dan menjaga kesihatan badan. Mama tidak lagi makan daging, belacan, ikan kering atau ikan darat. Jika termakan, mama segera minum air rebusan daun rama-rama atau daun durian belanda yang dibuat sendiri (Perkongsian ini melalui pengalaman yang diamalkan, boleh dicuba atau dapatkan khidmat nasihat doktor anda juga).
Paling penting pesan mama, buat mereka yang mengidap kanser jangan susah hati, menyendiri, muram dan terlalu banyak berfikir tentang perkara negatif. Perlu sentiasa gembira dan ceria, lemparkan senyuman setiap masa.
Selain menjaga pemakanan dan mengamalkan petua semula jadi, perkara yang utama perlu dititik beratkan ialah amal ibadat dan kerohanian. Di setiap kelapangan, mama mengamalkan bacaan surah Al-Ikhlas yang terlalu besar ganjaran pahalanya jika selalu diamalkan. Ia dapat membantu memberi ketenangan, membuatkan kita lebih ceria dan gembira, dipelihara keselamatan, selamat di alam barzakh dan insyaAllah, orang akan lihat wajah kita sentiasa tenang.
Mama juga sentiasa ingatkan saya untuk ringankan mulut membaca DOA NABI YUNUS a.s
“Laailahailaanta subhanainni kuntum minazzalimin”
(Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk orang-orang yang zalim.)
Doa ini adalah penawar segala musibah, dielakkan daripada perkara-perkara yang memudaratkan dan sangat besar maknanya. Amalkan setiap hari tidak kira dalam kesenangan atau kesusahan. Jangan lupa untuk mengucap syukur dengan rezeki Allah SWT berikan, walaupun sedikit dan bukannya merungut.
Bangun pagi amalkan membaca surah Al-Fatihah untuk sedekahkan kepada Nabi Muhammad SAW, buat arwah ibu bapa, diri sendiri, anak-anak dan juga adik-beradik sekalian. InsyaAllah…
Akhir kata, saya doakan buat mama dan seluruh ibu semua agar sentiasa dirahmati, berada di bawah lindungan Allah SWT, di panjangkan usia, di murahkan rezeki, sihat sejahtera hendaknya. “Ya Allah, Seandainya aku tidak memiliki cukup waktu, untuk membahagiakan ibu ku satu pintaku bahagiakan ibu ku dengan kasih sayang-Mu. Ya Allahampunilah segala dosa ibu ku kasihanilah ibu ku karena ibu yang telah melahirkanku, memelihara dan membesarkan diriku. Haramkanlah wajah ibuku dari disambar oleh api neraka. Kurniakanlah buatnya syurga tanpa hisap… Amin.
Tanyalah amalan atau petua ibu kita sementara mereka masih ada, sekurang-kurangnya dapat juga dikongsi dan mungkin berguna untuk kehidupan seharian kita. Mereka sudah makan garam terlebih dahulu daripada kita dan pengalaman serta nasihat mereka boleh dijadikan inpirasi untuk kita lebih matang dalam menjalani pelbagai liku kehidupan di masa sekarang. Terima kasih buat semua Ibu atas kasih sayang yang telah engkau berikan kepada diri kita dengan tulus kasih mu yang tak akan mampu kita bayar.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bergelar Ketua Pegawai Eksekutif pertama wanita di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membuktikan bahawa wanita ini bukan calang-calang orangnya.
Dato’ Zahrah Abd Wahab Fenner pastinya akan memberi inspirasi buat seluruh kaum wanita khususnya yang berkerjaya. Anak jati Gopeng, Perak berusia 57 tahun ini merupakan bekas pelajar Treacher Methodist Girls School, Taiping serta Politeknik Ungku Omar.
Dato’ Zahrah cukup menitikberatkan soal kebajikan bukan sahaja di kalangan warga kerja SSM bahkan masyarakat. Beliau sentiasa memastikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dilaksanakan.
“Saya selalu turun padang bersama warga kerja SSM bagi melihat sendiri kesusahan staf bawahan saya yang ditimpa masalah. Itulah amalan yang dimaksudkan.
Contohnya ketika negara dilanda musibah banjir besar dahulu. Kami membantu bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit dan makanan, bahkan bergotong royong membersihkan kawasan tempat tinggal mereka.
Tidak dilupakan, rumah-rumah kebajikan turut dilawati antaranya Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Cacat Ipoh, Rumah Kebajikan Anak Yatim & Miskin Ar-Ridwani Ipoh, Rumah Jagaan Kanak-Kanak Cacat Setia dan Rumah Kebajikan Kanak-Kanak,” ungkap graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini.
Tambah beliau, “Saya memulakan kerjaya sebagai Penasihat Akauntan di Jabatan Kastam dan Eksais DiRaja pada Ogos 1984 sehingga April 1992. Saya bertindak selaku penasihat hal ehwal berkaitan penilaian mutu antarabangsa di pasaran terbuka.
Kemudian, saya menyertai Kementerian Luar Negeri pada Mei 1992 sehingga Julai 1995. Di situ saya bertanggungjawab dalam menguruskan akaun kewangan dan audit bagi Kedutaan Tinggi Malaysia di seluruh dunia.
Tahun 1995 saya menyertai Pejabat Pendaftar Syarikat (ROC) sebagai Ketua Akauntan sehingga 16 April 2002. Apabila Suruhanjaya Syarikat Malaysia ditubuhkan hasil gabungan Pejabat Pendaftar Syarikat (ROC) dan Pejabat Pendaftar Perniagaan (ROB), saya dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan) SSM.
Saya memegang jawatan tersebut sehingga tahun 2014 sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SSM sehingga kini,” ungkap anak ketujuh daripada 12 beradik ini.
Berkat usaha serta pencapaian yang cemerlang dalam kerjaya, pada tahun 2006 Dato’ Zahrah dikurniakan Darjah Kesatria Mangku Negara (K.M.N). Kemudian, pada 20 Ogos 2015 beliau dianugerahi pula Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (D.S.A.P) yang membawa gelaran Dato’.
Sukakan Cabaran
Memegang prinsip ringan tulang untuk berjaya, Dato’ Zahrah banyak membantu orang dan menjadi pemudah cara kepada orang yang memerlukan pertolongan.
“Saya juga seorang yang berani mengambil risiko dan pantas membuat keputusan. Keluarga amat menitikberatkan disiplin terutama dalam menepati masa.
Ibu bapa saya amat tegas dalam membesarkan anak-anak supaya bersikap ikhlas, jujur dan adil dalam setiap perkara. Merekalah idola sebenar saya. Suami dan anak juga tulang belakang buat saya. Tanpa mereka tidak mungkin saya berada di tahap sekarang,” kongsi Dato’ Zahrah yang meminati sukan lasak seperti berbasikal dan mendaki bukit. Amy Mohd
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Selena Gomez, bintang Hollywood yang terkenal dengan bakat serba boleh, kini menambah gelaran baharu yang mungkin tidak ramai menjangkakannya – billionaire!
Wanita 32 tahun ini mencatat sejarah baru apabila diiktiraf sebagai salah seorang bilionair termuda di Amerika Syarikat. Dengan anggaran nilai kekayaan yang mencecah RM5.6 bilion.
Selena Gomez memulakan kariernya sejak kecil, dan popularitinya melonjak ketika membintangi siri Disney, Wizards of Waverly Place. Sejak itu, Selena terus mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang, termasuk industri muzik, di mana dia telah mengeluarkan beberapa album yang mencapai kejayaan komersial. Namun, kekayaan besar yang dikecapinya kini bukan hanya dari hasil kerja dalam dunia hiburan.
Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kekayaan Selena adalah perniagaan kecantikannya, Rare Beauty. Jenama yang diasaskannya pada tahun 2020 ini telah mendapat sambutan hangat dan berjaya memikat hati pengguna di seluruh dunia. Rare Beauty bukan sekadar jenama kecantikan biasa, tetapi juga menekankan mesej positif tentang penerimaan diri dan kesihatan mental, yang sangat dekat dengan pengikut setia Selena. Dalam tempoh singkat, jenama ini telah berjaya meraih keuntungan besar, menyumbang secara signifikan kepada peningkatan kekayaannya.
Selain daripada jenama kecantikan, Selena juga terkenal sebagai seorang pelabur yang bijak. Beliau telah membuat beberapa pelaburan dalam pelbagai syarikat teknologi dan perniagaan, yang turut memperkukuhkan kedudukan kewangannya. Selain itu, Selena juga terlibat dalam kerjasama dengan jenama-jenama besar seperti Puma dan Coach, yang menambah kepada pendapatan keseluruhannya.
Penglibatannya dalam dunia perniagaan telah menunjukkan bahawa Selena bukan sahaja seorang selebriti yang berjaya di pentas seni, tetapi juga seorang usahawan yang berfikiran jauh. Dalam tempoh beberapa tahun sahaja, beliau telah mengukuhkan jenamanya dan memastikan kehadirannya bukan sahaja di dunia hiburan, tetapi juga dalam dunia perniagaan global.
Selena Gomez kini bergelar bilionair, menjadikannya salah seorang bilionair termuda yang berjaya dengan usaha sendiri di Amerika Syarikat. Kejayaan ini menjadi inspirasi kepada ramai, terutamanya golongan muda yang memandang tinggi kepada beliau sebagai contoh teladan.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran dalam perjalanan hidupnya, termasuk masalah kesihatan mental dan fizikal, Selena telah membuktikan bahawa dengan kerja keras, dedikasi, dan ketekunan, sesiapa sahaja boleh mencapai kejayaan besar. Keberaniannya dalam berkongsi tentang perjuangannya melawan penyakit lupus dan kesihatan mental turut menjadikan beliau lebih dihormati sebagai seorang ikon yang tulus dan jujur.
Kejayaan ini menjadikan beliau inspirasi kepada ramai, dan Selena terus membuktikan bahawa tiada had untuk apa yang boleh dicapai jika kita berani bermimpi dan berusaha keras.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari REMAJA
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!