•  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Kehangatan Sukan SEA 2017 sudah sampai ke kemuncak apabila skuad bola sepak negara berjaya meloloskan diri ke final memburu sebutir lagi pingat emas untuk rakyat Malaysia.

Anak didik Datuk Ong Kim Swee ini bakal bertemu dengan pasukan Thailand pada jam 8.45 malam, esok. Keterujaan menonton bola sepak tidak hanya menghantui peminat bola sepak tanah air, malah termasuklah golongan wanita yang turut sama memenuhi ruang Stadium Shah Alam bagi menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut.

Salah seorang wanita yang tidak ketinggalan menunjukkan sokongan ialah Eswati Azni Jaafar yang terjebak dengan bola sepak kerana minat suami dan anak.

“Sebenarnya anak dan suami yang meminati sukan bola sepak ini. Boleh dikatakan seharian mereka berdua bercerita tentang bola tidak kira dalam dan luar negara.

Saya pula suka menonton perlawanan bola sepak yang melibatkan negara seperti Sukan SEA dan AFC berbanding bola sepak liga. Mungkin kerana jiwa patriotik yang kuat dan semangat kenegaraan yang menebal.

Tapi kalau nak diikutkan, memang sejak kecil saya dah biasa bersama arwah bapa dan famili yang kaki bola. Jadi, selalu tengok perlawanan di kaca TV termasuklah kakak-kakak saya yang suka tengok World Cup berbanding pasangan mereka sendiri.

Kalau musim demam World Cup dan Euro Cup, kami selalunya akan update dalam Whatsapp sepanjang perlawanan bola,” jelas ibu kepada seorang cahaya mata ini.

Sewaktu ditanya tentang semangat untuk menonton bola sepak di stadium berbanding menonton TV di rumah, jawabnya, “Memang sejak dulu setiap kali acara Sukan SEA, Sukan Komanwel atau AFC berlangsung, jika berkesempatan memang kami akan cuba dapatkan tiket untuk menonton secara langsung di stadium.

Tetapi, sejujurnya semangat saya lain macam pada Sukan SEA 2017 kali ini, tambah-tambah dah turun ke event di Bukit Jalil beberapa kali.

Lagi satu, sebab suka tengok pasukan Malaysia depan mata. Mereka nampak lebih tangkas dan bersemangat. Saya mungkin tak kenal setiap individu itu tapi nampak kerja berpasukan yang baik dan rasanya ramai yang setuju dengan pendapat saya ini,” ujar Azni yang mengesahkan bakal menonton perlawanan akhir Malaysia menentang Thailand di Stadium Shah Alam, esok.

Menyingkap persiapan untuk menyaksikan perlawanan esok, “Dari segi persiapan, saya sudah pastikan jersi telah dibasuh dan boleh dipakai untuk ke perlawanan final. Bukan untuk saya saja, tapi satu famili terutamanya kelengkapan anak.

Malah saya turut menyediakan baju hujan sebagai persediaan awal jika malam tersebut hujan turun dengan lebat. Tapi harap-harapnya cuaca baik dan kita bakal menggondol emas untuk Malaysia.

Bagi wanita yang nak ke stadium, jangan risau tentang sembahyang. Yang penting bawa kain mini telekung, pakai stoking, sejadah dan juga botol spray untuk berwuduk dan yang paling penting kamera serta power bank kena ada,” pesannya.

Nona suka berkongsi video daripada Azni ini sewaktu dia menghadiri perlawanan semi final di antara Malaysia-Indonesia tempoh hari. Rasa bersemangat dan happening, 1Malaysia sangat! Hamizatul Maizan Mohamed

Artikel Berkaitan

Jangan Lupa Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: