Daripada industri perbankan, wanita ini mencabar keupayaan diri untuk menceburi bidang pengangkutan awam. Awal penglibatan sekitar tahun 1995 banyak perkara baru yang harus diterokai namun atas kapasiti ibadah demi Allah SWT segalanya ditempuh dengan sabar. Sehingga berjaya mengecap puncak kerjaya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Express Rail Link (ERL).
Dilahirkan pada 3 Ogos 1957, Noormah Mohd Nor yang berkelulusan perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Association of Chartered Certified Accountants, United Kingdom memulakan karier sebagai Ketua Unit Bahagian Perbankan Korporat di Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB) yang kini dikenali sebagai CIMB Bank selama 11 tahun. Daripada bidang perbankan, kerjayanya kemudian menembusi industri pengangkutan rel.
Berpegang kepada falsafah ‘Work hard, give the best, always do the right thing and never give up’, Noormah mengakui kemerosotan ekonomi pada 1998 adalah cabaran terbesar bagi dirinya. Pernah dikritik khalayak kerana tekad meneruskan pelaksanaan ERL menjadi suntikan semangat buat anak kelahiran Negeri Sembilan ini untuk berbakti kepada kesejahteraan dan pembangunan bersama.
“Untuk memastikan kelestarian jangka panjang, a very good maintenance regime amat penting. Tren kami diimport dari Jerman yang memiliki kualiti dan teknologi terkini. Kami sentiasa memastikan penyelenggaraan tren mengikut jadual dan spesifikasi terperinci.”
Menguruskan lebih 500 pekerja nyata bukan tugas mudah. Ironinya, apabila wanita menjadi tulang belakang dalam sesebuah syarikat akan timbul keraguan terhadap kemampuan diri mereka sebagai pemimpin. Tatkala diaju tentang diskriminasi gender dalam arena pekerjaan, Noormah bersyukur situasi yang diibaratkan itu tidak berlaku kepada dirinya.
Ads
“Saya rasa bertuah sebab di negara kita isu diskriminasi jantina ini kurang dan hampir tiada. Mungkin kerana peredaran masa dan masyarakat kini lebih berfikiran terbuka. Apa pun, sebagai wanita kita perlu bekerja lebih keras daripada lelaki untuk buktikan kita mampu buat lebih baik atau setanding mereka. Jujurnya saya adalah wanita yang sangat kuat bekerja dan saya juga harapkan perkara sama di kalangan pekerja saya. Jenis saya, saya akan pastikan kerja yang dilakukan diterjemahkan dengan baik oleh pekerja secara lebih teliti. Walau tegas tapi hakikatnya saya juga amat mengambil berat tentang kebajikan mereka dan kerja berkumpulan,” terangnya.
Ads
Menginjak usia 60 tahun Noormah tetap menjadikan keluarga sebagai keutamaan. Kelapangan waktu cuti hujung minggu dimanfaatkan dengan aktiviti kekeluargaan sama ada hanya beriadah di rumah mahupun di pusat beli-belah untuk menonton wayang. Dikurniakan 2 anak lelaki dan seorang perempuan yang kini mempunyai kehidupan sendiri tidak mudah bagi Noormah untuk meluangkan masa bersama-sama. “I try to spend time dengan anak-anak misalnya dengan menikmati makan malam bersama atau berjumpa pada setiap hari minggu. Kalau ada masa lebih, kami akan pergi bercuti satu keluarga. Dalam negara pun jadilah. At least 3 ke 4 hari. Melancong ke luar negara pun ada tapi dalam setahun hanya sekali dua saja. Maklumlah, anak-anak dah kerja dan ada yang dah bekeluarga.
Ads
Jika ada kesempatan saya akan pergi bercuti bersama suami. Kami berdua memang suka berjalan tengok negara orang, masyarakat dan budaya di sana. Setiap negara yang dilawati, kami akan ambil perkhidmatan tren. Bukan saja kerana tren satu budaya pengangkutan popular di sana tapi servis mereka juga cekap dan terbaik seperti di negara-negara Eropah, China dan Jepun. Dalam masa sama, saya boleh ambil guna usaha yang mereka lakukan untuk dipraktikkan di sini,” terangnya yang gemar mengunjungi negara bersejarah dan kaya dengan alam semula jadi.
Menyokong pembabitan wanita dalam apa jua industri yang diceburi, Noormah sempat menitipkan kata-kata semangat berikut. “Untuk berjaya dalam apa jua bidang, kita perlu ada visi dan misi hidup. Saya selalu tekankan work hard to earn living tapi tidaklah terlalu sibukkan diri dengan kerja. Keluarga amat penting begitu juga dengan pengurusan masa. Pada saya, semuanya perlu berbalik kepada asas dan ajaran agama. Kita perlu sedar pekerjaan ini juga adalah satu ibadah penting kerana dengan bekerja kita dapat membantu orang lain. Terapkan apa yang dipelajari daripada ajaran Islam itu sebagai landasan kepada alam pekerjaan. Harus amanah, jujur, tawakal dan lakukan tugas sebaiknya serta usah mengalah. Insha Allah, ada berkah di kemudian hari.” SUZIANAABUDAUD
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
dunia sedang menyaksikan bagaimana acuan tradisional tentang orang yang akan mempengaruhi kita sedang diubah. Hari ini, wanita merupakan golongan yang penting dalam membuat keputusan di dunia.
Ungkapan peribahasa tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia sebenarnya ialah satu realiti yang tidak boleh disangkal. Datang dari pelbagai latar belakang, wanita-wanita ini mempunyai naluri yang kuat dan menjadi orang yang berpegaruh di kawasan masing-masing.
Memandangkan sumbangan besar yang dibuat oleh wanita-wanita ini, senarai di bawah ini dianggap sama sekali tidak mengikut tahap pengaruh dan kepentingan mereka:
1. Hillary Rodham Clinton
Belaiu ialah Setiausaha Negara Amerika Syarikat sekarang. Walaupun beliau telah kalah dalam pencalonan sebagai presiden Parti Demokrat pada tahun 2008 kepada Barack Obama, beliau terus menjadi wanita yang paling berpengaruh pada abad ini.
Beliau telah membawa pelbagai inisiatif dan kempen politik termasuk kejayaan program kepimipinan dalam pembaharuan sistem pendidikan di Arkansas. Beliau berkhidmat sebagai Wanita Pertama Amerika Syarikat selama 10 tahun sepanjang suaminya Bill Clinton berkhidmat sebagai Presiden.
Beliau kemudiannya menjadi Senator wanita pertama mewakili New York pada tahun 2000. Beliau dipilih semula ke jawatan yang sama pada tahun 2006. Dalam pilihanraya presiden tahun 2008, beliau memenangi lebih banyak perwakilan berbanding wanita-wnaita lain dalam sejarah Amerika Syarikat.
Walaupun kalah kepada Barack Obama, beliau merupakan bekas Wanita Pertama yang pernah berkhidmat dalam cabinet presiden. Beliau berada di kedudukan yang tinggi sebagai ahli kabinet hari ini dengan sokongan beliau yang padu terhadap pengukuhan hubungan diplomatik, dan kemahiran berpidato yang ketara.
2. Benazir Bhutto
Benazir Bhutto merupakan anak perempuan bekas Perdana Menteri Pakistan, mendiang Zulfiqar Ali Bhutto. Bapanya seorang pemimpin yang diraikan rakyat Pakistan tetapi telah dihukum gantung. Benazir Bhutto mula muncul di arena politik global apabila beliau mengambil alih tampuk parti nasional bapanya (Parti Rakyat Pakistan).
Dalam perjuangan yang berterusan sepanjang hidupnya, beliau telah menganjur dan menggerak sokongan untuk kaumnya dan akhirnya beliau menjadi perempuan pertama untuk menyandang jawatan Perdana Menteri Republik Islam itu sebanyak dua kali.
Dibuang dalam lewat tahun 1990, beliau kembali berjuang di landskap politik Pakistan yang huru-hara untuk menggerak semula rakyat jelata. Walau bagaimanapun, beliau terbunuh dalam serangan pengganas pada tahun 2007 ketika melawat sekumpulan besar penyokongnya di Rawalpindi.
Ini telah menyebabkan kejutan di seluruh alam politik global yang menganggap beliau sebagai seorang ahli politik legenda dan seorang pemimpin yang mengutamakan hubungan diplomatik dan sentiasa berusaha untuk menegakkan demokrasi dan memperkasakan wanita.
3. Sonia Gandhi
Beliau adalah anak kepada Presiden Kongres Kebangsaan India yang merupakan parti politik paling popular di India. Bapanya dilahirkan di Itali. Parti tersebut dipengerusikan selama 55 tahun oleh ahli-ahli keluarga Nehru.
Sonia Gandhi terlibat dalam bidang politik selepas kematian suaminya, mendiang Rajiv Gandhi iaitu bekas Perdana Menteri India. Beliau terkenal dari segi kedudukan dan pengaruh dalam politik India yang merupakan satu pencapaian yang hebat untuk mewakili parti kepada penduduk pelbagai agama dan budaya.
Beliau telah dua kali dicalonkan oleh majalah dunia seperti Forbes dan Times sebagai salah seorang wanita yang paling berpengaruh tahun ini.
4. Condoleezza Rice
Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat ini merupakan seorang profesor, diplomat, penulis dan juga berkhidmat sebagai pakar keselamatan Negara. Peranan beliau di kalangan orang-orang yang berpengaruh dalam bidang membuat dasar amatlah kuat.
Beliau adalah Setiausaha Negara perempuan yang pertama yang berbangsa Afrika-Amerika dan pernah berkhidmat sebagai Penasihat Keselamatan Kebangsaan di bawah pemerintahan George W. Bush.
Penekanan beliau untuk menyokong kerajaan di seluruh dunia yang dipilih secara demokrasi dan usaha untuk keamanan di Timur Tengah, yang dikenali sebagai Dasar Transformasi telah dihalang oleh golongan penyokong kerajaan Amerika di pelbagai kerajaan autoritarian seperti Mesir dan Arab Saudi.
Semasa memegang jawatan sebagai Penasihat Keselamatan Negara kepada Presiden Bush, beliau menerima kritikan ke atas dasar peperangan di Iraq dan Afghanistan. Beliau kini telah kembali ke Universiti Stanford sebagai seorang profesor dalam bidang Sains Politik.
Beliau terus mempengaruhi minda dan dasar-dasar bukan sahaja pelajar tetapi ramai pembuat dasar yang datang dan merujuk kepada beliau mengenai pelbagai isu keselamatan nasional.
5. Oprah Winfrey
Seorang penggerak, mogul media, dan penerbit majalah yang mencapai kemasyhuran melalui program bicarawara Oprah di saluran telivisyen. Memenangi pelbagai anugerah dan beliau membincangkan segala isu dari hal peribadi kepada isu-isu sosial.
Beliau sangat terkenal sebagai individu yang boleh mengajukan kepada orang ramai pelbagai soalan dan pendapat politik dengan cara yang amat berhemah dan bertanggungjawab.
Disenaraikan sebagai salah seorang individu yang berbangsa Afrika-Amerika terkaya dan telah berkali-kali menyandang gelaran individu berbangsa Afrika-Amerika yang paling berpengaruh oleh beberapa sumber. Beliau telah merevolusikan suatu bentuk komunikasi dan pengakuan yang lebih mesra melalui media.
Setelah lebih satu dekad bersiaran, rancangan bicarawaranya masih terus popular dan mempunyai pengaruh yang agak besar melalui aktiviti-aktiviti amalnya dan pengaruh dalam lingkungan politik termasuk berkempen untuk Presiden Barack Obama.
6. Permaisuri Rania dari Jordan
Beliau telah dikurniakan dengan kecantikan dan dikenali sebagai salah seorang wanita yang paling cantik di dunia. Beliau juga menjadi salah seorang wanita paling berpengaruh di dunia Arab.
Sebagai isteri kepada Raja Jordan, Permaisuri Rania adalah seorang aktivis yang mempopular pendidikan untuk semua dan telah terlibat dalam inisiatif untuk memperkasa wanita dan meningkatkan golongan celik huruf.
Usaha-usaha beliau untuk melibatkan diri dengan belia dan menyatukan perjuangan agama Islam dan negara beliau, melalui media seperti saluran YouTube sendiri, telah membuat beliau sangat popular bukan sahaja kepada belia di negara-negara Islam tetapi juga di seluruh dunia. Beliau juga berperanan sebagai ikon fesyen dengan cara tersendiri.
7. Shirin Ebadi
Peguam Iran yang telah dianugerahkan Anugerah Nobel Keamanan untuk meneruskan perjuangan keadilan dan hak asasi manusia di negara itu. Beliau terkenal sebagai salah seorang individu yang sentiasa berjuang menentang Rejim Islam untuk mengekalkan serpihan yang tinggal dalam sistem keadilan di Iran selepas Revolusi 1979.
Dalam buku beliau menulis penglibatan dan perjuangan menentang pihak berkuasa untuk melindungi kanak-kanak dan wanita yang didera, dan penglibatan beliau melawan kes-kes terhadap kerajaan.
Beliau telah berkorban untuk mengenepikan keselamatan peribadinya demi semangat nasionalisme dan ini telah meletakkan beliau di tengah-tengah masa depan Iran seperti yang disebut oleh ramai orang. Beliau memenangi Hadiah Nobel Keamanan sebagai penghargaan.
8. Christiane Amanpour
Kesediaan beliau melaporkan isu-isu dari tempat yang paling berbahaya dan yang paling kontroversi telah melonjakkan Christiane Amanpour untuk menyandang jawatan Ketua Perunding CNN Antarabangsa.
Pujian yang kritikal dan meluas diberi atas ulasan keras beliau terhadap isu politik di Timur Tengah. Analisis kajian semula terhadap proses damai yang dibuat oleh beliau menerima tentangan hebat. Sejak memulakan kerjaya dengan CNN, beliau diiktiraf untuk membuat laporan dari pelbagai zon perang termasuk Bosnia.
Selain itu, beliau juga dilanda kontroversi yang berkaitan dengan wawancara beliau dengan tokoh-tokoh seperti Yasir Arafat dan tokoh politik utama dari negara Iran. Iran merupakan negara asal yang beliau tinggalkan semasa kecil bersama keluarga.
9. Indira Nooyi
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PepsiCo , Indira Nooyi telah memenangi pencalonan yang berulang-ulang dalam senarai Wanita Paling Berkuasa di dunia. Beliau bertanggungjawab untuk menaplikasi kemahiran perniagaan beliau kepada penubuhan jenama seperti Taco Bell dan KFC.
Antara lain, Indira Nooyi telah membawa kepada peningkatan yang ketara dalam margin keuntungan syarikat itu. Merupakan bangsa India asli yang pertama menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat.
10. Cristina Fernandez De Kirchner
Presiden wanita pertama Argentina, Kirchner memimpin dan menguruskan negara itu dengan cara luar biasa dan menarik semasa pergolakan politik dan ekonomi . Beliau berjaya mengurus dan membawa Argentina ke tahap ledakan ekonomi.
Pada masa itu, Argentina mencatat rekod ekonomi yang paling pesat berkembang. Walaupun begitu, kerajaan beliau menerima kritikan tegar kerana tidak menangani isu rasuah dan tidak meguruskan masalah pengangguran dan kemiskinan.
Dia masih terus menjadi seorang tokoh politik dalam liga tersendiri dan telah membuat sumbangan yang patut dipuji dengan dasar awam Argentina.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penampilan supermodel Madeline Stuart di atas pentas runway mencetuskan fenomena dalam industri fesyen. Bukan kerana kecantikannya, tapi kerana keistimewaan Madeline yang merupakan seorang gadis kelainan upaya (OKU) Down Syndrome.
Dengan keistimewaan itu, Madeline, 24 tahun, memecah tradisi sebagai supermodel OKU Down Syndrome pertama memperagakan fesyen di pentas Paris Fashion Week, London Fashion Week, Runway Dubai, Mercedes Benz Fashion Week dan banyak lagi.
Madeline memulakan kerjaya model pada usia 18 tahun (2015) apabila dia menghadiri satu pertunjukan fesyen di Brisbane dengan ibunya, Rosanne Stuart, setahun sebelum itu.
Selepas kehilangan berat badan hampir 20kg, Rosanne membawa anaknya ke sesi penggambaran dan memulakan kempen online untuk mendapatkan sokongan orang ramai terhadap kontrak modelling Madeline. Kempen tersebut berjaya.
Kasih ibu tiada batasan. Rosanne tekad untuk membantu anaknya agar dapat hidup sebaik mungkin. Sewaktu mereka menghadiri fashion parade pada tahun 2014, Madeline tiba-tiba berkata, “Mum me model!”
Luruh hatinya mendengar permintaan Madeline. Tanpa berfikir panjang, dia terus mencari jalan untuk menunaikan hajat si anak, termasuk mengawal diet dan berat badan Madeline, pergi ke gim untuk bersenam dan menari bersama-sama.
Transformasi bentuk badan Madeline akhirnya tular dan mereka berjaya mengumpul 100,000 pengikut dalam satu malam.
Madeline turut melancarkan label fesyennya sendiri, 21 Reasons Why by Madeline Stuart di New York Fashion Week.
Dia juga sering menyokong komuniti kelainan upaya di Australia serta pernah dicalonkan sebagai penerima Young Australian of the Year Award pada tahun 2015, 2016 dan 2017.
Di peringkat antarabangsa, Madeline pernah menerima Quincy Jones Exceptional Advocacy Award daripada Pertubuhan Down Syndrome pada tahun 2018.
Selain itu, Madeline turut menjadi pengasas dan duta persatuan Inside Outside Dance di Brisbane, yang menyokong penglibatan golongan OKU muda untuk menyertai dunia tarian.
“Tiada yang lebih menggembirakan selain apa yang saya perolehi hari ini. Menterjemahkan kepelbagaian dan menunjukkan dunia kita semua sama dan cantik,” tulisnya di Instagram.
Kredit: Instagram @madelinesmodelling_
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mewah, eksklusif serta elegan! Itulah ungkapan paling tepat bagi menggambarkan kelebihan Arzuscarf. Bermula daripada fabrik sehingga kepada stail penggayaan, Arzuscarf tidak sekadar fesyen. Ia turut mendidik golongan wanita untuk menghargai kecantikan serta gaya hidup yang dimiliki.
Arzuscarf yang diperkenalkan pada tahun 1995 sering kali menjadi pilihan golongan profesional dan kenamaan. Tidak hairanlah tudung bertaraf antarabangsa ini dijual pada harga setanding dengan kualitinya.
EKSKLUSIF
Arzu Daud, satu nama penting yang berjaya menjadikan Arzuscarf salah satu jenama terkenal di Malaysia. Mesra disapa sebagai Arzu, wanita kelahiran Turki berusia awal 50-an ini menganggap semua pesaingnya dalam industri hijab sebagai pencetus semangat bagi melakukan yang terbaik.
Arzu sentiasa menampilkan kelainan agar Arzuscarf terus relevan dengan permintaan semasa. Berbekalkan pengalamannya menetap di Malaysia sejak 28 tahun lalu sudah cukup membuatkan Arzu mengenali identiti, budaya serta gaya hidup masyarakat di sini.
“Arzuscarf mementingkan nilai eksklusif dalam rekaan yang menggabungkan fabrik asli berkualiti tinggi. Rekaannya on-trend seiring permintaan semasa. Saya menganggap Arzuscarf berjaya menambat hati masyarakat Malaysia dengan identitinya yang tersendiri.
Saya juga menjaga kualiti fabrik dengan cara tidak menggunakan campuran bahan sintetik dan polyester yang keras kerana kedua-duanya tidak sesuai untuk kulit serta boleh merosakkan. Sebab itulah saya katakan Arzuscaf tidak sekadar fesyen, ia turut mendidik wanita agar menjadi lebih peka.
Setiap rekaan tudung Arzuscarf menggunakan fabrik cotton paling mewah, wool dan sutera. Keadaan iklim di Malaysia akan memberi kelainan saat anda menyarungkan tudung Arzuscarf,” kongsi ibu tunggal kepada seorang anak perempuan bernama Akida.
PERMULAAN
Segalanya bermula sebaik Arzu mengenali seorang lelaki bernama Haji Yusuf yang berasal dari Terengganu. Beliaulah yang mengajar Arzu selok-belok perniagaan. Ketika itu Arzu seorang pensyarah berkelulusan kejuruteraan komputer. Dia juga kerap bercuti ke Malaysia dan mempunyai ramai kenalan di sini di samping turut membantu perniagaan tudung Haji Yusuf.
“Tahun 1999 saya membuka kedai menjual tudung pertama di Masjid Jamek dan sambutannya sangat baik. Setiap hari saya perlu berhadapan dengan bermacam karenah pelanggan serta persaingan. Saya latih diri sendiri untuk belajar dan faham budaya masyarakat Malaysia. Saya banyak belajar daripada pelanggan untuk menjadi peniaga yang baik.
Saya gemar mendekati pelanggan dengan cara mendidik mereka tentang kualiti dan nilai eksklusif. Saya percaya jika sesebuah produk itu berkualiti dan punya nilai eksklusif, pelanggan pasti kembali dan berpotensi untuk menjadi pelanggan tetap. Setiap produk kami dihasilkan di Malaysia termasuklah rekaan coraknya,” jelas Arzu yang kagum dengan kecantikan asli wanita Malaysia.
KEKUATAN
“Saya sentiasa utamakan kehendak pelanggan. Interaksi saya bersama mereka amat penting. Selalunya saya juga akan menasihati mereka seperti pentingnya mempunyai tudung berwarna asas di dalam wardrobe. Selain itu, saya juga membantu para pelanggan untuk suai padan dengan menjadikan mereka sebagai sumber inspirasi.
Banyak perkara yang saya belajar daripada pelanggan dan selalu turun padang untuk mendekati peminat setia Arzuscarf. Ada kalanya saya berkongsi masalah bersama mereka yang mampu menjadi pendengar yang baik,” akhiri Arzu. Butik terbaharu Arzuscarf telah pun dibuka di Indonesia diikuti Dubai tidak lama lagi. Bagi anda yang ingin membeli koleksi Arzuscarf, boleh mengunjungi butik Arzu di KLCC, Pavilion dan Mid Valley. AMYMOHD
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Amna Al Qubaisi mencipta sejarah sebagai pelumba wanita UAE yang memecah dominasi lelaki dalam motorsport, simbol inspirasi, kecantikan dan pemerkasaan wanita moden.