Kagum dengan sikap profesional Dato’ Sri Rossa dan bekas suami yang juga anggota kumpulan Padi, Yoyo. Walau ikatan perkahwinan yang dibina tidak berkekalan namun kedua-duanya masih menjalin hubungan baik.
IKLAN
Apatah lagi mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Rizky Langit Ramadhan yang makin menginjak dewasa.
Pastinya sebagai ibu bapa Rossa dan Yoyo perlu saling bertolak-ansur demi anak tersayang. Biarpun sudah 14 tahun berpisah, penyanyi pujaan negara jiran ini tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap anak.
Sebaliknya mereka boleh duduk bersama dan meraikan hari istimewa anak mereka. Satu contoh yang patut diberikan pujian!
3 Oktober genap 17 tahun usia Rizky. Anak tunggal pelantun lagu Tegar ini semakin kacak dan tinggi lampai serta sangat menyayangi ibunya.
Ramai mengatakan ibu anak ini kelihatan seperti kakak dan adik lebih-lebih lagi apabila Rizky berdiri bersebelahan dengan Rossa.
Penyanyi bersuara lunak Indonesia itu juga sentiasa tampil awet muda dan jelita meskipun dia kini berusia 44 tahun.
Rossa berkahwin dengan Yoyo pada 18 Mac 2004 namun berpisah pada tahun 2009 selepas lima tahun melayari alam rumah tangga. Bersempena ulang tahun kelahiran Rizky baru baru ini, Rossa atau nama penuhnya Sri Rossa Roslaina Handiyani berkongsi foto di samping anak tersayang dengan kapsyen ringkas, “My love.”
IKLAN
Menjengah media sosial bapa Rizky pula, pemuzik berusia 47 tahun ini turut berkongsi momen hari lahir anak. “Selamat tujuh belasan mas RLR. Semoga Allah SWT memberkahi usiamu, Aamiin.”
Anak selebriti popular Indonesia berkenaan turut dilihat menyuapkan kek hari lahir kepada ibu bapa tersayang. Semoga Rizky menjadi anak soleh dan kebanggaan buat kedua-dua ibu bapa.
Masalah menggeletar yang dialami oleh Farah semakin membimbangkan. Segala kerja menjadi sukar buat Farah yang baru mencecah usia 30 tahun. Sehingga ke satu tahap Farah terpaksa bergantung pada belas kasihan keluarga untuk menyuapkan makanan. Setelah melalui beberapa siri pemeriksaan kesihatan, alangkah terkejutnya Farah apabila Dr mengesahkan dirinya menghidap Parkinson. Amat sukar untuk mempercayai bahawa dirinya menderitai Parkinson, tapi itulah realiti yang terpaksa ditanggung gadis muda ini.
Jika dulu penyakit Parkinson dilihat hanya dideritai warga emas, kini statistik terbaru mula merekodkan peningkatan bilangan kes yang mendadak di kalangan generasi muda. Di Malaysia, kira-kira 25,000–30,000 orang telah menghidap Parkinson dan dijangka terus meningkat seiring peningkatan populasi masyarakat berusia. Tidak mustahil jika menjelangnya tahun 2020 nanti, bilangan pesakit Parkinson mencecah kepada 40,000–50,000 orang, sekaligus menjadi beban kesihatan negara yang serius.
Walaupun Parkinson biasa dikaitkan dengan imej orang tua yang terketar-ketar, ramai tidak sedar bahawa penyakit ini sebenarnya menjangkaui usia, bangsa dan jantina. Didapati lebih ramai para pesakit didiagnosis menghidap Parkinson sebelum berusia 40 tahun yang dikenali sebagai Penyakit Parkinson Pada Usia Muda dan kira-kira 5-10% pesakit Parkinson tergolong dalam kategori ini.
KENALI PARKINSON
Penyakit yang ditemui oleh James Parkinson ini merupakan sejenis gangguan kronik pada sistem saraf disebabkan oleh kerosakan sel otak dan sistem motor. Lantaran itu, ia mengakibatkan pengurangan sejenis bahan kimia yang dikenali sebagai dopamin, iaitu neurotransmiter yang menghantar mesej kepada bahagian-bahagian otak yang mengawal pergerakan pesakit. Sehingga kini, hanya 10% dari punca Parkinson datang dari sisi keturunan manakala selebihnya masih tidak diketahui.
SIMPTOM PENYAKIT
Jari, rahang, tangan dan kaki menggeletar
Gerakan leher dan kepala dengan sendirinya
Dyskinesia atau pergerakan tidak normal
Tidak berupaya berjalan
Pertuturan tidak jelas atau dysarthria
Sukar menelan atau dysphagia
KOMPLIKASI
Fizikal
Pesakit biasanya mudah jatuh, berasa pening, ketidakseimbangan posisi tubuh secara tiba-tiba, sembelit, gagal mengawal pundi kenci dan saluran perkumuhan serta dijangkiti kudis tekanan.
Psikiatri
Mengalami masalah emosi seperti kemurungan, keresahan, fungsi otak terjejas seperti kurang daya ingatan, hilang pertimbangan untuk membuat keputusan serta sering membuat tanggapan atau persepsi sendiri. Mereka juga turut akan mengalami masalah sosial seperti hilang kebolehan berdikari, mengasingkan diri dan stres terhadap penjaga.ROSMAH IDAYU ABU SAMAH
Suasana, rekaan serta dekorasi interior ruang yang menggunakan tanaman hijau bukan lagi menjadi sesuatu yang tabu ketika ini. Mengapa tanaman ini berperanan penting dalam dekorasi kediaman?
Berikut manfaat yang dapat diperolehi jika sesebuah kediaman itu meletakkan tanaman segar sebagai salah satu elemen dekorasi.
SEMULA JADI
Sebenarnya, aura semula jadi yang dibawa oleh tanaman mencetuskan suasana segar dalam ruang kediaman. Tanaman sinonim dengan suasana luar namun jika ia turut dijadikan sebahagian daripada elemen dekorasi kediaman maka kesan semula jadi itu akan dirasai. Sesuai buat mereka yang menginginkan hunian dengan konsep natural yang juga serasi dengan suasana iklim tropika.
WANGI
Tidak semua jenis tanaman mempunyai haruman yang menyenangkan. Secara psikologi, ruang yang berbau harum dan menenangkan akan mempengaruhi mood atau perasaan seseorang yang berada di ruang tersebut. Antara tanaman berbau harum ialah lavender, mawar atau rosemary. Boleh letakkan haruman ini ruang tamu atau bilik tidur agar mood serta ambien yang segar melatari segenap hunian.
CANTIK
Selain memberi kesan semula jadi dan haruman menyegarkan, tanaman hijau turut mengindahkan ruang kediaman. Jenis tanaman yang pelbagai mampu menjadikan ruang yang gloomy kelihatan lebih menarik. Boleh meletakkan pelbagai jenis tanaman di dalam satu rak yang sama dengan finishing lukisan yang sesuai. Ruang hunian akan semakin cantik!
UNIK
Tidak semua tanaman mempunyai bentuk daun yang runcing, panjang atau berwarna hijau kerana terdapat beberapa tanaman unik yang boleh digunakan untuk memperindahkan ruang hunian. Contohnya, kaktus dan tanaman terrarium kecil. Dua tanaman ini tampak elegan serta mencetuskan nuansa dekoratif berbeza berbanding meletakkan tanaman berukuran besar. Amy Mohd
‘Why does everything taste better after midnight?’ Kelaparan, barangkali itu jawapan segelintir masyarakat Malaysia yang gemar mengambil makanan berat di tengah malam. Malah lihatlah senario di pelbagai restoran 24 jam, pelanggan yang datang tidak putus-putus memesan menu berkalori tinggi seperti nasi lemak, char kuey teow, roti canai, burger keju serta dimaniskan lagi dengan minuman bergas atau teh tarik. Adakah trend makan lewat malam ini kian dianggap salah satu gaya hidup moden dan sofistikated?
Tewas dengan godaan untuk mengunyah makanan sebelum tidur menyimpan pelbagai petaka terhadap kualiti kesihatan. Kesannya amat serius dan mampu mempengaruhi pelan diet serta kecergasan tubuh seseorang. Ini kerana, sistem gastrousus bekerja mengikut arus graviti, jadi apabila anda berbaring sejurus selepas makan, risiko untuk didatangi penyakit akan meningkat dengan drastik.
Kecelaruan yang dikaitkan dengan tabiat makan lewat malam:
Night Eating Syndrome (NES) yakni orang yang terjaga dari tidur dan terasa keinginan yang luar biasa untuk makan;
Sleep Relating Eating Syndrome iaitu orang yang makan tanpa sedar ketika tidur.
PERUT SEPERTI MESIN BASUH
Tuhan telah menganugerahkan setiap makhluk-Nya sebuah sistem penghadaman yang hebat. Seperti kilang pemprosesan, cebisan makanan akan dipecahkan ke dalam perut untuk dijadikan molekul kecil… sebelum diserap atau disingkirkan dari tubuh. Bayangkan sekeping pizza yang dijamah pada jam 10 malam. Rasanya yang lazat dikunyah penuh nikmat, kemudian ditelan sebelum tiba ke dasar perut. Kini bayangkan pula perut anda seperti sebuah mesin basuh, tetapi bukan dipenuhi air, tetapi asid hidroklorik yang pekat beserta enzim untuk menghancurkan picisan pizza tersebut. Sayangnya belum sempat ia selesai memproses, sejam kemudian anda menutup lampu dan tidur!
Beberapa alasan yang sering digunakan secara sengaja untuk makan ialah tabiat sejak kecil, tertekan, bimbang, kecewa, dirundung masalah dan ketagihan gula. Kini ketahui tiga alasan betapa amalan ini amat berbahaya dan boleh menjejaskan kesihatan anda.
PEDIH ULU HATI
Malam diciptakan untuk tubuh berehat. Namun apabila anda makan malam atau bersnek berat kira-kira sejam sebelum tidur, perut anda masih bekerja keras untuk menghadamkan makanan tersebut. Posisi baring meningkatkan risiko pedih ulu hati kerana ketidakstabilan asid gastrik di dalam perut. Dalam kes yang lebih serius, tekanan asid reflux atau turut dikenali sebagai gastroesophageal reflux disease (GERD) akan naik ke bahagian mulut dan menyebabkan kaviti gigi.
OBESITI
Makan lewat malam juga meningkatkan risiko obesiti kerana kalori tidak sempat dibakar atau diproses secara sihat. Demikianlah tercetusnya kegemukan dan penyimpanan lemak degil di dalam tisu tubuh. Malah selain berisiko untuk menaikkan berat badan, penampilan tubuh anda juga turut terjejas. Bagi wanita, selain timbunan selulit, ukuran pinggul dan peha akan mengembang, disamping tisu-tisu otot mengendur bagi mereka yang sudah berusia. Ia juga meningkatkan paras gula darah bagi pesakit diabetes yang makan makanan berkarbohidrat pada malam sebelumnya.
KESUKARAN TIDUR
Penambahan berat badan bukan satu-satunya kesan buruk kepada kesihatan. Ia juga mengakibatkan insomnia, atau kesukaran tidur hingga mempengaruhi fikiran agar terus bekerja tanpa henti. Pelbagai masalah difikirkan lantas membuatkan jiwa terganggu. Proses penghadaman juga tidak dapat berehat dan tubuh gagal menjalankan tugasnya untuk menyembuhkan kesakitan. Sistem imun anda benar-benar dalam bahaya!
7 CADANGAN,
ATASI TABIAT MAKAN LEWAT MALAM
Makan tiga hidangan seimbang sewaktu siang. Namun sesetengah diet rendah kalori di waktu siang boleh menggalakkan individu makan berlebihan pada waktu malam.
Makan makanan yang membekalkan jumlah kalori harian anda secukupnya sebelum jam 7 petang. Sekiranya selepas jam tersebut anda masih terasa lapar, amalkan snek bernutrien, berserat dan rendah karbohidrat seperti potongan lobak merah, seleri, betik, salad dan epal.
3. Sekiranya didatangi keinginan untuk makan pada waktu malam, minum beberapa gelas air masak atau teh herba bercampur madu.
4. Tetapkan di minda, tubuh anda tidak memerlukan makanan yang berat pada waktu malam. Sentiasa beringat untuk mengekalkan berat badan yang ideal dan kenapa ia amat penting untuk diri anda.
5. Lakukan helah pada diri sendiri. Jika terasa ingin makan, lekas ke bilik air dan berus gigi anda. Ini kerana secara psikologinya, ia mengelak perasaan untuk makan kerana setiap orang gemarkan mulut yang bersih dan segar.
6. Carilah hobi yang digemari untuk mengelakkan anda dari makan di tengah malam. Elakkan menonton televisyen atau membaca majalah yang mengandungi banyak iklan makanan.
7. Makan hidangan sarapan yang mengenyangkan pada waktu pagi. Pastikan anda melatih diri untuk makan pada waktu yang tetap setiap hari.