Sedekah adalah sesuatu yang sangat dituntut dalam agama untuk bekalan di akhirat kelak. Jika tidak mampu mengeluarkan wang ringgit boleh menggunakan tenaga untuk membantu orang. Jika tidak mampu mengeluarkan kudrat cukup hanya senyum. Ya, senyum juga merupakan suatu sedekah.
Gambar hiasan
Rupa-rupanya di sebalik senyuman manis itu tersimpan rahsia yang begitu menarik seperti yang telah dikongsi oleh pelakon cantik YM Tengku Sariza binti Tengku Muzani atau lebih mesra disapa Kuza.
1. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Janganlah kamu meremehkan kebaikan apa pun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah ceria dan senyuman).” -HR Muslim-
2. Senyum merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman yang dapat merangsang seluruh tubuh melalui sistem saraf otak dan juga hormon-hormon.
Gambar hiasan
3. Apabila kita tersenyum, badan turut ‘tersenyum’ dan memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak. Ini sangat bermanfaat dalam mengelakkan tekanan darah yang tinggi ke otak.
Ads
4. Apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi.
Gambar hiasan
5. Senyuman bukan hanya reaksi terhadap sesuatu, malah ia juga terlibat dalam penghasilan endorphin yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu merasa lebih selesa dengan diri sendiri.
6. Ketawa (berperasaan gembira) sebanyak 100 kali dalam tempoh 24 jam mempunyai manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam selama 10 minit. Hal demikian kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar dedupan jantung meningkat. Seterusnya, kedua-dua kadar ini akan turun lebih rendah daripada paras sebelum ketawa.
8. Kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan terdapat dua jenis stres iaitu stres yang baik dan stres yang tidak baik. Senyum dikategorikan sebagai stres yang baik. Stres yang tidak baik akan memberi tekanan kepada sistem ketahanan badan.
Gambar hiasan
9. Apabila kita senyum, sel pembunuh tumor dan virus semula jadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-interferon (protein melawan penyakit), sel T (yang penting untuk sistem pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi untuk melawan penyakit).
10. Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan.
Gambar hiasan
11. Senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan bahan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, arthiris dan ulser.
Ads
12. Senyuman dan ketawa adalah senaman yang baik kerana ia membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan. Ia ibarat urutan terhadap organ-organ dalam abdomen, merangsang kedua belah otak dan meningkatkan daya tumpuan belajar. Ia juga melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi, membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru.
Gambar hiasan
13. Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekali gus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrien dalam badan.
14. Senyum mampu menjadi penawar kepada penyakit rohani yang kronik. Ia juga mampu menyejukkan hati yang sedang marah dan memulakan sebuah ukhwah.
15. Dalam ajaran Islam, senyum mempunyai kedudukan yang setaraf dengan bersedekah. Sabda Rasulullah saw, “Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga adalah sedekah.” -HR Tirmizi dan Abu Dzar-
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Peranan wanita sebagai seorang isteri dan ibu sangat besar serta menuntut pengorbanan yang tinggi. Hakikatnya, suri rumah sepenuh masa mahupun yang bekerjaya kedua-duanya bekerja. Tak sewajarnya mereka ini dibandingkan, mana yang lebih stres atau banyak kerja, mana lagi mencabar dan sebagainya. Kedua-duanya berat dan ada ujian tersendiri.
Bagi para wanita yang bergelar suri rumah sepenuh masa, boleh jadikan kisah Mona Meija ini sebagai inspirasi.
Nama Mona Mejia, wanita berusia 44 tahun ini yang menetap di Houston, Amerika Syarikat trending apabila tahun lalu dia berjaya meraih keuntungan jualan jutaan ringgit hanya dengan menjual koleksi terpakai.
Bergelar suri rumahtangga sepenuh masa memberi kelebihan kepada Mona Mejia untuk melakukan bisnes kecil-kecilannya itu sambil menjaga tiga cahaya mata. Niat asal hanya untuk membantu suami mencari ‘duit poket’ lebih. Apatah lagi, dia seorang yang tak boleh duduk diam, ada saja yang dilakukan demi menjana ekonomi keluarga.
Kisah Mona Mejia ini turut menjadi perhatian portal bisnes terkemuka, Business Insider. Menurut laporan Business Insider, Mona Mejia mula berjualan secara kecil-kecilan sekitar tahun 2015.
Bijak memanfaatkan media sosial seperti Instagram, Facebook, TikTok termasuk Live, Mona Mejia berjaya menjual koleksi baju terpakainya dan meraih keuntungan lebih RM3 juta! Wow, macam tak percaya tapi itulah realitinya. Kerja keras, kesungguhan dan minat itulah kunci kejayaan Mona Mejia sekaligus menjadi inspirasi wanita-wanita di luar sana.
Lebih membanggakan, ketika memulakan bisnes itu dia tidak pernah mengeluarkan sebarang modal (dollar). Sebaliknya, kerajinan Mona Mejia mempromosikan pakaian terpakai yang ada di dalam almarinya telah membuahkan hasil yang luar biasa.
Memetik portal Business Insider, keuntungan dari jualan itu Mona Mejia jadikannya sebagai modal pusingan. Dia turut membeli beberapa inventori tambahan serta menjualnya semula pada harga mampu milik.
DETIK PALING SUKAR
2015 merupakan tahun paling mencabar bagi Mona Mejia kerana dilanda masalah ekonomi keluarga. Sehinggalah dia diperkenalkan oleh kakaknya dengan platform preloved Poshmark, dia meneruskan jualan. Hasil jualan sangat pantas lalu Mona Mejia menambah lebih banyak item. Dengan keuntungan yang diperolehi dapatlah dia membantu menampung ekonomi keluarga.
Dua tahun berikutnya dia sekali lagi diuji apabila suaminya tidak dapat bekerja selepas menjalani pembedahan jantung. Hilang punca pendapatan keluarga utama. Namun, Mona Mejia seorang isteri yang setia. Dia tidak meratap sebaliknya bekerja lebih keras dengan meningkatkan jualan dan mempelbagaikan item di platform lain. Jualan akhirnya mencecah ribuan ringgit dalam masa seminggu.
Setelah bisnesnya makin berkembang, Mona Mejia kini tidak lagi menghadkan jualannya dengan koleksi peribadi. Dia mempelbagaikan item seperti kasut, aksesori, barangan kemas dan alat elektrik di jualan-julan gudang dan lelongan. Sebagai contoh, harga barangan berjenama yang serendah RM70 dia mampu menjualnya pada harga setinggi RM6,430.
Melihat kesungguhan isteri, sang suami turut membantu dan menjadi tulang belakang utama. Hasil keuntungan yang luar bias aitu, mereka kini mampu memiliki rumah sendiri serta menanggung pengajian kolej anak-anak.
Semoga kisah ini menjadi inspirasi buat semua wanita, tidak kiralah yang bergelar suri rumahtangga sepenuh masa atau bekerja. Apa yang penting minat dan usaha untuk sama-sama membantu menjana ekonomi keluarga. Percayalah, rezeki tak salah alamat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Naluri seorang ibu, walau sibuk dan letih macam mana pun tetap mahukan yang terbaik untuk anak. Dek kerana tidak sanggup berjauhan dan melihat si kecil merengek sedih, ada di kalangan para ibu nekad membawa anak ke pejabat. Lebih-lebih lagi jika mereka masih menyusu badan. Memang satu cabaran besar buat ibu berkerjaya.
KEHADIRAN MATEEN
Seperti kebanyakan ibu lain, Ameera Zaini turut tidak terkecuali berdepan situasi sama. Terang ibu cantik berusia 28 tahun ini, dia dan suami ambil keputusan untuk menjaga Mateen bersama-sama tanpa pertolongan pengasuh.
“Memandangkan Mateen menyusu badan dan tak mahu botol susu, Meera membawa dia ke mana saja. Baik ke pejabat atau pun set penggambaran. Memang letih sebab Meera kena atur betul-betul masa menyusukan Mateen supaya tak ganggu proses penggambaran, mesyuarat dan sebagainya.
Pernah juga Meera bawa Mateen masuk dalam bilik mesyuarat kerana dia tak mahu berenggang dengan Meera. Baru-baru ini pun Meera ke kilang kain sambil dukung Mateen. Ini pengalaman yang sangat berharga dan setiap detik itu Meera hargai sangat-sangat.”
Masih terbayang kesakitan melahirkan Mateen pada 17 Januari yang lalu, Meera dan suami tidak menyangka rezeki untuk menimang cahaya mata hadir dengan cepat disebabkan masalah kesihatan yang dialami Meera waktu itu. “Masa lahirkan Mateen, Meera mengalami contraction selama 20 jam. Tanpa epidural, sepanjang 20 jam itu Meera menahan kesakitan tapi bukaan masih lagi tak cukup. Sakitnya, ya Allah memang menginsafkan!
Baru tahu sakit susahnya nak lahirkan anak. Separuh nyawa dah rasanya sehinggalah Meera dan bayi dalam perut semakin lemah serta perlu dibedah segera. Akhirnya, pada 17/1/17 lahirlah Mateen dengan berat 3.7kg, ” terang Pengasas Fesyen Muslimah Ameera Zaini (AZ) ini.
EMPAYAR AMEERA ZAINI
Mula membina empayar AZ pada tahun 2013 bersama Hasnor yang ketika itu tunangnya, graduan Ijazah Sarjana Muda Farmasi ini kian serius melibatkan diri dalam bidang perniagaan ketika mengacarakan program Hijab Stailista.
“Alhamdulillah, sudah lebih dari 30 design telah dipasarkan tapi buat masa ini AZ dikenali dengan tudung printed dan kami sudah ada lebih kurang 12 rekaan bercorak. AZ juga telah keluarkan clothing line sendiri yang dipasarkan mengikut musim perayaan. Koleksi AZ Basics juga ada dijual di butik AZ di Seksyen 7, Shah Alam.
Tugas suami lebih kepada urusan marketing dan Meera pula bahagian rekaan serta production. Walaupun bekerja bawah satu bumbung tapi tugas kami berbeza-beza. Tipulah kalau tak ada pencanggahan pendapat. Tapi sejujurnya, saya bersyukur rezeki bekerjasama dengan suami sendiri.
Ramai ingat apabila bekerja sendiri bersama mesti ada banyak masa terluang tapi sebenarnya kami makin sibuk. Tambahan pula Meera masih lagi terlibat dalam pengacaraan jadi Meera mengharapkan suami untuk mengetuai syarikat kami.”
Bukan mudah hendak hidup senang dan berjaya. Yang pasti, ia melibatkan banyak pengorbanan dalam segenap hal. Segala-galanya terletak dalam tangan kita sendiri sama ada ingin terus di takuk lama atau melangkah lebih jauh. Moga perniagaan yang diusahakan Meera dan Hasnor terus sukses dan menjadi inspirasi kepada wanita juga pasangan suami isteri di luar sana.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tekad yang tinggi, semangat berani dan sedikit tuah. Itulah Profesor Toh Chooi Gait, Profesor Pergigian Restoratif Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Kuala Lumpur, yang berhasil mencapai ikhtisar (resume) yang mengagumkan. Bagi beliau ia satu kebanggaan tidak ternilai yang menjadikannya orang yang tetap merendah diri. Pada Hari Wanita Sedunia kali ini, kami berbicara dengan beliau mengenai perjalanannya yang penuh inspirasi, yang dilakukan kerana beliau sukakannya.
Masa untuk keraian. Majlis separa rasmi yang dihadiri tetamu dari seluruh dunia penerima pelbagai anugerah. Antaranya, Profesor Toh Chooi Gait yang diraikan. Beliau bangga dan bersyukur atas pengiktirafan yang diberikan kepadanya iaitu Pingat Antarabangsa Fakulti Pembedahan Pergigian 2022 oleh Kolej DiRaja Pakar Bedah Edinburgh (RCSEd). Sebagai seorang felo pergigian luar negara, ia adalah satu pengiktirafan kepada sumbangan penting beliau kepada Fakulti Pergigian, kolej dan bidang pergigian secara keseluruhan.
Dikenali sebagai seorang yang ikhlas dan baik budi, maka tidak hairanlah apabila para hadirin diminta oleh Profesor Toh untuk berdiri bersamanya, lalu beliau membalas tepuk sanjungan mereka ke arah kamera siaran langsung, semasa beliau menyampaikan ucapan penerimaan pingat. “Untuk pencapaian ini, kami berterima kasih kepada semua yang menyumbang kepada kemajuan peribadi dan profesional kami. Terima kasih juga kepada ahli keluarga atas kasih-sayang dan sokongan mereka.” Tepukan sanjung para hadirin bergema kuat dan berlarutan panjang di seluruh dewan, sama-sama berkongsi sentimen beliau.
Itulah saat yang tidak akan beliau lupakan, yang ternyata jauh berbeza daripada ketika perjalanan kerjaya beliau baru bermula.
Permulaan yang belum pasti
Sebagai seorang pelajar muda, Profesor Toh sentiasa cemerlang dalam pelajaran. Matlamatnya adalah menjadi seorang doktor. Walau bagaimanapun, pada tahun peperiksaan yang akan menentukan kemasukannya ke universiti, situasi peribadi menyebabkan prestasinya merosot. Namun, beliau tetap memohon tempat di Universiti Singapura (sekarang Universiti Nasional Singapura) dalam bidang perubatan. Beliau turut meletakkan jurusan pergigian, kejuruteraan dan perakaunan masing-masing sebagai pilihan kedua, ketiga dan keempat.
Tawaran pertama yang diterima beliau adalah jurusan perakaunan. Beliau melepaskan tawaran itu. Selepas itu, beliau ditawarkan tempat dalam jurusan kejuruteraan di Singapura. Sambil ketawa beliau berkata, “Saya mahu menolak tawaran itu juga!”, tetapi abang yang mendanai pengajian beliau menasihatinya untuk menerima tawaran tersebut. Profesor Toh menerima takdirnya dan hadir untuk memulakan pengajian kejuruteraan di Universiti Singapura.
Itulah titik perubahan dalam hidupnya. Beliau bertuah kerana ada pelajar yang berhenti daripada kursus pergigian pada saat-saat akhir dan itu membuka ruang untuknya. Walaupun bukan pilihan pertama iaitu perubatan, ia tetap lebih dekat dengan minatnya berbanding bidang kejuruteraan.
Tidaklah mudah baginya menerima jurusan itu, tetapi semakin beliau mempelajarinya, semakin terpesona beliau akannya. Beliau mendapat keputusan cemerlang setiap tahun dan menamatkan pengajian dengan kepujian. Profesor Toh merupakan seorang daripada 10 orang pelajar yang berjaya mencapainya sehinggakan dekan fakulti mengajak beliau menyertai universiti sebagai ahli fakulti, tetapi sekali lagi beliau menolak tawaran itu. “Nampak sangat saya memang pandai menolak tawaran,” dia bergurau.
Sebenarnya, Profesor Toh adalah seorang wanita yang tahu apa yang beliau mahukan. Pertamanya, beliau mahu bekerja di Kuala Lumpur kerana pasangannya yang kini adalah suaminya, akan berada di kotaraya itu. Kedua, beliau sedar bahawa dunia akademia adalah langkah seterusnya dalam perjalanan hidupnya kerana beliau memang mahu menjadi seorang pakar. Oleh itu beliau memerlukan latihan pasca-siswazah. “Saya tiada wang untuk meneruskan pengajian selepas mendapat ijazah tetapi saya tahu apabila berada dalam akademia, seseorang itu akan dihantar membuat latihan kepakaran,” ujar beliau jujur.
Kerana itulah Profesor Toh menyertai Fakulti Pergigian Universiti Malaya, yang merupakan fakulti pergigian pertama dalam negara. Pada tahun 1974 itu juga merupakan pertama kalinya kerajaan memansuhkan syarat perkhidmatan wajib kerajaan kepada graduan baru bidang pergigian. Beliau turut mencipta sejarah sebagai pembantu pensyarah termuda yang dilantik menyertai Universiti Malaya.
Tidak lama selepas itu, Profesor Toh terbaca iklan tawaran biasiswa Komanwel. Beliau memohon dan berjaya mendapatkan biasiswa berkenaan untuk melanjutkan pengajian pasca-siswazah di Institut Pergigian Eastman di Kolej Universiti London. “Sepanjang hidup saya ini perjalanannya bersahaja dan sudah tertulis. Saya memperolehi semua pengalaman indah yang tidak dapat dilupakan ini. Barangkali saya dilahirkan begitu bertuah atau sebenarnya ada penjaga pari-pari yang melindungi saya,” ujar beliau.
Tidak rugi apa-apa pun, malah mendapat lebih banyak lagi
Eastman adalah sebuah pusat rujukan bagi kes-kes rumit dan sukar. Peluang berada di situ adalah pendedahan tidak ternilai buat Profesor Toh. “Latihan pasca-siswazah sangat penting. Ia membuka minda. Ia mengajar kita untuk berfikir secara lateral dan mencari penyelesaian.” Selepas menamatkan program sarjana dan memperolehi kelayakan fellowship dari Kolej Pakar Perubatan dan Pakar Bedah DiRaja Glasgow dalam tempoh sembilan bulan sahaja, Profesor Toh mendapati beliau masih mempunyai masa di bawah program biasiswanya sebelum boleh pulang ke tanah air. Beliau ada terfikir untuk menduduki peperiksaan kelayakan fellowship dari Kolej DiRaja Pakar Bedah England, tetapi seorang rakan sekerja mencadangkan beliau untuk menduduki peperiksaan bagi mendapatkan Diploma Pergigian Restoratif yang baru sahaja dilancarkan Kolej DiRaja Pakar Bedah Edinburgh.
Dalam kumpulan pertama 11 pelajar, beliau mendapati hanya seorang sahaja yang lulus peperiksaan tersebut. Malah ketua jabatan pelajar itu sendiri agak skeptis dengan pencapaian tersebut. Namun, Profesor Toh nekad. “Ia satu kelayakan tambahan. Saya tak rugi apa-apa pun,” fikirnya pada waktu itu. Ternyata ia adalah peperiksaan yang paling susah pernah beliau duduki, tetapi akhirnya bersama lima orang lagi calon, beliau lulus peperiksaan itu! “Ada juga beberapa orang pensyarah kanan dari universiti lain. Salah seorang daripada mereka bahkan membawa alatan sendiri dengan segala peralatan terkini untuk digunakan semasa peperiksaan. Saya pula terpaksa menyewa peralatan!” katanya sambil tertawa.
Selepas menamatkan pengajian di UK, Profesor Toh kembali ke Universiti Malaya dan mendedikasikan 30 tahun seterusnya memperluaskan keupayaan jabatan sambil terus menjadi sosok proaktif dalam memperkembangkan bidang pergigian di Malaysia. Dalam tahun-tahun itu, beliau tidak pernah duduk diam dan sentiasa memacu ke hadapan. Antara pencapaian beliau termasuklah menjadi Presiden pengasas Persatuan Penyelidikan Pergigian Antarabangsa (IADR) Seksyen Malaysia; Presiden Persatuan Pendidikan Pergigian Asia Tenggara (SEAADE); Ahli Majlis pengasas Akademi Pergigian Estetik Malaysia; Pengerusi Jawatankuasa Peperiksaan Kelayakan Profesional Majlis Pergigian Malaysia (MDC); selain bertindak sebagai penyemak jurnal-jurnal tempatan dan antarabangsa.
Enggan Bersara
Pada tahun 2007, ketika orang lain memilih untuk bersara atau sekurang-kurangnya kekal dalam zon selesa masing-masing, Profesor Toh pula menerima panggilan dari IMU yang mempelawa beliau untuk menubuhkan fakulti pergigiannya. Fikirnya, “Ini sesuatu yang menarik. Saya boleh buat apa yang saya mahu buat selama ini tetapi dilihat terlalu pelik di universiti awam!”
Namun begitu, ia adalah satu cabaran. Beliau perlu meyakinkan ahli-ahli kanan dan rakan-rakan kongsi fakulti untuk menyokongnya dalam beberapa idea inovatif yang belum teruji dan dicuba sebelum ini. “Malahan ketika saya merangka kurikulum, rakan kongsi fakulti menyuarakan kesangsian mereka,” ujarnya. Mereka merasakan terlalu banyak perkara di dalam kurikulum tersebut yang boleh menghalang pembelajaran. Tetapi Profesor Toh meyakinkan mereka bahawa, “Ini tidaklah terlalu banyak. Inilah cara untuk membuat mereka belajar.”
“Saya beruntung kerana mempunyai kakitangan yang menghargai arah tujuan saya. Saya bawa mereka keluar dari zon selesa dengan idea-idea baharu, konsep baharu dan cara baharu melakukan kerja,” katanya. Kaedah beliau menyaksikan bilik-bilik kuliah berubah menjadi sebuah platform yang lebih berinteraktif di mana para pelajar meninggalkan tugasan poster dan menyampaikan maklumat dalam bentuk rancangan bual bicara televisyen dan dokumentari dengan mengambil kira audiens, platform media dan mesej yang mahu disampaikan.
“Kita perlu memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mahu belajar dan mengekalkan ilmu tersebut. Jika anda menjadikan maklumat itu kekal relevan dan menarik, orang akan mengingatinya sepanjang hidup mereka. Ia adalah tentang mengubah pengalaman pembelajaran anda,” katanya.
Perubahan adalah sesuatu yang dekat di hati Profesor Toh. Baginya, perubahan adalah kunci kepada kemajuan. “Tetapi ia perlulah dilakukan atas sebab-sebab yang betul, bukan kerana mengikut trend. Perubahan perlu membawa kepada kemajuan dan meningkatkan kualiti pendidikan, kehidupan atau penjagaan kesihatan,” tambah beliau.
Wanita yang Disegani
Profesor Toh sendiri merupakan seorang pemangkin perubahan dan wanita teladan yang memecahkan pelbagai jenis halangan. Tema Hari Wanita Sedunia tahun ini iaitu ‘Merangkul Kesamarataan’, begitu seiring dengan falsafah peribadi dan perjalanan kerjaya beliau.
Beliau teringat satu peristiwa pada tahun 90-an ketika dijemput untuk berucap di Korea Selatan sebagai bakal Presiden IADR Divisyen Asia Tenggara. “Mereka tidak menyangka saya seorang wanita!” katanya. Menurut Profesor Toh, kumpulan professor yang kebanyakannya lelaki itu tidak tahu bagaimana mahu berurusan dengannya dan terpaksa menghantar kakitangan lebih muda untuk berjumpa beliau. “Orang-orang muda pula datang berjumpa saya lalu memberitahu saya adalah inspirasi mereka iaitu seorang wanita boleh memegang jawatan yang berpangkat tinggi,” sambung beliau.
Peristiwa itu sudah lama berlalu tetapi Profesor Toh berkata masih belum ramai wanita yang menjadi pemimpin. “Ramai, bahkan orang perempuan pun, masih lebih suka berketuakan orang lelaki kerana mereka merasakan lebih mudah bekerja dengan bos lelaki dan kurang cerewet. Bagaimana wanita boleh bangkit jika wanita sendiri tidak menghargai dan membantu sesama sendiri?” tanya beliau.
Profesor Toh berkata pola pemikiran wanita perlu diubah, malah stereotaip dan stigma mengenai peranan wanita dan lelaki perlu dihentikan. “Kita perlu membebaskan minda. Saya sentiasa mahu menggalakkan wanita dan memberikan keyakinan kepada mereka. Wanita tahu mereka boleh bekerja keras, tetapi mereka lebih suka bekerja di belakang tabir dan tidak mahu tampil ke hadapan.”
Permata yang bersinar
Bagi Profesor Toh, beliau tidak gentar untuk melangkah maju. Walaupun senarai pencapaian cemerlang sudah berada dalam genggaman, beliau terus memikirkan bagaimana beliau boleh memberi sumbangan kepada masa hadapan pergigian.
Kini, beliau sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat luar untuk membina sebuah sistem sokongan keputusan klinikal berkomputer sepenuhnya, selain komitmen dengan IMU. Sistem tersebut akan memberi panduan kepada doktor gigi melalui soalan-soalan dan menghasilkan diagnosis beserta pilihan rawatan berdasarkan bukti dan pelan rawatan berurutan. Ia juga akan memberikan maklumat mengenai bagaimana hendak berkomunikasi dengan pesakit supaya pesakit boleh membuat keputusan bermaklumat. “Saya fikir ia sangat berguna kepada doktor gigi muda atau yang kurang pengalaman,” katanya.
Profesor Toh juga masih terus memperkenalkan falsafah pembelajaran baharu di IMU bersama-sama rakan sekerja beliau yang lain. Antaranya adalah pembelajaran berdasarkan cabaran di mana pelajar bekerja untuk menyelesaikan situasi kehidupan sebenar dalam masyarakat. Menjadi harapan beliau untuk melihat IMU menjadi sebuah universiti masyarakat di mana orang ramai dapat melihat institusi itu sebagai sebahagian daripada keseluruhan ekosistem. Berikut adalah kata-kata beliau: “Masyarakat menyumbang kepada universiti dan universiti menyumbang kepada mereka. Kita adalah rakan kongsi sebenar.”
Sesiapa pun yang mendengar kisah hidupnya sukar untuk tidak terpesona dengan sikap optimis dan proaktif Profesor Toh. Entah apa lagi yang akan beliau lakukan selepas ini, tetapi jika ditanya apakah rahsia kejayaan kerjayanya yang begitu bermakna dan produktif itu, beliau tidak akan katakan yang ia disebabkan kecekalan dan pandangan positifnya. Beliau juga tidak akan mengaitkannya dengan kecerdasan dan kemahirannya. Profesor Toh akan memberitahu anda: “Berkahwinlah dengan pasangan yang betul. Sokongan yang akan anda dapat dari orang sekeliling anda yang akan membawa anda pergi jauh ke hadapan,” ujar beliau.
Itulah Profesor Toh. Seorang wanita baik budi yang sentiasa merendah diri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Puan Sri Datin Seri Normala Samsudin menyambut ulang tahun kelahiran ke-62 dengan ucapan penuh kasih daripada anak kesayangannya, Dr Ruhila. Titipan menyentuh hati itu mengundang perhatian ramai dan mencerminkan hubungan erat antara ibu dan anak.