Setiap orang rezekinya berbeza-beza. Ada yang nak mula bisnes dengan modal beribu-ribu, ada juga yang berjuta-juta. Lain ceritanya dengan pengasas tudung bawal anti-kedut jenama Fareha by Cik Fa. Berbekalkan modal yang kecil, dia kini sedang berbicara tentang hasil yang berkali-kali ganda!

2 JUTA Tudung FAREHA Penuhi Permintaan PEMINAT BAWAL ANTI KEDUT, FAREHA BY CIK FA Semakin Menjadi-jadi!

IKLAN

 

Nurul Fareha Anuar, 31 tahun kini sudah bergelar usahawan hanya dengan modal RM500. Terdorong untuk membawa perubahan kepada kehidupan yang lebih baik, Fareha atau mesra dengan sapaan Cik Fa nekad berhenti kerja makan gaji untuk meneruskan niat mencari rezeki dalam perniagaan.

 

“Fareha by Cik Fa sudah bertapak dalam pasaran sejak tahun 2016 lagi. Bukan tidak bersyukur dengan rezeki hasil bekerja makan gaji tetapi saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik untuk keluarga. Tiga bulan saya menganggur dan tunang, Mohd Yusri yang kini menjadi suami saya menjadi penyokong kuat dari segi mental dan kewangan.

 

Dalam masa tiga bulan, saya juga pernah menjual kosmetik tetapi tak berjaya. Terinspirasi daripada kawan baik sendiri yang berniaga tudung, akhirnya saya mengambil peluang untuk cuba menjual tudung juga. Duit simpanan sebanyak RM500 digunakan untuk membeli 40 helai tudung dan Alhamdulillah laku keras!

 

Permulaan jualan, saya hanya menggunakan sosial media sebagai medan mempromosi tudung. Lepas ambil gambar, saya up di Facebook. Selepas tiga bulan, saya mula mencari dropship dan ejen kerana tak menang tangan mengambil pesanan dan menguruskan pos. Tak lama selepas itu, saya cuba mencari kelainan dalam produk. Maka lahirlah Fareha,” ujar Cik Fa.

 

BAWAL ANTI KEDUT

Menurut Cik Fa, sewaktu memulakan perniagaan dia langsung tidak mempunyai ilmu berniaga. Mujur suaminya ada di sisi untuk membantu dalam pengurusan kewangan dan perniagaan.

 

“Selama ini, Fareha by Cik Fa di ‘ampuh’ kuat suami saya. Dialah yang rajin menimba ilmu dan memberi idea serta ‘menolak’ Fa untuk membuat sesuatu keputusan dalam perniagaan. Fareha sangat istimewa kerana setiap rekaan corak yang dihasilkan adalah custom made. Kami mempunyai dua orang pereka dan mereka bebas untuk menghasilkan corak.

 

Tetapi, dalam pilihan corak diberi, saya akan membuat pilihan yang paling digemari pembeli. Memilih material untuk rudung bawal ini juga memerlukan ketelitian kerana jenama Fareha berpegang kepada moto kami iaitu ‘bawal anti kedut’, mudah digayakan dan sesuai untuk dibawa ketika travel. Harga bagi setiap helaian tudung juga sangat berpatutan dan mampu milik,” katanya.

 

IKLAN

Menurut Cik Fa, perjalanan businesnya ini turut dilalui bersama ejen dan dropship. Mereka juga yang turut sama menaikkan nama Fareha sehingga dikenali. “Di Fareha, kami juga mempunyai sistem stokis, ejen dan dropship. Setiap dropship misalnya akan mendapat keuntungan sebanyak RM5 melalui setiap helaian yang dijual. Mereka juga diberikan bahan pemasaran untuk disebarkan di media sosial dan tidak perlu menyimpan stok.

 

Manakala stokis pula boleh mencapai keuntungan sehingga 50 peratus untuk setiap helaian. Dan tentutnya, stokis mendapat keuntungan 70% tetapi memerlukan modal sebanyak lebih kurang RM50,000. Hanya 13 orang stokis sahaja yang kami terima kerana mereka perlu bermula dari dropship terlebih dahulu.

Apabila anda bersama Fareha, semuanya akan mendapat penghargaan termasuk dropship kerana bagi saya, semua yang bersama-sama saya menjalankan perniagaan adalah penggerak utama Fareha. Rezeki kita kongsi bersama.” Katanya lagi.

 

PENANGAN COVID-19

IKLAN

Bercerita soal cabaran, Cik Fa akui ada perkara yang pernah ‘menjentik’ perniagaan namun masih dalam keadaan terkawal. “Pernah juga kami mengalami kerugian dek kerana material kain yang diharapkan tidak sama denga napa yang diterima. Dan ada juga pesaing-pesaing yang cuba ‘mencuri’ designer Fareha tetapi Alhamdulillah cabaran itu dapat diatasi dengan baik.

 

Ketika penularan wabak Covid-19 Mac lalu, saya rasa sangat risau kerana kami sudahpun mempunyai koleksi tudung untuk dilancarkan sempena hari raya. Saya dan suami berselisih faham kerana pesanan sudah dibuat seawal Oktober 2019 lagi. Saya bimbang andainya tudung tak laku dijual.

 

Tetapi keputusan yang suami ‘paksa’ saya teruskan iaitu membuat tempahan awal akhirnya membuahkan hasil. Sales ketika wabak menular menjadi sehingga dua kali ganda! Saya bersyukur sangat kerana stok sudah awal-awal lagi berada di tangan kami. Hanya tunggu untuk dijual. Semua sold out!”katanya lagi.

 

Sempat meninggalkan pesan buat para wanita, Cik Fa menegaskan wanita perlu independent. “Sebagai wanita, kita jangan terlalu bergantung pada suami. Mulakan perniagaan dengan modal yang ada dalam tangan. Kalau sikit, sikitlah. Usaha adalah kunci untuk dapat ekstra. Andai kita naik terlalu mudah, maka kita juga akan jatuh dengan mudah. Potensi untuk jatuh sangat tinggi.”katanya mengakhir perbualan.

 

 

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI