Dari raut wajahnya jelas terserlah sisi kelembutan dan sifat keibuan yang menebal dalam diri Umi Salbiah Abdul Rahman, isteri kepada pelakon Zulkifli Ismail. Bersandarkan status sebagai suri hati aktor ternama pastinya dia juga tidak terkecuali daripada tempias dunia glamor dan menjadi perhatian khalayak.
Pun begitu, Umi Salbiah selesa hidup bersederhana di samping keluarga tersayang.
Zulkifli Ismail & Umi Salbiah Rai Anniversary Ke-34
Tanggal 23 Februari lalu merupakan tarikh ulang tahun perkahwinan ke-34 pasangan romantis ini. Ternyata bukan mudah melayari alam rumah tangga selama lebih 30 tahun. Banyak pengorbanan dan suka duka harus ditempuh demi menjaga keharmonian rumah tangga.
Meninjau media sosial pelakon lelaki veteran tersebut, Zulkifli yang disifatkan seorang suami penyayang dan mengingati setiap tarikh bermakna isteri serta anak-anak menitipkan ucapan bermakna buat wanita kesayangannya itu.
“Alhamdulillah. Hari ini (23/2/2025), genap 34 tahun usia perkahwinan kami. Terima kasih isteriku, Umi Salbiah Abdul Rahman. Terima kasih atas segala-galanya.”
Ads
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 23 Februari 1991. Hasil perkongsian hidup selama 34 tahun, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Dr Zulfati Izazi dan Zulzarif Irfan.
Pada hari sama meraikan sambutan ulang tahun perkahwinan Umi dan Zulkifli, anak sulung Dr Zulfati dan suami, Prof Dr Md Yushalify turut mengadakan majlis hari lahir pertama permata hati mereka yang juga cucu, Zayn Yashfy.
Ads
Kelihatan keluarga bahagia ini mengenakan persalinan sedondon rona coklat dan putih.
Kongsi pensyarah di National University of Singapore ini, “We also celebrated Tokpa and Nekma’s anniversary on the same day. 34 years and counting!
At this age life gets so busy, and times with loved ones don’t come as often as we’d like. I’m thankful for moments like this.”
Ads
Isteri Zulkifli Ismail Bersara Kerjaya Pendidik
Difahamkan, ratu hati Zulkifli Ismail berkenaan baru bersara daripada kerjaya sebagai pendidik pada 13 Disember 2024. Umi Salbiah tampil anggun dalam persalinan Minangkabau pada hari persaraannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Rinching.
Sebagai suami, Zulkifli bangga dengan pencapaian dan jasa isteri tercinta dalam mendidik anak bangsa.
“Setelah berkhidmat selama 34 tahun dan menabur bakti di beberapa buah sekolah, isteri saya bersara pilihan.
Terima kasih pihak SMK Bandar Rinching yang telah menganjurkan majlis persaraan yang pasti akan menjadi kenangan sepanjang hayat. Selamat Bersara Cikgu Umi Salbiah Abdul Rahman.”
Moga ikatan suci pasangan ini diberkati Allah SWT dan kekal bahagia hingga ke syurga.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tidak dinafikan sekarang ini ramai yang bertemu jodoh melaui media sosial. Namun, perlu sentiasa berhati-hati agar tidak mudah terpedaya.
Bagi pasangan dari Indonesia dan Turki ini, media sosial menjadi asbab mereka mula saling mengenali. Lala dan Bilal mendirikan rumahtangga sebelum berlakunya wabak COVID-19 dan kini bahagia menjalani kehidupan sebagai suami isteri di Turki.
Sebelum berkahwin pasangan ini terpaksa menempuh cabaran hubungan jarak jauh. Menyingkap perkenalan awal mereka, Bilal yang ketika itu berada di Turki berkenalan dengan Lala melalui media sosial. Saat itu, Bilal yang memulakan langkah terlebih dulu untuk berkenalan.
Dengan yakinnya, Bilal menghantar mesej melalui Direct Message (DM) kepada Lala. Tanpa diduga, profil Bilal berjaya menarik perhatian Lala.
Dipetik dari vlog di saluran YouTube Bi Love La “Dia memberi salam di DM kemudian saya membuka profilnya. Saya tertarik sedikit kerana dia meletakkan gambarnya bermain gitar. Kebetulan saya mempunyai seorang adik lelaki yang sangat suka bermain gitar. Saya memang suka orang yang pandai bermain muzik,” ujar Lala.
Suatu hari, Lala bercadang untuk nyahaktifkan akaunnya. Namun Bilal tidak berputus asa. Dia cuba meminta nombor telefon Lala pula agar boleh dihubungi menerusi WhatsApp.
Kongsi Bilal: –
“Dalam media sosial, kita tidak mudah percaya orang. Tetapi kalau kita tak nak lepaskan seseorang itu, sudah tentu kita perlukan nombor telefon. Sebab itu saya minta nombor dia.”
Walau bagaimanapun, Lala tidak terus mempercayai lelaki yang dianggap ‘asing’ itu. Dia hanya membalas dengan memberikan ID Line.
Bagi Lala, dia tidak mudah percaya dengan jodoh melalui media sosial apatah lagi terfikir untuk bergelar isteri kepada lelaki warga asing.
“Dulu saya percaya kalau nak dapat jodoh kena berjumpa, bukan di media sosial. Bila dengan Bilal, walaupun tanpa beri nombor telefon saya rasa kami masih boleh berkawan. Saya berikan ID Line saja,” ujar Lala.
Setelah mendapat akses untuk berkomunikasi dengan Lala, Bilal segera berbual dengannya. Tanpa disangka Lala berasa selesa dengan sikap Bilal. Hubungan mereka berkembang perlahan-lahan sebagai kawan.
“Dia seorang yang senang bercakap. Apabila saya sudah terlambat, berbual dengannya seperti ada banyak perkara yang membuatkan saya ketawa,” ujar Lala.
Namun, persahabatan mereka terhenti selama beberapa bulan. Ketika itu Lala pergi ke Amerika. Selepas pulang dari Amerika, dia segera menyiapkan diri untuk mencari kolej. Lala bercadang untuk menyambung pengajian peringkat Sarjana di salah sebuah kampus Jakarta Timur. Lala dan Bilal tidak berhubung selama tiga bulan.
Namun hubungan itu kembali terjalin apabila suatu hari Lala mahu memadamkan beberapa aplikasi termasuk Line yang digunakannya untuk berkomunikasi dengan Bilal.
“Bila saya buka aplikasi Line, masih ada chat history antara saya dan Bilal. Mula-mula saya nak padam. Lagi pun sudah tiga bulan kami tidak berhubung. Tapi saya bagi salam untuk suka-suka. Tak sangka dia balas. Dari situ, kami meneruskan komunikasi malah semakin rapat pula,” katanya.
Hubungan mereka yang kian intim mula berkembang menjadi romantik. Namun, Lala dan Bilal tidak mahu tergesa-gesa. Mereka perlu mendapatkan restu keluarga.
“Apabila saya memberitahu keluarga, mereka mulanya tidak percaya. Keluarga mahukan kepastian. Apatah lagi, keluarga tidak bersetuju saya berkahwin dengan warga asing,” kata Lala.
Akhirnya, Bilal mendapat peluang untuk memenangi hati ibu bapa Lala. Ketika itu ibu Lala bercadang untuk ke Turki bersama kawan-kawan.
“Saya mahu berjumpa ibunya. Kemudian saya memberitahu keluarga dan membawa mereka berjumpa dengannya. Serta-merta semuanya berubah. Ibu bapa kami mula percaya dan akhirnya memberi restu,” dedah Bilal.
Namun Lala dan Bilal masih perlu bersabar kerana mereka mesti memenuhi syarat ibu bapa Lala. Ini kerana ibu Lala tidak mahu anak perempuan mereka itu tercicir dalam pengajian.
“Bilal kena tunggu saya habis belajar dulu. Kalau Bilal nak, tunggu saya selama dua tahun. Itu sahaja. Kami akhirnya bersedia. Saya pergi ke Turki dan kami pun berkahwin,” kongsi Lala.
Selepas berkahwin, Bilal membawa Lala ke Turki dan mereka hidup bahagia hingga kini. Pasangan ini juga membuka saluran YouTube dan kerap memuat naik vlog semasa wabak COVID-19.
Pesan Lala buat semua khususnya mereka yang diuji dengan hubungan jarak jauh, tidak perlu risau tentang jodoh.
“Kalau jodoh pasti tak ke mana. Namun, hubungan jarak jauh pun tak semudah yang disangka. Terpulang pada kita. Nak terima pasangan seadanya, boleh teruskan niat dan komitmen.
“Selagi manusia boleh menerima pasangan, semuanya akan dipermudahkan. Usah lupa berdoa kepada Allah SWT. Apa pun, Dia tahu apa yang terbaik untuk kita,” akhiri Lala.
Kredit Foto: Instagram Bilal & Lala
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pada usia yang bergulir senja, nama Ibu Mooryati Soedibyo masih disanjung tinggi sebagai wanita inspirasi. Namun di sebalik kejayaan tersebut, niat cucu Raja Jawa itu untuk berniaga pada awalnya pernah dipandang rendah kerana darah istana yang mengalir pekat.
“Tidak pantas puteri keraton dagangan, itu asor, rendah, nista.” Ibu Mooryati mengimbau kenangan
Bukan mudah untuk menjejak kisah terbaru usahawan wanita bertaraf legenda ini. Barangkali di atas faktor umur dan tidak lagi memimpin PT Mustika Ratu, beliau lebih senang menikmati sisa kehidupan jauh daripada perhatian media. Ibu Mooryati juga selesa beristirahat dan menyerahkan urusan dunia kepada para pewaris.
Mesra dan menyenangkan. Seperti masih terbayang momen penulis menemu bual Ibu Mooryati dan anakanda, Putri Kuswinu Wardani saat mereka berkunjung ke Malaysia.
Biarpun sudah sedekad lamanya, kenangan itu kini bertukar rindu terhadap jenama gergasi Indonesia yang cukup sebati di hati. Bayangkan walau berstatus jutawan kosmetik serta memiliki segudang harta yang melimpah-ruah, keluarga ini tetap merendah diri.
Kerana rindu menemukan penulis dengan cucu-cucu Ibu Mooryati iaitu adik-beradik Dr Kusuma Puteri dan Kusuma Anggraini, anak kepada Djoko Ramiadji (anak sulung Ibu Mooryati).
Menerusi akaun Ninik yang memegang posisi Pengarah Hotel Sheraton Mustika, Yogyakarta, perkongsian mereka bersama nenda kesayangan yang dipanggil Eyang Ti, mengubat kerinduan. Paling seronok tengok sambutan hari jadinya yang ke-94!
Masih kelihatan sihat dan bertenaga pada usia mencecah seabad, rahsia pengasas Mustika Ratu itu tak lain dan tak bukan hanyalah amalan minum jamu.
“Dari masih muda saya rajin minum jamu, saat ini pun saya masih rajin. Saya biasanya minum beras kencur yang saya buat sendiri di rumah.” Ibu Mooryati
Dengan kulit wajah yang masih licin, Ibu Mooryati membuktikan bahawa jamu adalah rahsia awet muda yang sangat mustajab.
Tengok kehidupan keluarga dan cucu-cucu beliau pun harmoni belaka. Semua cantik-cantik dan tampan, paling penting hidup senang serta berkerjaya bagus. Antaranya dua beradik ini yang bergelar doktor dan pengurus hartanah.
CUCU RAJA JAWA
Barangkali tidak ramai menyedari bahawa pengasas Mustika Ratu, Dr. B.R.A Mooryati Soedibyo ini merupakan seorang cucu Raja Jawa yang juga digelar pahlawan nasional Indonesia, Sri Susuhunan Pakubuwana X.
Dilahirkan pada 5 Januari 1928 di Solo, Ibu Mooryati membesar di istana, atau keraton, di Surakarta yang sarat kebudayaan Jawa. Di sini jugalah beliau mengenal tumbuhan berkhasiat, meramu jamu dan kosmetik tradisional dari bahan semula jadi.
Nenda Ibu Mooryati merupakan pemerintah dari susuhunan kesembilan Kesunanan Surakarta (1893-1939) sekaligus menjadikan keluarga itu susuhunan paling lama memerintah dalam sejarah Surakarta.
Gelaran B.R.A pada pangkal nama Ibu Mooryati adalah singkatan kepada Bendara Raden Ayu yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan putera puteri Sultan, cucu cicit hinggalah generasi di bawahnya.
BERNIAGA
Cantik dan pintar. Begitulah gambaran masyarakat terhadap sosok Ibu Mooryati sejak dahulu lagi.
Beliau merupakan alumni Universitas Saraswati, Universitas Terbuka dan Universitas Sebelas Maret Surakarta. Bahkan gelaran Doktor diperoleh dari Universitas Indonesia dalam jurusan Ekonomi.
Bukan itu sahaja, Ibu Mooryati merupakan penerima gelaran doktor tertua di Indonesia dan tercatat dalam The Indonesia World Records Museum (MURI)!
Seorang yang pandai menari, wanita ini menikah saat usianya menginjak 37 tahun. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Soedibyo Purbo Hadiningrat pada tahun 1965, kemudian mengikuti suaminya bertugas di Sumatera Utara.
Sebagai suri rumah, Ibu Mooryati fokus terhadap tugasnya sebagai ibu anak lima. Sambil menjaga Djoko Ramiadji, Putri Kuswinu Wardani, Dewi Nur Handayani, Haryo Tejo Baskoro dan Yulia Astuti di rumah, beliau mengamalkan jamu setiap hari.
Siapa sangka, hobi minum jamu Ibu Mooryati menjadi ikutan wanita lain. Beliau menggunakan resipi asli Keraton Surakarta untuk meracik jamu dan kosmetik dari bahan alami.
Jamu racikan ini mula digemari dan mendapat banyak tempahan. Di situlah bermulanya idea untuk berniaga.
Tanpa mempedulikan komen-komen negatif, beliau merintis perniagaan jamu dari ruangan garaj di rumah. Waktu itu (tahun 1973) Ibu Mooryati hanya sekadar mempunyai modal Rp 25,000 (sekitar RM7) untuk membangunkan Mustika Ratu.
“Trahing kusumo rembesing madu, trahing sinatrio mustikaning ratu.” Peribahasa Jawa
Mengambil nama Mustika Ratu dari peribahasa Jawa, empayar Ibu Mooryati pun berkembang ketika umurnya 45 tahun. Dari bantuan dua orang pembantu menjadi 25 orang dan kemudian meningkat 50 orang. Kesemua pekerja ini mendiami rumahnya.
Ingat lagi nama-nama jamu Mustika Ratu yang pernah kita amalkan dulu? Antaranya Perawatan Remaja Putri, Perawatan Wanita, Kesepuhan dan Sepetan Sari yang sering dijual di toko-toko jamu dan salun kecantikan.
Tahun 1981, Ibu Mooryati membangunkan gedung sendiri hasil pinjaman bank berjumlah Rp100 juta untuk memajukan Mustika Ratu. Sejak itu beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Maju terus dan memartabatkan produk tempatan Indonesia secara holistik.
‘Semangatmu, dedikasimu, karyamu dan kerja kerasmu akan selalu menjadi inspirasi yang berharga untuk wanita Indonesia’ Mustika Ratu
LEGENDA
Ibu Mooryati banyak menjalankan program di peringkat nasional dan antarabangsa dalam mengangkat sosok wanita yang kuat. Salah satunya pertandingan Puteri Indonesia yang berinspirasikan daripada acara Miss Universe yang dihadirinya pada tahun 1990.
Percaya bahawa wanita mampu memimpin dan menguruskan organisasi, beliau menerapkan prinsip Pemberdayaan Perempuan untuk mencapai kesamarataan gender.
Tak hairanlah syarikat beliau terpilih sebagai advocate dalam G20 EMPOWER serta menjadi antara 60 perusahaan di Indonesia dan antara 4,637 perusahaan di dunia yang tergabung dalam Women’s Empowerment Principle.
Kini meskipun Ibu Mooryati tidak lagi bekerja keras seperti dulu namun legasi Mustika Ratu terus menjadi kebanggaan rakyat jiran dan menjana ekonomi rakyatnya. Semoga segala jasa dan usaha keras wanita ini mendapat penghargaan sewajarnya!
Foto: Instagram @ninik102
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Namanya dahulu pernah menjadi tular gara-gara video memangis ditinggalkan kekasih yang dimuat turun memberi impak cukup luar biasa pada dirinya. Namun, sebenarnya ia adalah gimik untuk pelancaran video lagu Pematah Hati milik bekas bintang Akademi Fantasia, Nur Nabila Mohd Razali.
Kini Nabila sudah tidak sendiri lagi, apabila telah menjadi suri hati kepada ahli perniagaan Nik Iruwan pada 18 November tahun lalu. Malah, penyanyi dan pelakon yang sememangnya bijak bergaya dan cukup stailo meski mengenakan hijab ini terlihat semakin manis sejak bergelar isteri dan ibu kepada seorang cahaya mata.
Tapi siapa sangka sebelum ini, hatinya pernah ‘goyang’ ketika mula-mula berniat untuk berhijab.
Mengenang kembali tika pertama kali menyatakan hasrat berhijab pada 2012 yang lalu, Nabila akui cukup teruja. Namun bukan semudah itu untuk terus kekal menjaga aurahnya. Pelbagai rintangan perlu dilaluinya untuk menetapkan hati dalam menjaga penampian sebagai gadis Muslimah.
“Sejak tahun 2012, iaitu setahun sebelum saya menyertai rancangan realiti Akademi Fantasia (AF). Itupun sempena Maal Hijrah pada tahun tersebut kerana pada pengamatan saya, rasa hormat rakan-rakan sekeliling amat berbeza antara kita berhijab dengan tidak.
“Sebelum berhijab, mereka terlalu senang untuk dekat dengan saya dan tidak terlalu menjaga batas pergaulan. Bermula pada detik itu, saya merasakan mahu buka buku baru. Terfikir juga sampai bila mahu berpenampilan tanpa hijab. Umur pula semakin meningkat. Walaupun masih belum sempurna, saya yakin ia merupakan satu langkah untuk mula menjadi manusia yang lebih baik.
“Rakan-rakan yang rapat dengan saya memang sudah lama menggalakkan saya untuk berhijab. Ada juga sindiran-sindiran manja daripada mereka. Apabila difikirkan semula, apa salahnya untuk saya menjalankan kewajipan sebagai seorang Muslimah. Apa yang saya dapat lihat, cara mereka bergaul dengan saya juga agak berbeza daripada sebelumnya.
“Kadang-kadang ada juga terbawa-bawa perangai lama, namun mereka memberi teguran dan menasihati saya. Ibu dan ayah pula jenis tidak kisah tetapi mereka mengingatkan saya untuk terus istiqomah dan tidak hanya separuh jalan. Itu merupakan satu amanah untuk dijaga dan tiada alasan untuk toleh ke belakang semula. Selagi mana boleh dijaga, kita perlu jaga.
“Bagi saya, untuk kekal istiqamah adalah satu perkara yang amat sukar. Lebih-lebih lagi jika dikelilingi rakan-rakan yang ‘hot’, kadang-kadang hati akan goyang juga. Walau bagaimanapun, apa-apa dugaan yang mendatang ia sebenarnya berbalik kepada hati sendiri. Hati perlu kuat dan kena berbalik semula kepada niat kita untuk berhijab. Apabila memulakan langkah untuk berhijab, rasa malu terbit sedikit demi sedikit untuk meninggalkan amalan wajib yang lain.
“Sewaktu berada di Akademi Fantasia, rasa tergugat jugalah kena sentiasa berjaga-jaga dalam berpakaian dan bergaul. Dalam bab berfesyen, saya rasa sudah tiada masalah sekarang kerana sudah ramai pereka-pereka fesyen yang sudah mula menghasilkan busana-busana yang sesuai buat mereka yang berhijab. Walaupun berhijab, masih boleh mengikut trend.
Nabila yang kini semakin sibuk menjalani kehidupan sebagai wanita bekerjaya dan dalam masa sama menguruskan keluarga sebagai seorang isteri. Dia juga turut menyimpan harapan untuk menjadi insan lebih baik untuk dunia dan akhirat.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di TELEGRAM!
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Hijabista