Meskipun tiada lagi kelibat suami tercinta di sisi namun titipan doa buat arwah tidak pernah habis. Bertandang ke Tanah Suci pada awal Disember lepas, Nora Ariffin bukan hanya berkesempatan melaksanakan umrah buat dirinya.. lebih bermakna, dia turut berpeluang menunaikannya untuk arwah suami, Johan Nawawi.
Selesai melaksanakan ibadah umrah terakhir untuk arwah semalam, kenangan menjejakkan kaki ke Mekah empat tahun lalu bersama suami nyata sukar dilupakan. Terang Nora, “Alhamdulillah, empat tahun lepas saya datang ke sini bersama suami dan hari ini saya telah melaksanakan umrah untuk arwah suami saya.
Semoga Allah menerima amal ibadah saya untuk arwah suami dan diri saya sendiri. Siapa kita untuk menolak takdir Allah dan siapa kita untuk melawan ketentuan Allah. Kita kena sentiasa reda dengan semua yang terjadi kepada kita. Pasti ada hikmah.”
Tambahnya lagi, “Arwah Johan selalu berpesan.. hargai dan bersyukur dengan setiap pemberian ikhlas seseorang tak kira hadiah besar atau kecil. Apa nilai sekalipun, banyak atau sedikit. Bersyukurlah. Kerana bila kita bersyukur maka Allah akan menambah lebih lagi.”
Mengikuti trip umrah bersama Zainal Kembara, pemergian Nora ke sana rupa-rupanya turut mendapat tajaan daripada seorang usahawan terkemuka.
Ads
“Alhamdulillah saya syukur pada Allah. Kerana membuka hati Dato’ Seri Vida untuk membawa saya ke sini. Tempat yang paling tenang di dunia.. menjadi tetamu Allah. Saya hanya mampu membalas dengan berdoa kepada Allah.
Ads
Semoga Dato’ Seri Vida diberikan rezeki yang melimpah, kesihatan yang baik, diberkati, dirahmati paling penting dilindungi setiap masa. Berjaya dunia akhirat. Dato’.. wanita yang sangat cekal. Allah lebih mengetahui.”
Selain golongan frontliners di darat, satu lagi kerjaya saf depan dan berisiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 adalah krew udara. Tugas pramugari atau anak kapal yang terdedah dengan beratus-ratus penumpang dalam persekitaran kompak, sebenarnya cukup berisiko tinggi lebih-lebih lagi tanpa pakaian perlindungan yang sesuai.
Pengalaman Puteri Erma Edlinda atau Puteri, isteri kepada bintang Akademi Fantasia 7 Aril Pilus ini jelas menceritakan situasi yang mereka alami. Puteri telah berkhidmat sebagai anak kapal selama 10 tahun dan kini bertugas untuk sebuah syarikat penerbangan di Malaysia.
Menceritakan pengalaman terakhirnya sebelum diarah bercuti, Puteri, 34 tahun, telah berlepas ke Hong Kong dan kembali semula pada 30 Mac lalu. “Memang industri penerbangan banyak berubah. Penerbangan-penerbangan dibatalkan dan yang beroperasi cuma 10% saja. Kebanyakan negara menutup pintu sempadan mereka dan jumlah penumpang pun menurun akibat wabak COVID-19.
Bulan ni sepatutnya saya berlepas ke Dhaka dan Taipei, tapi tak jadi. Sekarang saya dan anak kapal lain cuma on standby menunggu arahan. Kali terakhir di KLIA, suasana sangat lengang dan suram. Semua kedai bebas cukai ditutup dan beratus-ratus kapal tersadai di luar.
Saya ada post di IG Story, rakaman video waktu kami meninggalkan airport Hong Kong. Bayangkan airport yang sangat besar tapi landasan mereka penuh dengan kapal. Bersusun-susun di sepanjang runway, terlalu banyak nak dihitung. Itulah petanda yang sangat merisaukan saya.
Tawakal
Sebagai anak kapal, sudah tentu saya risau setiap kali keluar bertugas. Dari pintu KL Sentral lagi, saya dah jumpa orang dari pelbagai tempat then di KLIA, jumpa orang dari pelbagai negara sampailah naik kapal dan tiba ke destinasi.
Macam-macam perasaan ada bila nak melangkah keluar. Kadang saya rasa, ‘Ya Tuhan, ini tak selamat untuk aku. Aku ada keluarga, ada suami, ada anak kecil.’ Tapi kerana tugas, saya terpaksa lawan kerisauan tu walaupun suami selalu susah hati bila saya ke luar negara.
Anak-anak kapal ni frontliners juga sebab tugas kami sangat dekat dengan penumpang. Pekerjaan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19 dan bayangkan kami bekerja tanpa full protection seperti frontliners lain di hospital.
Tanpa sut perlindungan diri, apa yang kami mampu buat hanyalah pakai topeng hidung dan mulut, guna hand sanitizer, sarung tangan dan kerap basuh tangan. Walaupun sebolehnya we try to distant ourselves, tapi dalam kapal yang kecil tu tetap akan dekat juga dengan penumpang.
Ragam Penumpang
Bagi saya semua orang mencurigakan. Walaupun sesama anak kapal sendiri pun saya kurang percaya. Pernah satu hari, saya dapat panggilan dari ibu pejabat bertanyakan kesihatan saya. Ada batuk atau sesak nafas ke. Saya jawab sihat dan mereka nasihatkan supaya ke hospital kalau ada simptom. Terkejut sangat sebab dalam flight saya tu rupanya ada satu kes penumpang disahkan positif COVID-19.
Sebenarnya kami sendiri pun susah hati. Dari dalam briefing room lagi, kami dah amalkan social distancing, elak bersalaman sesama krew dan duduk berjauhan. Kita tak tahu sesama kami sendiri sudah ke negara mana dan jumpa siapa. Mungkin kita tak ada simptom tapi virus tu ada dalam badan. Semua orang faham keadaan ni dan kami tak ambil hati kalau ada rakan sekerja buat benda yang sama.
Waktu wabak merebak, penumpang pun ada bermacam ragam ketika naik kapal. Ada yang lengkap full equipment, pakai rain coat, face shield, topi full face, mask. Ada juga yang bawa plastik untuk lapik apa yang patut dan risau nak duduk sebelah-menyebelah dengan penumpang lain.
Satu lagi, bukan senang nak kesan penumpang yang sakit. Dalam kapal yang dinaiki beratus-ratus penumpang, susah untuk kesan siapa yang kurang sihat, demam atau batuk. Kadang mereka batuk perlahan-lahan supaya orang tak dengar.
Sebagai anak kapal, kami mesti buat laporan dan maklumkan pihak airport untuk tindakan kalau ada penumpang yang sakit. Kapal mungkin dikuarantin sementara agar saringan dapat dijalankan. Ini bagi mencegah dan mengawal pandemik agar tidak menular ke destinasi tersebut.
Sewaktu bertugas dalam flight, saya pakai topeng muka dan hidung sepanjang masa, selalu basuh tangan dengan sabun, pakai hand sanitizer, sembur sanitizer spray pada baju, kasut dan beg-beg. Seboleh-bolehnya saya elakkan dari menyentuh apa-apa permukaan dari awal lagi.
Balik dari bertugas, saya dah maklumkan pada keluarga, kita jangan jumpa dulu. Bagi saya jemur beg-beg kerja, handbag dan trolley bag semua di balkoni untuk 8 ke 12 jam. Lepas tu terus masuk bilik air dengan uniform dan segala benda yang dipakai, rendam dalam air panas dan gunakan sabun pembasmi kuman.
Selepas mandi dan bersyampu bersih-bersih, beberapa jam kemudian barulah saya yakin untuk jumpa suami dan anak. Punyalah lama nak dapat peluk dan cium mereka. Tapi demi kesihatan dan keselamatan semua, itulah yang terbaik bagi petugas frontliners macam kami ni.
Sekarang saya cuma duduk di rumah kerana telah diminta untuk bercuti oleh majikan (force leave). Cuti saya banyak belum berguna dan syukurlah, gaji masih berjalan. Inilah waktu terbaik untuk luangkan masa dengan suami dan anak di rumah. Sambil tu saya cuba tambah amalan, solat berjemaah dan mengaji, yang mana sebelum ni mungkin tak sempat dibuat kerana sibuk bekerja.
Tip Puteri
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah, Kampung Dato’ Keramat pada September tahun lalu masih hangat dirasai sehingga ke hari ini. Meskipun sudah empat bulan peristiwa mengejutkan itu berlaku dan pesalah tragedi yang mengundang kebakaran tersebut telah ditahan, namun ia tetap meninggalkan kesan mendalam kepada khalayak. Bukan bermaksud tidak menerima ketentuan Ilahi sebaliknya apa yang terjadi di maahad tahfiz itu patut dijadikan iktibar.
Kehilangan tiga orang anak saudara dalam sekelip mata akibat kejadiaan berkenaan nyata bukan satu perkara mudah bagi ibu saudara berjiwa penyayang, Mas Anizan Mohd Shahid. Selebriti wanita yang kini berusia 45 tahun ini ketika dihubungi mengakui masih trauma setiap kali teringat momen indah bersama Muhammad Syafiq Haikal Muhammad Sulaiman 13, Muhammad Hafiz Iskandar Muhammad Sulaiman 11 dan Muhammad Harris Ikhwan Muhammad Sulaiman 10 tahun.
“Sejujurnya kami sekeluarga masih dalam keadaan trauma kerana baru kehilangan seorang anak saudara pada Hari Raya Ketiga pada tahun lepas. Kami juga merasakan seolah-olah mereka masih ada dan sedang menjalani pengajian seperti biasa di tahfiz tersebut.
Sehingga saat ini, saya masih terbayang-bayangkan mereka sebab setiap kali cuti mereka akan pulang bercuti di rumah saya. Tambahan pula pada cuti yang terakhir sebelum kejadian, ketiga-tiga mereka banyak menghabiskan masa bermain dan melepak di bilik saya.
Hubungan saya dengan semua anak-anak buah memang sangat rapat. Dari yang kecil sampailah dewasa. Terlalu banyak kenangan manis sebenarnya bersama mereka. Tapi ketika pulang pada cuti terakhir, kami sekeluarga sempat pergi berkelah di air terjun dan menonton wayang bersama.”
Mengimbas kembali saat menerima perkhabaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah, bekas penyanyi, model dan aktres ini mula menyedari insiden yang menimpa anak saudaranya menerusi aplikasi Whatsapp sekolah. Sangka Mas, ia hanyalah kebakaran kecil. Tapi sebaik mendapat tahu ada mangsa yang terkorban, dia terus bergegas ke sana untuk mengetahui status ketiga-tiga anak saudaranya itu.
Biarpun dia sekeluarga telah reda dengan pemergian arwah, perubahan sikap yang ditunjukkan Haikal, Hafiz dan Harris sebelum kejadian menimbulkan rasa rindu yang terus menebal.
“Perubahan tu memang ada cuma tak perasan pada waktu tu. Bila ingat balik sekarang baru perasan banyak sangat perubahan dan kelakuan yang ganjil beberapa bulan sebelum mereka pergi. Selalunya pada Hari Raya mereka akan lebih excited untuk bergambar tapi pada raya tahun lepas ketiga-tiga mereka mengelak untuk bergambar.
Selain itu, beberapa minggu sebelum kejadian, Haikal lebih suka menyendiri dan banyak berdiam diri. Manakala Hafiz dan Harris pula bersikap lebih manja. Hafiz juga ada bertanya kepada adik lelaki saya iaitu bapa saudaranya. Kata Hafiz, ‘Sekiranya budak kecil meninggal, adakah mereka akan ke syurga?’
Sehari sebelum kejadian pula, Haikal ada menelefon saya dengan kata-kata yang pelik. ‘Mummy, Haikal nak pergi’. Saya pun tanya, ‘Nak pergi ke mana?’ Dia cuma jawab ringkas, ‘Nak pergilah.’ Rasa agak pelik, lalu saya bertanya lagi, ‘Nak balik cuti ke?’, ‘Ya’, jawabnya sambil ketawa kecil. Itulah panggilan yang terakhir dan masih terngiang-ngiang lagi di telinga hingga ke saat ini. Rupa-rupanya betullah dia telah pergi meninggalkan kami.”
Ditanya apa harapan Mas sekeluarga terhadap pelaku yang menyebabkan kematian 23 orang termasuk dua guru pusat tahfiz berkenaan, dalam nada tenang dia menyusun bicara.
“Saya memang tak sangka kanak-kanak semuda usia mereka boleh berfikir dan bertindak sejauh itu. Membakar sebuah sekolah tahfiz dengan segala persiapan dan strategi yang digunakan memang terlalu advance untuk kanak-kanak seperti mereka. Saya cuma mengharapkan hukuman yang setimpal kepada kanak-kanak yang membakar tahfiz tersebut agar ia menjadi satu pengajaran buat mereka di luar sana.
Jujurnya saya telah pun memaafkan pelaku ini dan reda pemergian anak-anak buah kerana tahu mereka adalah anak-anak syurga dan bahagia di sana. Sebagai ibu bapa, kita haruslah mengawasi dan memantau gerak-geri anak-anak. Mengambil tahu dengan siapa mereka bergaul dan didikan agama adalah antara faktor yang paling penting dalam memastikan anak-anak tidak terlibat dengan gejala yang tak sihat,” pesannya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Baru-baru ini, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkesempatan berkunjung ke Dubai.
Dalam kunjungan Baginda berdua kali ini, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Norashikin melawat Museum of The Future yang terletak di Financial District, Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Sepanjang lawatan tersebut, Baginda amat kagum dan tertarik dengan reka bentuk luar bangunan berkenaan yang dilengkapi kaligrafi puisi nukilan pemimpin tertinggi di Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum mengenai masa depan UAE.
Bahagian dalamnya setinggi 7 tingkat menempatkan ruang pameran untuk ideologi inovatif, interaktif dan futuristik serta menampilkan kecerdasan buatan (A.I.). Muzium ini dilaporkan mula dibuka secara rasmi pada 22 Februari 2022.
Menerusi perkongsian foto-foto lawatan DYMM Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor di Facebook rasmi Selangor Royal Office kelihatan Baginda berdua tampil dengan gaya santai namun cukup bergaya.
Mesra berpimpinan tangan, Sultan Selangor kelihatan segak dengan kemeja biru lembut yang dipadankan bersama seluar jeans biru dan blazer rona cerah.
Melengkapi gaya tersebut, Sultan Selangor dilihat mengenakan tali pinggang dan kasut sneakers jenama Hermes. Sementara Tengku Permaisuri Norashikin pula selesa dengan kemeja polos hitam labuh dan seluar kuning lembut sambil menjinjing beg tangan hitam Hermes.
Sepanjang berada di Dubai, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor turut berkenan berangkat melawat ke Mohammed Bin Rashid Library (MBRL).
Baginda dibawa oleh Ketua Pegawai Eksekutif MBRL, merangkap Ahli Lembaga Pengarah, Dr. Mohamed Al Mazrouei ke ruang-ruang utama perpustakaan berkenaan yang mula dibuka kepada umum Jun lalu.
Baginda dalam pada itu turut kagum dengan reka bentuk bangunan tujuh tingkat yang menempatkan sejumlah 1.1 juta koleksi buku-buku dalam 30 bahasa.
Selain daripada buku-buku ilmiah dari serata dunia, Baginda tertarik melihat sendiri koleksi naskhah Al-Quran lama, transkrip kaligrafi dan peta-peta bersejarah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Alhamdulillah, bertambah lagi ahli keluarga Wahid Senario! 25 Julai lepas merakam kenangan indah buat keluarga pelakon, penyanyi dan pelawak ini apabila anak sulungnya iaitu Waiz Wahid selamat mendirikan rumah tangga.