Selebriti wanita Malaysia yang bertemu jodoh dengan golongan kenamaan atau VIP bukan perkara baharu. Ada yang menerima gelaran tersebut pada usia muda.
NONA kongsikan 8 selebriti wanita yang kini hidup bahagia bersama pasangan masing-masing. Biarpun mempunyai gelaran sebagai Che Puan, Datin Seri, Datin Paduka mahupun Datin mereka masih mengekalkan sikap merendah diri.
Malah kini ada yang berjaya sebagai seorang usahawan setelah tidak lagi aktif dalam bidang seni. Semoga mereka kekal bahagia dan sukses dalam apa jua yang mereka lakukan.
“Cubalah untuk mencapai setinggi mana pun impian anda. Tapi harus ingat, ini semua pinjaman! Apa yang pernah kita lalui, susah atau senang. Jangan hanya berfikir untuk waktu dan ketika itu sahaja. Fikirlah apa yang ingin kita capai itu untuk 30 tahun akan datang dan sehingga kita menutup mata. Setiap masalah dan halangan cuba selesaikan, jangan buang masa! Percayalah setiap pengalaman itu akan jadikan kita lebih kuat di masa hadapan,” tegas Azliza (Liz) berusia 48 tahun.
“Saya tidak pernah menyesal atau malu mengaku dilahirkan dalam keluarga miskin. Malah saya rasa bersyukur kerana kehidupan saya punya kisah yang berwarna-warni. Pendek kata, macam-macam fasa kehidupan telah saya lalui dan kerana kemiskinan itulah menjadikan saya kuat dalam mengharungi dugaan kehidupan.”
Mengimbas kembali perjalanan hidup Liz, sebelum terlahirnya perniagaan Dapur Pramugari, cukup memberi inspirasi buat semua wanita lain. Kisah pengalamannya, menjadi simbol kekuatan dan kejayaan dirinya hari ini. Bagaimana dari seorang bekas pramugari dan kini terus mengukuhkan empayar perniagaan F&B Dapur Pramugari.
“Saya memang pasang niat untuk ada perubahan kehidupan yang lebih baik. Saya seorang yang tidak boleh duduk diam dan akan sentiasa mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang baru. Kami ada ramai anak, tanggungjawab besar tentang masa depan mereka dari segi pendidikan, insuran dan sebagainya. Ini semua menjadi kekuatan semangat untuk saya masuk dalam bidang perniagaan. Alhamdulillah, dalam keadaan fizikal kita yang masih sihat, kita gunakanlah anugerah ini sebaik mungkin. Bukan kata, kehidupan sebelum ini tidak mencukupi tetapi saya rasa sampai masanya untuk mengakhiri tugas berbelas tahun di awan biru. Lagipun dari kecil lagi saya punya cita-cita untuk jadi businesswoman. Masa dulu, dari sekolah rendah lagi saya jual mi, nasi lemak, terompah, keropok sambil kayuh basikal keliling kampung.”
Liz terus membawa kita mengimbau kisah hidupnya. “Saya dari keluarga miskin, nak beli buku atau kasut pun sangat susah. Saya juga keluar pergi cari kerja di pasar malam. Di situ saya kerja dengan seorang makcik tua jual makanan, pengalaman kerja waktu itu bukan mudah. Macam lipas kudung bekerja dan hasil upah bermula RM5 dan kemudiannya naik kepada RM10, alhamdulillah. Dengan hasil duit kerja sendiri itulah saya beli barang-barang sekolah. Bila teringat kembali kenangan itu, membuatkan saya bertekad untuk mengubah kehidupan dan berusaha untuk berjaya.”
Perjalanan susah dalam meniti kehidupan tidak bernoktah di situ. Hari-hari di usia remaja yang dilaluinya penuh dengan pelbagai rintangan, namun tidak sedikit meruntun kelemahan semangat dan kekuatan jiwanya untuk mengubah kehidupan yang lebih baik.
“Selepas SPM, saya tidak melanjutkan pelajaran di Universiti disebabkan keluarga susah dan saya ingin membantu keluarga. Saya lupakan cita-cita untuk menjadi peguam atau doktor. Pada waktu itu, saya rasa dengan kelulusan yang ada, pekerjaan sebagai pramugari paling sesuai dengan kelayakan dan untuk memperoleh gaji lumayan kerana saya tidak mahu lagi hidup susah.
Saya mengambil keputusan untuk berhijrah dan mencari kerja di lapangan terbang. Keluar dari kampung dengan berbekalkan sepasang kasut dan dua helai baju, saya dan jiran mengambil bas menuju ke Lapangan Terbang Subang demi mengejar cita-cita. Ini kenangan yang amat berharga dalam hidup saya, bila sewa di rumah Kampung Subang.
Keadaan ketika itu sangat sengsara, duduk rumah papan. Tandas pun hanya dikelilingi zink tak beratap dan mandi menggunakan air perigi. Bayangkan waktu pagi kalau mandi jam 5.30 pagi sangat sejuk, embun menitis sampai ke tanah. Nak keluar pergi kerja, saya kena jalan selama 20 minit melalui laluan kebun getah untuk ke jalan besar mengambil bas. Kalau balik kerja tengah malam, saya terpaksa tukar kasut sport untuk memudahkan saya membuat pecutan larian tanpa menoleh ke kiri, kanan dan belakang. Lorong menuju ke rumah sangat gelap tanpa lampu hanya mengharapkan belas kasihan bulan purnama,” jelas Liz sambil ketawa.
“Kalau awal bulan pula, boleh makan meriah beramai-ramai dengan rakan sewa lain. Tapi bila tengah bulan sampai hujung bulan, saya hanya makan roti dengan sumbat ais krim di tengah-tengah. Kalau nak bercerita lagi, terlalu banyak peristiwa menyentuh hati. Tapi itulah antara kenangan yang paling saya tidak boleh lupa.
Di terminal lapangan terbang, saya bekerja di kedai bunga dan restoran, sambil melihat dan bertanyakan beberapa kakitangan penerbangan yang lalu-lalang di situ kiranya saya berpeluang untuk menjadi pramugari. Kemudian saya dapat peluang untuk bekerja di kedai coklat, Duty Free Terminal 1. Alhamdulillah, satu hari saya dapat peluang temuduga sebagai ticketing officer dan diterima bekerja bersama Indonesian Airlines. Di situ, saya belajar selok-belok tentang penerbangan dan sebagainya selama 5 tahun.
Kemudian saya berhenti dan meneruskan cita-cita untuk menjadi seorang pramugari. Saya pernah berkhidmat sebagai seorang pramugari bersama Malaysia Airlines dan kemudianya saya berkhimat menjadi ketua pramugari di AirAsia. Saya amat bersyukur dengan perubahan hidup saya. Dari seorang anak gadis kampung seperti katak di bawah tempurung, akhirnya saya berjaya mengecapi apa yang saya mahukan dengan usaha sendiri,” bicara Liz sambil tersenyum mengimbas kenangan lalu.
Diringkaskan cerita, saya berhenti kerja, berkahwin dan fokus membesarkan anak seramai 4 orang. Bila anak-anak sudah membesar, saya yang tidak tahu duduk diam mulakan bisnes Mamours bersama kakak. Pada masa yang sama saya juga buat sedikit jualan makanan. Setelah itu, saya rasa jiwa ini sebenarnya lebih kepada perniagaan makanan. Lalu saya meninggalkan dunia perniagaan Mamours dan beri fokus kepada dunia perniagaan secara online sepenuhnya.”
Rezeki melimpah dengan Dapur Pramugari. “Alhamdulillah permintaan untuk lauk-pauk dan kuih mendapat sambutan sangat menggalakkan. Saya tidak membuka kedai atau restoran kerana tidak mahu komitmen untuk berada di kedai setiap masa, maka aktiviti perniagaan dijalankan secara online. Dan sekarang tumpuan saya lebih kepada produk baru saya Sambal First Class. Dalam masa enam bulan banyak perkara yang perlu diuruskan dari segi pemasaran, promosi dan sebagainya. Kerja siang malam untuk memastikan produk ini diterima dalam pasaran dengan baik.”
Menurut Liz, bisnes Sambal First Class berkonsepkan airlines di mana ia sedikit sebanyak berkait dengan pekerjaan beliau sebelum ni. Contohnya, saiz botol sambal mengikut konsep Boeing yang paling kecil diberi nama 737 dan yang besar diberi nama Jumbo. Tentang kualiti, Sambal First Class diperbuat daripada 100% cili segar dan ikan bilis mata biru sebiru langit di angkasa. Ini menunjukkan bahan-bahan yang digunakan berkualiti tinggi dan mahal.
Selepas ini antara rangkaian produk yang sedang menunggu untuk dikeluarkan adalah Sambal Economy Class. Maksudnya menggunakan cili yang lebih murah iaitu cili kering. Ini jelas bagi menunjukan perbezaan antara sambal murah dan sambal mahal.
Harapan Liz, “Saya berharap perniagaan ini terus berkembang dengan pelbagai jenis produk sambal lagi. Saya percaya ia mampu untuk dibawa ke luar negara. InsyaAllah dengan memperoleh pendapatan ini, saya harap dapat membantu lebih ramai lagi mereka di luar sana,” akhirinya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Selain Hawa Rizwana Redzuan, penonton setia Buletin Utama TV3 pasti sangat mengenali penyampai berita jelita, Ezreena Amir Hamzah yang sebelum ini ‘freehair’ kini tampil di kaca televisyen dengan imej berhijab.
Berkongsi kisah penghijrahannya di laman Instagram, Ezreena yang mula berhijab bermula 1 Mac yang lalu yang juga kebetulan jatuh pada tarikh peristiwa Hari Israk dan Mikraj mengakui sudah lama memasang niat untuk berhijab namun sebelum ini hatinya belum terbuka.
Menurut Ezreena, dia sebenarnya sudah lama terdetik untuk mengenakan hijab namun, antara faktor yang menyebabkan hatinya mula terbuka dan bertambah yakin untuk mengenakan hijab selepas abangnya diserang lumpuh separa badan Febuari lalu.
Katanya lagi, dia juga berharap agar perubahannya itu dapat menjadi salah satu asbab buat abangnya untuk kembali sembuh.
“Sebenarnya dah lama pasang niat, tapi hati tak terbuka lagi. Tudung ada lah sehelai dua, spare kalau ada assignment yang memerlukan memakai tudung. Brooch? Satu je. Itupun dah hilang.
“Awal Februari lalu, saya dikejutkan dengan berita salah seorang abang saya jatuh sakit. Sakit yang menyebabkan dia lumpuh separuh badan. Kemudian dihantar ke hospital, dan terus dipantau sehingga lah hari ini. Hakikatnya keadaan abang tidak begitu baik.
“Setiap hari saya berdoa, sungguh-sungguh saya berdoa sehingga menangis di sujud terakhir mahukan abang dipanjangkan usia, sembuh dan kembali ke kehidupannya. I was so helpless, that no one can stay by his side, waiting for him at the hospital. Hanya doa je yg kami mampu lakukan.
“Saya tanya pada tuhan, apa yang boleh saya buat untuk bantu abang saya. Dan saya sanggup berubah jika itu boleh membantu. Tapi saya masih lagi teragak-agak untuk memakai hijab, bimbang jika saya belum bersedia,” tulisnya.
Dalam pada itu, ibu kepada seorang cahaya ini meluahkan rasa syukur selepas abangnya dikatakan telah menunjukkan tanda-tanda positif dan dibenarkan untuk pulang ke rumah.
“Seminggu-dua selepas tu, walaupun abang masih belum stabil, tapi Allah swt masih memanjangkan usianya. Allah swt beri peluang untuk dia pulang bersama kami di rumah. Setidak-tidaknya boleh juga meneman dia, dan berikan sokongan emosi.
“Seminggu saya di kampung, saya terfikir. sejahil-jahil saya, Allah swt cuba juga berikan apa yang saya inginkan.
“Dan saya juga ada berdoa pada Allah swt, untuk memudahkan Zill bercakap, berinteraksi dengan baik dan mendapat manfaat di taska baru. Pun Allah dah kabulkan. Hari demi hari ada je perubahan baik yang Zill tunjukkan,” kongsinya lagi.
Dikesempatan itu juga, Ezreena dirinya berasa amat bertuah kerana dikurniakan suami yang sangat memahami dan mendukung setiap keputusannya.
Tanggal 1 Mac yang juga merupakan Hari Israk dan Mikraj telah menjadi menjadi titik tolak kepada penghijrahan Ezreena.
“Lantas nikmat Tuhan yg mana lagi saya dustakan? Dan bila terbayang muka suami, yg tak pernah memaksa saya bertudung walaupun saya tahu dia sangat-sangat mendambakan perubahan itu, menguatkan lagi hati saya.
“Alhamdulillah, hati saya terbuka pada 1 Mac, yang kebetulan juga jatuh pada Hari Israk & Mikraj.
“Satu Perjalanan yang agung buat Rasulullah SAW untuk bertemu Allah SWT, di mana solat 5 waktu kemudian disyariatkan.
“Saya masih lagi saya. Tapi saya cuba jadi yang lebih baik daripada sebelum ini. Terima kasih banyak pada semua yg mendoakan. Appreciate that so much,” akhirinya.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen dan selebriti turut tumpang gembira selain turut mendoakan semoga Ezreena akan terus kekal istiqomah selepas ini.
Sekadar informasi, Ezreena telah mendirikan rumah tangga bersama suami yang juga merupakan pembaca berita, Asrul Nizam Kadir pada 2015.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Selalunya ibu hamil dilarang daripada melakukan kerja-kerja berat atau lasak, bimbang akan memberi risiko terhadap bayi dalam kandungan.
Namun lain pula kisahnya bagi wanita hamil, Kama Haidir yang tular setelah mengungguli acara lasak Spartan Stadion baru-baru ini. Bulan calang-calang wanita!
Kemunculanya dalam beberapa video di laman sosial berjaya meraih tumpuan ramai. Walau kini sedang sarat hamil (trimester ketiga), Kama berjaya menamatkan cabaran dalam masa 1 jam 10 minit 38 saat dengan 17 daripada 20 halangan.
Secara tak langsung, Kama telah memberikan inspirasi serta semangat buat wanita.
“Terima kasih jurulatih dan rakan-rakan di @fitnesswarrior.my yang selalu mengingatkan agar berhati-hati supaya saya selamat. Larian 5 kilometer dan 20 halangan ditambah lagi dengan kehamilan 28 minggu bukanlah perkara yang mudah.
“Tetapi dengan persediaan sejak awal iaitu sebelum hamil dan tidak henti melakukan latihan crossfit telah membantu saya kekal cergas hingga kini. Tidak lupa rakan-rakan dan jurulatih yang sentiasa memberikan panduan A sampai Z,” titip Kama yang merupakan seorang personal trainer kick boxing dan gym instructor.
Mengimbau semula pertandingan yang disertainya pada 24 September lalu, wanita hebat ini berkata hanya 3 halangan daripada 20 halangan tidak dapat dilengkapkan.
“Marshall di @spartanracemalaysia risau sangat kerana saya mengandung, dengan halangan yang banyak, saya hanya tidak dapat menyempurnakan tiga sahaja. Yang lain tapau habis,” kongsi Kama melalui hantaran di Instagram.
Menurutnya, tiket penyertaan cabaran berhalangan itu terlebih dahulu dibeli pada tahun lalu iaitu sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan kali ketiga.
Berikutan penundaan, acara itu ditangguhkan sehingga ke tahun ini. Namun dengan semangat dan kekuatan, Kama meneruskan penyertaan biarpun selepas mengetahui dirinya hamil.
Memetik kata-katanya kepada SinarPlus, Kama yang mempunyai latar belakang pengajian dalam Sains Sukan ini juga bekas atlet Silat Olahraga yang mewakili negeri Johor pada tahun 2007 hingga 2010. Menurut Kama, penglibatannya dalam sukan adalah sejak di bangku persekolahan lagi.
“Sukan adalah darah daging saya. Selepas tamat diploma pada tahun 2014, saya bertugas sebagai jurulatih kecergasan sehingga kini,” jelas Kama.
Justeru, tidak hairanlah wanita kecil molek ini aktif dan lincah meskipun berbadan dua. Tidak seperti kelaziman wanita hamil yang mengelak aktiviti fizikal berat, Kama dilihat melakukan latihan intensiti tinggi seperti mengangkat berat, zumba dan crossfit.
Ibu kepada dua cahaya mata ini mendedahkan dia telah mendapat saranan dan pemeriksaan daripada doktor.
“Saya melakukan pemeriksaan kandungan di klinik swasta, membuat ujian imbasan untuk memantau perkembangan bayi. Alhamdulillah doktor memaklumkan kandungan dalam keadaan sihat. Maka, saya meneruskan latihan dan senaman seperti biasa.
“Tetapi senaman-senaman ini telah diubah suai mengikut pergerakan, kemampuan dan intensiti. Ia tidak membahayakan diri,” jelas Kama.
Ujarnya, jika dahulu beliau mampu berjalan laju namun kini boleh berlari sederhana perlahan dan mengawal pernafasan dengan baik.
Malah wanita hebat ini turut disarankan pakar agar mengurangkan berat beban dengan menggunakan dumbell bersaiz 7kg hingga 10kg berbanding 15kg sebelum ini.
“Lakukan mengikut kemampuan dan tidak memaksa diri. Alhamdulillah badan saya OK dan bayi dalam kandungan sihat. Ia juga dapat mengurangkan stres ketika hamil.
“Sebelum hamil, saya seorang yang sangat Sebelum mengetahui diri hamil, saya menyertai Strongfit Woman di Johor. Pertandingan yang sangat ‘hard core’ tetapi disebabkan saya sudah dilatih untuk menjadi lasak, Insya-ALLAH bayi dalam kandungan akan selamat dengan izinNya,” tutur Kama.
Beliau berkata sebenarnya ramai atlet wanita aktif bersenam biarpun sedang hamil kerana aktiviti kecergasan memberikan banyak manfaat kepada tubuh.
“Kenapa perlu hentikan aktiviti yang menjadi hobi, minat serta gaya hidup anda apabila hamil? Apa pun pastikan bayi dan diri anda sihat. Jika tidak, dapatkan rehat secukupnya dan buat latihan yang sederhana.
“Saya memilih untuk meneruskan latihan demi mengekalkan momentum supaya selepas bersalin mampu terus berlatih seperti biasa. Saya juga berharap bayi dalam kandungan kekal sihat, insya-ALLAH,” katanya.
Kama berharap agar perkongsiannya di laman sosial dapat memecahkan persepsi ibu-ibu mengandung yang sebenarnya boleh lakukan aktiviti lasak tetapi harus ada panduan yang betul, persiapan awal dan rapi dalam pelbagai sudut.
Apa yang penting mengetahui tahap kecergasan dan kesihatan diri. Usah paksa jika ada masalah kesihatan dan tanya pada yang pakar.
Sumber: SinarPlus
Kredit Foto: Instagram Kama Haidir
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siti Nordiana akui berat hati melepaskan anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie ke asrama. Kisah menyentuh hati seorang ibu sempena semangat Awal Muharram dan penghijrahan ke fasa baharu.