Delima boleh menjamin kepuasan bercinta? Aneh, tapi menerusi kajian The University of California (UCLA), 47% daripada lelaki yang diuji mengakui ia memang meningkatkan nafsu di kamar tidur. Efek ini tercetus kerana kandungan delima yang tinggi antioksidan, lalu mencegah molekul radikal bebas daripada menghalang kelancaran darah di alat sulit.
‘Rumman’ atau delima, namanya tersohor di Mediterranean. Lahir dan tumbuh segar di tanah lembap, pohon delima mencipta suatu suasana teduh dengan gantungan buah-buahan merah menggiurkan. Masyarakat Cina menjadikannya sebagai simbol kesuburan, rezeki yang melimpah-ruah, keturunan yang ramai dan masa depan yang cerah. Namun dalam Islam, buah istimewa ini dikurniakan Allah SWT dari syurga sebagai rezeki yang boleh dinikmati, seperti yang tertulis dalam firman-Nya di dalam surah Al-An’am ayat 99.
Sebaik dikupas, kulit keras delima yang kemerah-merahan akan mengeluarkan inti pati manis berbentuk biji-biji kecil yang bersalut pulpa jernih. Begitu ranum laksana mata air Salsabil di syurga, khasiat perubatan delima sudah ditemui sejak 8000 tahun dahulu oleh masyarakat Parsi Purba (Iran). Merujuk buku perubatan Parsi, khasiat delima termasuklah mengurangkan alahan ibu hamil, mengimbangi hormon wanita menopaus, melancarkan aliran darah, mengelakkan penyakit lemah tenaga batin dan mencantikkan kulit.
DUNIA KULINARI
Rasa buah delima berbeza mengikut spesiesnya. Buah delima muda agak kelat dan masam, manakala buah yang masak mempunyai rasa manis dan sedikit masam yang tajam di hujung lidah. Jus delima sering kali menjadi minuman popular bagi masyarakat Parsi dan India, sebelum ia dikomersialkan secara meluas ke seluruh dunia. Sebelum tomato (buah Dunia Baru) tiba di Timur Tengah, sirap grenadine iaitu jus delima yang dipekatkan serta dimaniskan melalui adunan koktel menjadi bahan utama dalam pelbagai resipi tradisional seperti fesenjӑn dan ash-e-anar (sup delima). Biji delima liar pula digunakan sebagai rempah yang dipanggil anardana dalam hidangan India dan Pakistan. Di Azerbaijan, sos delima disaji bersama ikan atau kebab tikka, sementara masyarakat Turki menikmatinya bersama salad atau sebagai perapan daging.
Ads
NUTRISI
Sebagai permulaan, delima merupakan sumber vitamin C terbaik untuk meningkatkan pertahanan tubuh. Hanya sebiji buah dapat membekalkan 16% keperluan vitamin C harian yang disyorkan (malangnya ia tidak boleh didapati daripada jus delima kerana proses pempasteuran membunuh vitamin). Berikut empat khasiatnya:
1.SARAT DENGAN SERAT
Buah delima diperkaya dengan serat tinggi. Setengah cawan inti pati buah ini membekalkan lima gram serat yang baik untuk penghadaman. Selain dimakan begitu sahaja, anda boleh taburkan di atas salad, bijirin, lempeng, wafel dan yogurt beku.
Ads
KESIHATAN JANTUNG
Menikmati inti pati delima dalam diet juga baik untuk jantung. Kajian mendapati kewujudan tannins di dalam jus delima untuk mengurangkan risiko penyakit jantung, merendahkan paras kolesterol LDL dan mengurangkan tahap tekanan oksida di dalam arteri. Untuk rasa smoothie enak, kisar jus delima dengan beri, yogurt asli dan serbuk protein.
PENENTANG RADIKAL BEBAS
Seperti yang kita maklum, delima kaya dengan antioksidan. Pelbagai kajian telah menunjukkan keupayaannya dalam membantu meneutralkan radikal bebas, penyebab penuaan pramatang. Penyelidikan oleh UCLA juga mendapati ia mampu mencegah kemunculan semula kanser prostat.
PADAT DENGAN POTASIUM
Lapan auns jus delima membekalkan 10% kuota potasium harian, sejenis nutrien penting untuk menghasilkan tenaga dan memastikan tekanan darah yang normal. Untuk membancuh jus, kisar inti pati delima sehingga halus dan tapis. Cara ini anda juga dapat menikmati vitamin C kerana ia tidak dipanaskan.
Ads
TIP
Pilih buah delima segar dengan kulit yang masih baik. Ia perlu disimpan di dalam suhu bilik, jauh daripada pancaran cahaya langsung. Buah delima boleh bertahan selama tiga bulan jika disejukkan, manakala inti pati dan jusnya pula selama tiga hari apabila disimpan di dalam peti sejuk. Inti pati yang disimpan di dalam bekas kedap udara dan dibekukan pula boleh bertahan selama enam bulan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak lebih seminggu lalu, Dato’ Sri Eizlan Yusof aktif memerah keringat dan menabur bakti kepada para petugas barisan hadapan yang terlibat menangani pandemik Covid-19. Meskipun beliau boleh sahaja duduk di rumah, memantau situasi semasa dan memberi sokongan moral kepada frontliners menerusi media sosial atau sebagainya, namun ia belum cukup membuatkan aktor ini berpuas hati. Sebagai rakyat berjiwa prihatin dan public figure yang telah diberi kepercayaan untuk sentiasa menyokong serta membantu anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), Dato’ Sri Eizlan tampil membantu.
Menariknya, beliau yang segak mengenakan uniform rasmi pegawai APM turut membawa isteri tercinta bersama untuk menjayakan usaha murni ini yang juga merupakan anggota APM. Daripada perkongsian Dato’ Sri Eizlan di Instagram miliknya jelas kelihatan beliau sangat selesa bertugas di lapangan bersama beberapa rakan artis lain yang turut menyertai APM.
Katanya, “Masa untuk kita semua rakyat Malaysia berganding bahu bersama bagi memutuskan rangkaian Covid-19 daripada terus merebak. Bantulah apa yang termampu untuk kita.”
Selain mengagihkan sumbangan berupa makanan kepada kakitangan hospital, anggota polis dan tentera dalam memastikan mereka tidak kelaparan sepanjang bertugas melancarkan operasi, Dato’ Sri Eizlan termasuk pegawai dari kalangan artis dan penggiat seni (Briged Kesenian) turut menghadiri mesyuarat pengurusan bersama para pegawai tertinggi setiap pagi.
Antara rakan artis yang terlibat termasuk pelakon Adam Shahz, penerbit terkenal Dato’ A. Aida dan Maznah Zolkifli. Hujung minggu lalu, Dato’ A. Aida dilihat komited menyediakan masakan untuk para frontliners sambil dibantu cef popular, Chef Zam.
Alhamdulillah, ramai selebriti yang turun padang membantu.
Sementara itu, ratu hati Dato’ Sri Eizlan iaitu Datin Sri Natasha Rosa Boudville yang setia berkhidmat untuk masyarakat sepanjang Covid-19 ini turut menzahirkan penghargaan kepada frontliners terlibat.
Ujarnya, “Terima kasih KKM dan PDRM atas dedikasi dan pengorbanan anda semua supaya kami dijaga dan selamat. Tidak dilupakan juga kepada Angkatan Pertahanan Awam Putrajaya yang tidak putus semangat dan tenaga bersama Eizlan Yusof, Adam Shahz dan Dato’ A. Aida. ”
Mengimbas kembali pembabitan Dato’ Sri Eizlan bersama APM, bapa kepada tiga anak ini telah menerima pentauliahan Leftenan Kolonel (Bersekutu) Angkatan Pertahanan Awam pada April 2018. Sejak pengurniaan lantikan tersebut, beliau aktif berkhidmat bersama APM dan tahun lalu Dato’ Sri Eizlan bersama Adam Shahz serta pasukan APM telah berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records selepas mengharungi laluan laut sepanjang 718.57 kilometer. Ia merupakan pelayaran Ekspedisi Amphibious Craft dari Melaka ke Langkawi selama enam hari membabitkan 133 peserta.
Kredit project 2pi
Dato’ Sri Eizlan Yusof menamatkan zaman dudanya bersama Datin Natasha Rosa Boudville dalam majlis pernikahan serba indah di Bora Ombak Marina, Putrajaya pada tanggal 12 Disember 2019. Datin Natasha merupakan wanita cantik berketurunan Serani yang bekerja sebagai kakitangan pengurusan sebuah hotel bertaraf lima bintang di ibu negara. Beliau memeluk Islam pada Ogos 2018 sebelum dilamar pelakon kacak tersebut pada September 2019.
Moga perkahwinan selebriti romantis ini berkekalan hingga ke syurga dan terus menjadi inspirasi dalam usaha mengajak masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan serta kebajikan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wajah manis Nurshazwani Shamsuddin, atau Cik Manggis sentiasa menyenangkan mata yang memandang.
Sesuai dengan gelaran ‘Ratu Transition’, penyanyi dan pelakon yang mengumpul lebih 800K pengikut ini kerap berkongsi pelbagai video kreatif melalui aplikasi Instagram serta TikTok miliknya.
Namun di sebalik wajah riang dan bibirnya yang tak lekang-lekang dengan senyuman, anggota kumpulan De Fam itu sebenarnya jarang mengungkap isi hatinya kepada peminat. Tambah-tambah pula isu zuriat hasil perkongsian hidupnya dengan suami tercinta.
Tak Semua Perkara Kita ‘Plan’ Menjadi – Cik Manggis
Perkahwinan yang dibina dengan Syazmin Firdaus Aminuddin pada Oktober 2014, sehingga kini masih belum dikurniakan cahaya mata. Satu dekad melayari bahtera cinta bersama, Cik Manggis yang kini berusia 35 tahun mengambil pendekatan redha dengan takdir mereka berdua.
“Tak semua perkara yang kita plan, menjadi. Tapi tak bermakna tak jadi hari ni, tak jadi selamanya. Dan yang ‘menjadi’ hari ni juga tak bermakna ia menjadi selamanya.
“Rezeki Allah punya. Allah boleh beri dan tarik bila-bila masa. Tiada sebab untuk kita mendabik dada, kerana kita hanyalah seorang hamba yang tidak punya apa-apa.” ujar Cik Manggis
Tak Perlu ‘Tuding Jari’, Apatah Lagi Menyalahkan Sesiapa
Memetik luahan Cik Manggis kepada Gempak, jelasnya dia tidak ingin menyalahkan sesiapa termasuk pasangan dalam soal tersebut. Suka sangat dengan sikap positif Cik Manggis dan kematangan wanita ini kala diajukan soalan ‘sensitif’.
“Tiada zuriat salah siapa? Bukan salah siapa-siapa. Jangan tuding jari pada pasangan sebaliknya tawakal dan usaha sama-sama.
“Jika masih belum dikurniakan rezeki anak, tetap syukur. Allah nak bagi kita dating lama-lama lagi la tu. Tu pun rezeki tu! Semoga kita semua diberikan kesihatan yang baik dan bahagia dunia akhirat,” ujar ahli kumpulan De Fam itu.
Nona mendoakan agar suatu hari nanti, Cik Manggis dikurniakan rezeki bergelar ibu dan semoga kehadiran malaikat kecil berkenaan membawa kebahagian dan menyerikan lagi mahligai cinta sedekad yang di bina oleh Cik Manggis dan suami.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari NONA.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Kagum dengan semangat Datuk Mastura Tan Sri Mohd Yazid dalam menimba ilmu. Mana tidaknya, pada usia 60an dia nekad menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah atau PhD.