Tahukah anda, sikap saling memberi motivasi agar bersenam dan mengeluarkan peluh boleh mengeratkan lagi hubungan cinta? Apatah lagi jika senaman dilakukan bersama-sama, dapat memberi pengalaman baru sambil mengenali si dia dengan lebih rapat lagi.
Lebih mengujakan, bersenam dengan pasangan tidak memerlukan kamar khas, cukup dengan sebuah ruang terbuka dan selesa untuk bernafas bersama.
Banyak kelebihan yang boleh dikongsi sewaktu anda dan pasangan bersenam. Pada awalnya, mungkin terdapat sedikit perbezaan terhadap tahap kecergasan masing-masing tapi itu bukanlah halangan. Banyak lagi alasan untuk mencuba aktiviti ini bersama-sama.
(1) Keselamatan
Apabila pasangan anda melihat setiap gerak langkah senaman yang dilakukan, keselamatan akan lebih terjamin berbanding melakukannya berseorangan diri. Siapa lagi yang lebih khuatir akan keselamatan anda daripada dirinya, bukan?
(2) Masa Berkualiti
Anda berdua dapat meluangkan lebih masa bersama selepas penat bekerja. Daripada bersenam di gimnasium seorang diri, aturkan waktu senaman yang sesuai dengan masa anda berdua. Dengan cara ini, anda bukan sahaja dapat mencapai sasaran kecergasan, bahkan tidak mengorbankan satu-satunya masa dengan si dia.
(3) Minat Yang Serupa
Letakkan senaman dalam senarai minat dan hobi yang dikongsi bersama. Jadikan ia sebagai aktiviti unik yang menyeronokkan.
(4) Motivasi & Sokongan
Pasangan anda merupakan pemberi galakan yang terbaik. Ini menjadikan anda lebih konsisten dan saling mengambil berat di antara satu sama lain.
(5) Keintiman
Senaman mengeluarkan sejenis kimia di dalam otak yang mencetuskan perasaan gembira, mengurangkan stres serta merangsang libido. Beberapa kajian menunjukkan bahawa lelaki dan wanita yang kerap bersenam mempunyai kesihatan seks yang amat baik.
(6) Respek & Harga Diri
Mengambil berat tentang tubuh dan kesihatan anda menunjukkan betapa anda mahu memberi yang terbaik kepada mereka. Bukan sahaja menyerahkan hati dan perasaan, malah seluruh diri anda untuk dirinya.
(7) Keseimbangan
Golongan wanita lazimnya menggemari senaman kardio manakala lelaki pula menggemari latihan kekuatan. Dengan menggabungkan kedua-duanya, anda dan pasangan dapat menikmati semua kebaikan. Kecapi pengalaman kecergasan baru bersama-sama.
Jenis-Jenis Senaman
(i) Berdansa
Sambil memutarkan lagu-lagu kegemaran, gerakkan kaki dan ayunkan pinggul anda dengan pasangan tercinta. Antara senaman berbentuk tarian yang menyeronokkan adalah Zumba, diinspirasikan dari Latin dengan gerak langkah seksi untuk membakar kalori berlebihan. Selain itu, anda berdua juga boleh mencuba tarian salsa, ballroom atau hip-hop.
(ii) Aktiviti Luar
Bagi segelintir pasangan, aktiviti luar dapat mengeratkan lagi hubungan yang semakin renggang. Nikmati kesegaran udara dan panahan mentari dengan berbasikal, sama ada mengayuhnya di tengah bandar atau sekadar di taman tasik. Sambil melihat pemandangan, aktiviti ini juga akan menguatkan stamina anda berdua. Aktiviti lain seperti mendaki, merentas hutan, berkhemah atau paragliding.
(iii) Aktiviti Menenangkan
Menggunakan pendekatan Zen untuk kecergasan, aktiviti yoga yang dilakukan dengan pasangan dapat membakar kalori, menguatkan dalaman, mengurangkan stres dan meninggalkan mood yang baik. Pengamal yoga juga dikatakan cenderung makan lebih seimbang dan menyihatkan. Aktiviti lain yang sesuai ialah pilates, berkayak dan berenang. Norzalina Mohd Alias