Inilah ganjaran buat mereka yang bersabar. 10 tahun percaya dengan penuh sabar dan bersangka baik terhadap rezeki dari-Nya, Adam Corrie dan isteri temui ‘kegembiraan’ yang paling dinanti-nantikan selama ini.
Berkongsi rasa syukur dan teruja bergelar bapa tidak lama lagi, potret aktor lagak ngeri berusia 50 tahun yang tersenyum sambil memegang gambar imbasan kandungan zuriat sulungnya di IG ini menerima ribuan ucapan tahniah daripada rakan artis dan peminat.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat ilahi atas kurniaanMu.. Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan kebahagian kami. Alhamdulillah. Allah dah bagi honeymoon 10 tahun berdua. InsyaAllah kelak bertiga pula. ‘Ya Allah, semoga Engkau jadikan bayi ini sihat, sempurna, berakal cerdas dan mengerti dalam urusan agama. Ya Allah semoga Engkau memberikan kepada bayi ini umur yang panjang, sihat jasmani dan rohani, bagus budi perangainya, fasih lisannya. Serta bagus suraranya untuk membaca Al-Quran dan tinggikanlah darjat. Dan luaskanlah rezeki dan jadikanlah bagi manusia yang selamat di dunia dan akhirat dan taat pada agama dan Allah.’
Ads
Kami doakan juga pasangan yang masih berusaha dapatkan zuriat diberikan zuriat yang soleh dan solehah.”
Adam Corrie Lee bernikah dengan Fazema Mohd Fuad pada 21 November 2008 selepas hanya tiga kali bertemu. Hasil perkongsian hidup selama 10 tahun, Fazema turut pernah berkongsi luahan hati dan mengaku pernah merasa nikmat hamil sebanyak tiga kali sebelum ini.
Ads
“Setiap kali mendengar khabar berita orang sekeliling hamil, saya mesti menangis kerana gembira. Hingga sekarang kami masih berusaha, yang pasti kami masih tidak berputus asa dan kecewa. Kerana Allah dah beri banyak nikmat yang perlu saya rasa bersyukur. Iaitu mendapat seorang suami yang baik dan penyayang serta keluarga yang memahami dan sentiasa beri sokongan di kala susah dan senang.
Setiap perkara yang berlaku mesti ada hikmahnya. Yang penting kami berdua bahagia. Teruskan mengharap dengan Allah tanpa putus asa. Hikmahnya 3 orang zuriat kami iaitu Amin, Alif dan Idris sudah menunggu di sana,” tulis Fazema di Instagramnya suatu ketika dulu.
Adam Corrie dan Fazema adalah antara contoh pasangan suami isteri terbaik yang menghadapi setiap ujian Allah SWT dengan tenang dan sabar. Apa yang pasti, setiap kebaikan dan sikap positif insan kepada pencipta-Nya pasti akan beroleh kejayaan kelak. Buat Adam Corrie dan Fazema, teruskan menjadi inspirasi di samping menjaga kesihatan diri dan dipermudahkan segala urusan.
Sumber: Instagram @adamcorrielee
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bait-bait lagu Tan Sri P Ramlee menyergah petang yang damai, “Andai dipisah lagu dan irama, lemah tiada berjiwa, hampa”. Ahh, rindu aku pada Zaleha, aku rindukan gelak tawanya, gurau sendanya, lebih-lebih lagi keletah manjanya. Masih aku ingat saat perkenalan kami di rumah terbuka seorang teman. Dia kelihatan begitu anggun berbaju kebaya merah, rambutnya yang diikat rapi menyerlahkan lagi wajah mulusnya. “Cantiknya dia ni.” getus hati kecil ku. Siapa sangka perkenalan kami di situ membawa aku ke mahligai cinta. Saat awal perkahwinan semuanya indah, namun satu perkara yang aku tidak pernah tahu tentang dia, kompetitif! Suka membanding-bandingkan. Lama aku bersabar dengan sikapnya yang tidak suka kalah dari segala segi, penampilan, gaya dan apa sahaja yang dilakukan. Kesabaran aku sampai ke kemuncak dan aku menangis saat jatuhnya talak! Allahuakbar!
Segala-galanya bermula Ramadan tahun lalu, satu bulan yang amat aku nanti-nantikan. Umat Islam menadah syukur kerana dipertemukan dengan bulan penuh keberkatan ini. Aku? Bukan bulan biasa, bulan ini memberi aku satu ujian yang maha besar. Tibanya Ramadan, Zaleha bukan sibuk menggandakan ibadah, puas aku mengajaknya ke masjid namun ditolak mentah-mentah. “Alah abang malaslah saya nak pergi masjid, abang pergilah seorang. Bukannya saya ada kawan pun kat masjid tu. Saya solat kat rumah je.” Ujar Zaleha.
Bak kata lirik, kerana sayang aku turutkan, itulah aku. Namun jika ada majlis di masjid, Zalehalah yang paling berkobar-kobar, namun bukan kerana ibadah, semuanya untuk menunjuk-nunjuk juadah yang disediakan, segala-galanya over the top. Dari baju ke persalinan sembahyang semuanya berlebih. Bila ditegur dia melenting. “Alah abang ni, saya pakai cantik-cantik buat makanan yang mahal-mahal nak hidang ni abang juga yang bangga, orang puji saya.” Rungut Zaleha. Sayang, tahukah engkau aku mahu engkau seperti isteri-isteri yang lain, bersederhana dari segala segi. Tahukah engkau ramai yang merungut dan meluat dengan sikap mu yang suka menunjuk-nunjuk?
Semakin hampir dengan Ramadan, satu perkhabaran buruk singgah di meja. Syarikat mengalami masalah kewangan dan perlu ditutup. Satu perkara yang tidak aku sangka akan terjadi sebelum tibanya hari lebaran. Pulang ke rumah, aku khabarkan perkara ini kepada Zaleha. “Sayang, I just lost my job, everybody in my company. Syarikat I akan ditutup.” Luah aku pada Zaleha, mengharap suntikan semangat darinya. “What? U kene berhenti? Habis tu macam mana? Ehh kita ada duit lagikan? Siapa nak beli barang-barang persiapan raya. U jangan buat hal. Tahun ni I nak buat rumah terbuka besar-besaran. I dah bagi tahu kawan-kawan I semua tau!” Tegas Zaleha.
Tersentak jantung mendengar kata-kata Zaleha, bukannya tiupan semangat yang aku peroleh, malah amaran pula yang aku terima. Aku menerangkan kepada Zaleha, jangan risau kerana masih punya simpanan, namun harus berjaga-jaga kerana sekarang aku menganggur dan bukan mudah untuk mencari pekerjaan pada zaman yang mana ekonomi tidak menentu.
Lebaran hampir tiba, Zaleha hampir setiap hari keluar mencari barangan untuk rumah terbuka. Dengan hiasan rumah baru, tempahan perabot baru. Aku bertanya, “Sayang, kenapa membazir sangat, kan masih elok semua barang-barang yang sedia ada?” Dia hanya menjawab “Abang, saya guna duit saya tau, nak harapkan abang tak merasalah saya nak buat rumah terbuka besar-besaran. Dah la tu, bila saya suruh keluarkan wang simpanan abang tak mahu. Jadi jangan ambil tahu mana saya dapat duit ini semua.” Ya, semestinya itu duit yang aku berikan setiap bulan sebagai duit poket mu.
Lebaran tahun ini di sambut meriah di kampung, tiba sahaja hari kedua, Zaleha tidak senang duduk. Dia mahu pulang cepat ke rumah bagi menyiapkan persiapan rumah terbuka impiannya. ‘’Sayang, I tak puas lagi beraya kat kampung,” ujar ku kepada Zaleha. “Eh abang ni, macam budak kecil, lain kali kita balik lah lagi.. Lagipun dah rimas dah saya kat kampung ni. Saya nak balik, nak siapkan segalanya untuk rumah terbuka kita,” bebel Zaleha.
Tiba hari rumah terbuka, khemah dipasang seperti kenduri. Zaleha menjemput rakan-rakannya yang terdiri daripada kalangan VIP. Memang segala-galanya sempurna, hidangan yang begitu panjang mengalahkan bufet di hotel. Hati sedikit hairan memikirkan bagaimana Zaleha boleh mengadakan majlis sebesar ini. “Banyak sangat ke duit yang aku berikan setiap bulan sampai boleh buat majlis besar seperti kenduri?” Zaleha begitu bangga mendabik dada, bermegah-megah dengan teman-temannya yang kagum dengan majlis yang diadakan.
Aku tahu, Zaleha mahu menunjuk kepada teman-temannya yang rata-rata anak-anak orang kenamaan. Usai majlis aku sekali lagi bertanya lembut kepada Zaleha, “Sayang boleh abang tanya? Banyak sangat ke duit yang sayang simpan sampai boleh buat rumah terbuka macam kenduri ni? Paling tak makan belanja dua puluh ribu ni.” Zaleha hanya menjawab ringkas, “Alah abang, abang tak tengok ke semua orang kagum dengan kita? Maruah kita juga yang jadi tinggi kan? Kalau saya ambil duit abang pun tak salahkan? Bukannya habis pun!” Aku hanya mendiamkan diri mendengar kata-kata sinis isteri ku itu.
Hujung bulan tiba, seperti biasa bil-bil mendatang dan aku terkejut melihat bil kad kredit yang melambung tinggi. Bulan lepas penggunaan mencecah 22 ribu ringgit!! Mata aku seakan berpinar dan terkejut, tidak pernah aku menggunakannya seperti itu. Lantas aku teringat kata-kata Zaleha. Aku seperti orang gila dan terus menyergah isteriku itu, “Leha, u guna kad kredit I untuk rumah terbuka?” Dia hanya menjawab selamba, “Eh, salah ke saya nak guna, sayakan isteri abang! Lagipun abang dah ada kerja kan.. Bayar je la!”
Saat itu tahap kesabaran telah meninggi dan dengan lancarnya mulut ini berkata “ Zaleha binti Zaidi, aku ceraikan engkau dengan talak satu!” Saat itu wajah Zaleha berubah dan dia terjelepok ke lantai seperti orang meroyan. “Abang gila ke ceraikan saya, mana saya nak pergi. Saya sayangkan abang!!”
Sayang-sayang buah kepayang, tidak akan aku makan Zaleha. Aku berlalu pergi meninggalkan rumah demi mencari kedamaian. Kini lebaran tiba lagi, dan aku pasti teringat peristiwa itu. Dengarnya Zaleha ligat mencari kekasih baru, tetapi sayang semuanya tidak setia padanya. Selamat tinggal Zaleha, semoga Allah memelihara kesejahteraan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kebajikan itu sebaik namanya, keramahan seramah wujudnya dan kebaikan sebaik rasanya. Orang yang akan dapat manfaat dari semua itu adalah mereka yang melakukannya dan memperoleh ketenteraman, lapang dada dan damai.
Berbuat baiklah sesama manusia, nescaya akan memperoleh kebahagiaan di hati, dunia serta akhirat.
Perancangan Allah itu sangat indah, semuanya berlaku secara tiba-tiba dan pantas bila bermulanya detik negara kita Malaysia menerima Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan jumlah pesakit COVID-19 mula meningkat.
“Timbulnya idea untuk membantu menjahit pakaian wira barisan hadapan kita bila melihat video frontliners yang duduk mencangkung di atas lantai, memotong dan membuat baju PPE.
Saya terkejut dan sedih sekali melihat keadaan itu. Ini bukan kerja atau kemahiran mereka. Bermula dari saat itu, terdetik dalam hati saya untuk membantu dan order fabrik dengan modal sendiri. Niat saya hanya satu, ikhlas ingin membantu mereka yang berjuang untuk kita semua.
Saya buat panggilan pada teman-teman doktor di Hospital Serdang untuk dapatkan segala informasi. Dari situ mereka bagi pakaian PPE dan saya bawa pulang, menjahit sampel.
Tapi fabrik tidak ada waktu itu kerana semua kain perlu dapat kelulusan daripada KKM. Kita tidak boleh guna fabrik yang tidak ada piawaian dan mesti diluluskan oleh KKM.
Pihak hospital order fabrik tersebut dan saya dapatkan rakan teman lain untuk turut sama membantu bagi membeli kain tersebut. Saya akan jahit for free, mengikut kemampuan saya di rumah.
Pada awalnya kita order 3 roll dulu, satu roll dalam 2000 meter boleh siap 800 helai. Kita perlu 2.5 meter untuk satu set, ini termasuklah jubah luar yang berlengan, topi, tudung, sarung tangan dan sarung kasut kiri dan kanan.
Alhamdulillah, pada peringkat awal hari tu dapatlah saya siapkan 30 hingga 40 helai sehari. Bila disampaikan kepada doktor dan jururawat di hospital ada yang sampai menitik air mata.
Mereka sangat memerlukan pakaian tersebut sebab kritikal sangat dan sebelum ini plastik sampah pun mereka guna untuk langkah jaga keselamatan diri. Saya amat bersyukur dan terharu, semoga dengan usaha dan bantuan sikit saya ini dapat membantu mereka semua,” jelas Datuk Radzuan Radziwill.
Pastinya dalam keadaan sekarang permintaan semakin tinggi, “Ya, sekarang saya menerima lebih 600 yang PM saya di media sosial. Tak pernah-pernah mendapat mesej sebanyak itu, ramai yang mengucapkan terima kasih dan membuat permintaan untuk pakaian PPE.
Sayang sekali, stok fabrik sangat kritikal. Ini pun saya gunakan stok simpanan yang masih ada. Banyak sangat permintaan daripada pihak hospital kerajaan, swasta dan penjara.
Buat masa sekarang, kita akan menghantar ke Hospital Kluang, Johor. Di sana kes paling tinggi dan kita hantar ke sana segera.
Ada yang meminta untuk beli dan sebagainya tetapi kita memang buat untuk kebajikan. Kita bagi pada pihak hospital tetapi jika hospital tersebut dapat membeli fabrik dengan cepat, lebih baik dan kami akan terus jahit. Jika tidak, perlu menunggu kerana sukar untuk mendapat stok fabrik tersebut.
Selain itu, alhamdulillah saya turut mendapat sokongan daipada beberapa orang designer lain seperti Salikin, Rizman Ruzaini, Qudyn, Hatta dan pelapis designer lain. Dalam keadaan pergerakan yang terhad ini, insyaAllah kami akan usahakan. Saya akan memberi sampel kepada mereka dan sekarang kami menunggu order fabrik untuk sampai,” ujar Datuk Radzuan.
Sedikit kata-kata perkongsian Datuk Radzuan kepada semua barisan frontliners kita dan buat rakyat Malaysia, “Kalau untuk bercakap tentang perkara ini boleh membuatkan kita menitis air mata. Lihat sendiri bagaimana mereka menyabung nyawa untuk menyelamatkan mangsa-mangsa COVID-19 ini.
Saya berharap mereka janganlah tumbang, Orang Melayu cakap, kalau mereka tumbang, orang di belakang ini lagi akan tumbang. Kuatkanlah semangat dan berserah kepada Allah, jangan tumbang waktu ini kerana kami sangat memerlukan anda semua.
Walaupun kita lihat keadaan mereka, makan pun tak sempat dan sebagainya. Saya dan rakan designer lain akan cuba membantu anda semua sebaik mungkin, insyaAllah.
Buat semua rakyat Malaysia dengarlah perintah berkurung ini, duduk di rumah. Itu pun merupakan sumbangan terbaik anda kepada negara. Terima kasih.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Usah berkelana hingga ke luar negara untuk menikmati pemandangan dan penginapan eksklusif berkelas dunia kerana di Lexis Hibiscus Port Dickson, percutian anda di samping insan tersayang pasti lebih bermakna. Sejak dibuka kepada umum, Lexis Hibiscus iaitu resort bertaraf antarabangsa yang terletak di Pasir Panjang kira-kira 120 kilometer dari ibu kota Kuala Lumpur ini tidak pernah sunyi menerima kunjungan pelancong dalam dan luar negara saban hari.
Daripada konsep kepada realiti, Lexis Hibiscus bagaikan sekuntum bunga raya mekar di Selat Melaka. Mercu peranginan terkenal yang dibina di atas air ini dinamakan ‘hibiscus’ sempena konsep reka bentuknya yang mengetengahkan keunikan bunga kebangsaan, bunga raya. Keindahan hotel terapung ini lebih menyerlah tatkala malam melabuh apabila cahaya lampu menerangi persekitaran resort. Lebih-lebih lagi dengan adanya pencahayaan berwarna-warni di pancuran air setinggi 400 kaki yang juga tertinggi di Malaysia.
Ruang lobi yang cantik dan luas memukau pandangan mata sebaik memasuki perkarangan hotel ikonik ini. Bersebelahan bangunan lobi terdapat sebuah lagi bangunan yang dikhususkan untuk ruang parkir bertingkat. Selesai urusan mendaftar masuk, perkhidmatan buggy tersedia di luar lobi untuk membawa anda ke kamar hotel. Bagi yang sukakan ketenangan laut lepas, Lexis Hibiscus adalah pilihan tepat. Hembusan angin sepoi-sepoi bagaikan menyambut ketibaan anda.
Sebanyak 639 kamar pool villa dengan tujuh jenis pilihan ditawarkan kepada pengunjung. Antaranya Imperial Suite, Presidential Suite, Executive Pool Villa, Premium Pool Villa dan Panorama Pool Villa yang dibina mengikut susunan bunga raya di atas air. Berbeza pula bagi kamar Sky Pool Villa dan Royal Suite di bangunan utama.
Mengadaptasikan elemen kontemporari, setiap kamar di Lexis Hibiscus dihiasi perabot serba moden yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dua katil bersaiz king, kolam renang dan bilik stim persendirian serta kelengkapan set mandian. Ruang kamar yang luas dan selesa mampu menempatkan seisi keluarga anda. Dengan adanya kolam di setiap bilik, anda juga bebas melakukan aktiviti kekeluargaan penuh privasi. Pengunjung yang menginap di water chalet, kesediaan panel lantai gelas yang menampakkan air laut pastinya sesuatu yang mengujakan.
Pengalaman menginap di Sky Pool Villa dan Royal Suite pula menghidangkan pemandangan laut lepas yang indah. Bersesuaian dengan lokasinya yang menghadap laut dan berada di bangunan utama, anda berpeluang menyaksikan suasana matahari terbenam sambil menghayati keindahan Selat Melaka. Lebih manis, anda turut dapat melihat susunan resort berbentuk bunga raya.
Teroka keseronokan bercuti di Lexis Hibiscus dengan mencuba aneka hidangan menyelerakan di Roselle Coffee House dan UMI Japanese Restaurant. Menyajikan juadah sarapan pagi, tengah hari, minum petang dan makan malam, Roselle Coffee House sedia menanti kedatangan anda untuk menjamu selera. Begitu juga di UMI Japanese Restaurant yang menyediakan sajian popular dari negara matahari terbit seperti tempura, sashimi dan teppanyaki.
Lanjutkan percutian anda dengan menikmati sesi memanjakan diri di Lex Spa yang terletak di tingkat 2. Rawat tubuh yang lesu dan kembalikan kesegaran tubuh badan anda dengan memilih pelbagai rawatan urutan badan atau kecantikan yang ditawarkan di sini. Usai membelai tubuh dan minda, riangkan hati anak-anak anda dengan melawat Kidz World yang berada di aras sama. Luangkan aktiviti bersama keluarga di Lexis Hibiscus dengan melakukan aktiviti seperti sukan bola tampar, aktiviti sukan air, berbasikal mengelilingi kawasan resort mahupun berkaraoke di Starz Karaoke.
Apa yang pasti, percutian di Lexis Hibiscus pasti meninggalkan seribu satu kenangan jika anda bijak memanfaatkannya. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai hotel ini atau membuat tempahan layari laman www.lexishibiscuspd.com atau hubungi talian 06 – 660 2626.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!