
Ketika manusia terpaut pada dunia, segalanya tak akan pernah cukup. Harus lebih lagi… Lebih kaya, lebih cantik, lebih berkuasa. Yang lemah terus ditindas, umpamanya sifat berat sebelah terhadap wanita. Inilah yang diperjuangkan oleh Amal Clooney serta 11 wanita lain yang diiktiraf Time’s Women of the Year.
Nama peguamcara berketurunan British-Lubnan, Amal Clooney cukup dikenali dengan perjuangannya menegakkan keadilan undang-undang am dan jenayah antarabangsa serta memperjuangkan hak asasi manusia.
Cantik, bijak dan seorang aktivis yang prihatin, Amal sebelum ini pernah bertugas sebagai penasihat bagi Setiausaha PBB Kofi Annan untuk isu konflik di Syria serta pensyarah undang-undang jenayah di Universiti London.
Wanita berusia 44 tahun dan isteri kepada aktor George Clooney itu lahir di Beirut sebelum keluarganya berpindah ke Eropah gara-gara perang saudara di Lubnan pada tahun 1982. Beliau mempunyai sepasang anak kembar iaitu Alexander dan Ella, 5 tahun.


Amal, atau nama sebenarnya Amal Ramzi Alamuddin merupakan seorang peguam hak asasi dan undang-undang antarabangsa tersohor di Britain. Beliau mahir berbahasa Inggeris, Perancis dan Arab.
Selepas menamatkan pengajian di Universiti Oxford, Amal meneruskan program Master di Universiti New York, sekaligus melayakkan beliau mempraktikkan undang-undang di United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Di antara kes berprofil tinggi yang dikendalikan adalah berkaitan pemenang Hadiah Nobel, Nadia Murad serta mewakili wartawan Al-Jazeera yang ditahan di Mesir. Pengasas Wikileaks, Julian Assange dan bekas Perdana Menteri Ukraine, Yulia Tymoshenko juga pernah menjadi anak guam Amal Clooney.
Beliau juga adalah Presiden dan Pengasas Bersama Clooney Foundation for Justice.






Barisan penerbitan Time menyifatkan bahawa pandemik bukan saja menjejaskan kehidupan wanita, malah turut meningkatkan angka keganasan domestik dan menjadi punca kehilangan rezeki.
Dengan mengangkat nama-nama pemimpin wanita atau individu yang berani memperjuangkan kesamarataan gender pasti dapat memberi motivasi agar lebih ramai yang lain menyertai mereka.
Menyertai Amal Clooney dalam barisan senarai Time’s Women of the Year adalah Tracy Chou, Allyson Felix, Amanda Gorman, Sherrilyn Ifill, Jennie Joseph, Amanda Nguyen, Michaela Jaé Rodriguez, Kerry Washington, Kacey Musgraves, Adena Friedman dan Zahra Joya.
Selamat Hari Wanita Sedunia buat semua pembaca Majalah Nona. Bersama kita saling mendukung dan menguatkan satu sama lain!
“Ilmu Macam Peluru” Caprice Makin Matang Lepas Kahwin, Mahu Bangkit Semula Demi Keluarga

Misi baru Caprice dari bumi Mesir ke tanah air, jihad selebriti rap itu dilihat kembali rancak di media sosial. Merencanakan semula masa depannya dengan penuh teliti, kini beliau memilih untuk lebih dikenali sebagai Ariz Ramli, fokus pada bisnes dan diri sendiri, serta terus melangkah yakin tanpa menoleh ke belakang lagi.
Tepat jam 2.30 petang, Ariz muncul di studio dengan wajah berseri-seri. Sut biru slim fit terletak kemas, secocok benar disarung Ariz yang baru beberapa bulan bergelar suami kepada Farra Inalis.
Cuba membaca senyum bahagia di bibirnya, dalam masa singkat penulis tahu dia kini lebih lega dan yakin dengan keputusan mendirikan rumah tangga pada usia 33.

Dengan jumlah pengikut mencecah 1.6 juta, nama Ariz pada ketika ini cukup kukuh di kalangan generasi muda. Intro rasmi @daddycapofficial (dulu @capriceofficial) – What is on the news today? – antara yang cukup sebati dengan namanya, yang suka mengulas pelbagai topik semasa di Internet.
Pelat Inggeris sedikit pun tidak menjejaskan isu yang dibawa, malah fikir penulis, padanlah dahulu banyak topik yang dikupas, diangkat sampai ke pengetahuan pihak atasan!
“Ia selalunya impromptu, isu-isu ad hoc bila orang DM saya untuk minta pendapat. Bila banyak yang DM, saya terus set kamera, rekod dan muat naik.
Tiada proses yang rumit cuma kalau melibatkan isu yang sensitif, seperti agama, saya akan WhatsApp dulu sahabat Ustaz yang lebih arif tentang Islam. Tapi saya cuba tidak mengulas ‘terlalu dalam’ tentang sesuatu di luar bidang upaya saya.” Ariz Ramli

Sekilas pandang, adakah peranan social media influencer hari ini memberi manfaat kepada generasi muda? Tanya penulis.
“Sudah tentu! Kalau media sosial tak penting, mungkin sekarang tiada sesiapa akan gunakan untuk meluah perasaan, buat jualan dan pembelian atau kongsi kerja kebajikan. Maknanya media sosial tu sendiri adalah platform terbaik untuk generasi masa kini.
Saya rasa generasi digital sekarang bergerak ke arah contents yang bergerak cepat dan pantas, seperti TikTok. If you look at the numbers now, TikTok is a new frontier. Selain tu, Facebook pula kembali membawa gelombang META yang saya jangkakan akan lebih hebat tak lama lagi.”
Lelaki sebagai pengguna TikTok, pandangan anda? “Kalau kita nak jadi relevan tak kira dalam arena perniagaan, seni atau politik, kita kena gunakan TikTok.
Peraturan paling penting dalam media adalah berapa banyak mata yang melihat contents anda. Views is king. Kalau tak ada views, nak jual apa pun tak boleh. Kita akan ketinggalan kalau tak manfaatkan platform media sosial.”
Sambung Ariz, minatnya terhadap teknologi membuatkan dia percaya bahawa media sosial itu sifatnya disruptive.
“Kalau kita tengok sejak tiga tahun kebelakangan ni, pengaruh media sosial yang kuat mampu ‘menggoyangkan’ sesuatu institusi, termasuk kerajaan. 10 tahun dari sekarang, 5G will be nothing.
The rate of ilmu tu, terlalu laju. Mungkin ia boleh mengganggu atau memperkasakan, terpulang kepada cara kita menggunakannya.”
Tidak ingin mensia-siakan pengaruh yang dimiliki, Ariz juga berjihad dalam dunia pendidikan. Lelaki berkulit putih ini tekad mahu mengubah mindset generasi agar menjadi ‘critical thinkers and problem solvers’ sebagai pemimpin masyarakat. Malah bermula lima tahun lepas, dia sudah pun memperjuangkan e-learning melalui platform classruum.com.

“Dulu mungkin terlalu awal tapi selepas dunia dilanda COVID-19, semua orang beralih kepada online learning, sesuatu yang sudah saya bangunkan lima tahun sebelum tu,” cerita Ariz yang sudah pun menjual sistem tersebut kepada Johor Corp pada nilai RM2.5 juta.
Diikuti dengan mengaji.com, Ariz terus menginovasikan ilmu membaca jawi seperti karaoke. Kongsi usahawan muda itu lagi, beliau ingin terus memantapkan ilmu ibadah harian ke bentuk teknologi.
“Walaupun baru-baru ni ramai pertikaikan niat jihad saya, I will still go on. Bahkan saya tekad untuk memulakan semula syarikat IT atau apps kami antaranya melancarkan semula mengaji.com, Umrahloka, JustSolat dan Salam Jodoh pada tahun 2022.
Kami tetap akan usaha untuk bina teknologi yang membantu dan membangkitkan ummah.” Ariz Ramli
KELUARGA
Membesar di negara asing dan menuntut di sekolah antarabangsa, begitulah yang dilalui anak Negeri Sembilan ini sejak zaman kecilnya. Merupakan anak seorang Diplomat, mereka sekeluarga juga pernah tinggal di Perancis, Jordan dan Algeria sebelum kembali ke tanah air.
“Sebenarnya saya jarang bercakap tentang bapa saya. Dia sangat low profile, very strict Muslim and he never show love. Walaupun jarang bagi pujian, tapi saya tahu kalau dia bangga dengan saya, tiba-tiba pasti ada potongan buah mangga – cara halus bapa tunjukkan kasih sayangnya.
Mak saya cakap, perangai kami berdua serupa. Jenis yang buat je, contoh kalau tahu orang ada masalah, terus bagi pertolongan tanpa berfikir panjang. Sama. Hidup saya pun macam tu.
Saya yakin dapat sikap ini daripadanya dan mungkin itulah yang membuat saya mampu survive seorang diri di Kuala Lumpur pada usia 16 tahun.” Ariz Ramli

Tergolong di kalangan pelajar pintar dan pernah ditawarkan biasiswa penuh, namun Ariz memilih jalan hidup yang berbeza dengan menceburi bidang muzik.
“Dulu ibu bapa saya tak ‘merestui’ keputusan saya untuk jadi artis. Bagi mereka, lebih baik saya lanjutkan pelajaran dan berkhidmat di sektor kerajaan.
Sebenarnya memang ramai famili saya bekerja dengan kerajaan pun sampai sekarang. Reaksi bapa masa tu, dia punya mengamuk dari Venezuela sampai Jelebu, marah sampai ke Lenggeng!”
Namun tambah Ariz, kedua ibu bapanya cukup penyayang malah mereka berdua juga cukup bimbangkan keselamatan dirinya sewaktu di Mesir tempoh hari.
“My mom was worried and we communicate almost everyday. Bapa pula jenis suka membaca dan dia sangat tertekan dengan keadaan saya di sana.
Banyak kali mereka menyuruh saya balik Malaysia dan paling susah dilupakan, mak suruh saya kahwin! So I took my mom advice and got married!” Ariz Ramli

FOKUS
Minat terhadap muzik dan teknologi juga membuatkan lelaki ini begitu memahami jiwa anak muda. Sebagai usahawan minyak wangi Rindu Raudah, Ariz bukan saja mencipta nama sebagai artis rap popular, malah kerap memberi ceramah dan dijemput sebagai motivator di pelbagai IPT seluruh Malaysia melalui program Jihad in Education.
Bercerita tentang kenangan paling bermakna sepanjang menjadi social media influencer, Ariz dengan segera teringatkan satu peristiwa yang amat dekat dengan dirinya.
“Salah seorang ejen Rindu Raudah merupakan pesakit kanser. Dia sanggup menyertai bisnes minyak wangi Rindu Raudah kerana percayakan jihad saya. Malah suatu hari, dia datang jauh dari Johor semata-mata untuk berjumpa saya.


Kemunculan individu ini sangat menyedarkan kita semua bahawa don’t take things for granted. Apa yang kita buat atau katakan di media sosial, boleh menyentuh hati seseorang, tak kira secara positif atau negatif. Jadi saya mula ‘beringat’ supaya berhati-hati bila bercakap.”
Mengakhiri perbualan, Ariz berkongsi rasa syukur kerana masyarakat mula berhenti memperkatakan isu lama dan fokus terhadap masa depan, termasuk kehidupannya yang kini sudah berkahwin.
“Selain mengukuhkan bisnes IT saya, saya juga bina jenama baru untuk isteri dan anak perempuan saya. Saya ingin kami menjadi keluarga entrepreneurs yang berjaya.
Untuk menjadi generasi yang bijak dan berfikiran terbuka, saya fikir kita semua mesti terus mengejar ilmu. Saya sendiri suka membaca dan ikuti berita dari seluruh dunia. Ilmu tu macam peluru. Lagi banyak ilmu kita, lagi banyak peluru yang kita ada.
Itulah rahsia kejayaan dan bangkit semula. Sebagai belia Malaysia, bangkitlah dengan ilmu. Usah rasa terlalu selesa dengan kemudahan yang ada.” Ariz Ramli
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Ayang Kamell
4 Jelitawan BOLLYWOOD Komited Hulur Bantuan Buat Frontliners & Pesakit COVID-19

Berdasarkan headline beberapa media antarabangsa, kes COVID-19 di India mengalami peningkatan secara drastik. India kini memasuki fasa gelombang ke-2 COVID-19 yang semakin kritikal.

Menurut pakar kesihatan, India mencatatkan rekod dunia dengan kadar jangkitan tertinggi. Angka kematian dalam tempoh 24 jam turut bertambah sehingga mencatat total kes sebanyak 21.1 juta. New Delhi yang terkenal sebagai pusat perfileman Mumbai antara tempat yang paling tinggi kesnya sehingga dilaksanakan lockdown lokal.

Justeru, melihat kepada situasi tersebut, banyak posting di media sosial yang memohon bantuan baik sumbangan wang mahupun info-info terkini. Tanda pagar #IndiaNeedsOxygen menjadi trending di Twitter. Dari tanda pagar tersebut, ramai selebriti terkenal Bollywood tampil menghulurkan bantuan. Antaranya 4 selebriti jelita ini.
SUSHMITA SEN
Siapa yang tidak kenal dengan aktres jelita ini.


Bekas ratu cantik ini terdetik untuk turun padang setelah melihat video daripada Ketua Eksekutif Hospital Shanti Mukand, Delhi iaitu Sunil Saggar. Dalam video tersebut, Sunil Saggar memberitahu pihak mereka hanya mempunyai baki 2 jam oksigen. Lantas, Sushmita Sen memutuskan untuk segera bertindak.
This is deeply heart breaking…oxygen crisis is everywhere. I have managed to organise a few oxygen cylinders for this hospital but have no way to transport it to Delhi from Mumbai…please help me find a way https://t.co/p8RWuVQMrO
— sushmita sen (@thesushmitasen) April 22, 2021
Sushmita Sen turut berterima kasih buat rakan-rakannya yang turut membantu. Tabung oksigen sumbangannya telah dipindahkan ke hospital Delhi dan Mumbai.

PRIYANKA CHOPRA JONAS
Aktres jelita ini tidak terkecuali apabila telah menggunakan akaun Twitter peribadinya bagi menjelaskan krisis semasa melalui tweet berinformasi antaranya ialah berkongsi senarai nombor perkhidmatan ambulans di seluruh India.


Isteri Nick Jonas ini turut menggunakan tanda pagar #CovidIndiaInfo untuk menarik informasi penting dari Twitter. Terdapat juga selebriti-selebriti Bollywood yang memberi sumbangan derma kepada yayasan bagi membekalkan bantuan ubat-ubatan dan bekalan oksigen.

KATRINA KAIF
Seorang lagi aktres jelita terkenal Bollywood iaitu Katrina Kaif yang baru-baru ini turut disahkan positif COVID-19. Setelah kembali pulih, Katrina turut membantu antaranya membuat perkongsian di IG Story dengan tajuk Covid-19 Updates.


Perkongsian tersebut sentiasa diperbaharui dengan informasi-informasi terkini antaranya senarai nombor pusat kesihatan yang boleh dihubungi jika dijangkiti COVID-19. Katrina juga berkongsi maklumat tentang makanan yang sesuai diambil saat dijangkiti COVID-19.

TWINKLE KHANNA
Isteri kepada aktor tampan, Akshay Kumar ini turut membantu negaranya itu.

Twinkle Khanna bersama suaminya, Akshay telah menyumbangkan 100 oxygen concentrator sebagai usaha untuk membantu tenaga perubatan India memerangi gelombang ke-2 COVID-19. Khabar ini dikongsi oleh Twinkle Khanna melalui akaun Twitter peribadinya.

Pasangan ini turut menyumbang ke Yayasan Annada bagi penyediaan makanan berzat untuk keluarga yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Sama-sama kita berdoa agar wabak COVID-19 ini segera berlalu seterusnya kita dapat menjalani kehidupan normal seperti biasa. Peranan dan tanggunggjawab masyarakat seluruh dunia adalah sangat penting saat ini, bukan hanya bergantung kepada frontliners. Kerana kita semua adalah frontliners sebenar.

“Saya Kenal Perangai Ayah Saya Yang Sangat Bergantung Pada Mak,” – DATIN MARINA MAHATHIR

Anakanda sulung Perdana Menteri ketujuh ini sempat berkongsi bingkisan indah bersama keluarga tercintanya buat pembaca NONA. Di usia 61 tahun, rupa paras isteri kepada Tara Sosrowardoyo dan ibu kepada tiga cahaya mata, Ineza Roussille, Haga Tara dan Shaista Mayada itu masih manis rupawan dengan karakter seorang feminis yang pintar.
Terus saja persoalan tentang watak ibu bapanya di rumah diajukan, lantas disambut dengan senyuman lebar oleh Datin Marina. “Secara jujur, saya melihat kedua orang tua saya sebagai pasangan yang paling ideal di dunia. Mereka seperti ditakdirkan bersama. Amat mesra dan saling melengkapkan antara satu sama lain. Meskipun kedua-duanya tidak ekspresif melahirkan rasa cinta, namun ia terserlah melalui perbuatan dan pandangan mata. Saya juga kenal perangai Ayah saya yang sangat bergantung pada Mak. Kalau ada sesuatu yang mengganggu fikirannya atau waktu dia menjalani rawatan di hospital dahulu, hanya isterinya yang dimahukan untuk berada di sisi.
Semasa kami semua membesar di Alor Setar, Ayah seorang yang garang dan tidak banyak bercakap. Kalau kami tak pergi ke sekolah, macam buat satu dosa besar bagi dia. Saya juga pernah teruk dicubit dan dimarahi apabila tukang kebun kami mengadu saya menjelir lidah kepadanya. Berkali-kali Ayah tekankan betapa pentingnya sikap tertib dan adab sopan terhadap orang lain. Itulah yang saya pegang dan menjadi prinsip hidup sampai sekarang,” cerita wanita yang mesra disapa sebagai Marina itu kepada penulis.
Tun Dr. Siti Hasmah pula, akui Marina turut bersikap tegas kerana beliaulah yang menguruskan semua hal berkaitan pendidikan anak-anak. “Dia memang lemah lembut dan mesra dengan semua orang. Tapi sewaktu kami kecil, dia seorang enforcer kerana mahu melihat kami semua berjaya. Sekarang tidak lagi. Mak merupakan individu paling rajin untuk mengatur percutian keluarga dan dialah yang sentiasa membuatkan kami sekeluarga berhubung antara satu sama lain.
Kami selalu dididik bahawa hajat tak akan tertunai tanpa usaha. Dalam dunia ni tak ada yang percuma. Semua orang mesti bekerja untuk mendapatkan hasilnya. Mereka juga selalu berpesan bahawa pendidikan itu sangat penting. Tak kisahlah kami mahu kerja apa nanti asalkan mesti habis belajar. Kerana tidak dipaksa, maka tak ada seorang pun di antara kami yang mengikut jejak langkah mereka dalam bidang perubatan. Mujurlah sekarang ada dua anak saudara yang menunjukkan minat sebagai doktor,” kata Datin Marina dengan mesra.
Kesibukan sentiasa menjadi halangan buat pemilik syarikat Mosaique Communication ini dan adik-beradik yang lain untuk selalu berjumpa ibu bapa di rumah. Sesekali tiba peluang berkumpul, itulah masanya untuk update hal keluarga masing-masing. “Percaya tak, kadang-kadang saya kena baca akhbar untuk tahu Mak dan Ayah berada di mana! Hakikatnya memang mereka berdua sibuk dengan pelbagai aktiviti di merata-rata tempat. Sebagai anak Perdana Menteri, kami dah biasa dengan situasi ini. Cuma kini agak risau kerana mereka sudah tua dan perlu banyak berehat.
Ayah sudah biasa bekerja. Sebenarnya kami sekeluarga sudah puas memujuk namun Ayah masih sayangkan perjuangannya. Sampai ke satu tahap, kami jadi putus asa. Selagi dia masih sihat, okaylah. Cuma jauh di sudut hati saya sangat kesian melihat Ayah kerana umurnya yang sudah meningkat,” kata Datin Marina dalam nada tertahan.
Tatkala Datin Marina atau ahli keluarganya yang lain dilemparkan pelbagai tohmahan, mereka sekeluarga mengambil inisiatif untuk saling menyokong satu sama lain. “Saya selalu menerima kritikan negatif tapi alhamdulilah semuanya diuruskan sendiri tanpa melibatkan Ayah atau sesiapa. Mungkin berkat pengalaman di bidang perhubungan awam dulu, saya jadi immune. Saya tak kisah apa orang nak kata. Mereka tak kenal saya tapi menilai dari media sosial saja. Di media sosial, golongan yang menghentam itu memang nampak hero tapi belum tentu mereka berani berdepan saya. Kita semua sama. Yang menghisab cuma Dia.”
Kini meskipun tidak lagi aktif dalam persatuan, kebanyakan masa Datin Marina masih lagi padat dengan pelbagai program seperti jemputan memberi ceramah di sektor korporat, universiti dan sekolah. Beliau juga masih memikul tugas ahli lembaga Yayasan Maybank dan ahli Asian University for Women (AUW) yang berpangkalan di Chittagong, Bangladesh.
Daripada pandangan mata penulis, sumbangan Datin Marina teramat besar dalam memperjuangkan hak asasi wanita. Beliau lantang menyuarakan pendapatnya walau ada kalanya disanggah beberapa pihak. Sebagai bekas Presiden Majlis AIDS Malaysia juga, Datin Marina giat membela nasib mangsa HIV/AIDS serta terkenal melalui Sisters In Islam kerana memperjuangkan keadilan serta menuntut kesaksamaan bagi wanita Islam
MERIAH
Ceritera Ramadan menyapa perbualan penulis yang seterusnya dengan Marina. Dibesarkan dengan gaya orang Kedah, Datin Marina sekeluarga biasanya akan mula berbuka dengan hidangan ringan seperti kuih-muih dahulu, sebelum bersolat Maghrib dan bersambung semula dengan menjamah nasi. “Amalan kami sama saja dengan keluarga lain. Saya sendiri berlatih berpuasa secara separuh hari. Sedikit demi sedikit, barulah pandai berpuasa sampai sehari dan alhamdulilah pada usia 8 tahun, sudah boleh berpuasa penuh di bulan Ramadan.
Bagi saya Ramadan adalah masa yang paling ideal untuk keluarga. Sambil itu juga, inilah masanya untuk merenung semula makna kebesaran bulan Ramadan dan to simplify our life. Kami sudah lama tak pergi berbuka puasa di hotel tapi cukuplah apa yang terhidang di atas meja saja. Inilah bulan yang paling quiet bagi saya, kurang bersosial, kurang marah-marah dan lebih masa untuk beribadah. Cukuplah menyibukkan diri pada bulan-bulan lain.
Sekarang bila keluarga dah bertambah besar dan ramai, kami sepakat adakan dua majlis wajib sewaktu bulan Ramadan. Semua ahli keluarga mesti berkumpul pada malam 1 Ramadan dan malam terakhir berpuasa. Masa inilah kami akan berbuka dan bertarawih sama-sama di rumah dengan keluarga,” imbau Datin Marina yang juga pernah menyambut Ramadan selama lima tahun di kota London.
Sewaktu negara di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir dulu, penulis teringat akan suasana meriah membuat persiapan raya sambil televisyen terpasang rancangan Perutusan Khas Aidilfitri daripada Perdana Menteri. Tatkala bercerita semula tentang kenangan itu kepada Datin Marina, beliau sebagai anak tentulah agaknya lebih teruja. Sambbil tertawa kecil. “Saya tidaklah sampai tertunggu-tunggu ucapan Ayah di depan TV. Bagi saya, itu biasa saja baginya yang sedang menjalankan tugas rasmi sebagai pemimpin.”
Mengakhiri perbualan ini, Datin Marina sempat berpesan kepada semua pembaca Nona agar jangan jemu menambah ilmu. “Pengetahuan adalah kuasa. Sebagai wanita, kita mesti tahu apa hak kita dan perkasakan diri dengan pengetahuan. Dengan itu kita lebih bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran atau kemungkinan yang mendatang,” katanya bersungguh-sungguh.