Mengenali ibu kepada dua cahaya mata, Marleena Mustaffa nyata menimbulkan rasa cemburu kepada sesiapa pun. Masakan tidak, selain dikurniakan susuk badan menawan, dia juga memiliki kulit mulus dan gebu. Sekali imbas pasti ramai yang menyangka isteri kepada Afendi Dahlan ini berasal dari Jepun.
Ditambah pula dengan sepasang mata yang sepet, menguatkan lagi telahan itu.
Sambil tersenyum, Marleena mengangguk tanda setuju yang dirinya memang memiliki darah kacukan Jepun. Tatkala ditanya rahsia untuk mendapatkan kulit sihat sepertinya, wanita berusia 33 tahun ini lantas membuka bicara.
“Saya seorang yang kuat minum air kosong setiap hari. Dalam sehari saya boleh minum lebih daripada 3 liter air. Sampaikan rakan-rakan di pejabat dan keluarga selalu bertanya berapa kali saya akan ke tandas setiap hari kerana kerap membuang air kecil. Memang kelakar tapi saya sudah terbiasa dan tidak kisah.
Selain minum banyak air kosong, saya juga sangat menggemari teh hijau. Mungkin sudah sebati dengan darah Jepun saya agaknya,” seloroh Marleena.
“Sejak kecil lagi, bapa saya akan beli segala macam suplemen untuk kami sekeluarga. Pada mulanya memang malas hendak ambil makanan tambahan ini. Tetapi lama-kelamaan ia jadi kebiasaan.
Bahkan sewaktu saya belajar di luar negara dahulu, setiap kali bapa saya telefon dia pasti akan bertanyakan tentang suplemen yang dibelinya. Sampailah ke hari ini amalan itu masih berterusan.
Buat masa sekarang saya mengambil asid folik kerana ibu saudara saya yang juga seorang doktor pakar beritahu asid folik sangat bagus untuk wanita terutama bagi mengurangkan tekanan darah tinggi.
Selain itu, saya juga mengambil CoQ10 sebagai pembekal tenaga lebih-lebih lagi bila tugas di pejabat dan urusan penjagaan anak-anak makin bertambah. Untuk ketahanan stamina pula, saya amalkan pemakanan multi vitamin dan Berocca.”
Mengakui selesa untuk tidak mengenakan solekan tebal sewaktu ke pejabat mahupun saat berlibur, pemilik Muzium Coklat di Kota Damansara yang turut diusahakan bersama suami tercinta ini sememangnya cukup menitikberatkan soal kesihatan kulit.
Ujarnya, “Penjagaan kulit adalah keutamaan kerana saya mempunyai kulit yang agak sensitif terhadap sinaran matahari sama seperti ibu saya. Kalau tidak dijaga, ia mudah terdedah kepada pigmentasi dan jeragat. Sebab itu saya kena disiplin menjaga kulit walau sesibuk mana sekali pun.”
Kunci utama untuk memiliki kulit secantik Marleena adalah konsisten dan amalkan gaya hidup sihat. Itu saja dan yang pasti bukan terletak pada produk kecantikan yang mahal semata-mata.
Turut berkongsi petua kebahagiaan yang diamalkan sejak mendirikan rumah tangga lebih lapan tahun lalu, graduan Master of Architecture dari RMIT University di Australia ini membongkar rahsia.
“Suami banyak memberi kejutan kepada saya. Siapa sangka dia sanggup datang ke Australia semata-mata ingin menjadikan saya sebagai teman hidup. Selepas bernikah, kami berpisah seketika kerana saya harus pulang ke Australia untuk meneruskan pengajian. Sepanjang berjauhan, Afendi tidak putus-putus menceriakan hidup saya.
Paling saya ingat waktu itu bulan Ramadan dan dia mengirimkan kad kepada saya. Keesokan harinya saya terima sekeping kad lagi daripada dia. Dalam masa dua minggu, saya terima berbelas-belas kad daripada suami.
Dia juga sering menghadiahkan saya bunga untuk menceriakan rumah kami di sana. Isteri mana yang tidak bahagia apabila diberi kejutan sebegitu. Apatah lagi waktu itu kami saling berjauhan.
Alam rumah tangga ini banyak pahit dan manisnya. Tipulah kalau saya cakap semuanya manis. Ada ketika mesti ada pergaduhan, perselisihan faham dan sebagainya. Walau apa pun, sebagai suami isteri kita harus banyak bersabar dan berbincang. Apa yang saya belajar daripada suami, kalau sedang marah atau berselisih faham, jangan sesekali memanggil suami atau isteri dengan nama atau gelaran tidak sepatutnya.
Panggil dengan gelaran yang romantik atau sopan seperti ‘abang’ atau ‘sayang’ seperti yang biasa kita panggil. Pada mulanya, saya sendiri susah untuk praktikkan. Iyalah, bila sedang marah kita tidak sedar apa yang kita cakap.
Tetapi lama-kelamaan apabila memanggil mereka dengan gelaran sebegitu perasaan marah akan surut. Macam ‘miracle’ pula. Bagi saya panggilan manja inilah yang dapat menyejukkan hati suami isteri. Percayalah,” pesan Marleena bersungguh.