
Pertama kali bersua muka dengan wajah jelita persis kakak kesayangannya Rozita Che Wan ini telah membuat mata tidak berhenti memandang. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui beliau mempunyai lima orang anak yang masih kecil. Memiliki tubuh langsing bak anak dara membuatkan Datin Rohaiza Che Wan atau mesra di sapa Datin Jaja ini pasti menjadi idola setiap wanita.
Memiliki anugerah bertubuh tinggi membuatkan penampilan Datin Jaja pasti mencuri tumpuan di setiap majlis yang dihadirinya. Sudah lah berwajah cantik sikap ramah-tamahnya menambat hati sesiapa sahaja yang mendampinginya malah tidak lokek berkongsi rahsia kecantikannya.
“Sebenarnya saya tidak mempunyai rahsia kecantikan yang khusus. Namun, apa yang boleh saya kongsi adalah amalan ketika berpantang selepas melahirkan anak. Saya jenis seorang yang kuat berpantang selepas melahirkan anak. Lebih-lebih lagi apabila jarak umur anak-anak saya sangat rapat. Oleh itu penjagaan amalan berpantang sangat penting.
Saya mahu kelihatan cantik dan bertenaga seperti mak. Saya patuh semua pantang larang yang mak ajar ketika berpantang. Pemakanan sangat penting ketika berpantang, saya cuma amalkan makan nasi panas dan halba serta ulam. Di samping itu saya juga banyak makan pegaga untuk memperbanyakkan aliran susu sebab saya menyusukan anak secara eksklusif selama dua tahun. Mungkin menyusukan anak ini merupakan ‘perancang keluarga’ saya sementelah saya tidak mengamalkan apa-apa jenis perancang keluarga.
Jika ada yang bertanya bagaimana saya menguruskan masa dengan mempunyai anak-anak yang masih kecil, bagi saya tiada sebarang cabaran. Ini kerana apabila umur mereka rapat rutin harian saya tidak berubah. Sejak melahirkan anak pertama sehingga anak kelima saya sudah terbiasa untuk bangun malam menyusukan anak atau menukar lampin mereka. Bagi saya cabaran datang apabila kita sudah lama tidak mempunyai anak kecil dan sudah terbiasa tidak bangun malam untuk menyusukan anak tetapi tiba-tiba mempunyai anak baru lahir. Ketika itu rutin harian sudah lari dan pasti menimbulkan masalah.
Jika diizinkan Allah SWT saya mahu mendapat seorang anak lagi dan kalau boleh kali ini saya mahu anak lelaki untuk menjadi kawan kepada Fareez,” tutur ibu kepada Nur Fa’iqah Faiza Muhammad Faizal, 9 tahun, Nur Fa’izah Faiza Muhammad Faizal, 7 tahun, Muhammad Fareez Faiza Muhammad Faizal, 5 tahun, Nur Fareeqah Faiza Muhammad Faizal, 4 tahun dan Nur Fareeda Faiza Muhammad Faizal 2 tahun, ini.
*Kredit gambar: Instagram @jcw_81
Dapat 7A SPM Anak Lelaki Kembar Azhar Sulaiman Wakili Pasukan Hoki Ais Malaysia

Umum mengetahui selebriti popular Azhar Sulaiman mempunyai sepasang anak kembar. Masing-masing telah memperolehi keputusan cemerlang dapat 7A SPM tahun 2019 yang lalu.
Baik Andika Ress Pahamin mahupun Kasih Iris Leona bukan sahaja meraih keputusan cemerlang dapat 7A SPM malah pasangan kembar tak seiras dan berlainan jantina ini turut aktif dalam ko-kurikulum di sekolah.


Ini terbukti apabila pasangan adik beradik kembar ini telah dianugerahkan oleh pihak sekolah dengan anugerah Tokoh Ko-kurikulum. Dalam ramai-ramai pelajar sekolah mereka yang terpilih, sudah tentu sumbangan adik-beradik ini telah mengharumkan nama sekolah.
Terbaharu, anak lelaki kembar pelakon popular 90an ini, Andika Ress Pahamin telah terpilih mewakili Malaysia dalam sukan hoki ais pula. Bukan calang-calang atlet yang boleh mewakili Malaysia dalam sukan ais ini.
Gembira dengan kecemerlangan anak lelaki kembarnya, pelakon utama filem Abang 92, Mira Edora dan Riang Tirana ini telah memuat naik sebuah video di laman Instagram milik peribadinya.
Pelakon yang memegang watak sebagai A. Rafee dalm filem Jimi Asmara ini telah memaklumkan bahawa cucu kepada bekas Pengerusi AirAsia Bhd, Datuk Pahamin Rajab ini terpilih mewakili negara untuk pasukan hoki ais yang bertanding di Kyrgyzstan.

Tahniah buat Andika Ress Pahamin dan pasukan hoki ais kebangsaan dan semoga pasukan mereka dapat mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa.
Namun, khabarnya pasukan hoki ais lelaki kebangsaan berdepan pelbagai cabaran menjelang penampilan sulung skuad itu pada Kejohonan Dunia Persekutuan Hokis Ais Antarabangsa (IIHF) 2022 Bahagian IV di Bishek, Kyrgyzstan, dari 3 hingga 9 Mac ini.
Antara cabaran yang perlu dihadapi oleh pasukan kebangsaan ini adalah lima daripada 20 pemain telah didapati positif COVID-19 seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA.

Andika Ress Pahamin kelihatan kacak dan bergaya menyarung jersi kebangsaan. Mungkin mewarisi wajah kacak ayahnya yang pernah menjadi pujuaan wanita suatu ketika dahulu.



Sudah tentu Azhar Sulaiman dan isterinya Chempaka Emalin Pahamin begitu bangga dengan pencapaian anak lelaki mereka. Pasangan sama cantik ini telah berkahwin pada tahun 1996 dan mempunyai seorang lagi anak perempuan, Kasih Leia Ixora.
Baca juga; 9 Jenis Sukan Erra Fazira Dah Cuba
Rezeki Selalu Utamakan Ibu & Isteri, NUBHAN Makin Sukses Jadi Usahawan & Niat Bina Pusat Tahfiz!

Diam-diam ubi berisi! Ahmad Nubhan Ahamad nampaknya makin ligat mendaki kejayaan sebagai usahawan. Selepas berjaya mengeluarkan produk kosmetik dan penjagaan wajah, dia melangkah berani menceburi cabang bisnes makanan. Seterusnya membuka sebuah klinik pergigian khas buat isteri tercinta yang juga doktor gigi bertauliah. Tahniah!
Siapa sangka dari pentas nyanyian sejak menyertai Akademi Fantasia Musim Ke-6, Nubhan kini makin sukses mengemudi empayar niaga sendiri. Ketika dihubungi Nona, anak kelahiran Negeri Sembilan ini tak lokek berkongsi pengalaman.
“Perkembangan terkini, saya tengah tunggu untuk single terbaru. Perjalanan bisnes pula, alhamdulillah bisnes makanan Mak Jenny dan skincare Lantara Beauty serta keluarga pun dah berkembang.
Dah tambah seorang lagi ahli baharu dalam keluarga iaitu anak ketiga saya, Afzan Nayille. Klinik isteri sudah pun lengkap sepenuhnya dan ready, hanya menunggu kelulusan untuk beroperasi je.”
MAK JENNY
Tak menang tangan terima tempahan produk Mak Jenny, perniagaan yang menggunakan resipi tradisi ibu tersayang Nubhan sendiri ini memang laris. Dedah Nubhan, setakat ini sudah ada 6 produk Mak Jenny di pasaran. Antaranya Sambal Pedas, Masak Lomak Daging Salai dan Sambal Tempoyak.
Mengulas bagaimana tercetusnya bisnes Mak Jenny, ujar suami kepada Dr Afifah Tawfek ini semuanya berlaku tanpa sengaja selepas dia merakam aktiviti dan aksi ibunya Badariah Omar atau mesra disapa Mak Jenny bersama peminat di platform media sosial.



“Idea sebenarnya apabila saya secara tak sengaja mem’video’kan Mak Jenny di dalam content yang biasa saya keluarkan di YouTube dan Facebook. Tanpa di sangka respon terhadap karakter mak saya sangat disukai oleh penonton. Mereka sentiasa request nak lagi Mak Jenny.
Saya juga melihat dari segi reach, respon dan viewers video tu. Dekat Facebook boleh mencecah sehingga 7 juta tontonan dengan komen-komen yang sangat positif. Secara tak langsung video itu mengingatkan mereka kepada mak ayah, mak ayah yang dah tak ada dan banyak yang merindukan ibu bapa mereka.
Ramai juga yang terasa ingin berjasa dan berbakti balik kepada mak ayah dan ada yang menginsafkan. Itu berita yang sangat gembira dan saya rasa bermakna apabila ada di antara mereka DM saya sendiri mengatakan ingin membalas jasa ibu bapa balik. Yang ada perselisihan faham, mereka mula menyesal dan mula merapatkan hubungan dengan ibu bapa mereka.
Setiap apa yang keluar dari video itu adalah jujur daripada Mak Jenny dan bukan dibuat-buat. Mungkin energy atau aura Mak Jenny yang jujur itu mudah diterima oleh penonton. Alhamdulillah.”
Terang bapa kepada tiga cahaya mata ini lagi, perniagaan makanan tersebut bermula secara serius dan dibuka kepada pengedar pada Julai 2021. Di sebalik kejayaan produk Mak Jenny sampai jadi bualan ramai, ada kisah sukar yang terpaksa ditempuh Nubhan ketika awal-awal mengusahakan produk berkenaan.
CABARAN
“Masalahnya adalah dari segi penyediaan makanan. Ia berlarutan daripada November sampai Disember tahun lepas di mana tempahan masuk terlalu banyak dan berlaku kecuaian apabila makanan seperti acar dan sambal semua kembung. Jadi pengedar return dan kami terpaksa ganti yang baru.
Masa tu dalam 15,000 pertama pada November dan 10,000 hingga 15,000 tempahan unit juga untuk bulan Disember. Ada dalam 30,000 ribu unit yang saya anggarkan lebih 10,000 kembung atau rosak. Terpaksa masak semula dan menelan kos yang besar.
Masa tu ramai pengedar yang mula tak puas hati dan ada juga berhenti serta lari sebab keyakinan dan kepercayaan dah hilang. Walau kami dah return bagi produk baru tapi masih kembung lagi.
Bulan Disember tu memang nak cover semua kos tadi sampai makan ratusan ribu ringgit. Disebabkan order terlalu banyak masa tu dan saya pula kurang pengetahuan dalam penyediaan makanan.
Sebenarnya cara packaging yang kurang tepat buatkan bakteria cepat membiak. Bukanlah makanan tu kotor cuma salah cara penyediaan. Bila jadi macam tu saya cuba cari pakar makanan. Bila dapat tahu solution, saya terus meeting dengan team production keesokkan hari dan ubah cara penyediaan ke cara yang betul.
Alhamdulillah semenjak dari itu sampai hari ni tiada lagi makanan yang rosak atau kembung. Itulah cabaran terbesar saya lalui. Bayangkan dari bulan Disember sampai pertengahan Januari memang saya tidur pun sekejap je dan berulang alik ke kampung untuk check production, stock, tengok penyediaan yang betul,” tegas Nubhan sambil memberitahu sudah mempunyai 5,200 pengedar Mak Jenny yang berdaftar. Selain berjaya meraih jualan mencecah 3.2 juta dari bulan Julai hingga Februari lalu.




TERDETIK BERNIAGA
Dari kecil, Nubhan sebenarnya sudah didedahkan dengan realiti dunia perniagaan. Bahkan ibu dan bapanya sendiri mengusahakan kedai makan lebih 10 tahun di kampung dan minat berniaga sudah pun mengalir dalam dirinya sejak kecil. Kata Nubhan, arwah bapanya merupakan guru agama dan tok imam tapi tak pernah menghalang anaknya untuk jadi penyanyi.
“Tapi pernah satu masa dia beritahu dekat family saya, ‘Nubhan, abah tak nak dia teruskan menyanyi sampai bila-bila. Dia kena mula berniaga.’ Sejak saya terima mesej dari arwah ayah saya tu, esok harinya saya terus register company. Ini memang tak tipu ni cerita betul.
Masa tu saya buat bisnes pertama saya Nubhan Management & Trading. Tak ada bisnes run pun sebab banyak bisnes yang saya cuba tak menjadi. Saya hampir 5 jenis perniagaan semuanya failed, rugi, kena tipu dan ‘telan’ duit yang banyak.
Lepas itu, perniagaan skincare saya baru menjadi sebabkan saya dah ada knowledge, jumpa orang yang ada pengalaman dan mula grow. Alhamdulillah menjadi jualannya dan terbaharu bisnes Mak Jenny yang saya gunakan segala pengalaman yang ada untuk naikkan nama bisnes ini. Ternayata berkesan dan sambutannya luar biasa. Itulah macam mana bermulanya saya jadi usahawan disebabkan arwah abah saya.
Saya dapat mesej arwah abah semasa abah dah tiada. Kakak datang dan pesan abah tak bagi menyanyi selama-lamanya. Abah suruh berniaga untuk masa depan. Jadi, saya terima dengan baik dan buat apa yang dia nak,” telus Nubhan yang memasang impian untuk membina sebuah pusat tahfiz dalam masa 10 tahun akan datang.
LANTARA
Dalam kesibukan mengembangkan bisnes Mak Jenny, Nubhan tidak ketinggalan mempelbagaikan rangkaian produk kosmetik dan penjagaan wajah Lantara Beauty. “Maksud lantara itu datang dari perkataan hutan belantara yang saya ambil singkatan belantara itu untuk merujuk bahawa produk-produk ini adalah based on bahan semula jadi.
Saya bawa isteri join mengusahakan produk Lantara Beauty ini bila saya minta dia berhenti kerja. Kalau tak silap dalam tahun 2020. Kesinambungan kepada Lantara Beauty ini, saya bina pula Lantara Dental untuk isteri.





Isteri sangat jelas dengan matlamat dan impian saya. Dia memberi kepercayaan kepada saya dan tidak menghalang apa yang saya nak buat. Dalam masa sama, saya duduk di Seremban dan mak di kampung dan memandangkan saya dah bina perniagaan di kampung dan dah bina kilang di belakang rumah mak untuk pemprosesan makanan, saya terpaksa berulang ke kampung dengan sangat kerap.
Jadi saya akan kerap jumpa mak dan dalam masa sama, wife tidak begitu berkira. Bukanlah ambil kesempatan tak ada masa dengan family. Tujuan buka klinik gigi ini supaya isteri ada pilihan waktu kerja.
Saya tak nak dia pergi kerja pagi, balik petang dan anak-anak dibesarkan dan diasuh orang lain. Dengan adanya klinik tu, dia akan ada banyak masa dengan anak-anak sebab saya sangat titikberatkan bonding antara family. Yang penting family saya terjaga dengan baik dan anak-anak ada sentuhan seorang ibu.”
Satu prinsip saya, saya tidak akan utamakan perkara lain selain keluarga. Apa-apa pun saya utamakan family saya terutamanya mak dan isteri. Macam mak selalu nak pergi kenduri je. Jadi saya akan kosongkan jadual dan pergi dengan dia. Ini antara kelebihan apabila berniaga dan ada ketetapan masa sendiri.
Biasanya bila ada kempen hujung tahun, raya atau sebagainya yang saya akan busy whole week atau month, wife takkan ganggu. Lepas selesai promo tu, syaa akan fokus kepada keluarga balik dan bonding dengan mereka seperti biasa.”
Moga kegigihan Nubhan menjadi usahawan berjaya yang dalam masa sama anak dan suami yang bertanggungjawab menjadi pencetus semangat kepada masyarakat untuk terus maju menggapai kejayaan.
Lahir 1 Syawal, Pasangan KEMBAR Nik Aidil Maria & Nik Aidil Marina Sambut Hari Lahir Dua Kali

Bulan Syawal adalah bulan sangat yang sangat istimewa kerana sepanjang bulan tersebut adalah merupakan Hari Raya. Hari kemenangan dan kegembiraan, hari kesyukuran dan menambah amal kebaikan. Terdapat banyak keistimewaan di bulan Syawal yang wajar diraikan dengan rasa penuh kesyukuran.
Apatah lagi apabila dapat berkumpul bersama keluarga, ia merupakan momen yang menjadi kenangan sepanjang hayat .Kebahagiaan jelas tergambar di saat masing-masing mula berkongsi pengalaman yang sentiasa segar dalam kotak ingatan.
Bagi pasangan kembar, Nik Aidil Maria Datuk Haji Nik Sapeia dan Nik Aidil Marina Datuk Haji Nik Sapeia, Aidilfitri merupakan momen indah dalam lipatan kisah hidup mereka memandangkan pasangan kembar ini dilahirkan pada tanggal 1 Syawal.
“Sudah tentu setiap kali tibanya Syawal ia merupakan tarikh yang istimewa di hati kami. Kebetulan kami dilahirkan pada pagi 1 Syawal. Jadi, setiap tahun semasa kecil setiap kali tibanya 1 syawal kami akan menyambut harijadi kami mengikut kalendar Islaim. Dalam erti kata lain, kami menyambut tarikh lahir buat kali kedua selain dari tarikh lahir sebenar kami,” ujar Nik Aidil Maria mewakili kembarnya yang mengiyakan perbualan bersama penulis.
Tambah Nik Marina pula, lebih istimewa bapa tersayang, Datuk Haji Nik Sapeia Nik Yusoff mengabadikan perkataan Aidil pada nama mereka bagi menunjukkan sinonim kelahiran pasangan kembar ini di pagi sambutan 1 Syawal.
“Bayangkan semasa kecil kami sering berpakaian sedondon dan menyambut kedatangan 1 Syawal dengan meriah apatah lagi kami dilahirkan pada tanggal satu Syawal, di mana setiap umah Islam menyambut kemenangan setelah selesai melakukan ibadat berpuasa selama sebulan.
Semasa zaman kanak-kanak, kami sering berpakaian sedondon cuma berlainan warna sahaja. Tetapi apabila semakin meningkat remaja, kami sudah mempunyai sense of fashion tersendiri dan sudah tidak menyambut hari jadi di pagi Syawal,” ujar Nik Marina sambil mengimbas keistimewaan tarikh satu Syawal bagi diri mereka.
Walaupun memori itu sudah lebih 10 tahun berlalu, zaman kanak-kanak menjadi saat terindah dan tidak mungkin dilupakan kerana tradisi yang dilakukan ketika itu sudah ditelan zaman.
Memandangkan pasangan kembar ini sudah mempunyai keluarga masing-masing, pastinya ketibaan Syawal amat dinanti-nantikan bagi membolehkan keluarga besar ini berkumpul dan meraikan Syawal dalam suasana yang harmoni dan penuh keberkatan.
Bagi Nik Marina, kebiasannya apabila menjelang satu Syawal, semua ahli keluarga akan berkumpul lebih awal bagi menyambut kedatangan bulan Syawal yang mulia. Tambah Marina lagi, seperti keluarga lain, kediaman keluarga yang terletak di Pasir Tumboh, Kota Bharu menjadi lokasi untuk kaum keluarga dan sahabat handai berkumpul dan menziarahi antara satu sama lain.
“Setiap keluarga pastinya mempunyai cara tersendiri menyambut kedatangan bulan kemenangan bagi umat Islam. Menyentuh tradisi keluarga, selepas selesai menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri, kami sekeluarga akan berkumpul dan sesi bermaaf-maafan mula mengambil tempat. Saat begini pastinya terbit rasa syahdu apabila masing-masing saling meminta dan memberi kemaafan. Tetapi ia adalah momen yang menyentuh hati dan memberi kesan di hati masing-masing. Selepas itu, barulah kami sekeluarga akan menziarahi pusara datuk dan nenek yang telah kembali ke Rahmatullah,” ujar Nik Marina yang sering menerima kehadiran tetamu di kediamannya dari pagi sehingga ke lewat malam.
Bagi Nik Maria, ibu tunggal kepada dua cahayamata pula berkata, saban tahun dia dan dua permata hatinya akan menyambut Syawal di Kota Bharu Kelantan. Pulang ke Negeri Cik Siti Wan Kembang empat hari sebelum Aidilfitri sudah menjadi rutin tiga beranak ini setiap kali tibanya Syawal. Tambah Maria lagi, tidak sah sambutan Aidilfitri jika tidak dapat berkumpul bersama keluarga besarnya di Kelantan tambahan pula kemeriahan Aidilfitri lebih terasa apabila berada di samping keluarga tersayang.
KEMERIAHAN LEBARAN
Tidak sah memperkatakan tentang keistimewaan Syawal tanpa menyentuh juadah kegemaran yang menjadi pilihan di musim perayaan. Bagi pasangan kembar ini, selera masing-masing terhadap juadah tradisional amat menyerlah apabila kedua-duanya sepakat memilih menu Kuzi Ayam sebagai menu kegemaran mereka.
“Juadah kegemaran kami semasa hari raya sudah semestinya kuzi ayam. Saya masih ingat keenakan menu kuzi ayam yang dimasak oleh arwah nenek dan mak. Lebih berselera apabila menu kuzi ayam dijamah bersama ketupat tawar dan dicicah bersama air gula Melaka. Alhamdullilah saya sempat belajar dari mak cara membuat Kuzi Ayam resepi turun temurun arwah nenek dan berjaya mendapat rasa yang sama,” ujar Nik Maria yang gemar memasak.
Bagi kembarnya yang turut menggemari menu yang sama menambah kebiasannya dia lebih gemar menyediakan sendiri aneka kek dan biskut untuk dinikmati oleh para tetamu yang berkunjung ke rumah.
“Saya dan Maria mempunyai tugasan masing-masing apabila tiba musim raya. Kebiasaannya dia akan memasak hidangan seperti nasi dagang dan kuzi. Semasa zaman kanak-kanak saya sering fikir tidak perlu belajar memasak tetapi apabila sudah berkeluarga, saya perlu mempelajari pelbagai menu hasil air tangan ibu kerana ia merupakan warisan turun-temurun yang paling bernilai. Memang benar kata pepatah masakan ibu adalah masakan terbaik di dunia. Jadi, saya dan Maria mahu menambahkan lagi ‘ilmu memasak’ terutamanya resipi keluarga agar ianya tidak pupus dan dilupakan begitu sahaja,” ujar Marina lanjut.
Tidak sah jika tidak mengajukan persoalan mengenai sambutan Aidilfitri bagi pasangan kembar seiras ini tanpa menyentuh mengenai fesyen yang digemari oleh kedua-duanya. Melihat dari segi penampilan, kedua-duanya tidak banyak berbeza antara satu sama lain dan penulis pasti sense of fashion kedua-duanya juga tidak jauh berbeza. Namun begitu, telahan penulis ternyata meleset memandangkan Maria mahupun Marina mempunyai citarasa fesyen yang agak berbeza.
“Walaupun kami dilahirkan sebagai pasangan kembar, pilihan gaya berfesyen sedikit berbeza antara satu sama lain. Sebagai contoh, Marina lebih gemarkan gaya yang ringkas dan elegan manakala maria lebih gemar mengikut fesyen terkini. Namun begitu, berbalik kepada fesyen semasa menyambut Aidilfitri, kami sepakat memilih gaya yang lebih elegan namun masih sopan dan tidak terlalu sarat dengan perhiasan jemeki. Maklumlah, jika terlalu sarat bergaya pastinya menyukarkan kami melayan para tetamu yang berkunjung ke rumah. Yang penting, pemilhan pakaian biarlah selesa dan sopan serta anggun,” ujar Nik Maria mewakili kembarnya.
Ditanya pula mengenai pengalaman Aidilfitri yang menjadi memori indah dalam diri mereka, Nik Marina yang pernah menyambut ramadan dan Aidilfitri di perantauan berkongsi momen meraikan hari istimewa jauh dari keluarga tersayang.
“Saya pernah berjauhan dengan keluarga ketika saya mengikut suami bertugas di utara Jepun selama 2 tahun Memang terasa sedih ketika menyambut bulan puasa dan berhari raya di negara orang. Perasaan rindu kepada ayah dan ibu sukar digambarkan dengan kata-kata. Tambahan pula, rindu hendak menjamah hidangan istimewa seperti nasi kerabu, nasi dagang dan sebagainya. Tetapi ia merupakan pengalaman yang berharga bagi diri saya dan keluarga,” ujar Nik Marina.
Manakala bagi Nik Maria pula sejak dari kecil hingga kini tidak pernah berjauhan meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan kenangan ketika hamil anak kedua membuktikan hubungan kekeluargaan mengatasi segalanya.
“Sambutan Aidilfitri pada 2012 merupakan Syawal yang berbeza bagi diri saya tetapi melakar kenangan indah dalam sejarah kami sekeluarga. Ketika itu, saya sedang sarat mengandung dan menunggu masa untuk melahirkan anak kedua saya Maira Qaireen Sapeia yang dilahirkan pada 3 Syawal 2011. Saya terharu kerana semua ahli keluarga sanggup meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur semata-mata untuk menemani saya. Ia merupakan pengorbanan Syawal yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Bagi saya mahupun Marina menganggap keluarga adalah segala-galanya bagi kami dan tiada galang gantinya,” ujar Nik Maria seraya mengakhiri perbualan.