Sejak kemunculannya dalam drama popular Lelaki Kiriman Tuhan, tidak dinafikan nama Harris Annuar semakin dikenali ramai. Bergelar pemenang tempat ketiga Hero Remaja 2017, lelaki bertubuh tinggi lampai ini merupakan anak bongsu kepada usahawan terkenal ‘Kak Ton’ atau nama sebenarnya Zaiton Hassan.
Kembali aktif mempromosikan produk kesihatan dan kecantikan miliknya di kaca televisyen, figura yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Pravenus Beauty Sdn Bhd ini masih ligat berniaga meskipun sudah meniti usia 60 tahun. Baik secara dalam talian mahupun jualan terus, Kak Ton tetap tidak menang tangan menguruskan tempahan pelanggan setia.
Kak Ton bersama anak-anak lelakinya
Situasi tersebut diakui Harris yang sering berada di samping ibu tersayang dan menyaksikan sendiri detik jatuh bangun wanita berjiwa kental tersebut. Bakal menginjak usia 26 tahun pada 14 Mei depan… pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan Kepujian ini tanpa berselindung mengagumi personaliti ibu tersayang. Selain menyifatkan karakter ibunya sebagai seorang yang lucu, petah bercakap dan tegas, Kak Ton juga digambarkan ibarat srikandi yang tidak kenal erti putus asa.
“Apa yang anda nampak dia dalam TV, begitu juga sikapnya di dunia realiti. Memang transparent habis sebab mak tak pandai bermuka-muka dan telus dengan sesiapa pun. Dia memang suka bercakap sampai kadang-kadang susah hendak suruh dia berhenti. Samalah juga situasinya bila bersiaran dalam program TV. My mom hanya akan berhenti bercakap bila dia sudah puas beritahu apa yang hendak disampaikan. Anak-anak semua dah lali dengan perangai mak,” terangnya sambil tertawa.
Pernah berdepan perit maung sepanjang mengendalikan empayar Pravenus Beauty, Harris dan empat adik-beradik yang lain menjadi saksi kejatuhan perniagaan tersebut sekitar tahun 2004 apabila gerai jualan yang disewa terkena gangguan sihir. Turut terpalit dengan kesukaran hidup waktu itu, Harris terpaksa akur melihat dua kereta keluarganya dijual semata-mata untuk menyelamatkan keadaan.
Ads
Bersama anak perempuan, Nadia Annuar
“My mom mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan pada tahun 1999. Masa itu, mak cuma jual produk jamu dari rumah. Saya ingat lagi dia letak semua barang jamu dalam sebuah peti berwarna hitam. Bila bisnes makin dapat permintaan, mak sewa sebuah kedai di Seksyen 18, Shah Alam.
Bayangkan, dia sanggup berkongsi ruang kedai itu dengan dua lagi peniaga lain. Mulanya tak ada apa-apa masalah sehinggalah perniagaan mereka terkena sihir. Jalan penyelesaian terakhir yang dia ambil adalah dengan menjual kereta yang ada. Saya ingatkan duit yang dia dapat tu untuk buat modal pusingan. Sebaliknya mak guna untuk menunaikan umrah bersama ayah. Sepanjang berada di sana, dia tak putus-putus berdoa meminta pertolongan daripada Allah.”
Murni sungguh jiwa Kak Ton yang ‘berkiblatkan’ keredaan dan rahmat Allah SWT untuk meneruskan perniagaan tersebut. Sekembalinya dari Tanah Suci, ibu kepada lima orang anak ini mendapat jemputan dari sebuah stesen televisyen untuk mempromosikan produknya. Dalam tempoh masa yang diberi selama lima minit saja, Kak Ton menggunakan masa dengan sehabis baik untuk memperkenalkan produk Beauty Umaira.
Ads
Dengan izin Allah, sebaik melangkah keluar daripada program berkenaan talian telefon Kak Ton dihujani dengan panggilan orang ramai yang ingin membeli Beauty Umaira. Situasi yang tidak pernah dialaminya selama ini. Berkat doa dan kerja keras Kak Ton, puluhan ribu unit produk berkenaan berjaya dijual.
Khabarnya, Kak Ton juga antara wanita pertama yang menjejakkan kaki di bumi Palestin untuk memberikan sumbangan pada tahun 2012.
“Dari dulu sampai sekarang mak percaya, lagi banyak kita memberi… lagi banyak rezeki yang akan kita terima. Paling saya kagum dengan dia adalah hubungannya dengan Allah. Walau dah dapat rezeki melimpah-ruah dan bisnes makin maju, mak tak tinggal buat solat-solat sunat setiap hari. Macam satu rutin wajib baginya.
Ads
Malah, dia juga rajin berzikir. Sampai tertidur pun ada. Tahun pertama dapat duit jualan, mak bawa 40 stokis mengerjakan umrah. Tahun berikutnya pula dia tunaikan niat bawa golongan mualaf. Seterusnya anak-anak dan kawan rapat. Mungkin sebab itu Tuhan limpahkan rezeki meluas kepada mak.”
Berkali-kali meluahkan rasa kagum dengan sifat tabah dan cekal ibunya, Harris tanpa segan silu menjadikan perjuangan Kak Ton sebagai inspirasi dalam menempuh titian kerjaya dan kehidupan.
Semoga pengalaman hidup anak dan ibu ini mampu dijadikan teladan kepada khalayak untuk mencipta kekayaan di dunia dan akhirat kelak!
Foto: Instagram Kak Ton
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Minum jamu setiap hari sudah lama menjadi amalan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi. Namun sejak penularan Coronavirus, lelaki kelahiran Solo yang berusia 59 tahun itu semakin kerap meminum jamu, sekurangnya tiga kali sehari untuk meningkatkan imunisasi tubuh daripada jangkitan virus tersebut.
Jamu merupakan sejenis suplemen tradisional yang turun-temurun diamalkan oleh masyarakat Indonesia untuk menjaga kesihatan dan kecantikan. Ia diramu menggunakan akar kayu atau rempah ratus terpilih, kemudian diracik mengikut keperluan tubuh seseorang.
Menurut Presiden Jokowi, amalan meminum jamu ini sebenarnya sudah dimulakan sejak 17 tahun lalu. Bapa kepada tiga cahaya mata; Gibran Rakabuming Raka, Kaesang Pangarep dan Kahiyang Ayu itu tidak keberatan berkongsi cara pembuatannya yang mudah untuk diamalkan oleh rakyat jelata.
Ingin tahu bagaimana saya menjaga kebugaran tubuh? Tak ada rahasia, tidak ada yang istimewa. Hanya ramuan sederhana semata.
Dalam hantaran video di Instagram @jokowi, Presiden Republik Indonesia itu menunjukkan bahan-bahan yang digunakan dalam jamu kegemarannya iaitu temulawak, serai, halia dan kunyit.
“Sekarang tamu-tamu saya pagi, siang dan malam saya beri minuman itu. Bukan teh, tapi saya ganti temulawak, jahe, sereh dan kunyit, yang dicampur.”“Rasanya bagi saya tidak terlalu pahit.”
Tidak hairanlah jika Presiden Jokowi yang juga suami kepada Iriana Joko Widodo itu kelihatan sentiasa cergas dan bertenaga. Ia diracik segar setiap hari oleh tukang masak Presiden, kemudian direbus dan ditapis. Begini saja cara-cara pembuatannya yang mudah.
Bahan-bahan:
8 potong temulawak
6 potong kunyit
3 potong halia
Serai
Cara membuat:
Semua bahan diracik dan direbus hingga mendidih. Air rebusan ditapis dan seeloknya diminum ketika masih hangat.
MINUM LEBIH KERAP
Beliau kini menambah kuantiti minuman jamu itu dan meminumnya sebanyak tiga kali setiap hari.
“Saya kan tiap hari minum jamu (sebelum ini), saya minum hanya pagi saja. Sekarang karena ada corona, saya minumnya pagi, siang, malam. Itu yang menyebabkan mungkin naik ya itu karena diminum enggak sekali tapi tiga kali,” katanya di The 2nd Asian Agriculture and Food Forum (ASAAF) 2020, pada Mac lepas di Istana Negara, Jakarta.
Media Indonesia turut menyiarkan beberapa artikel yang memetik beberapa pakar perubatan di Indonesia, yang antaranya turut menyatakan belum terdapat bukti saintifik penggunaan jamu itu, dapat meningkatkan imunisasi badan daripada dijangkiti COVID-19.
KHASIAT JAMU JOKOWI
(a) Halia
Baik untuk imunisasi tubuh, halia juga membantu mengatasi radang dan bersifat anti-bakteria. Ia juga dikatakan berfungsi untuk meredakan flu dan batuk.
(b) Temulawak
Daripada sudut tradisional, temulawak digunakan untuk menambah selera makan, melancarkan pengeluaran susu ibu dan membersihkan darah. Dalam dunia perubatan, ia dikatakan memiliki zat anti-inflamasi dan anti-hepatotoksik untuk menjaga kesihatan hati dan menurunkan kadar kolesterol.
(c) Kunyit
Kunyit kaya dengan antioksidan, meningkatkan kesihatan otak dan melancarkan pencernaan. Ia juga dapat membantu mencegah penyakit jantung, diabetes atau kanser.
(d) Serai
Bersifat anti-bakteria, anti-inflamasi, antioksidan dan anti-depresen. Ia juga membantu menurunkan tekanan darah, mencegah diabetes, menjaga kadar kolesterol, meredakan gejala flu, hingga mengatasi depresi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wah, tenang tengok mahligai indah milik Ameera Zaini dan Hasnor Rozaini! Kemas, minimalis dan moden. Sesuai buat mereka yang bercita rasa mewah dan suka memanfaatkan masa terluang bersama seisi keluarga di rumah. Lebih-lebih lagi bila ada anak kecil… persekitaran rumah sangat penting supaya anak membesar dalam suasana baik dan selesa.
Melihat keserasian Meera dan suami yang berkongsi minat dalam hiasan rumah menunjukkan betapa bahagianya hidup berpasangan. Kemanisan rumah tangga lebih terasa dan seronok bila ada pasangan yang saling membantu serta bertukar-tukar pandangan mencantikkan lagi ruang kediaman. Barulah alam perkahwinan jadi lebih bermakna!
Terbuka berkongsi sudut kediaman kepada para peminat, pemilik label muslimah Ameera Zaini ini bagaimana pun mengakui tidak begitu arif bab hiasan rumah. Pun begitu, dia tetap mahu memberi ‘sentuhan’ tersendiri di kediaman milik mereka demi keselesaan keluarga tersayang.
“Me and hub’s new obsession : redecorating the house. Setiap kali ubah arrangement or deco mesti ambil gambar dulu tengok okay ke tak, sama tak macam dalam magazine or ID shows yang kitorang selalu tengok.
Selagi tak okay selagi tu lah duduk tolak sofa meja tu semua. Maklumlah we are not ID professionals. Nasib baik husband gigih. Ni pun rasa ada yang tak kena lagi.”
Meskipun berkemampuan untuk mendapatkan khidmat pereka hiasan dalaman… baik Meera mahupun Hasnor, kedua-duanya selesa untuk ‘menghidupkan’ suasana rumah dengan cara mereka. Kata orang, lebih puas bila setiap pekerjaan itu dilakukan atas usaha sendiri.
Kalau kebanyakan para suami menyerahkan segala urusan hiasan rumah kepada isteri… berbeza pula bagi pasangan sama cantik sama padan ini. Tak menyangka lelaki yang dikahwini mempunyai taste dan hobi dalam susun atur dan hiasan rumah, Meera menganggap ia satu bonus buat dirinya. Iyalah, tak ramai suami yang suka mengemas dan menghias.
“My mom is always the queen of the house where every decisions on the house decoration or concept is 100% controlled by mama. Ayah ‘ons’ je.
Bila dah kahwin, I thought it would be the same. Tapi dengan Hasnor Rozaini, Meera kena dapat persetujuan or discuss dulu dengan dia sebab dia pun ada interest yang sama iaitu kemas-kemas deco rumah ni. Kitorang takdelah pandai sangat, bolehlah sikit-sikit ambil inspirasi sana sini.”
Kombinasi warna-warna terang seperti pemilihan cat dan perabot dari rona putih, kelabu dan keemasan berjaya menyerlahkan gaya elegan, mewah dan luas di kediaman Ameera Zaini. Malah dekorasi wainscoating yang melingkari dinding rumah mencetuskan sisi berbeza bagi sesebuah kediaman. Nampak lebih versatil!
Bagi yang bakal berpindah atau mengubah suai rumah tidak lama lagi, boleh intai dekorasi kediaman Ameera Zaini ini. Mana tahu boleh dapat inspirasi!
Kredit: Instagram Ameera Zaini
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Datuk Nora Ariffin sememangnya lambang wanita cekal. Sejak pemergian suami tercinta pada Mac 2017, beliau tabah menjalani hidup sebagai ibu tunggal dan membesarkan empat cahaya mata.
Baru bangkit dan mengumpul kekuatan demi anak-anak, beliau sekali lagi diuji apabila anak lelakinya iaitu Mohamad Syakir Alif Johan pergi menghadap ilahi, dua tahun selepas Datuk Nora kehilangan Allahyarham Johan Nawawi.
Mengambil kekuatan tiga lagi anaknya, figura yang pernah popular dengan lagu Hanya Satu ini tenang meniti liku hidup. Berkat kesabaran dan sumbangannya dalam industri seni tanah air selama 3 dekad, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin menerima pengurniaan pingat, darjah dan kebesaran daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari lalu.
Biarpun sibuk dengan urusan perniagaan dan karier seni, Datuk Nora tetap mengingati kenangan manis di samping arwah suami yang merupakan komposer muzik terkenal. Apatah lagi tanggal 9 April lepas menyimpan 1001 kisah dan memori Datuk Nora bersama suami tercinta.
“9 April 2021. Abang… happy 29th anniversary to us. Love you, miss you. Hanya Allah yang tahu. Alhamdulillah anak-anak baik-baik belaka. We miss you so much Pa. Our cucu Ayden Johan dah 8 bulan. InshaAllah we meet again ye. Moga abang tenang-tenang di sana. Al-fatihah.”
Hasil perkongsian hidup selama lebih 20 tahun, Datuk Nora dan Allahyarham Johan Nawawi dikurniakan empat cahaya mata, dua lelaki dan dua perempuan. Mereka ialah Mohamad Syakir Iman Johan, Allahyarham Mohamad Syakir Alif Johan, Puteri Nur Dahlia dan Puteri Nur Fatehah.
Reda menerima ketentuan takdir Yang Maha Esa, sempena ketibaan bulan mulia Ramadan… Datuk Nora turut menitipkan pesanan ini kepada seluruh umat Islam khususnya peminat setia.
“Selamat menyambut Ramadan Kareem, bulan yang penuh barakah. Bulan yang bukan sekadar menahan lapar. Malah masa untuk meningkatkan iman kita. Moga Ramadan ini lebih menjadikan kita insan yang lebih baik, lebih bersih hati, mulia akhlak dan benar-benar mendidik jiwa kita. InshaAllah.”
Kredit: Instagram Datuk Nora Ariffin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.