Ibu bapa mana yang tak gembira dan bangga apabila anak-anaknya berjaya dalam akademik. Penyanyi rock terkenal era 90an, Rahmad yang juga vokalis kumpulan Mega berkongsi berita gembira apabila anak lelakinya, Suhazri Amrin, 27, baru saja berjaya menggenggam Sarjana Sains (Master).
Sebelum ini, anaknya itu telah menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda Kejuruteraan Elektrik pada tahun 2018 sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana.
Rahmad hadir meraikan konvokesyen anaknya di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) ke 17 di Kompleks Sukan UMP.
Ads
Menerusi Instagram, Rahmad berkogsi momen indah itu sambil menitipkan doa buat anaknya itu agar terus melakar kejayaan di masa hadapan.
“Tahniah buat anakanda Suhazri Amrin kerana telah berjaya menyelesaikan Sarjana Sains di UMP. Papa doakan semoga terus berjaya.”
Selain koleksi foto, Rahmad turut berkongsi video sekitar majlis tersebut.
Lebih manis, Rahmad turut membuat kejutan dengan membuat persembahan sambil ditemani anaknya ketika membuat persembahan di pentas. Rahmad mendendangkan lagu popularnya berjudul Takdir Dan Waktu yang telah menarik perhatian tetamu yang hadir.
Ads
Menurut Rahmad, peranan ibu bapa sangat penting bagi memastikan anak-anak minat terhadap ilmu. Ibu bapa haruslah sentiasa menyokong minat serta pencapaian akademik anak-anak.
Ads
“Jangan sekat minat anak. Kita harus lihat kecenderungan dan potensi anak-anak serta menyokong apa jua minat mereka.”
Instagram Rahmad turut dihujani ucapan tahniah daripada para peminat, pengikut serta rakan-rakan artis. Antaranya Datin Salwa Abdul Rahman, Haiza Hanafi, Azian Mazwan dan Feeya Iskandar.
Sumber Foto: Instagram Rahmad Mega
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Aura yang ada pada Datin Reena Zach ini sememangnya mampu menyuntik inspirasi siapa sahaja. Bergelar usahawan sukses dan mmepunyai penampilan menarik menjadikan wanita ini inspirasi buat semua wanita.
Rasa tak lengkap sekiranya tidak bertanya rahsia kecantikan ibu kepada dua orang anak remaja ini. “Saya berkahwin di usia yang sangat muda iaitu 20 tahun.
Sekarang anak sulung saya dah berusia 16 tahun, anak ke dua pula 10 tahun. Mungkin saya berpengalaman bersalin awal, jadi saya memang menekankan cara pemakanan yang betul dan kerap melakukan senaman.
Saya juga mengamalkan pemakanan organik dan gaya hidup sihat. Yoga dan Pilates adalah senaman pilihan saya setiap hari,” bicara ibu kepada Putry Daniella Qistina dan Adellia Auddra ini.
Sebagai usahawan pula, Datin Reena Zach menjadikan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary sebagai idolanya. “Saya sangat mengagumi Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari.
Bagi saya beliau mempunyai sisi hidup yang sangat hebat! Beliau merupakan seorang ahli perniagaan terkaya yang sangat dermawan. Satu hari nanti saya juga mengimpikan mempunyai sebuah Yayasan sendiri seperti beliau, insyallah,” ujar Pengarah Urusan Lana Labs Global ini.
Ketika ekonomi seluruh dunia ‘terganggu’ lantaran dek penangan COVID-19, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini mempunyai resipi tersendiri bagi memastikan perniagaannya berterusan.
“Oleh kerana pergerakan terbatas kala PKP dahulu, syarikat kami banyak menekankan perniagaan secara online bersama team.
Kami juga mengalu-alukan agen tanpa modal dan memantapkan kumpulan usahawan dropship dengan Support Group HQ melalui whatsaap, Facebook, Youtube dan Telegram,” tutur pemilik Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa ini.
Wanita tinggi yang berusia 37 tahun dan menggemari warna hijau ini turut mengakui terkesan dengan situasi sekarang namun dari sisi yang positif.
“Kemunculan COVID-19 menjadi risiko perniagaan tidak dijangka ramai usahawan termasuklah saya sendiri. Tetapi, alhamdulillah sepanjang PKP lalu jualan kami meningkat 3 kali ganda. Mungkin produk kami juga berkait rapat dengan kesihatan dan imunisasi badan.
Bagi saya, antara objektif perlu dicapai dalam tempoh hibernisasi adalah memastikan status dan momentum perniagaan dapat dikekalkan walaupun operasi perniagaan terganggu. Pemilihan produk jualan yang tepat juga memainkan peranan penting,” ucap anak sulung daripada empat orang adik beradik ini.
15 tahun lalu, saat insan lain gentar untuk berbicara soal kanser, wanita hebat ini berazam menyediakan ruang khusus buat pesakit dan bekas pesakit kanser payu dara. Impiannya ketika itu hanya satu… menyuntik semangat kepada mereka yang terlibat agar cekal mendepan ujian hidup. Dalam keterujaan Puan Sri Dato’ Azrene Abdullah membantu para pesakit bergerak aktif dan kekal positif terhadap masa depan mereka melalui penubuhan Breast Cancer Foundation, dirinya pula diuji dengan perkhabaran mengejutkan.
Berpeluang menemu bual Puan Sri Dato’ Azrene sekitar tiga tahun lalu, tanpa berselindung ibu jelita kepada empat orang anak ini mengakui perjalanan untuk menubuhkan badan amal tersebut cukup dekat dan bermakna bagi dirinya. Bukan hanya kerana ia adalah terjemahan kepada niat murni ibu mentuanya, Allahyarhamah Tun Endon Mahmood bahkan pada ketika itu jugalah dia didiagnosis menghidap kanser mulut. Jelas Puan Sri Dato’ Azrene, beliau menerima berita berkenaan daripada seorang doktor di Amerika Syarikat setelah ujian biopsi yang diambil daripada lidahnya menunjukkan kehadiran sel kanser.
“Saya antara orang yang sering bersama Allahyarhamah Tun Endon waktu dirinya sedang menderita kanser payudara. Apabila tiba waktu rawatan dan pemeriksaan kesihatan, saya akan membawanya ke hospital. Jadi, sementara menunggu prosedur rawatan selesai, saya turut ambil peluang untuk membuat pemeriksaan kesihatan dengan doktor di sana memandangkan keadaan diri yang kerap mengalami gejala ulser di mulut.
Hasil biopsi pertama doktor tak temui sebarang masalah. Tapi selepas ujian biopsi seterusnya barulah mereka mendapati ia adalah kanser. Keadaan waktu itu memang mencabar. Saya menderita kanser mulut sementara ibu mentua pula sedang sakit kanser payudara. Tapi pengalaman berada di samping Tun Endon cukup indah. Cara dia menjalani hidup dengan ceria dan gembira membuatkan saya kuat untuk bertarung menghadapi kesakitan.
Malah ketika saya beritahu tentang penyakit ini kepadanya, dia suruh saya lawan. Alhamdulillah, saya ingat pesanannya dan terus melawan penyakit ini sampai sekarang, sampaikan Breast Cancer Foundation pun sudah memasuki tahun yang ke-15,” tutur Puan Sri Dato’ Azrene dalam nada tenang.
Mengakui masih membuat rawatan untuk kanser mulut yang dialami, Puan Sri Dato’ Azrene berkata beliau tidak melakukan rawatan kemoterapi sebaliknya mencari alternatif lain yang disarankan pakar perubatan.
“Saya pergi mendapatkan kaedah rawatan komprehensif lain dengan seorang doktor di Australia yang menggunakan bahan-bahan daripada herba. Doktor menyarankan saya untuk mengamalkan minuman dan mandi herba secara berendam. Herba yang diberikan pula bukan sebarangan kerana ia bergantung pada kombinasi ramuan herba yang telah dideskripsi dan diajar oleh doktor. Kemudian saya perlu buat sendiri di rumah.
Setiap pagi saya akan buat seperti yang diajar dan mandi bersama ramuan herba tadi. Memang berkesan tapi dalam masa sama mencabar juga. Banyak benda yang harus dibuat dan sepanjang tempoh rawatan ini, doktor yang sama turut membekalkan segala ramuan herba yang diperlukan kepada saya. Pertama sekali kena mandi dan bersihkan badan seperti biasa. Kemudian baru berendam tapi tak boleh lebih 20 minit dengan suhu air 38.5 Celsius.
Dalam tab mandi, saya ada letak termometer untuk sukat suhu yang tepat. Tak boleh kurang dan tak boleh lebih sebab boleh memberi kesan tertentu. Tujuannya adalah untuk buang toksik di dalam badan. Sebenarnya mandian herba ini juga baik untuk semua. Kalau anda dapat buat seminggu sekali pun memadai. Inshaallah, kulit akan jadi lebih lembut dan cantik. Boleh juga menggunakan minyak camomile atau minyak bayi.”
Menyentuh rejim kecantikan yang dilakukan selama ini, jelas Puan Sri Dato’ Azrene lagi beliau hanya mengamalkan penjagaan asas kulit wajah seperti mencuci dan skrub muka, memakai penyegar dan pelembap wajah serta masker tanpa menjalani rawatan kulit yang lebih khusus.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
MashaAllah, sejuk perut ibu mengandung! Baru berusia 19 tahun tapi kejayaan yang diraih Nor Farhatul Fairuzah Panut amat membanggakan apabila dia dinobatkan sebagai Johan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1440H / 2019M. Walau masih muda… namun mutu bacaan yang diperdengarkan Farhatul berjaya memikat hati panel juri sekaligus melayakkan peserta dari Negeri Sembilan ini terpilih mewakili Malaysia untuk bertanding dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada 15 hingga 20 April depan.
Dalam majlis yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Seremban, Farhatul yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik ini berjaya mengalahkan 14 qariah lain dengan memperoleh kutipan markah tertinggi 86.67 peratus. MTHQK tahun ini nyata mencipta sejarah… bukan saja kepada pihak penganjur bahkan buat Farhatul sendiri selepas dia tenang mengatasi pencapaian kakak kandungnya, Nor Faizah Panut yang menduduki tempat kedua dengan markah 86.34 peratus mewakili negeri Selangor. Allahu, hebatnya dua beradik ni! Terus terlintas di fikiran macam manalah mak ayah mereka didik anak-anak sampai berjaya menguasai bidang Al-Quran.
Tanpa berselindung, Farhatul yang dihubungi Nona dengan mesra membuka bicara. Ujar pelajar Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Agama Perempuan Labu, Negeri Sembilan ini, “Sejak umur lima tahun lagi saya dah mula belajar tarannum. Bila masuk darjah satu pula, saya dah didedahkan menyertai pertandingan tilawah. Mak dan ayah yang banyak mendidik saya sejak kecil lagi sebab mereka berdua bekas Qari dan Qariah.
Ayah jadi Qari sekitar tahun 1990an dan kali terakhir mak bergelar Qariah pula pada tahun 2004 di Perlis dan dapat tempat ketiga peringkat kebangsaan.”
Terang anak kepada Allahyarham Haji Panut Haji Markum dan Hajah Jaliah Haji Simin ini lagi, dia sama sekali tidak menyangka mampu melakar pencapaian terbesar ini dalam usia yang masih muda. “Memang tak terfikir pun sebab saya baru je cuba masuk MTQHK tahun ni. Sebelum ni hanya johan sekolah-sekolah je.
Kalau diikutkan, selain suka dengar lagu-lagu Arab, tilawah juga salah satu hobi saya. Tapi buat masa ini, tujuan saya masuk tilawah adalah untuk menilai sejauh mana kualiti bacaaan. Belum terfikir lagi untuk jadikannya sebagai kerjaya,” kongsi Farhatul yang bercita-cita menjadi pensyarah bidang Al-Quran.
Apa yang membuatkan penulis kagum dan teruja, kelima-lima beradik Farhatul juga aktif mendalami Al-Quran dan menyertai pertandingan tilawah. “Semua adik-beradik saya pernah wakil negeri dan ke peringkat kebangsaan dalam pelbagai anjuran. Memang ini adalah impian arwah ayah dan mak. Lagipun, mak adalah guru mengajar Al-Quran.
Mengakui sikap sabar dan tidak mudah berputus asa antara kunci kejayaannya hari ini, Farhatul yang menyimpan hasrat membuka kelas pengajian tarannum suatu hari nanti berkata tiada petua khusus yang diamalkan sepanjang menyertai pelbagai pertandingan.
“Yang penting sekali adalah pastikan bacaan dengan baik. Membaca dulu berulang-ulang kali sehingga yakin dan lepas tu baru susun lagu yang dikehendaki. Saya sentiasa berpegang kepada ‘tip’ yang Al-Quran perlu sentiasa di hati barulah kita jadi suka membacanya.
Kalau nak dekat pertandingan tu biasanya saya tak ambil makanan pedas dan tak akan minum ais. Sehari, saya akan pastikan baca Al-Quran satu ke dua jam terutamanya lepas solat fardhu. Walau macam mana pun, tak ada had masa tertentu bila dan berapa lama nak baca. Terpulang kepada diri sendiri.”
Atas usaha gigih tersebut dan menjadi Qariah peringkat kebangsaan, Farhatul membawa pulang wang tunai RM15, 000, tambahan RM10, 000 untuk menunaikan haji, cenderahati dan sijil penghargaan. Hadiah disampaikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Mahmud.
Para peserta terdiri daripada 28 qari dan qariah bagi kategori tilawah iaitu dua orang wakil (Qari dan Qariah) bagi setiap negeri. Manakala 84 hafiz dan hafizah adalah peserta dari kategori Hafazan iaitu masing-masing 42 orang bagi lelaki dan perempuan.
Foto: Instagram Farhatul Fairuzah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.