Adakah anak anda berkembang lebih lambat daripada teman seusianya? Masih belum pandai bertutur walaupun umurnya sudah 4 tahun ke atas? Nah, jika si kecil menunjukkan tanda-tanda pertumbuhan abnormal, ini masanya untuk mencari penyelesaian sebelum terlambat.

Lebih daripada 200,000 rakyat Malaysia menghidap autisme, cerebral palsy, sindrom down, kelewatan pertumbuhan serta pelbagai lagi kecacatan melibatkan emosi, fizikal dan mental. Setiap hari tanpa rawatan, menyebabkan kanak-kanak ini kehilangan masa berharga dan melengahkan perkembangan mereka.

IKLAN

Kuda sebagai penyembuh? Ya, salah satu kaedah terbaik untuk merangsang mereka adalah menggunakan kaedah hipoterapi. Satu-satunya pusat terapi yang menyediakan rawatan hebat ini adalah Green Apple Hippotherapy yang terletak di Jalan Lapangan Terbang Lama, Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Kuala Lumpur.

Nona bersama Nurirdiyana Idros, salah seorang pakar terapi bertauliah dari Green Apple Hippotherapy bagi mendapatkan penjelasan mendalam tentang kaedah ini.

Terangkan maksud hipoterapi?
Hipoterapi bermaksud ‘rawatan dengan bantuan kuda’. Perkataan hippo dalam bahasa Greek bermaksud kuda dan hipoterapi adalah rawatan perubatan oleh ahli terapi seperti doktor, occupational therapist, physiotherapist atau speech therapist menggunakan pergerakan multidimensi kuda bagi mencapai matlamat terapeutik.

Hipoterapi telah diterima sebagai rawatan perubatan di Eropah sejak tahun 60-an serta Amerika Syarikat dan Kanada pada tahun 70-an.

Mengapakah kuda digunakan sebagai terapi penyembuhan?
Kuda berjalan mengikut tiga dimensi pemboleh ubah kuda, pergerakan yang berulang-ulang dan berirama. Ini membantu pesakit menerima input deria ke otak dan sistem saraf mereka.

Kuda mengambil masa seminit untuk 120 langkahnya. Ini membolehkan 120 peluang pada setiap minit untuk pesakit mengalami pergerakan yang unik ini, yang tidak boleh ditiru oleh perkakas atau peralatan lain.

Sewaktu sesi, pakar terapi bekerjasama dengan pengendali kuda yang dilatih khas untuk memberikan cabaran ‘tepat’ bagi setiap pesakit. Kebanyakan pesakit akan menunjukkan semangat tinggi sewaktu rawatan hipoterapi. Ia juga menawarkan persekitaran yang jauh berbeza daripada klinik terapi biasa.

Jumlah kuda dan nama-nama kuda milik anda?
2 ekor kuda iaitu Tommy (kuda pony) dan Cherokee.

Siapakah kanak-kanak yang sesuai menjalani terapi ini?
Hipoterapi dapat membantu kanak-kanak yang mengalami masalah:

IKLAN
  • Cerebral palsy
  • Celebral atrophy
  • Kelewatan pertumbuhan
  • Autisme
  • Kecederaan otak
  • Trauma otak
  • Epilepsi
  • Sindrom Down
  • ADHD
  • Dyspraxia
  • Masalah pembelajaran
  • Gangguan pemprosesan sensori

Tempoh sesi terapi?
Di Green Apple Hippotherapy, kami menyediakan satu program yang mengandungi 12 sesi. Setiap sesi dijalankan selama 30 – 45 minit.

Mengapa kurang pendedahan terhadap hipoterapi?
Ya, tidak ramai yang sedar tentang kewujudan hipoterapi di Malaysia serta bagaimana ia berkesan membantu kanak-kanak istimewa. Kekurangan kakitangan dan pakar berpengalaman dalam bidang ini juga membantutkan pendedahan terhadap hipoterapi.

Ramai yang menyangka kaedah ini mahal, tambahan pula insurans kesihatan di Malaysia tidak meliputi terapi kuda. Tapi sebenarnya, yuran yang dikenakan oleh Green Apple Hippotherapy masih dalam kemampuan. Kami menyediakan satu program yang mengandungi 12 sesi berharga RM3,500. Ini termasuklah dua penilaian (initial & final assessment) serta yuran pendaftaran.

IKLAN

Untuk 12 sesi (satu program) ini, biasanya dijalankan seminggu sekali. Ini bermaksud untuk menyelesaikan satu program terapi, mengambil masa selama 3 bulan. Setiap sesi dijalankan bersama seorang pakar terapi, seorang pakar pengendali kuda dan seorang pembantu pakar terapi. Ini bermakna satu sesi yang dijalankan melibatkan tiga orang.

Siapakah pengasas Green Apple Hippotherapy?
Iliza Muhammed Ikhbal. Beliau merupakan ibu kepada tiga cahaya mata dan seorang anak istimewa. Beliau mengambil inisiatif untuk terus mendalami hipoterapi dengan menghadiri pelbagai bengkel antaranya di Hunter Valley Sydney, Australia (Mei 2014) dan bengkel yang dijalankan oleh EATSA di Cape Town, Afrika Selatan (2014). Pada tahun 2017, Iliza mendalami ilmu NLP dalam perkembangan kanak-kanak.

Selain Iliza, Green Apple Hippotherapy turut diterajui oleh Dr. Ali Azman iaitu seorang konsultan paediatrik serta saya sendiri, Nurirdiyana Idros, yang merupakan seorang occupational therapist dan pengamal Autism Movement Therapy (AMT) bertauliah.

Saya pernah menjalani latihan ‘Fundamental in Hippotherapy by Equine Assisted Therapy Association of South Africa (EATASA)’ di Noordhoek, South Africa pada September 2014 dan menghadiri kursus advance Hippo Kinesio Educational Rehabilitation (Hi.K.E.R) daripada Greek Scientific Association of Therapeutic Riding And Hippotherapy (G.S.A.T.R.H) in Athens, Greece. Norzalina Mohd Alias

Kredit: Green Apple Hippotherapy